Pages

Thursday, 19 January 2017

Program Gotong Royong Perdana Bil 1/2017

Sesi persekolahan bagi tahun 2017 telah bermula 2 minggu yang lalu. Bagi memastikan keselesaan para pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran di SMK Bawang Assan berada pada tahap optimum, maka kebersihan dan keceriaan kawasan persekitaran sekolah perlu dititikberatkan. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, satu Program Gotong Royong Perdana telah dijalankan di SMK Bawang Assan pada 14 Januari 2017 baru-baru ini.

      Sepertimana program gotong royong yang diadakan sebelum ini, program gotong royong perdana pada kali ini juga turut melibatkan usaha padu oleh seluruh warga sekolah yang terdiri daripada para guru, staf-staf sokongan serta para pelajar. Tidak terkecuali para ibu bapa serta masyarakat setempat yang turut sama membantu mengerah keringat demi kemajuan sekolah.

Antara objektif Program Gotong Royong Perdana ini adalah:

      (i)     Meningkatkan kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah.
      (ii)    Memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah.
      (iii)   Menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah.
    (iv)  Meningkatkan kerjasama & mengeratkan silaturahim antara warga sekolah serta masyarakat setempat

Program Gotong Royong Perdana pada kali ini dimulakan dengan satu sesi perhimpunan khas yang diadakan di Dewan Sri Bawang yang dihadiri oleh semua guru, ibu bapa dan pelajar SMK Bawang Assan. Acara dimulakan seawal jam 8.15 pagi didahului dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua, En. Lau Siah Teck usai nyanyian lagu Negaraku.


Antara intipati ucapan yang disampaikan oleh Tuan Pengetua adalah, beliau menzahirkan rasa terima kasih atas kehadiran para ibu bapa dan mengharapkan agar para ibu bapa serta masyarakat setempat akan terus memberikan sokongan padu terhadap setiap program yang dijalankan di sekolah baik dalam bidang akademik mahupun bukan akademik. Program gotong royong perdana bil. 1/2017 seterusnya dirasmikan oleh Yang DiPertua PIBG SMK Bawang Assan, En. Dornie ak Engkamat.

            Acara diteruskan pula dengan upacara pemberian Bantuan Khas Persekolahan bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1 tahun 2016. Bantuan khas ini merupakan hasil inisiatif pihak Yayasan Sarawak yang telah memberi sumbangan sebanyak RM 3,000.00 kepada 30 orang pelajar yang kurang berkemampuan. Peruntukan yang diterima lewat hujung tahun 2016 seterusnya disampaikan kepada 30 orang pelajar Tingkatan 2 tahun 2017. Hasil sumbangan tersebut, pihak sekolah menyampaikannya kepada para pelajar secara berupa beg, kasut sekolah dan baju uniform sekolah.




Sumbangan disampaikan oleh YDP PIBG dengan diiringi Tuan Pengetua serta PK HEM, En. Jarit Jugah.



           Sebelum acara gotong royong dimulakan, Cikgu Madya memberikan taklimat ringkas kepada para hadirin berkenaan pembahagian tugas serta kawasan yang terlibat dalam aktiviti gotong royong pada kali ini. Aktiviti gotong royong terus dimulakan sebaik sahaja majlis perasmian tamat pada jam 9.00 pagi.

        Fokus utama bagi program gotong royong perdana pada kali ini adalah keceriaan kelas di bawah bimbingan guru kelas masing-masing. Setiap kelas dikehendaki untuk memastikan segala kemudahan yang berada dalam kelas termasuk kerusi dan meja pelajar berada pada keadaan terbaik. Setiap kelas juga perlu mengemaskini papan notis kelas masing-masing dengan maklumat-maklumat yang diperlukan.





       Selain daripada itu, antara projek besar lain yang menjadi tumpuan utama adalah projek membina katil pelajar asrama untuk menambahkan kuantiti katil di blok asrama perempuan bagi menampung pertambahan permohonan pelajar untuk tinggal di asrama pada tahun ini. Pihak sekolah juga sedang berusaha untuk memperbesarkan kantin sekolah bagi menambahbaik keselesaan pelajar pada waktu rehat.





         Kawasan-kawasan lain yang turut terlibat dalam program gotong royong pada kali ini adalah:
       (i)      Pondok
       (ii)     Kawasan penanaman bunga
       (iii)    Kawasan bengkel ERT 
       (iv)    Makmal Sains
       (v)     Bilik BOSS / SPBT
       (vi)    Pejabat am
       (vii)   Papan notis PK & Bidang

Aktiviti gotong-royong tamat pada jam 11.00 pagi dengan diakhiri oleh jamuan tengah hari di dewan makan. Secara keseluruhannya, semua pihak yang terlibat telah memberi kerjasama yang erat dalam menjayakan program gotong-royong pada kali ini. Segala aktiviti di semua kawasan berjalan dengan lancar dan semua objektif program dapat dicapai hasil usaha sama semua pihak. 


p/s: Kekangan kewangan & kekurangan peruntukan tidak menjadi alasan untuk tidak menambahbaik prasarana yang diperlukan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan....


Muat turun: 

Kertas Kerja Program Gotong Royong 

Laporan Program Gotong Royong 

Brosur 


Saturday, 14 January 2017

Takwim Persekolahan Mengikut Minggu Tahun 2017

Berikut merupakan takwim mingguan bagi sesi persekolahan tahun 2017. Ia dijadikan rujukan bagi menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT). Takwim mingguan ini adalah berpandukan takwim penggal persekolahan yang dikeluarkan secara rasmi oleh KPM, di mana minggu cuti perayaan / cuti persekolahan diambil kira menjadikan jumlah minggu kesemuanya adalah sebanyak 52 minggu (termasuk bulan Disember) bagi tahun 2017.


Muat turun: 

Takwim Mingguan 2017 (pdf)

Takwim Mingguan 2017 (word doc.) 

Sunday, 1 January 2017

RPT Kimia

Rancangan Pengajaran Tahunan bagi mata pelajaran Kimia untuk tahun 2017.
Versi BM, ringkas & padat.

Muat turun: 

RPT Kimia Ting. 4 

RPT Kimia Ting. 5 

Suka Duka 2016 : Cerita Belakang Tabir

Jika Imbasan 2016 sebelum ini memfokuskan pada program & aktiviti yang dijalankan di sekolah terutamanya yang melibatkan pelajar, catatan ini pula lebih bersifat peribadi. Ia ditulis untuk mengenang kembali apa yang telah dilalui sepanjang tahun 2016. Merangkumi kisah & cerita di belakang tabir yang selama ini disimpan di sudut hati.


Ulang tahun ke-5

Februari 2016 menandakan genap 5 tahun saya bergelar Pegawai Pendidikan Siswazah @ guru pada tanggal 7 Februari. Tarikh 10 Feb. pula merupakan tarikh saya melapor diri di SMK Bawang Assan Sibu buat pertama kalinya pada 5 tahun yang lalu.


Angka 5 tahun juga menandakan sudah tiba masanya saya perlu memperbaharui / renew ‘Buku Biru’ (Dokumen Perjalanan Terhad – DPT) yang digunakan untuk memasuki negeri Sarawak. Jujurnya.... selama ini langsung tidak pernah sekalipun terdetik dalam hati mahupun terlintas di fikiran saya yang suatu hari nanti saya perlu renew buku biru ini. Masih saya ingat waktu bersama rakan-rakan yang 'sekapal' dengan saya ke Wisma Persekutuan KB 5 tahun lepas sebelum berlepas ke Sarawak. Pada masa itu saya berkata "kenapalah kena buat DPT sampai 5 tahun. Macamlah kita nak tinggal di sana lama sangat" dan kami cuma ketawa. Akhirnya Tuhan membalas 'keangkuhan' saya dengan memanjangkan rezeki saya di sini. Namun, Alhamdulillah, banyak pengalaman berharga yang saya kutip selama 5 tahun berada di sini.


Air mata SPM 2015

Tiba bulan Mac, semua guru akan berdebar-debar kerana pada waktu ini keputusan SPM pada tahun lalu akan diumumkan. Setiap guru pastilah mengharapkan kejayaan cemerlang untuk setiap pelajar. Namun, kadang tak semua yang kita harapkan akan dimakbulkan Tuhan. Keputusan bagi mata pelajaran saya, Kimia menunjukkan penurunan. Tipulah jika saya katakan saya langsung tidak kecewa walaupun penurunan GPMP memang sudah dijangkakan berdasarkan kepada TOV. Sementelahan pula, ada seorang pelajar yang setia dengan markah ‘gred merah’ (<20).


Pada masa itu, saya sudah terbayangkan apa alasan2 munasabah yang perlu dikemukakan dalam mesyuarat sekolah nanti. Namun, hati saya terpujuk setelah anak-anak pelajar saya datang mengadap seorang demi seorang dengan senyuman di bibir. Almaklumlah, gred masing-masing naik, melepasi target mereka walaupun tak melepasi target sekolah. Paling saya tak boleh lupakan apabila pelajar yang seorang itu berkata pada saya, “TERIMA KASIH cikgu, akhirnya…. saya LULUS Kimia”. Masa itu terasa seperti mahu luruh air mata saya dan saat itu juga saya tidak peduli lagi dengan GPMP. Kalau Pengetua nak marah pun tak kisah dah. Haha….

Inilah salah satu kelebihan mengajar di luar bandar. Sekolah kampung. Anak-anak pelajar tiada peluang ke kelas tuisyen swasta. Maka guru menjadi sandaran mereka 100%. Ucapan “terima kasih” yang tulus ikhlas mungkin perkara kecil, tapi sudah cukup untuk menggembirakan hari seorang cikgu. Apa yang penting, kami sudah berusaha & Tuhan yang menentukan.

Saya mengingatkan diri dengan satu falsafah dari Jepun :


In life, there will always be ups and downs.
Don't be upset over a failure.
Just stand up back every time you fall.
Nanakoroubi Yaoki!   


Perginya Rakan Guru & Sahabat

Pada pertengahan tahun 2016, kami menerima berita perpindahan seorang guru, iaitu Cikgu Esmandi  yang dinaikkan pangkat sebagai PK HEM di SMK Semop. Kehilangannya cukup dirasai memandangkan beliau merupakan seorang guru yang cukup berdedikasi dan serba boleh serta banyak memberikan sumbangan penting pada kemajuan sekolah. Beliau juga merupakan salah seorang yang menjadi ‘tulang belakang’ saya dalam bidang pendidikan selama ini. Melalui beliau, saya banyak belajar tentang kajian tindakan & inovasi. Malah blog ini juga lahir hasil tunjuk ajar beliau. Namun, Alhamdulillah, walaupun kami kini tidak lagi berkhidmat di sekolah yang sama, tetapi masih berhubung sehingga kini membincangkan perkara yang berkaitan dengan bidang pendidikan.


Selain daripada Cikgu Esmandi, keputusan e-GTukar pada bulan November menyaksikan kami kehilangan 2 orang lagi guru, iaitu Cikgu Giyong dan Cikgu Seow. Cikgu Giyong berjaya pindah ke kampung halamannya di Selangor, manakala Cikgu Seow pula berpindah ke SMK Bukit Assek Sibu.

Ucapan perpisahan Cikgu Giyong semasa dinner akhir tahun  

Ucapan perpisahan Cikgu Seow  

Perginya Cikgu Esmandi dan Cikgu Giyong maka saya kehilangan 2 orang rakan sekerja yang turut merangkap rakan baik, rakan perkongsian ilmu, rakan sembang dan rakan berkongsi segala cerita. Terima kasih untuk segala tunjuk ajar dan semoga ‘aura’ pindah korang dapat kat aku pulak lepas ni. Hehe…


Pengalaman Berharga

Tahun 2016 merupakan tahun yang agak sibuk dan padat dengan aktiviti sama ada dalam mahupun di luar sekolah. Namun, pada setiap program yang disertai memberikan ilmu dan membuahkan pengalaman yang cukup berharga bagi saya.

Antaranya, saya telah dipilih sebagai salah seorang panel penggubal soalan untuk Kertas Percubaan SPM Kimia peringkat PPD Sibu. Terkejut juga pada mulanya. Yalah, saya ni merupakan guru Kimia yang paling junior dalam group Resource Pool Kimia Sibu. Tapi, saya ambil peluang ini dan melihatnya dari sudut positif. Banyak perkara yang saya belajar daripada geng-geng guru senior (majoritinya adalah GC) dalam kumpulan panel penggubal ini. Maka, berkampunglah saya di sekolah selama beberapa hari dalam masa cuti (cuti penggal 1) demi menyiapkan tugasan yang diberi.

Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, saya mula membuat persiapan akhir untuk Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak tahun 2016 yang akan diadakan di UCTS Sibu. Alhamdulillah, laporan projek inovasi yang saya hantar pada tahun ini sekali lagi dipilih untuk dibentangkan. Ini merupakan tahun ke-3 saya menyertai persidangan ini dan merupakan kali ke-2 sebagai pembentang. Yang kelakarnya, boleh pulak tapak kasut saya tertanggal just before saya masuk dewan. Nasib baiklah rumah saya cuma 5 minit dari UCTS, sempat balik tukar sebelum VIP sampai. Hmm… kenangan sungguh.

Penyertaan di persidangan pada kali ini cukup berbaloi kerana bagi saya pembentangan sesi plenary adalah lebih berkaitan dengan bidang pendidikan di sekolah. Saya cukup tertarik dengan kajian yang dibentangkan oleh Dr. Patricia King Jie Hung yang bertajuk “The Importance of Action Research”. Melalui pembentangan beliau, rupa-rupanya kajian tindakan di peringkat sekolah adalah lebih ringkas dan mudah untuk dilaksanakan menyebabkan saya lebih bersemangat untuk menjalankan kajian tindakan.


Setiap hasil pembentangan dibukukan dan diberikan maklum balas bertulis oleh review panel yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti. Berbunga-bunga hati saya apabila menerima maklum balas yang cukup positif.




**Projek Inovasi yang saya bentangkan boleh rujuk DI SINI


Pada pertengahan bulan Julai, iklan permohonan Guru Cemerlang (GC) mula dikeluarkan. Saya merupakan antara guru yang Pengetua jumpa secara peribadi untuk saya membuat permohonan. Kalau dah Pengetua sendiri memberikan keyakinan, apa salahnya mencuba kan. Saya memohon dengan niat untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dan ingin memperbaiki kelemahan yang ada hasil pencerapan Nazir nanti (jika lulus untuk dicerap).

Maka bersengkang matalah saya menyiapkan 2 buah esei yang perlu dihantar bersama dengan borang permohonan. Walau apapun, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana saya sedar di luar sana masih ramai guru yang jauh lebih hebat daripada saya. Bagi saya, kejayaan itu rezeki yang dikurniakan Tuhan. Dan penilaian Tuhan tidak sama dengan penilaian manusia. Biarpun apa yang diharapkan kadang tidak tercapai, tetap teruskan usaha. Kerana pada setiap usaha itu pasti membuahkan sesuatu yang tidak akan pernah sia-sia.

**Persediaan untuk memohon sebagai GC boleh dirujuk di laman blog Cikgu Hailmi


Anugerah & Pengiktirafan

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan hadiah terbaik sempena setengah dekad saya bergelar guru. Jutaan terima kasih saya kalungkan buat mantan Pengetua SMKBA, En. Kandou yang memberikan penghargaan ini. Majlis penganugerahan terasa begitu istimewa di hati saya kerana berkongsi pentas bersama pegawai Si-Partner, Mr. Tan yang turut menerima anugerah. Juga sempat bergambar kenangan bersama kedua-dua Pengetua Kandou dan Pengetua Lau. 

 Bersama 2 Pengetua, Pengetua Kandou (dua dari kanan) & Pengetua Lau (tengah) 

Bersama Si-Partner, Mr. Tan 

Bersama 2 'orang kuat' PPD Sibu, Mr. Jerome & Mdm Lau 

Jika Pengetua Kandou menghadiahkan saya APC, Pengetua Lau pula menganugerahkan saya Anugerah Khas Pengetua: Sijil Perkhidmatan Cemerlang semasa Majlis Kecemerlangan pada bulan November. Apa yang lebih istimewa, 10 orang penerima anugerah tersebut dipilih sendiri oleh Tuan Pengetua. And the best part is, plak yang diberikan merupakan sumbangan peribadi Tuan Pengetua sendiri, dan bukannya diambil daripada wang peruntukan sekolah. Inilah cara Pengetua saya menghargai staf-stafnya.



Anugerah yang diterima bukan bermakna diri ini sudah hebat. Bukan juga tanda untuk berhenti. Tetapi anugerah yang dimiliki adalah untuk disyukuri dan sebagai peringatan untuk terus memberi seikhlas hati. Juga sebagai mangkin untuk memperbaiki diri dan meningkatkan sumbangan bakti.  


Cabaran & Dugaan

Selepas cuti bulan September, kami mula sibuk dengan pecutan akhir PT3, setiap petang dan hujung minggu. Termasuk Pengetua sendiri turun padang. Dalam masa yang sama, saya berdebar-debar menunggu panggilan daripada jemaah nazir (JNJK) untuk pencerapan GC memandangkan rakan guru saya (Fizik) telahpun menerima panggilan & dicerap. Hanya 2 minggu selepas itu baharulah saya menerima panggilan.

Namun, dugaan datang tanpa dipinta. Saya menerima khabar duka daripada kampung. Ibu saya sakit teruk dan dibawa tinggal bersama kakak saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana emosi saya terganggu. Setiap hujung minggu saya fly balik KL, kecuali semasa hujung minggu sebelum PT3.  Saya sebenarnya hampir-hampir menelefon pihak Nazir untuk menarik diri daripada permohonan GC. Akan tetapi, apabila saya kenang kembali persiapan & persediaan yang telah saya buat selama setahun, dengan sokongan padu rakan-rakan seperjuangan terutamanya Cikgu Esmandi, melihatkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada Tuan Pengetua, maka saya kutip sisa-sisa semangat yang ada. Saya juga bersyukur punya rakan guru, Cikgu Fong, yang menjadi pendengar setia & sentiasa memberikan kata-kata semangat buat saya. Akhirnya, saya berjaya bangkit dan ‘back on track’.


Allah mempermudahkan segala urusan saya. Program Pecutan PT3 berjalan mengikut jadual. Persiapan akhir bagi pencerapan GC dibuat pada sebelah petang. Nasib baik hampir semua program (akademik & bukan akademik) selama 3 tahun kebelakangan telah saya siap dokumentasikan. Yang tinggal hanya perlu kemaskini segala fail & buat persediaan untuk P&P semasa pencerapan nanti. Study cuma setakat mana yang mampu & sempat.  Nazir datang mencerap pada hari Isnin, 17 okt., betul-betul sehari selepas saya landing di Sibu sekembalinya dari KL. Namun, proses pencerapan P&P serta temuduga lisan berjalan dengan lancar. Dua orang Nazir yang datang (seorang dari PPD, seorang lagi dari JPN) begitu profesional, bersikap menggalakkan, membimbing serta memberikan teguran & nasihat secara baik, tidak seperti cerita-cerita yang selalu saya dengar tentang Nazir sebelum-sebelum ini. Fuhhh…..leganya rasa lepas dah habis dicerap.  


:: students are my priority, family is my everything ::
:: bakti pada anak bangsa saham di sana, bakti pd ibu tiket ke syurga ::


Kejutan di Penghujung

Awal November, kami menerima satu berita baik bahawa Pen. Kanan Pentadbiran (PKP) kami dinaikkan pangkat sebagai Pengetua. Tapi yang tak bestnya, beliau akan ditempatkan di sekolah lain, iaitu SMK Katibas, Song. Surat lantikan & arahan lapor diri diterima lewat 3 minggu. Maka, bergegaslah Cikgu Jeffery melapor diri & segala urusan pentadbiran di SMKBA serta urusan serah tugas dilakukan dalam keadaan yang agak mendadak.

Bersama mantan PKP, kini Pengetua SMK Katibas, Cikgu Jeffery Stephen 

Belum habis terkejut dengan perpindahan Cikgu Jeff, saya menerima kejutan kedua apabila Tuan Pengetua meminta saya untuk menanggung tugas PKP. Saya ni dalam hati: “ Pengetua ni biar betul. Dia sedar tak yang aku ni baru dg41”. Banyak kali saya tanya Pengetua, “Sir, are u serious?”. Mentang-mentanglah sebelum ini saya pernah beritahu Pengetua salah satu prinsip saya, “I never say No”. Pengetua cuma senyum dan menunggu jawapan saya.

Lama juga saya fikir. Memandangkan saya adalah jenis manusia yang akan menerima cabaran & tidak akan lari dari medan perjuangan, maka akhirnya saya berkata “Yes, sir. I accept it”. Saya cuma mengharapkan pertambahan ilmu & pengalaman berharga untuk lebih mematangkan saya menelusuri bidang pendidikan ini. Lagipun, saya fikir tanggung tugas ini hanya untuk sementara sahaja, sementara menunggu kehadiran PKP yang baharu. Sementelahan pula bukan mudah untuk menerima kepercayaan seorang Pengetua bagi menggalas tanggungjawab yang cukup besar ini. Doakan saya untuk terus kuat.  


Keluarga saya agak membantah dengan keputusan ini sebenarnya. Mereka kata Pengetua buli saya, nanti saya tak dapat pindah semenanjung, susah mau cuti dll. Haha….. saya hanya senyum & melihatnya dari sisi positif. Saya yakin & percaya pada perancangan Pengetua. Saya tidak pernah menganggap ini sebagai satu pembulian mahupun bebanan, tetapi satu peluang hebat yang tak semua orang boleh dapat. Sumbangan saya pada pihak sekolah. Apa yang paling penting, saya yakin pada rezeki & ketentuan Tuhan.

Kini, walaupun surat rasmi dari JPN belum diterima, hakikatnya tugas sudah mula dilaksana bermula hujung tahun lepas. Tanggungjawab telahpun digalas. Amanah perlu dilunas. Kepercayaan Pengetua harus dibalas.


Pengorbanan Demi Kejayaan

Penghujung sesi persekolahan tahun 2016 ditutup dengan Program Pecutan Akhir Kimia SPM. Nasiblah tahun ni kertas Kimia menjadi kertas terakhir. Semua orang sudah mula bercuti, namun saya bersama anak-anak Kimia 3 orang masih berkampung di sekolah untuk bersedia bagi kertas terakhir. Anak-anak pelajar di sini pecutannya bermula pada saat-saat akhir, dan guru menjadi sandaran utama. Jika tidak dipantau belum tentu lagi mereka ulangkaji di rumah. Lebih-lebih lagi untuk subjek yang mencabar seperti Kimia.


Biarpun jiwa saya meronta-ronta untuk pulang (ibu saya masih sakit ketika ini), namun tanggungjawab dan amanah pada anak bangsa tetap diberi keutamaan. Tambahan pula, ada beberapa tugas pentadbiran yang perlu dilunaskan sebelum pulang bercuti. Di sinilah pentingnya sokongan pihak keluarga. Mujur kakak saya & ahli keluarga yang lain memahami tugas saya dan tidak memberikan tekanan pada saya.

Kelas pecutan Kimia bermula hari Jumaat sehinggalah hari Isnin, dari pagi sampai petang. Mujur mereka tak ‘muntah’. Haha….. Memang sengaja saya buat kelas sampai petang. Tujuannya adalah untuk memastikan mereka menunaikan kewajipan solat Zohor & Asar. Bukan tidak boleh saya mulakan lepas subuh sampai tengah hari. Cuma bimbang mereka hanya mengejar kejayaan duniawi dan meminggirkan kepentingan ukhrawi. Maka, gigihlah Cikgu Nurul menyediakan santapan tengah hari sekadar mampu. Nanti kang kebulur anak orang susah juga. Hehe….. nasib baiklah calon kimia 3 orang saja, kalau ramai mau kena masak 1 kawah. Cuma pada hari SPM, Selasa, sahaja saya tak masak. Santapan tengah hari kami dibelanja oleh Tuan Pengetua. Thank u so much sir! Moga-moga usaha kecil ini membuahkan hasil & menjadi saham saya di sana.


our three chemistry warriors 

Untuk anak-anak pelajar saya mahupun bekas pelajar, jika kamu baca catatan ini, ingat pesan saya. Solat itu tiang agama. Biar setinggi manapun pangkat kamu, biar sebanyak manapun harta kamu, ingatlah semuanya adalah kurniaan Tuhan. Kejayaan kamu di dunia tidak bermakna jika kamu meminggirkan kewajipan pada Tuhan. Saya tak minta kamu untuk ingat pada saya, tapi sentiasalah ingat pada Sang Pemberi Rezeki. Definisi kejayaan bukan sekadar cemerlang dalam peperiksaan. Tapi kejayaan yang sebenar adalah apabila menjadi manusia berguna di luar sana. Dan kunci kejayaan bukan hanya sekadar usaha, tapi juga redha ibu bapa & berkat seorang guru.



Akhir Kalam

Tirai 2016 yang penuh warna akhirnya dilabuhkan. Hilang lagi satu tahun dalam kalendar kehidupan. Setiap pengalaman dan kisah yang saya kongsi bukanlah untuk dipuji mahupun diikuti. Sekadar ingin memberi inspirasi semampu diri. Tak semua orang boleh ikut cara kita, dan tak semua cara orang kita boleh ikut. Biarpun 1 destinasi yang sama, tapi jalan yang dilalui tak semestinya serupa. Setiap insan punya kisah yang berbeza. Kita tak hidup dek pujian, dan tak perlu mati dek kejian. We are not everyone’s cup of tea. So, be yourself.


Moga tahun 2017 menjanjikan lebih kebahagiaan, biarpun saya pasti banyak liku yang harus ditempuhi.
Juga kumohon agar terus diberi kekuatan untuk terus menabur bakti demi kerjaya & sekolah yang kucintai.


School is my world
Students are my sweethearts
Teaching is my passion
Educating is my mission
~ Cikgu Nurul ~