Pages

Wednesday, 15 November 2017

Izinkanku Pergi……


SMKBA yang disayangi
Saat pertama kali ku jejakkan kakiku di sini
Kedamaianmu mencuit rasa
Ketenanganmu menenangkan jiwa
Telah ku pateri suatu janji
Akanku berbakti selagi nafasku tidak terhenti

SMKBA yang disayangi
Di sini kasihku telah tertumpah
Di sini baktiku curah
Di sini memori terukir indah

Tuan Pengetua yang ku sanjungi
Terima kasih untuk segala jasa dan budi
Maaf andai baktiku tidak mencukupi
Ku hargai segala perkongsian dan sokongan
Takkan ku lupa segala bimbingan dan dorongan
Ku doakan agar dikau kan terus tabah mengharungi
Menjadi pemimpin yang lebih disegani
Dan membawa SMKBA ke mercu yang lebih tinggi

Rakan-rakan seperjuangan yang ku hormati
Ku sedar diriku tidak sempurna
Tiadalah pula banyak berjasa
Andai pernah hatimu terluka
Ampun dan maaf hanya dapat ku pinta
Moga luruh segala duka dan lara

Rakan-rakan seperjuanganku
Tidakku pinta diriku dipuji
Cukuplah sekadar aku tidak dikeji
Tidakku harap diriku dipuja
Cukuplah sekadar aku tidak dihina
Tidakku damba diriku disanjungi
Cukuplah sekadar aku tidak dibenci

Anak-anak didikku yang ku kasihi
Terima kasih untuk semua memori
Maaf andai ada lakuku yang tidak kau senangi
Pada setiap tutur kata dan gerak geri
Andai pernah dirimu kumarahi
Percayalah, tidak pernah dirimu kubenci
Kerana kasihku padamu terlalu tinggi
Ku mahu dirimu menjadi insan yang berbudi pekerti

Anak-anak didikku yang ku kasihi
Ku halalkan segala ilmu yang ku beri
Hakikatnya ilmu itu bukan milik diri ini
Tetapi dipinjamkan oleh Ilahi untuk dikongsi
Semoga ianya menjadi bekalan buatmu di kemudian hari
Bangkitlah berbakti, usah lena lagi
Tingkatkan disiplinmu dan tinggalkan kemanjaanmu
Negara dan bangsamu memerlukanmu
Ingatlah
Hanya ilmu yang mampu meninggikan darjatmu
Dan mengubah masa depanmu

SMKBA yang ku sayangi
Sejak hari pertama berita itu menyapa diri
Biarpun senyum terukir di bibir
Biarpun rasa syukur menyelimuti diri
Namun jujur ku tuturkan dari hati
Tiada sehari yang berlalu tanpa air mataku gugur ke bumi
Sesungguhnya berat untukku turuti
Belumku bersedia untuk pergi
Namun telah tertulis sejak azali
Jodoh kita hanya sampai di sini
Tidak perlu kau ingati diri ini
Izinkanku pergi….usahlah kau tangisi

SMKBA yang ku sayangi
Tuan Pengetua yang ku sanjungi
Rakan-rakan seperjuangan yang ku hormati
Dan anak-anak didikku yang ku kasihi
Buat terakhir kali
Terima kasih daun keladi
Akanku bawa bersama segala memori
Semoga takdir menemukan kita kembali
Jika tidak di sini, di syurga abadi.

Sayonara..... SMK Bawang Assan. 


Friday, 3 November 2017

Rumusan Waktu PdPc Setiap Mata Pelajaran Tahun 2018

Tahun 2018 bakal menjadi tahun ke-2 pelaksanaan KSSM melibatkan Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Sementara itu, Tingkatan 3 - 5 masih menggunakan KBSM.


KBSM sebelum ini menggunakan sistem 1 waktu = 40 minit, manakala bagi KSSM pula 1 waktu = 30 minit. Bagi memudahkan jadual waktu dijana, semua m/p bagi semua tingkatan diselaraskan mengikut peruntukan waktu KSSM.

Berikut merupakan rumusan peruntukan waktu PdPc bagi setiap mata pelajaran Ting. 1-5 mengikut panduan KBSM dan KSSM. Ada beberapa bil. waktu bagi sesetengah m/p dibundarkan kepada nombor bulat yang terdekat.






Sumber Rujukan: 

Buku Penerangan KSSM 
Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 9/2016 
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1990 


Muat turun: 

Rumusan Waktu PdPc 2018 (MS Word) 
Rumusan Waktu PdPc 2018 (pdf)