Sesi
persekolahan bagi tahun 2017 telah bermula 2 minggu yang lalu. Bagi memastikan
keselesaan para pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran di SMK Bawang Assan
berada pada tahap optimum, maka kebersihan dan keceriaan kawasan persekitaran
sekolah perlu dititikberatkan. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, satu
Program Gotong Royong Perdana telah dijalankan di SMK Bawang Assan pada 14
Januari 2017 baru-baru ini.
Sepertimana program gotong royong yang diadakan sebelum
ini, program gotong royong perdana pada kali ini juga turut melibatkan usaha
padu oleh seluruh warga sekolah yang terdiri daripada para guru, staf-staf
sokongan serta para pelajar. Tidak terkecuali para ibu bapa serta masyarakat setempat
yang turut sama membantu mengerah keringat demi kemajuan sekolah.
Antara
objektif Program Gotong Royong Perdana ini adalah:
(i) Meningkatkan
kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah.
(ii) Memupuk semangat
kekitaan dalam kalangan warga sekolah.
(iii) Menyemai nilai-nilai
murni dalam kalangan pelajar sekolah.
(iv) Meningkatkan kerjasama
& mengeratkan silaturahim antara warga sekolah serta masyarakat setempat
Program
Gotong Royong Perdana pada kali ini dimulakan dengan satu sesi perhimpunan khas
yang diadakan di Dewan Sri Bawang yang dihadiri oleh semua guru, ibu bapa dan
pelajar SMK Bawang Assan. Acara dimulakan seawal jam 8.15 pagi didahului dengan
ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua, En. Lau Siah Teck usai nyanyian lagu
Negaraku.
Antara
intipati ucapan yang disampaikan oleh Tuan Pengetua adalah, beliau menzahirkan
rasa terima kasih atas kehadiran para ibu bapa dan mengharapkan agar para ibu
bapa serta masyarakat setempat akan terus memberikan sokongan padu terhadap
setiap program yang dijalankan di sekolah baik dalam bidang akademik mahupun
bukan akademik. Program gotong royong perdana bil. 1/2017 seterusnya dirasmikan
oleh Yang DiPertua PIBG SMK Bawang Assan, En. Dornie ak Engkamat.
Acara diteruskan pula dengan upacara pemberian Bantuan
Khas Persekolahan bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1 tahun 2016. Bantuan khas ini
merupakan hasil inisiatif pihak Yayasan Sarawak yang telah memberi sumbangan
sebanyak RM 3,000.00 kepada 30 orang pelajar yang kurang berkemampuan.
Peruntukan yang diterima lewat hujung tahun 2016 seterusnya disampaikan kepada
30 orang pelajar Tingkatan 2 tahun 2017. Hasil sumbangan tersebut, pihak
sekolah menyampaikannya kepada para pelajar secara berupa beg, kasut sekolah
dan baju uniform sekolah.
Sumbangan disampaikan
oleh YDP PIBG dengan diiringi Tuan Pengetua serta PK HEM, En. Jarit Jugah.
Sebelum acara gotong royong dimulakan, Cikgu Madya
memberikan taklimat ringkas kepada para hadirin berkenaan pembahagian tugas
serta kawasan yang terlibat dalam aktiviti gotong royong pada kali ini.
Aktiviti gotong royong terus dimulakan sebaik sahaja majlis perasmian tamat
pada jam 9.00 pagi.
Fokus utama bagi program gotong royong perdana pada kali
ini adalah keceriaan kelas di bawah bimbingan guru kelas masing-masing. Setiap
kelas dikehendaki untuk memastikan segala kemudahan yang berada dalam kelas
termasuk kerusi dan meja pelajar berada pada keadaan terbaik. Setiap kelas juga
perlu mengemaskini papan notis kelas masing-masing dengan maklumat-maklumat
yang diperlukan.
Selain daripada itu, antara projek besar lain yang
menjadi tumpuan utama adalah projek membina katil pelajar asrama untuk
menambahkan kuantiti katil di blok asrama perempuan bagi menampung pertambahan
permohonan pelajar untuk tinggal di asrama pada tahun ini. Pihak sekolah juga
sedang berusaha untuk memperbesarkan kantin sekolah bagi menambahbaik
keselesaan pelajar pada waktu rehat.
Kawasan-kawasan lain yang turut terlibat dalam program
gotong royong pada kali ini adalah:
(i) Pondok
(ii) Kawasan penanaman bunga
(iii) Kawasan bengkel ERT
(iv) Makmal Sains
(v) Bilik BOSS / SPBT
(vi) Pejabat am
(vii) Papan notis PK &
Bidang
Aktiviti
gotong-royong tamat pada jam 11.00 pagi dengan diakhiri oleh jamuan tengah hari
di dewan makan. Secara keseluruhannya, semua pihak yang terlibat telah memberi
kerjasama yang erat dalam menjayakan program gotong-royong pada kali ini.
Segala aktiviti di semua kawasan berjalan dengan lancar dan semua objektif
program dapat dicapai hasil usaha sama semua pihak.
p/s: Kekangan kewangan & kekurangan peruntukan tidak menjadi alasan untuk tidak menambahbaik prasarana yang diperlukan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan....
Muat turun:
Kertas Kerja Program Gotong Royong
Laporan Program Gotong Royong
Brosur
Muat turun:
Kertas Kerja Program Gotong Royong
Laporan Program Gotong Royong
Brosur
tqqq
ReplyDeletetqqq
ReplyDeletetima kasih
ReplyDelete