Pages

Sunday, 17 January 2016

Eksperimen Kadar Tindak Balas Menggunakan Panadol Soluble

Kadar tindak balas dipengaruhi oleh 5 faktor:

i) Saiz bahan tindak balas
ii) Kepekatan bahan tindak balas
iii) Suhu bahan tindak balas
iv) Kehadiran mangkin
v) Tekanan

Walaupun dalam sukatan pelajaran Kimia disenaraikan 5 faktor, namun yang dibincangkan secara terperinci hanya 4 faktor sahaja. Jadi, terdapat 4 eksperimen yang dijalankan bagi mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas. 

Saya menggabungkan 3 faktor untuk dibincangkan dalam satu sesi PdP (2 waktu). Faktor saiz dijadikan sebagai set induksi, di mana saya menggunakan panadol soluble yang dilarutkan dalam air.
Dua lagi faktor, iaitu faktor kepekatan bahan & suhu bahan tindak balas dijalankan eksperimen oleh pelajar-pelajar saya. Dua eksperimen ini boleh dijalankan serentak memandangkan kedua-duanya menggunakan bahan tindak balas yang sama.

Kronologi langkah yang saya jalankan:

(A) Set induksi

1. Sediakan dua buah bikar berisi air & dua biji panadol soluble
2. Minta pelajar patah-patahkan sebiji panadol soluble sehingga menjadi ketulan-ketulan kecil


3. Tanya pelajar apa perbezaan luas permukaan panadol soluble antara ketulan besar & ketulan kecil.
(ketulan kecil mempunyai luas permukaan yang lebih kecil bagi setiap ketulan, tetapi mempunyai Jumlah Luas Permukaan yang lebih besar berbanding sebiji ketulan besar panadol soluble)

4. Masukkan panadol soluble ke dalam 2 buah bikar berisi air. Perhatikan panadol soluble dalam bikar mana yang paling cepat larut dan berhenti bertindak balas.


5. Minta pelajar nyatakan pemerhatian.
(ketulan kecil panadol soluble lebih cepat larut & lebih cepat berhenti bertindak balas)

6. Pelajar membuat rumusan / kesimpulan:
Semakin kecil saiz bahan tindak balas, semakin besar jumlah luas permukaan bahan yang terdedah, semakin tinggi kadar tindak balas

7. Aplikasi dalam kehidupan seharian: memasak makanan yang bersaiz kecil lebih cepat berbanding makanan yang bersaiz besar. 


(B) Eksperimen berkumpulan

1. Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan. 2 kumpulan mengkaji faktor kepekatan bahan, manakala 2 kumpulan lagi mengkaji faktor suhu.
2. Guru menunjukkan demo eksperimen (menggunakan radas kosong) & menerangkan langkah berjaga-jaga semasa menjalankan eksperimen.
3. Pelajar menjalankan eksperimen (rujuk prosedur dalam Buku Teks Kimia Ting. 5 & hands-on)
4. Pelajar mencatatkan masa yang diambil untuk tanda 'X' tidak kelihatan 



(C) Melukis graf & pembentangan

1. Pelajar melukis graf kepekatan melawan 1/masa & suhu melawan 1/masa
2. Pelajar membentangkan data & graf kumpulan masing-masing sebagai perkongsian dengan kumpulan lain.
3. Semua graf yang dilukis menunjukkan graf garis lurus (berkadar langsung).


Langkah berjaga-jaga & peringatan kepada pelajar:

1. Terus mulakan jam randik sebaik sahaja asid dituangkan ke dalam kelalang kon berisi natrium tiosulfat kerana tindak balas terus berlaku.

2. Gunakan kelalang kon yang sama saiz kerana saiz yang berbeza mempengaruhi ketinggian mendakan yang terbentuk. Seterusnya, ia mempengaruhi masa yang diambil untuk tanda ‘X’ tidak kelihatan.

3. Pastikan mata berada pada aras meniskus cecair semasa mengukur isipadu natrium tiosulfat.


4. Gunakan penyepit / kain semasa memegang kelalang kon yang panas. Memegang radas yang panas boleh mendatangkan kemalangan.


5. Sebaik sahaja natrium tiosulfat mencapai suhu yang diingini, terus masukkan asid & mulakan jam randik.

6. Lihat tanda ‘X’ dari atas kelalang kon, bukan dari tepi.


7. Tutup kipas sepanjang eksperimen dijalankan bagi memastikan suhu sekeliling tidak mempengaruhi suhu bahan tindak balas.

8. Sebaik-baiknya eksperimen dijalankan dengan pantas kerana semakin lama masa diambil, kelalang kon yang digunakan menjadi semakin kabur disebabkan sisa sulfur yang melekat pada dinding kelalang kon. Menggunakan kelalang kon yang lain, tetapi sama saiz adalah lebih baik.


9. Jangan buang sisa bahan kimia ke dalam sinki. Buang sisa bahan kimia dalam bekas sisa bahan kimia yang disediakan oleh guru. 

10. JANGAN gunakan istilah tanda 'X' hilang, tetapi gunakan ayat "tanda 'X' hilang dari pandangan" ataupun "tanda 'X' tidak kelihatan"


**Rujukan lanjut: https://www.facebook.com/rajinder.pw/posts/10153915429201654

2 comments: