Sunday, 24 January 2016

Aktiviti Membuat ‘Aiskrim Goyang’

Kebiasaannya, aiskrim dibekukan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. Aktiviti kali ini menunjukkan aiskrim boleh disediakan & dibekukan dalam masa yang singkat tanpa perlu memasukkannya ke dalam peti sejuk. Caranya adalah dengan menyejukkannya di antara ketulan ais yang direndahkan takat bekunya.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 2 kotak susu segar (perisa terpulang pada individu)
2. ¼ tin susu pekat manis (nak guna gula pun boleh)
3. Plastik aiskrim
4. Ais secukupnya  
5. Garam kasar



Cara-caranya:

1. Campurkan susu segar dan susu pekat.


2. Masukkan campuran aiskrim ke dalam plastik aiskrim dan ikat dengan ketat


3. Letakkan ais dalam besen @ tong ais
4. Taburkan garam kasar ke dalam ais (untuk merendahkan takat beku)
5. Masukkan aiskrim ke dalam besen / tong ais, kemudian tutup


6. Goyangkan besen / tong ais sehingga aiskrim beku (antara 20-30 minit)



Tips:
*Saiz aiskrim yang lebih kecil menjadikannya lebih cepat membeku
*Tekstur aiskrim ini adalah lembut (kerana menggunakan susu). Jadi, ia tidak akan mengeras seperti ais batu.


Konsep:
> Berdasarkan Teori Kinetik Jirim, jirim terdiri daripada 3 keadaan, iaitu pepejal, cecair dan gas.
> Air tulen akan membeku pada takat bekunya, iaitu 0oC.
> Kehadiran bendasing (garam) akan merendahkan takat beku ais, iaitu antara -1 oC sehingga -6 oC
> Jadi, pada suhu 0oC, ais akan mencair kerana ia belum mencapai takat bekunya
> Semasa proses peleburan ini, ais / air menyerap haba daripada persekitaran (dalam kes ini, aiskrim kita). Aiskrim yang kehilangan tenaga haba pula akan membeku.
> Suhu ais yang mencair ini adalah lebih rendah daripada suhu ais biasa. 
> Suhu ais yang lebih rendah akan dapat membekukan cecair lain (aiskrim) dengan lebih mudah

(p/s: penerangan konsep adalah bergantung kepada m/p yang diajar, tahun / tingkatan yg diajar & tahap penerimaan murid. penerangan bagi m/p Kimia dan Fizik mungkin sedikit berbeza) 


Bacaan Lanjut: 

https://stuffexplained.wordpress.com/2012/08/06/adding_salt_to_ice_in_a_cooler/
https://www.inverse.com/article/10544-if-salt-melts-snow-and-ice-why-is-it-essential-in-making-ice-cream


# Muat turun nota ini 


p/s: best rasa aiskrim ni sebab teksturnya lembut kerana menggunakan susu. tak perlu pun blend sepertimana kebanyakan resepi aiskrim lain. 

Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu 2016

Acara merentas desa merupakan suatu acara sukan yang bukan hanya bertujuan untuk melahirkan murid yang cergas dan aktif dalam bidang sukan, tetapi juga bagi memupuk nilai mencintai alam sekitar.  Kejohanan Merentas Desa bagi peringkat MSS Daerah Sibu tahun 2016 telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Januari. SMK Bawang Assan telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut setelah kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2014.


Kejohanan pada kali ini menyaksikan penyertaan yang amat menggalakkan dengan disertai oleh 21 buah sekolah (daripada 27 buah sekolah menengah di Sibu), termasuk sebuah sekolah dari Kanowit iaitu SMK Nanga Dap. Jumlah peserta bagi semua kategori pula mencecah 440 orang, iaitu sekali ganda daripada jumlah keseluruhan pelajar SMK Bawang Assan.

Para peserta bersama pengurus pasukan masing-masing mula tiba di pekarangan SMKBA seawal jam 6.45 pagi. Memandangkan sekolah agak kecil dengan kapasiti pelajar yang sedikit, tempat meletakkan kenderaan amat terhad dan sempit. Namun mujur dengan adanya bantuan daripada pengawal keselamatan dan juga anggota pasukan Kadet Polis, pergerakan menjadi agak lancar.


Setelah para peserta melaporkan diri di khemah pendaftaran, satu taklimat berkaitan laluan merentas desa disampaikan oleh Pegawai Teknikal kejohanan, Cikgu Willy. Tidak lama kemudian, para peserta mula bergerak ke tapak perhimpunan bagi memulakan acara.


Tepat jam 8.38 pagi, Tuan Pengetua SMKBA, En. Lau Siah Teck mengibarkan bendera kejohanan sebagai tanda perlepasan peserta. Kategori pertama yang dilepaskan ialah kategori Lelaki Junior (Bawah 15 tahun),kemudian diikuti oleh kategori Perempuan Senior (Bawah 18 tahun), Lelaki Senior, dan diakhiri dengan kategori Perempuan Junior.


Pada jam 9.45 pagi, wakil Pegawai PPD Sibu tiba di pekarangan sekolah dan disambut oleh Tuan Pengetua.


Cuaca pada sebelah pagi ternyata menyebelahi kami dengan suasana yang redup. Namun, sebaik sahaja majlis perasmian penutupan dimulakan, hujan turun dengan lebat menyebabkan majlis perasmian terpaksa ditangguhkan seketika. Sebaik sahaja hujan reda, tanpa melengahkan masa majlis diteruskan di tapak perhimpunan sebagaimana perancangan asal.

Ternyata SMK Sedaya menjadi bintang pada kejohanan kali ini kerana berjaya menggungguli kedua-dua kategori lelaki & perempuan di mana mereka merupakan Juara Keseluruhan bagi kategori Perempuan dan juga Naib Juara bagi kategori Lelaki Keseluruhan. Mereka turut menjuarai kategori Perempuan Senior dan juga Perempuan Junior.

Juara kategori Perempuan Keseluruhan, SMK Sedaya 

Kategori lelaki pula memperlihatkan penguasaan SMK Sacred Heart. Selaku juara kategori Lelaki Junior & Lelaki Senior, mereka berjaya membawa pulang piala Juara Keseluruhan bagi kategori Lelaki.

Juara kategori Lelaki Keseluruhan, SMK Sacred Heart 


SMK Bawang Assan turut tidak mengecewakan apabila mendapat tempat ke-3 bagi kategori Lelaki Junior. Kecil-kecil cili padi. Peserta sekolah kami merupakan antara peserta yang paling kecil fizikalnya jika dibandingkan dengan peserta-peserta dari sekolah lain. Walau apa pun, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun rezeki untuk menjadi juara kategori tidak berpihak kepada kami. 

SMK Bawang Assan - tempat ketiga Lelaki Junior 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang telah menyertai Kejohanan Merentas Desa pada kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Adat bertanding, ada kalah dan ada menang. Adat menguruskan acara, ada kelemahan dan ada kesilapan. Apa yang penting, semangat kesukanan dapat terus kita pupuk demi melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan berdaya saing dalam segenap aspek.

Berakhir sudah kejohanan merentas desa,
SMK Bawang Assan melambai ceria,
Sukan membentuk semangat waja,
Rakyat sihat, negara sejahtera.

Warna – warni sepanjang kejohanan:




Peserta SMKBA warming-up  










Sekalung penghargaan & jutaan terima kasih kepada:

1. En. William Anut, wakil Pegawai PPD Sibu selaku perasmi kejohanan
2. En. Lau Siah Teck, Pengetua SMKBA selaku Penaung.
3. En. Patrick Gerijeh, PKKK SMKBA selaku Pengurus & Penyelaras Kejohanan
4. En. Chia Fuk Kien, Pengerusi Teknikal MSSD Sibu
5. Para jurulatih, pengurus-pengurus pasukan & guru-guru pengiring
6. Para peserta kejohanan
7. Para pengawas & semua pelajar SMKBA yang menjadi AJK Kejohanan

Dan terutamanya kepada seluruh warga SMK Bawang Assan, para guru dan staf, yang telah bertungkus lumus menzahirkan komitmen padu dari awal sehingga ke akhir demi menjayakan Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu tahun 2016. Tahniah dan terima kasih semua……!  
  
Muat turun teks MC DI SINI 

Sunday, 17 January 2016

Eksperimen Kadar Tindak Balas Menggunakan Panadol Soluble

Kadar tindak balas dipengaruhi oleh 5 faktor:

i) Saiz bahan tindak balas
ii) Kepekatan bahan tindak balas
iii) Suhu bahan tindak balas
iv) Kehadiran mangkin
v) Tekanan

Walaupun dalam sukatan pelajaran Kimia disenaraikan 5 faktor, namun yang dibincangkan secara terperinci hanya 4 faktor sahaja. Jadi, terdapat 4 eksperimen yang dijalankan bagi mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas. 

Saya menggabungkan 3 faktor untuk dibincangkan dalam satu sesi PdP (2 waktu). Faktor saiz dijadikan sebagai set induksi, di mana saya menggunakan panadol soluble yang dilarutkan dalam air.
Dua lagi faktor, iaitu faktor kepekatan bahan & suhu bahan tindak balas dijalankan eksperimen oleh pelajar-pelajar saya. Dua eksperimen ini boleh dijalankan serentak memandangkan kedua-duanya menggunakan bahan tindak balas yang sama.

Kronologi langkah yang saya jalankan:

(A) Set induksi

1. Sediakan dua buah bikar berisi air & dua biji panadol soluble
2. Minta pelajar patah-patahkan sebiji panadol soluble sehingga menjadi ketulan-ketulan kecil


3. Tanya pelajar apa perbezaan luas permukaan panadol soluble antara ketulan besar & ketulan kecil.
(ketulan kecil mempunyai luas permukaan yang lebih kecil bagi setiap ketulan, tetapi mempunyai Jumlah Luas Permukaan yang lebih besar berbanding sebiji ketulan besar panadol soluble)

4. Masukkan panadol soluble ke dalam 2 buah bikar berisi air. Perhatikan panadol soluble dalam bikar mana yang paling cepat larut dan berhenti bertindak balas.


5. Minta pelajar nyatakan pemerhatian.
(ketulan kecil panadol soluble lebih cepat larut & lebih cepat berhenti bertindak balas)

6. Pelajar membuat rumusan / kesimpulan:
Semakin kecil saiz bahan tindak balas, semakin besar jumlah luas permukaan bahan yang terdedah, semakin tinggi kadar tindak balas

7. Aplikasi dalam kehidupan seharian: memasak makanan yang bersaiz kecil lebih cepat berbanding makanan yang bersaiz besar. 


(B) Eksperimen berkumpulan

1. Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan. 2 kumpulan mengkaji faktor kepekatan bahan, manakala 2 kumpulan lagi mengkaji faktor suhu.
2. Guru menunjukkan demo eksperimen (menggunakan radas kosong) & menerangkan langkah berjaga-jaga semasa menjalankan eksperimen.
3. Pelajar menjalankan eksperimen (rujuk prosedur dalam Buku Teks Kimia Ting. 5 & hands-on)
4. Pelajar mencatatkan masa yang diambil untuk tanda 'X' tidak kelihatan 



(C) Melukis graf & pembentangan

1. Pelajar melukis graf kepekatan melawan 1/masa & suhu melawan 1/masa
2. Pelajar membentangkan data & graf kumpulan masing-masing sebagai perkongsian dengan kumpulan lain.
3. Semua graf yang dilukis menunjukkan graf garis lurus (berkadar langsung).


Langkah berjaga-jaga & peringatan kepada pelajar:

1. Terus mulakan jam randik sebaik sahaja asid dituangkan ke dalam kelalang kon berisi natrium tiosulfat kerana tindak balas terus berlaku.

2. Gunakan kelalang kon yang sama saiz kerana saiz yang berbeza mempengaruhi ketinggian mendakan yang terbentuk. Seterusnya, ia mempengaruhi masa yang diambil untuk tanda ‘X’ tidak kelihatan.

3. Pastikan mata berada pada aras meniskus cecair semasa mengukur isipadu natrium tiosulfat.


4. Gunakan penyepit / kain semasa memegang kelalang kon yang panas. Memegang radas yang panas boleh mendatangkan kemalangan.


5. Sebaik sahaja natrium tiosulfat mencapai suhu yang diingini, terus masukkan asid & mulakan jam randik.

6. Lihat tanda ‘X’ dari atas kelalang kon, bukan dari tepi.


7. Tutup kipas sepanjang eksperimen dijalankan bagi memastikan suhu sekeliling tidak mempengaruhi suhu bahan tindak balas.

8. Sebaik-baiknya eksperimen dijalankan dengan pantas kerana semakin lama masa diambil, kelalang kon yang digunakan menjadi semakin kabur disebabkan sisa sulfur yang melekat pada dinding kelalang kon. Menggunakan kelalang kon yang lain, tetapi sama saiz adalah lebih baik.


9. Jangan buang sisa bahan kimia ke dalam sinki. Buang sisa bahan kimia dalam bekas sisa bahan kimia yang disediakan oleh guru. 

10. JANGAN gunakan istilah tanda 'X' hilang, tetapi gunakan ayat "tanda 'X' hilang dari pandangan" ataupun "tanda 'X' tidak kelihatan"


**Rujukan lanjut: https://www.facebook.com/rajinder.pw/posts/10153915429201654

Wednesday, 6 January 2016

RPT Kimia & Sains 2016

Berikut merupakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi mata pelajaran Sains menengah rendah dan juga Sains Tulen (Kimia & Biologi) untuk tahun 2016. Semua RPT adalah dalam versi Bahasa Melayu.



Dalam RPT tersebut telah disertakan peta i-think yang berkaitan dan juga aktiviti-aktiviti tambahan yang berteraskan KBAT / HOTS.


Muat turun: 

RPT Sains Ting. 1 2016 

RPT Sains Ting. 2 2016  (kredit: cikgu Yii Hea Lang)

RPT Sains Ting. 3 2016  (kredit: cikgu Norhidayah)


RPT Sains Ting. 5 2016 ( kredit: cikgu Su Hiap Soon)


RPT Kimia Ting. 4 2016 

RPT Kimia Ting. 5 2016 

RPT Biologi Ting. 4 2016  (kredit: cikgu Yii Hea Lang)

RPT Biologi Ting. 5 2016 ( kredit: cikgu Su Hiap Soon)


Cover RPT 



Thursday, 17 December 2015

Menggapai Awan di Puncak KLCC

Salah satu bangunan ikonik di Malaysia sudah tentunya Menara Berkembar Petronas yang merupakan menara berkembar tertinggi di dunia. Dengan ketinggian 451.9 meter, ia pernah memegang gelaran bangunan tertinggi di dunia. Salah satu keunikannya terletak pada jambatan gantung (skybridge) yang terletak di tengah-tengah bangunan yang menghubungkan 2 menara.

sisi menara berkembar berbentuk huruf 'M' yang mewakili 'Malaysia'

Saya telah berpeluang untuk merasai pengalaman berada di skybridge Menara Berkembar Petronas dan ke tingkat tertinggi menara tersebut melalui pakej lawatan Petronas Twin Towers Visit. Memandangkan Menara Berkembar Petronas (MBP) menempatkan pejabat-pejabat, jadi tak bolehlah kita sesuka hati saja nak naik ke skybridge tu, kenalah ikut pakej yang disediakan. Bilangan pelawat pula dihadkan kepada 500 orang sahaja (jika tak silap) dalam satu hari yang dibahagikan kepada beberapa trip dari pagi sehingga tengah hari. 

Semasa lawatan, kita akan diiringi 1-2 orang tour guide yang akan memberikan penerangan sepanjang lawatan termasuklah sejarah pembinaan MBP, strukturnya, galeri pameran dan macam-macam lagi. Penerangan diberikan dalam dwibahasa.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, kami tiba di skybridge yang terletak di tingkat 41. Jambatan ni sebenarnya ada dua tingkat. Jambatan yang terletak di tingkat 42 hanya digunakan oleh para staf di situ sahaja. Kami diingatkan bahawa kami mungkin akan berasa sedikit pening jika ada angin kencang kerana jambatan tersebut akan “slide” sedikit. Tujuannya adalah bagi mengelakkan jambatan runtuh. Tapi, nasib baiklah masa tu angin tak kuat. Pheww…..

skybridge @ Petronas Twin Towers with length 58.4m. di hujungnya terdapat satu ruang untuk "sliding"

tidak ramai pelawat yang dibenarkan naik ke skybridge pada satu-satu masa

Kami diberikan masa lebih kurang 15 minit untuk berjalan-jalan dan menikmati pemandangan udara dari skybridge. 
pemandangan dari tingkat 41 menara petronas (170 meter dari bawah) 

Seterusnya, kami dibawa ke pelantar pemandangan (observation deck) di tingkat 86, iaitu tingkat tertinggi untuk dinaiki. (sebenarnya ada 2 tingkat lagi – tingkat 87 & 88 digunakan untuk pengurusan menara). Di sini, boleh lihat keseluruhan bandaraya Kuala Lumpur dari ketinggian 360 meter. Di sini juga terdapat galeri yang mempamerkan menara-menara pencakar langit di seluruh dunia, fakta-fakta berkaitan MBP, model-model menara dan pelbagai lagi informasi menarik. Masa ni bolehlah tengok puncak menara Petronas secara dekat puas-puas. Rasa macam boleh gapai dengan tangan, nak pegang je benda bulat kat atas tuu……..     

galeri di tingkat 86 

puncak menara sebelah 


Bagaimana menyertai Petronas Twin Towers Visit

Kaunter tiketnya terletak di tingkat bawah (ground level) MBP. Boleh juga ke sana melalui Suria KLCC, kemudian carilah papan tanda yang menunjukkan arah ke Concourse KLCC. Tak pun, tanya jelah mana-mana staf atau polis pengawal yang korang nampak. Senang citer.

Bagi yang merancang nak merasai pengalaman naik ke skybridge MBP, perlu diingatkan kena beratur awal-awal di kaunter tiket. Ini kerana mereka mengamalkan konsep “siapa cepat dia dapat” (first come first serve). Walaupun anda pegi kaunter jam 9.00 pagi sekalipun tapi jika ditakdirkan semua tiket sudah “sold out” maka jawabnya gigit jari ajelah. Terutamanya jika pelancong asing ramai pada hari tu. Tiada sebarang kuota istimewa diberikan walaupun anda warganegara Malaysia. Kita cuma akan diberikan diskaun harga tiket sahaja dengan syarat mengemukakan MyKad. Harga tiket lebih kurang dalam RM 20++ untuk seorang dewasa & RM12 untuk kanak-kanak. 

Saya sendiri perlu pergi dua kali baru dapat beli tiket. Mula-mula pergi tu tiket sudah sold-out, (sebab sebelum tu pegi petrosains dulu berjam-jam) maka terpaksalah datang balik keesokannya. Punyalah gigih, jam 8.30 pagi dah terpacak depan kaunter tiket. Haha……Masa beli tiket, kita boleh pilih kita nak trip pada pukul berapa. Satu trip ada lebih kurang 20-30 orang. Bersesak-sesak lah kejap dalam lif nya. Kalau diapit pelancong-pelancong asing yang tinggi melangit, nasib kaulah…..

Apa-apa pun, pengalaman ini sememangnya suatu pengalaman yang cukup berharga. Rasa bangga sekejap sebagai rakyat Malaysia. Walaupun harga tiket mungkin agak mahal, dengan masa lawatan yang tak sampai sejam, tetapi bagi saya ianya dikira berbaloi untuk pengalaman sekali seumur hidup. Lebih-lebih lagi sebagai cikgu, bila dapat first hand experience sebegini, dapat kongsikan dengan pelajar secara lebih terperinci tentang pembinaan & kestabilan sesebuah bangunan. Bolehlah cikgu ‘eksyen’ sket kann……. hehe….





p/s: thanx to my dear bff, Lynn yang menemani saya. ^_^ 

Saturday, 12 December 2015

BRUNEI: Negara yang Kaya Budi, Tinggi Pekerti

Saya melawat Brunei pada bulan April tahun lepas. Suatu perjalanan yang pada awalnya tidak dirancang. Keputusan dibuat pada saat-saat akhir untuk mengikut seorang rakan & keluarganya berjalan-jalan ke Brunei. Lagipun kami di Sarawak cuti 4 hari (Jumaat: Good Friday, Isnin: Easter Monday). Kami konvoi beberapa buah kereta. Saya berdua bersama Cikgu Zila. Memandangkan ini merupakan kali pertama kami berdua akan ke luar negara & keputusan pula dibuat pada saat akhir, maka sebaik tamat sahaja sesi persekolahan pada hari Khamis kami terus bergegas ke Jabatan Pendaftaran bagi tujuan membuat passport. Nasib baiklah sekarang ni passport boleh siap dalam masa 1 jam. Staf-stafnya pula semua mesra alam menyebabkan semua urusan dapat berjalan dengan lancar.

Selesai urusan membuat passport, kami bergegas pula ke tempat pertukaran mata wang asing. Perlu tukar duit siap-siap sebab sebaik sahaja masuk sempadan Brunei, terus akan ada plaza tol & perlu dibayar dengan menggunakan mata wang mereka. Hanya ada satu sahaja di Sibu. Itupun agak terpencil, sesat jugalah sekejap. Pada masa itu 1 dolar Brunei = RM 2.65 (sama mahal dengan dolar Singapura). Kami hanya mampu berhuhuhu sajalah…..

Perjalanan dimulakan pada petang Khamis tersebut, malamnya kami bermalam di Bintulu. Keesokan harinya kami bergerak pula ke Miri, pada pagi Sabtu baru kami memulakan perjalanan masuk ke Brunei. Masa perjalanan: Sibu-Bintulu (3 jam), Bintulu-Miri (3 jam), Miri-Brunei (3 jam). Sesiapa kalau nak pegi luar negara ikut jalan darat guna kenderaan sendiri, pastikan semua dokumen ada terutamanya passport (border pass tak main yer..), roadtax ok, geran kereta bawak, dan jangan lupa bawak pen. Senang, sebab ada borang-borang yang perlu diisi. Yang paling penting kalau nak masuk Brunei, sila pastikan kereta tidak ber-tinted ye… kalau tak sesia je kena koyak dengan pegawai imigresen.

antara landmark yang terdapat di Bandar Seri Begawan 

Sebaik sahaja merentasi sempadan, maka bermulalah pengembaraan kami di Brunei. Kekaguman saya terus bermula sebaik sahaja saya memasuki highway di negara Brunei. Antara pengalaman mengagumkan saya di negara yang kaya raya ni adalah:

Disiplin pemanduan yang sangat hebat

Orang-orang Brunei ni hampir semuanya bawak kereta macam kilat semasa di highway. Kami yang bawak 120 km/j ni pun rasa macam perlahan jika dibandingkan dengan mereka, agaknya mereka ni bawak 140 km/j ke atas. Maklumlah, kami ni guna Perodua je, orang-orang Brunei guna kereta import dari Barat atau Jepun/Korea. Tak nampak pun bayang orang Brunei bawak kereta import dari Malaysia.

Yang kagumnya, diorang ni walaupun bawak 200 km/j sekalipun tetapi tetap ikut peraturan jalan raya. Sepanjang masa dok di lorong kiri, mereka hanya akan bergerak ke lorong kanan apabila semasa hendak memotong sahaja. Habis memotong, masuk balik lorong kiri. Jadi, kalau kita bawak kereta di lorong kanan, mesti akan rasa malu sangat sebab kereta kita je dok kat lorong tu. Tambahan pula, setiap kali nak tukar lorong, mereka mesti akan bagi lampu signal. Agak-agaknya, kalau nak dibandingkan dengan cara orang Malaysia bawak kereta macam mana ya…..? *uhuk* *uhuk*

Keluar dari highway, kami masuk kawasan bandar, tapi belum sampai Bandar Seri Begawan lagi. Tiba-tiba sahaja kami terpaksa menempuh traffic jam. Pelik betul. Rupa-rupanya, traffic jam sebab budak-budak sekolah baru balik. Sesak dengan kereta ibu bapa yang ambil anak-anak. Baru kami tahu rupa-rupanya di Brunei, sekolah bercuti pada hari Jumaat dan Ahad, hari Sabtu mereka bersekolah. Laaa…….. kami ni sengaja datang hari Sabtu sebab ingatkan hari cuti di Brunei.

Tetapi jangan risau jika menempuh traffic jam di Brunei, sebab anda tidak akan dengar bunyi hon dan tiada kereta menyelit masuk sesuka hati. Ini menunjukkan orang Brunei sangat penyabar semasa memandu. Jika mereka mahu menyelit masuk, mereka akan bagi signal, kemudian angkat tangan dahulu kepada kereta belakang sebagai tanda minta izin & terima kasih. Masa tu jugak ada kemalangan jalan raya. Aduhaiii…….. lagilah sesak jadinya. Tapi yang anehnya trafik tetap berjalan agak lancar. Tidaklah terperangkap dalam jem selama berjam-jam macam di tempat kita.

Part yang paling best ialah masa nak melintas jalan. Bayangkan anda sedang ingin melintas di sebatang jalan raya yang agak lapang. Ada sebuah kereta sedang menuju ke arah anda. Sudah tentulah kita tunggu kereta tu jalan dulu, baru kita melintas kan. Tapi, tetiba kereta tu berhenti dan bagi anda melintas dulu walaupun di situ tiada tanda zebra crossing. Sanggup berhenti okayyy walaupun tengah bawak laju. Bukan sekali, tapi setiap kali nak lintas jalan macam tu. Terharu sangat, macam mau nanges. Huhu……..

Secara keseluruhannya, inilah pengalaman pemanduan yang paaaaling best dalam seumur hidup saya. Memang langsung tidak berasa stress memandu dalam kesesakan di Brunei disebabkan oleh disiplin & adab mereka di jalan raya. Mudah memberi laluan kepada orang lain & tidak mementingkan diri (eh…kereta) sendiri.


Kecil, tetapi agak sistematik

Negara Brunei ni kecik je, mungkin sebesar Perlis saja kot…. (ada ‘kot’ sebab saya belum sampai Perlis). Jadi, tempat parking nya agak terhad. Tapi mereka menggunakan sepenuhnya ruang yang ada di tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat parking. Tepi jalan pun boleh, tapi mesti pastikan ada petak parking. Kalau tak sesia je kena saman, kena bayar guna duit Brunei pulak tu, maunya tak nangis. Satu lagi disiplin orang Brunei mereka tak parking kereta merata-rata. Agak susah jugak kami cari parking hari tu, tapi nasib baik polis penjaga parking sangat membantu. *senyum*


Pengiktirafan bahasa melayu & tulisan jawi

Sama seperti Malaysia, Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara Brunei. Bezanya, mereka memang betul-betul mengiktiraf kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan di mana-mana sahaja. Papan-papan tanda di sana semuanya menggunakan Bahasa Melayu & turut ditulis dalam tulisan jawi. Papan-papan iklan yang mempromosikan BM juga banyak.


Sangat mementingkan kebersihan

Kami singgah solat jamak Zohor & Asar di Masjid Sultan Omar AliSaifuddin. Jika datang ke negara Brunei, tidak sah jika tidak singgah di masjid yang cukup terkenal dengan jolokan Masjid Kubah Emas ini. Jolokan itu diberikan sempena dengan kubahnya yang dilapisi dengan emas tulen. Sangat kaya kan negara Brunei ni. Kekaguman saya bukan hanya setakat kubah emas itu sahaja, tetapi juga pada jemaah yang tidak putus-putus mengunjungi masjid untuk mendirikan solat. Bukan hanya sekadar menjadi tempat persinggahan pelancong. Sangat jauh beza perasaannya dengan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Terengganu.


Keindahan dan kemewahan masjid ini terpancar dari luaran dan juga ruang dalaman masjid. Namun, pengunjung dilarang untuk mengambil foto di dalam masjid. Ruang mengambil wuduknya sangat selesa dan bersih. Begitu juga dengan kain telekung yang disediakan. Ruang solat wanita agak sempit sedikit, tetapi masih selesa dan sejuk dengan air-cond. Saya cukup kagum dengan kebersihan masjid yang cukup terjaga. Walau hanya ada setitik darah di lantai karpet masjid, terus pekerjanya datang membersihkan. (kebetulan masa itu ada seorang kanak-kanak luka kakinya, jadi darahnya menitik atas karpet masjid secara tidak sengaja).


Di bahagian belakang masjid, terdapat sebuah replika berbentuk kapal yang dibina di atas tasik dan dihubungkan dengan masjid oleh jambatan. Dikatakan bahawa replika ini dibina sebagai memperingati 1400 tahun Al-Quran diturunkan ke dunia (Nuzul al-Quran). 



Kampong Ayer – Perkampungan air terbesar di dunia!

Sedang berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan, kami didekati seseorang yang mempromosikan pakej lawatan ke Kampong Ayer. Tertarik dengan tawaran tersebut, kami menerimanya untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai Brunei dan melihat sendiri kehidupan masyarakat Brunei di atas air. Tambahan pula, saya ini memang suka naik bot laju (speed boat) walaupun tak pandai bawak sendiri. Hehe…….

menelusuri Sungai Brunei yang jernih bersama pemandangan sekeliling yang menyejukkan mata 

Kampong Ayer ni merupakan gabungan 42 buah kampung dan merupakan perkampungan atas air yang terbesar di dunia. Mendapat jolokan “Venice Timur” (Venice of the East). Sambil menikmati pemandangan yang menenangkan jiwa di sepanjang sungai, kami mendengar cerita pemandu bot tentang sejarah Kampong Ayer, budaya masyarakat di situ serta beberapa trademark negara Brunei yang dapat dilihat di seberang sungai. Termasuk juga sebuah legenda tentang anak derhaka yang disumpah menjadi batu oleh ibunya (seperti cerita Si Tanggang). Batu tersebut ada di sungai tersebut. Tak tahulah pula sejauh mana kebenarannya.

batu "Si Tanggang" 

Perkampungan air sama sahaja seperti mana-mana kampung di daratan. Kebanyakan rumah sudah moden, diperbuat daripada konkrit. Ada semua kemudahan asas (bekalan air & elektrik), sekolah, masjid, stesen minyak dsb. Cuma bezanya SEMUA itu terletak di atas air. Jadi, hampir semua rumah memang mempunyai bot sendiri sebagai pengangkutan utama. Budak 8 tahun pun dah pandai bawak bot. Best kan…. Tapi yang paling best dan paling membuatkan saya kagum adalah, persekitaran Kampong Ayer adalah sangat sangat sangat bersih. Tiada satu pun sampah yang saya lihat dibuang ke dalam sungai di bawah rumah. Sungai Brunei juga sangat jernih. 

deretan rumah di Kampong Ayer  

persekitaran rumah yang bersih & cantik. 

masjid terapung di Kampong Ayer  

galeri ala muzium, salah satu tempat yang disinggah, tetapi dilarang mengambil foto di dalamnya 

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang Kampong Ayer ni, boleh baca DISINI.   


Selain pengalaman-pengalaman yang mengagumkan, terdapat juga beberapa pengalaman lucu yang tidak dapat dilupakan:


Sesat

Satu kekurangan di Brunei ialah papan tanda yang sangat kurang. Jadi, kalau tidak biasa dengan jalan-jalan di Brunei memang akan mudah sesat. Kami sesat berjam-jam jugalah semasa nak mencari pusat cenderamata. Brunei tak macam Malaysia yang ada banyak kedai cenderamata. Akhirnya, berjaya juga jumpa setelah banyak kali berhenti & bertanya kepada orang ramai, tapi dah lupa nama tempatnya. Walau apa pun, tak boleh shopping sakan sebab tak banyak duit Brunei yang dibawa. Jimat punya pasal……. Jika masuk shopping complex lagilah tak boleh shopping. Mahal weiii barang-barang Brunei…. Shopping complex pun mewah kemain.


Peristiwa lucu di bulatan (roundabout)

Pernah satu ketika saya tiba di satu simpang empat, berhenti untuk ke simpang sebelah kanan. Dalam hati pelik juga kenapa tiada lampu isyarat. Lagi pelik bila tengok kereta tidak dipandu lurus, tetapi agak bengkok. Beberapa lama kemudian baru saya faham rupa-rupanya itu bukan simpang empat, tapi roundabout. Ada seketul batu sederhana besar yang diletakkan di tengah-tengah sebagai tanda. Alahaiii……….saya hanya mampu gelak jelah dengan member sebelah. Nasib baik tiada kereta belakang yang hon pada saya. Mungkin mereka faham apabila melihat plat kereta Q dari Sarawak. Maklumlah Brunei ni negara tak besar, jadi dia punya bulatan pun kecik je, berbanding dengan Sarawak yang punya roundabout besar dinosaur. Keh….keh….keh…..

***************************************************************

Sesungguhnya pengalaman seketika di negara Brunei meninggalkan pengalaman yang cukup berharga bagi saya. Selama ini, saya cukup mengagumi negara Jepun yang cukup terkenal dengan teknologi-teknologi moden yang hebat, di samping tahap disiplin dan kebersihan yang cukup tinggi. Rupa-rupanya kita punya jiran terdekat yang juga hebat disiplin dan kebersihannya. Ditambah pula dengan keramahan & adab sopan orang-orang Brunei. Rasa macam nak pergi lagi sekali. Hari tu tak puas sebab banyak tempat yang tak sempat dikunjungi dek hambatan masa.

Ketenangan yang dirasai sepanjang berada di Brunei juga mungkin hasil kredibiliti pemerintahan Sultannya yang berjaya mentarbiyah rakyat yang berada di bawah kepimpinannya. Ditambah pula dengan hukum hudud yang mula dilaksanakan sebagai asas perundangan negara. Sememangnya Brunei merupakan sebuah negara yang wajar dikagumi & dicontohi!



p/s: lepas ni kalau nak pergi, rasanya better ambik pemandu pelancong, pergi sana naik ‘belon’. Tak perlu lagi letih memandu dari Sibu, tak payah dah sesat barat di jalan raya, dan tak perlu lagi terpinga-pinga di bulatan yang ‘comel’. Hehehe……. 

Thursday, 10 December 2015

35 Transformasi SMKBA dalam masa 2 Bulan

Sejak kehadiran Pengetua Lau, beberapa perubahan, aktiviti dan program dilaksanakan secara aktif selaras dengan visi Pengetua untuk mentransformasi SMKBA ke arah sebuah sekolah luar bandar yang cemerlang. Transformasi yang dijalankan meliputi segenap aspek dari segi akademik, disiplin dan prasarana sekolah.


Antara program-program akademik yang telah dilaksanakan dalam masa 2 bulan ini ialah:

1. Pecutan akhir PT3 dan SPM – melibatkan kelas petang dan kelas malam


2. Prep pada waktu malam untuk pelajar-pelajar asrama
3. Kelas ekspres pagi untuk m/p kritikal Matematik & Bahasa Inggeris
Dijalankan dari jam 6.30 – 6.50 pagi
4. Kuiz Matematik & Bahasa Inggeris (diselang seli antara Isnin – Jumaat)
5. Hari Matematik (dirancang tidak sampai seminggu)



Antara prasarana baharu, penambahbaikan & penaiktarafan yang telah dilaksanakan setakat ini:

1. LCD baharu di kedua-dua Makmal Sains


2. Penaiktarafan meja guru di Makmal Sains
3. Meja makmal sains dicat baharu


4. Pembaikian & penambahbaikan tandas pelajar



5. Bangunan asrama dicat baharu


6. Koperasi sekolah yang baharu


7. Bilik kelas 5 Sains & 4 Sains
8. Penaiktarafan perpustakaan & Pusat Sumber Sekolah
(photo credited to cikgu dara william) 

9. Pembesaran tempat meletakkan motosikal pelajar


10. Pembesaran laluan ke gelanggang bola tampar (sebagai tempat parking kereta tambahan)
11. Pembaikan pintu rumah flat guru  
12. Pemasangan lampu-lampu di sepanjang koridor di blok pentadbiran, blok akademik, makmal & bengkel.


13. Penyediaan bilik peperiksaan SPM yang lebih baik & selesa: kerusi plastik baharu, linoleum meja baharu & seragam, langsir baharu


14. Linoleum & kain papan notis yang baharu dan SERAGAM untuk SEMUA bilik darjah 


15. Penstrukturan semula bilik guru – kedudukan & tempat untuk semua guru (mengikut panitia)
16. Meja guru baharu (lepas ni tak boleh lagi ada barang atas meja guru yang melepasi paras kepala semasa duduk)


17. Penyediaan papan notis di blok akademik bagi tujuan program Kuiz Matematik & Bahasa Inggeris (diadakan secara mingguan) 


18. Penaiktarafan papan notis bidang / panitia


19. Makmal komputer dicat baharu


20. Sinki pelajar di bangunan akademik (pelajar tidak perlu kerap ke tandas semasa pdp)


21. Penaiktarafan Bilik Gerakan Warden
22. Penambahbaikan Dewan Sri Bawang - dicat semula & dipasang LCD baharu


Manakala antara penambahbaikan dan penaiktarafan yang dirancang dan akan diteruskan semasa cuti sekolah hujung tahun ini / awal tahun hadapan:
1. Proses mengecat kelas (semua seragam warna putih)



2. Pemasangan lampu spotlight 


3. Pembinaan tempat menunggu pelajar

(Pengetua sendiri turun padang) 

4. Penaiktarafan surau
5. Proses mengecat bangunan asrama perempuan


Perubahan-perubahan lain yang telah dijalankan:
1. Perhimpunan hanya diadakan pada hari Isnin sahaja (berbanding sebelum ini diadakan pada setiap pagi). Hari Selasa-Jumaat, pelajar-pelajar menyanyikan lagu & bacaan doa di dalam kelas sahaja dengan kehadiran guru tingkatan (pada waktu pagi) atau guru m/p (sebelum pulang)
2. Penubuhan AJK Siaraya – bertugas pada waktu pagi, semasa rehat & sebelum pulang
3. Penubuhan Skuad Pembaikan Sekolah  


p/s: tahun 2016 pastinya bakal menyaksikan proses transformasi yang lebih giat. excited plus nervous!