Pages

Sunday, 6 May 2018

Eksperimen Membandingkan Alkana dan Alkena

Sifat kimia alkana dan alkena boleh dibandingkan melalui 3 tindak balas yang berikut:

i) Tindak balas pembakaran
ii) Tindak balas dengan air bromin
iii) Tindak balas dengan larutan kalium manganat(VII) berasid



(A) Tindak balas Pembakaran Alkana, Alkena

Prosedur:

1. Tuangkan kira-kira 2 cm3 heksana ke dalam sebuah mangkuk penyejat.


2. Nyalakan kayu uji menggunakan penunu Bunsen, kemudian bakar heksana dalam mangkuk penyejat.
3. Letakkan sekeping kertas turas di atas nyalaan heksana. Perhatikan perubahan pada kertas turas.


4. Ulang langkah 1-3 dengan menggunakan heksena bagi menggantikan heksana.

Tips:
* Alkana & Alkena merupakan bahan api yang mudah terbakar. Gunakan isipadu yang kecil sahaja.
* Jauhkan sebarang bahan mudah  terbakar, terutamanya buku & kertas sepanjang eksperimen dijalankan.
* Pastikan jarak kertas turas daripada nyalaan adalah bersesuaian, tidak terlalu rendah & tidak terlalu tinggi

Antara pemerhatian yang diperoleh: 




Jika keputusan yang diperoleh adalah bertentangan dengan teori, maka boleh juga merujuk pada kesan jelaga pada mangkuk penyejat. 


(B) Tindak balas dengan Air Bromin

Prosedur: 

1. Tuangkan kira-kira 2 cm3 heksana ke dalam sebuah tabung uji.
2. Masukkan beberapa titis air bromin ke dalam tabung uji yang mengandungi heksana.
3. Goncang tabung uji secara perlahan-lahan. Perhatikan perubahan pada campuran.
4. Ulang langkah 1-3 dengan menggunakan heksena bagi menggantikan heksana.


Tips:
* Sebaik-baiknya air bromin disediakan sebelum eksperimen dijalankan.
* Jika menggunakan air bromin yang telah tersedia dalam botol reagen, perlu pastikan air bromin disimpan dalam botol reagen gelap & warna perangnya kekal.
* Warna air bromin adalah perang, jika warnanya kekuningan, kemungkinan kepekatannya kurang atau ia telah teroksida.


(C) Tindak balas dengan Kalium Manganat(VII) Berasid

Prosedur: 

1. Tuangkan kira-kira 2 cm3 heksana ke dalam sebuah tabung uji.
2. Masukkan beberapa titis larutan kalium manganat(VII) berasid ke dalam tabung uji yang mengandungi heksana.
3. Goncang tabung uji secara perlahan-lahan. Perhatikan perubahan pada campuran.
4. Ulang langkah 1-3 dengan menggunakan heksena bagi menggantikan heksana.


Tips:
* Bagi mendapatkan keputusan yang terbaik, kepekatan larutan kalium manganat(VII) berasid yang disediakan jangan terlalu tinggi (lihat pada warna ungu yang terhasil). 
* Jika menggunakan larutan kalium manganat(VII) berasid yang terlalu pekat, apabila dicampurkan dengan heksena, warna ungunya sukar dinyahwarnakan, sebaliknya bertukar menjadi warna kekuningan sahaja.
* Jika warna ungu  larutan kalium manganat(VII) berasid terlalu pekat, hanya perlu masukkan satu titis sahaja.



Tips tambahan:
* Semua eksperimen di atas juga boleh dijalankan dengan menggunakan sikloheksana dan sikloheksena bagi menggantikan heksana dan heksena.
* Prosedur eksperimen boleh diubahsuai dengan cara menjalankan ujikaji secara serentak bagi alkana dan alkena dengan cara memasukkan cecair alkana dan alkena ke dalam dua buah mangkuk penyejat / tabung uji yang dilabelkan A dan B.



Dari kiri: Heksena + air Bromin, Heksana + air Bromin, Heksena + KMnO4, Heksana + KMnO4

*Catatan: Tips yang disenaraikan BUKAN langkah berjaga-jaga eksperimen.  


Keputusan Eksperimen:

Tindak Balas
Pemerhatian
Inferens
Tabung uji A
Tabung uji B
Pembakaran
Sedikit jelaga terhasil pada kertas turas
Lebih banyak jelaga terhasil pada kertas turas

-Sebatian karbon dalam tabung uji A adalah heksana

-Sebatian karbon dalam tabung uji B adalah heksena

T/balas dengan Air Bromin
-Tiada perubahan pada campuran
-Warna perang air bromin kekal
-Warna perang air bromin dinyahwarnakan
-Warna campuran berubah daripada perang kepada tidak berwarna

T/balas dengan KMnO4 berasid
-Tiada perubahan pada campuran
-Warna ungu larutan kalium manganat(VII) kekal
-Warna ungu larutan kalium manganat(VII) dinyahwarnakan
-Warna campuran berubah daripada ungu kepada tidak berwarna




Analisis & Mentafsir Data:

1. Alkena mengandungi peratus karbon per molekul yang lebih tinggi daripada alkana. Oleh itu, pembakaran alkena menghasilkan lebih banyak jelaga berbanding pembakaran alkana.
2. Alkana terdiri daripada ikatan tunggal yang telah tepu. Oleh itu, air bromin dan larutan kalium manganat(VII) berasid tidak dapat bertindak balas dengan alkana. Maka, alkana tidak dapat menyahwarnakan warna perang air bromin dan warna ungu larutan kalium manganat(VII) berasid.
3. Alkena merupakan sebatian karbon yang tidak tepu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu ikatan ganda dua. Oleh itu, alkena boleh bertindak balas dengan air bromin dan larutan kalium manganat(VII) berasid. Maka, alkena dapat menyahwarnakan warna perang air bromin dan warna ungu larutan kalium manganat(VII) berasid.


Kesimpulan

1. Pembakaran alkena menghasilkan lebih banyak jelaga berbanding pemkaran alkana.
2. Alkana tidak dapat bertindak balas dengan air bromin dan larutan kalium manganat(VII) berasid, manakala alkena dapat bertindak balas dengan air bromin dan larutan kalium manganat(VII) berasid.



* Muat turun nota eksperimen ini DI SINI 

16 comments:

  1. tahniah nim. penerangan yang mudah untuk difahami

    ReplyDelete
  2. Ringkas .padat ..tepat.. mudah faham...tahniah dan terima kasih...semoga diberi kebaikan didunia dan di akhirat..Aamminn

    ReplyDelete
  3. Apakah tujuan eksperimen,pembolehubah, hipotesis, bahan, radas

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum ckgu eksperimen ni ade pemboleh ubah ke?

    ReplyDelete
  5. Dapat jugak info kt blog ni

    ReplyDelete
  6. Dapat jugak info kt blog ni

    ReplyDelete
  7. boleh tahu tak, apa hipotesis nya? pls someone reply

    ReplyDelete
  8. apakah hubungan antara peratus karbon mengikut jisim per molekul dengan kejelagaan nyalaan ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semakin tinggi peratus karbon mengikut jisim per molekul, semakin tinggi kejelagaan nyalaan

      Delete