Monday, 30 May 2016

Bengkel PdP Abad ke-21

Sekarang ini, semakin ramai yang memperkatakan tentang PdP abad ke-21. Tidak mahu ketinggalan dalam arus perkembangan pendidikan semasa, kami di SMK Bawang Assan Sibu baru-baru ini telah menganjurkan satu kursus LDP yang berkaitan dengan PdP pada abad ke-21.


Kursus LDP tersebut dijalankan secara bengkel di mana semua peserta (guru-guru) terlibat secara langsung dan aktif dalam mengaplikasikan setiap teknik PdP abad ke-21 yang dipelajari. Bengkel ini telah diadakan pada 25 Mei 2016 dan dikendalikan oleh pegawai SiSC+ yang tidak asing lagi di Sibu, iaitu Cik Hasiah bt Pukim (Cikgu Hasiah). Perancangan bagi mengadakan LDP ini telah dimulakan seawal bulan April. Alhamdulillah, di sebalik kesibukan Cikgu Hasiah sebagai seorang pegawai SiSC+ di PPD Sibu, beliau dapat mencuri sedikit masa untuk bersama-sama kami dalam slot LDP selama 3 jam.


Bengkel dimulakan dengan sesi "Housekeeping", di mana para peserta dikehendaki menulis di atas sekeping kertas mengenai apa yang telah diketahui tentang PdP abad ke-21 dan apa yang ingin dipelajari. Seterusnya, kertas-kertas tersebut dilekatkan pada papan putih.


Sesi LDP diteruskan dengan taklimat pengenalan terhadap PdP abad ke-21, di mana ia berteraskan konsep 4C, iaitu Creativity, Critical thinking, Collaboration dan Communication. Sepanjang sesi ceramah, para peserta telah dibekalkan dengan kad "Traffic Light" bagi menunjukkan respons terhadap apa yang disampaikan oleh penceramah.

Para peserta khusyuk mendengar taklimat 

Slot berikutnya, kami memulakan sesi bengkel di mana kami mengaplikasikan teknik-teknik PdP abad ke-21 secara berkumpulan. Walaupun ruangan Pusat Sumber agak terhad, namun semua guru telah memberikan kerjasama padu dan saling bersaing untuk memberikan hasil yang terbaik bagi kumpulan masing-masing.

Antara aktiviti-aktiviti PDP abad ke-21 yang telah kami pelajari adalah:

1. All Write Round Robin
2. Working in Groups
3. Numbered Heads Together
4. Give One, Get One
5. Carousel Brainstorm (kaedah KFC)
6. Jigsaw
7. Think-Pair-Share
8. Gallery Walk
9. Mix-Pair-Share
10. 2 Stay, 2 Stray
11. Carousel Feedback

Antara aktiviti yang sempat kami jalankan pula adalah:



 teknik KFC (Kesan, Faktor, Cara mengatasi)
-melibatkan 3 kumpulan 
-setiap kumpulan letak 3 keping kertas berlabel K, F dan C 
-setiap kumpulan diberi tugasan untuk menuliskan isi bagi satu bahagian 
-ahli kumpulan bergerak ke kumpulan lain dan menuliskan bahagian mereka untuk kump. terebut 

 kaedah "Give One, Get One" 
-setiap individu tulis satu isi untuk sesuatu topik / tajuk, kemudian kongsi dengan rakan-rakan lain. 

 semua peserta aktif bekerjasama dan bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan 



teknik "Quiet Signal" 
-digunakan apabila kelas menjadi bising / tidak terkawal 
-guru membuat isyarat dengan mengangkat tangan tanpa bersuara 
-pelajar yang melihatnya perlu mengangkat tangan juga dan senyap 
-sedikit demi sedikit semua pelajar akan mula senyap


Sebelum bengkel tamat, semua peserta dikehendaki untuk membuat refleksi terhadap apa yang telah dipelajari sepanjang bengkel dijalankan. Helaian refleksi kemudiannya dilekatkan pada pokok di papan putih.




Ternyata, sesi bengkel PdP abad ke-21 ini telah memberikan banyak input yang berguna untuk guru-guru aplikasikan dalam bilik darjah. Penyampaian dan pengendalian bengkel oleh Cikgu Hasiah sangat menarik dan mudah difahami. Maklumlah, orang yang telah banyak pengalaman. Guru-guru juga ternyata sangat gembira dan bersuka ria serta melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan.


Jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat Cikgu Hasiah yang sudi hadir meluangkan masa dan berkongsi teknik-teknik hebat untuk PdP abad ke-21. Walaupun terdapat sedikit miscommunication pada awalnya, ternyata persediaan rapi oleh Cikgu Hasiah menjadikan kursus LDP ini berjalan dengan begitu lancar dan jayanya. Semoga kita dapat berkolaborasi lagi pada masa akan datang.



p/s: rasa agak rugi juga saya tidak dapat mengikuti bengkel secara sepenuhnya memandangkan sibuk melatih pelajar untuk persembahan hari guru. terpaksa berulang-alik antara 2 tempat. nnasib baik, segala bahan ada dibekalkan, bolehlah saya membuat rujukan.


Saturday, 28 May 2016

Inovasi Kimia Ting. 4: Lingkaran JBU

Pengenalan

Jadual Berkala Unsur merupakan tajuk Bab 4 dalam mata pelajaran Kimia Tingkatan 4. Antara sub-tajuk yang penting dalam bab ini adalah perubahan saiz, kereaktifan dan keelektronegatifan unsur apabila menuruni kumpulan dan merentasi kala dalam Jadual Berkala Unsur. Hasil tinjauan dan soal selidik mendapati pelajar-pelajar sering keliru dengan perubahan saiz dan kereaktifan bagi unsur-unsur Kumpulan 1 dan Kumpulan 17. Para pelajar juga sukar mengingati perubahan saiz dan keelektronegatifan apabila merentasi kala. Melalui projek inovasi ini pelajar didedahkan dengan cara mudah bagi mengingati perubahan sifat fizik (saiz) dan sifat kimia (kereaktifan & keelektronegatifan) unsur dalam Jadual Berkala Unsur dengan menggunakan kaedah “Lingkaran”.



Latar Belakang 

Antara perubahan sifat unsur yang dibincangkan adalah:

1. Saiz atom bertambah apabila menuruni kumpulan
2. Saiz atom berkurang apabila merentasi kala dari kiri ke kanan
3. Keelektronegatifan unsur bertambah apabila merentasi kala dari kiri ke kanan
4. Kereaktifan unsur Kumpulan 1 bertambah apabila menuruni kumpulan
5. Kereaktifan unsur Kumpulan 17 berkurang apabila menuruni kumpulan

Jadi, ramai pelajar komplen kejap-kejap bertambah, kejap-kejap berkurang. Maka, mereka pun keliru dan asyik tertukar saja.

Oleh itu, saya minta mereka untuk ingat yang bertambah sahaja. Misalnya, perubahan saiz atom bertambah apabila menuruni kumpulan & bertambah apabila merentasi kala dari kanan ke kiri.


Objektif:

i) Memudahkan pelajar memahami & mengingati perubahan sifat fizik & sifat kimia unsur apabila menuruni kumpulan dan merentasi kala dalam Jadual Berkala Unsur.

ii) Meningkatkan kemahiran pelajar menjawab soalan berkaitan perubahan sifat fizik dan sifat kimia unsur.


Huraian Inovasi

1. Letakkan jari telunjuk di anak panah pertama di bahagian atas bermula di sebelah kanan.

2. Gerakkan jari mengikut anak panah mengikut arah lawan jam.

3. Label:
i) Anak panah 1: pertambahan saiz (merentasi kala)
ii) Anak panah 2: pertambahan saiz (menuruni kumpulan) & pertambahan kereaktifan bagi unsur Kumpulan 1
iii) Anak panah 3: pertambahan keelektronegatifan (merentasi kala).
iv) Anak panah 4: pertambahan kereaktifan bagi unsur Kumpulan 17.

*Huraian secara lebih terperinci tentang kaedah "Lingkaran JBU" ini boleh dirujuk dalam laporan inovasi melalui link di bawah.


Muat turun:






Monday, 16 May 2016

Pengurusan Fail PBPPP 2016

Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) mula dilaksanakan pada tahun 2015 sebagai tahun percubaan. Pada tahun ini, ia dilaksanakan secara sepenuhnya bagi menggantikan penilaian yang menggunakan borang LNPT serta SKT (sasaran kerja tahunan).


Apabila PBPPP dilaksanakan sepenuhnya, maka Fail PBPPP menjadi satu dokumen yang sangat penting bagi penilaian PPP. Sebenarnya fail PBPPP TIDAK WAJIB untuk disediakan kerana kita telah sediakan fail PPB @ CPD pada tahun lepas. Namun, di peringkat sekolah saya, fail PBPPP ini dijadikan sebagai dokumentasi segala bahan yang berkaitan hanya demi tujuan melancarkan proses penilaian oleh Pegawai Penilai melalui kaedah Semakan Bahan. Tujuan utama penyediaan fail ini adalah bagi menyusun segala bahan sokongan guru secara lebih SISTEMATIK.

Berikut merupakan contoh susun atur Fail PBPPP mengikut instrumen penilaian berdasarkan Garis Panduan PBPPP 2016.


BAHAGIAN I: VITAE KURIKULUM 




BAHAGIAN II: INSTRUMEN GENERIK 

DIMENSI 1: PROFESIONALISME 

Elemen 1: Nilai Profesionalisme 
Elemen 2: Sahsiah 
Elemen 3: Potensi 
Elemen 4: Keilmuan & Pengetahuan 
Elemen 5: Kesediaan & Kewibawaan 




** Kertas berwarna biru itu merupakan Senarai Semak bahan / dokumen yang diletakkan pada setiap bahagian / elemen. 
** Selepas divider Elemen, saya letakkan Senarai Semak kemudian baru diikuti dengan bahan / dokumen berkaitan. 


DIMENSI 2: PENGLIBATAN 

Elemen 1: Hubungan Luar
Elemen 2: Sumbangan



BAHAGIAN III: INSTRUMEN FUNGSIONAL 

DIMENSI 3: KEMAHIRAN 

Elemen 1: Perancangan
Elemen 2: Pelaksanaan
Elemen 3: Pentaksiran



BAHAGIAN IV: INSTRUMEN KEBERHASILAN

- menggunakan Borang Keberhasilan -


Gambaran keseluruhan susun atur file divider: 



Contoh bahan / dokumen yang boleh dimasukkan di setiap bahagian / elemen, boleh rujuk di Senarai Semak. Ini akan memudahkan guru-guru menyediakan evidens serta memudahkan Pegawai Penilai untuk menilai. Jika bahan / dokumen tersebut ada disediakan, hanya perlu 'tick' dalam 'checkbox'.

Contoh Senarai Semak:

Huraian secara lebih terperinci tentang bahan / dokumen dalam senarai semak (contoh dokumen dsb.) boleh dirujuk dalam Huraian Senarai Semak Instrumen PBPPP. 

Contoh:



MUAT TURUN: 

1. Garis Panduan Instrumen PBPPP (daripada KPM) 

2. Huraian Senarai Semak Instrumen PBPPP (power point) 

3. File Divider (word doc) 
    File Divider (pdf) 

4. Senarai Semak (word doc) 
    Senarai Semak (pdf) 


Catatan: 

1. Sebarang perubahan / tambahan dalam Fail PBPPP bergantung pada sekolah masing-masing. Ini hanya sekadar contoh.

2. Senarai bahan / dokumen boleh ditambah & diubahsuai mengikut keperluan dan kesesuaian sekolah masing-masing.

3. Mohon letakkan credit hanya jika mahu re-publish without editing di mana-mana media elektronik yang lain.


# Semoga bermanfaat 



Tuesday, 10 May 2016

Kem Kepimpinan Pelajar di IPG Rajang

Baru-baru ini saya mengiringi pelajar ke IPGM kampus Rajang, Bintangor untuk satu program Kem Kepimpinan Pelajar 2016. Kem ini melibatkan lebih kurang 70 orang pelajar asrama termasuk badan pengawas. Pada peringkat awalnya, kem ini dirancang intuk diadakan pada 6-8 Mei, namun memandangkan pada waktu tersebut PRN berlangsung, maka kami awalkan ke 29 April - 1 Mei. Mujur juga pihak IPG bersetuju untuk mengorbankan waktu cuti Hari Pekerja pada 1 Mei. Tak apa, 2 Mei boleh rehat. hehe..... 


Ini merupakan kolaborasi kali pertama kami bersama IPG Rajang. Alhamdulillah, mereka memberikan kerjasama yang sangat baik sebelum dan semasa program. Program ini dikendalikan oleh Kaunselor IPGMKR, En. Hadeli dengan dibantu beberapa orang pelajar selaku fasilitator. 


Hari #1

Para pelajar mula bertolak ke IPG Rajang pada pagi hari Jumaat, 29 April.  


Sesampai di sana, usai sesi pendaftaran, mereka memulakan slot yang pertama, iaitu "Ice-Breaking"

Pada sebelah malamnya pula, mereka mengikuti slot "Jiwa Pemimpin" serta BBQ. 


~ tempat penginapan pelajar ~ 

Hari #2

Hari mereka bermula seawal jam 4.30 pagi, di mana ada peserta yang sudah bangun untuk memasak air. Semangat sungguh..! 

Setelah bersarapan, kami memulakan persediaan untuk aktiviti "Kembara", yang merupakan aktiviti 'Jungle Trekking' sambil menutup mata. Kumpulan 1 mula memasuki kawasan rimba pada jam 9.00 pagi. 




Tiba sahaja di checkpoint yang pertama, setiap kumpulan mula memasang unggun api untuk aktiviti "Masakan Rimba"


~ kumpulan paling kreatif : masak telur dalam nasi ~ 


Selesai memasak dan mengisi perut, kami meneruskan perjalanan yang lebih berliku-liku dan mencabar di mana setiap peserta perlu melalui sebatang sungai. (cikgu-cikgu pulak menyeberang sungai 'ikut atas'. hehe.....) 

Di sepanjang perjalanan, mereka perlu mencari dan mengumpul sesuatu yang berwarna yang telah ditetapkan. Mereka juga perlu menyediakan pengusung & mengusung ahli kumpulan yang 'sakit'. 

Aktiviti Kembara ini tamat lebih kurang pada jam 12.00 tengah hari. Setiap kumpulan kembali ke tempat penginapan masing-masing dan menyediakan masakan tengah hari. 

~ menu wajib: ikan pansuh (ikan dimasak dalam buluh) ~ 

Pada jam 2.30 petang, mereka memulakan aktiviti "Stesen" di mana setiap kumpulan perlu melakukan beberapa aktiviti yang diarahkan di setiap stesen. Antaranya, membacakan ikrar Rukun Negara, menyanyi, berlakon dan sebagainya. 

Sambil-sambil seronok memerhatikan aksi para peserta, geng-geng guru pengiring pulak seronok bermain kayak di tasik. Siap berlumba, lepas tu siap terbalik lagi. Nasib baiklah air tasik tak dalam. haha..... 

Pada jam 5.00 petang pula slot "Riadah". Juga dibahagikan kepada beberapa checkpoint yang mempunyai pelbagai aktiviti menarik. Antaranya ialah: 

~ 'Spider Web' : strategi memindahkan semua ahli kumpulan tanpa merosakkan sarang labah-labah ~ 

~ apa yang penting...? KERJASAMA !! ~ 

~ dah macam training askar ~ 

~ enjoy the moment ~ 

~ spa special punya... free of charge. hanya di Rajang ~ 

~ senyum... tak perlu kata apa-apa ~ 

~ siap kuak lentang ~ 

~ "Akulah Raja Rimba...hohoho....!!" ~ 

~ family zombie kampung rambutan ~ 

~ drama zaman purba... "Suatu ketika dahulu..." ~ 

~ Rendaman kasih sayang ~ 

Pada sebelah malamnya, kami mengadakan "Malam Unggun Api", di mana unggun api utama dirasmikan @ dinyalakan oleh Tuan Pengetua sendiri, iaitu Mr Lau yang sudi hadir meluangkan masa. 


Seterusnya, para peserta ditinggalkan di beberapa tempat bagi slot "Burung Hantu" yang bertujuan menguji tahap keberanian pelajar. Ada juga yang menangis dan pengsan. huhu.... Pada masa yang sama, pihak urusetia dan guru-guru sibuk membakar ayam untuk BBQ. 


Hari #3

Hari terakhir dimulakan dengan slot "Aku Lepaskan", kemudian diikuti dengan "Refleksi Diri"


~ Slot terajhir bersama kaunselor, En. Hadeli ~ 


Lebih kurang pada jam 10.30 pagi, majlis penutupan dimulakan beserta dengan penyampaian hadiah dan cenderamata. 


Didapati bahawa para pelajar yang mengikuti Kem Kepimpinan ini begitu seronok dengan segala aktiviti yang dijalankan walaupun penat menguasai diri. Diharapkan semoga program ini mampu menyemai sikap positif dan jiwa pemimpin dalam diri setiap pelajar dalam jangka masa panjang. 

Sekalung penghargaan & jutaan terima kasih buat: 
1. Penaung program, Mr. Lau Siah Teck (Pengetua SMKBA)
2. Penyelaras program SMKBA, Cikgu Madya 
3. Kaunselor IPGMKR, Encik Hadeli
4. Barisan fasilitator dari IPGMKR 
5. Ketua Warden SMKBA, Cikgu Willy 
6. Kaunselor SMKBA, Cikgu Andrew 
7. Guru-guru pengiring SMKBA 
dan semua pihak dari IPGMKR & SMKBA yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Kem Kepimpinan Pelajar 2016.


p/s: mengimbau memori semasa zaman belajar. merindui kenangan kem kepimpinan di langkawi 12 tahun yang lalu.