Baru-baru ini kita mendapat berita tentang penangguhan Peperiksaan
Amali Sains Berpusat SPM yang bakal dimulakan pada tahun 2016. Faktor penangguhan
tersebut adalah disebabkan kebanyakan makmal sekolah belum mempunyai kemudahan
yang mencukupi, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam bencana
banjir hujung tahun lepas.
Sudah tentu berita ini mendapat respon yang pelbagai daripada guru-guru
di seluruh negara. Mungkin ada pihak yang setuju dan mungkin ada juga yang
tidak bersetuju. Secara peribadi saya merasakan ia merupakan sesuatu yang wajar
dilakukan. Sukar untuk kita jalankan peperiksaan amali sains secara berpusat
jika kebanyakan sekolah masih kritikal dengan kelengkapan bahan dan radas di
makmal sains.
Bagi sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah yang baru dibina, sekolah-sekolah
yang mempunyai penghuni yang ramai, sudah tentu mereka mempunyai prasarana
makmal yang lengkap serta peruntukan yang mencukupi. Ini berbeza dengan
sekolah-sekolah kecil di luar bandar yang terpaksa mencatu peruntukan yang
sedikit demi menyediakan keperluan di makmal sains.
Siapa yang dapat menafikan kepentingan pelaksanaan kerja amali dalam
PdP mata pelajaran Sains, sama ada Sains Teras (men. rendah & men. atas)
mahupun Sains Tulen. Semua guru, jika boleh, mahu melaksanakan kerja amali.
Jika diberikan pilihan, semua eksperimen dalam buku teks mahu dijalankan. Akan
tetapi, disebabkan faktor-faktor tertentu perancangan itu terpaksa dilupakan.
Sebagai guru, kita memikirkan pelbagai alternatif lain demi memastikan semua
objektif pembelajaran tercapai. Ada eksperimen yang didemonstrasi oleh guru
sahaja. Ada juga eksperimen yang ditayangkan video yang dimuat turun dari
internet. Semuanya disebabkan bahan dan radas yang terhad, perlu digunakan
dengan jimat cermat untuk eksperimen-eksperimen yang betul-betul penting
sahaja.
Jika peperiksaan amali sains berpusat diadakan, terlalu banyak
keperluan yang harus disediakan supaya mencukupi untuk setiap pelajar. Sudah
tentulah ini menjadi bebanan kepada pihak sekolah, terutamanya dari segi kos.
Pertama kali melihat senarai bahan dan radas yang perlu disediakan semasa
mengikuti Kursus Amali Sains untuk guru-guru, saya juga rasa seperti mahu
pitam. Kos untuk bahan dan radas makmal adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila
dibeli melalui peruntukan PCG. Bukan sahaja radas dan bahan yang perlu
disediakan oleh pihak sekolah, malah banyak lagi persediaan lain yang harus dilakukan.
Perkara-perkara lain yang turut diambil kira & dipantau pernah saya
kongsikan melalui artikel saya sebelum ini: Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?
Pada peringkat awal, peperiksaan amali sains berpusat ini dirancang
untuk dimulakan pada tahun ini. Guru-guru disarankan untuk melatih pelajar bagi
menghadapi peperiksaan ini. Kemudian perancangan tersebut ditangguhkan ke tahun
hadapan. Maka, calon SPM pada tahun ini dilatih semula untuk menjawab soalan
Kertas 3 bertulis. Perkara yang sama terjadi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4
pada tahun ini. Perubahan ini sekali lagi menyebabkan guru-guru perlu mengubah
semula rancangan pengajaran bagi Kertas 3. Bukanlah guru mahu merungut. Sebagai
guru, kita telah dilatih untuk sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan
dalam bidang pendidikan. Namun, kesediaan pelajar tidak boleh disamakan dengan
kesediaan guru.
Perubahan ke arah peningkatan merupakan sesuatu yang bagus. Akan tetapi,
format peperiksaan yang kerap berubah menampakkan perancangan yang tidak cukup
teliti daripada pihak kementerian. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum
mengambil kira keadaan makmal di semua sekolah akhirnya menyebabkan keputusan
tersebut ditarik semula buat sementara waktu. Saya merasakan, pemantauan oleh
panel penilai sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu keputusan diambil dan bukan
sebaliknya. Amatlah diharapkan selepas ini bantuan sewajarnya dihulurkan oleh
pihak berwajib kepada sekolah-sekolah yang serba kekurangan agar semua pelajar
mendapat peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman menjalankan kerja
amali semaksimum mungkin. Sesungguhnya proses belajar itu jauh lebih penting
dan bermakna berbanding amali peperiksaan.
No comments:
Post a Comment