Saturday, 12 September 2015

e-GTukar oh e-GTukar……..

Bulan September tiba lagi. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan guru terutamanya bagi yang berbakti di seberang Laut China Selatan. Tiga bulan berlalu selepas kekecewaan pada Jun lalu, harapan guru kembali mekar dengan tibanya September. Walaupun permohonan untuk bertukar ke Semenanjung belum tentu lagi berjaya, namun apa yang penting usaha tanpa jemu diiringi doa yang tidak putus-putus serta tawakal sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa menentukan rezeki setiap manusia.


Jika mahu dibicarakan tentang EGTukar ni, perbincangannya entah bila akan habis. Terlalu banyak cerita dan pengalaman yang telah dilalui & didengar daripada mereka yang senasib. Namun isu yang sering dibangkitkan tentulah berkaitan dengan alasan yang dipertimbangkan untuk pertukaran.

Tiga alasan utama yang disenaraikan dalam laman e-GTukar:
1.       Mengikut suami / isteri
2.       Ancaman keselamatan
3.       Sakit kronik

Alasan pertama merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh mereka yang memohon pertukaran.  Ramai yang telah berjaya dengan menggunakan alasan ini, tidak kurang juga yang masih kecewa.
Ada rakan guru yang dapat pindah tidak lama selepas berumahtangga, namun ada juga yang masih gagal walaupun anak sudah masuk dua. Begitu juga dengan alasan yang kedua dan ketiga. Ada guru-guru yang berjaya dengan menggunakan alasan tersebut siap dengan surat sokongan doktor / majikan mahupun laporan polis. Tetapi, ada juga yang masih tidak berjaya.

Kadang-kadang bila diperhatikan, guru-guru yang belum betul-betul emergency dapat bertukar, manakala yang sudah hampir ‘sakit jiwa’ tidak dapat pula. Jadi persoalannya, mengapa berlaku situasi seperti ini? Bagaimanakah alasan yang sebenarnya betul-betul dipertimbangkan oleh pihak atasan?
Jika disebabkan tiada kekosongan opsyen di PPD yang dimohon, bukankah sudah dipersetujui bahawa guru yang memohon sanggup ditempatkan di PPD lain. Bertambah hairan apabila ada guru baharu dapat ‘posting’ di Semenanjung, sedangkan guru-guru yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat di Sarawak tidak dapat dipindahkan.


Sistem ‘traffic light’ yang mula digunakan di laman e-GTukar lebih banyak mempamerkan warna merah berbanding hijau. Melihat pada opsyen Sains Tulen memang tiada harapan nak ‘jalan’ lah nampak gayanya. Semua negeri sudah diisi penuh keperluannya. Tetapi, betul ke? 


Sistem ‘traffic light’ menampakkan seolah-olah kebanyakan negeri sudah cukup guru, terutama negeri ‘K’ yang begitu sukar ditembusi temboknya. Ini membuatkan saya terfikir, adakah guru di negara ini memang majoritinya orang ‘K’, sebab setiap tahun yang mohon masuk negeri ‘K’ paling ramai bilangannya. Tak dapat-dapat masuk pula tu sebab asyik penuh saja walaupun saya lihat banyak juga sekolah yang baru dibina di sana. Jika benar keperluan guru di kebanyakan negeri sudah dipenuhi, apa pula akan jadi pada calon-calon graduan pendidikan yang tamat pengajian saban tahun?

Tidak dinafikan tanggungjawab guru adalah untuk mendidik anak bangsa walau di mana sahaja berada. Guru sentiasa sedar amanah yang dipikul harus dilaksanakan sebaik mungkin. Kecewa walau macam mana sekalipun, amanah tetap harus dilunaskan dengan ikhlas dan sabar. Namun, guru juga manusia biasa yang punya rasa untuk pulang ke pangkuan keluarga setelah sekian lama merantau. Salahkah jika mahu berada berdekatan dengan ibu bapa yang semakin hampir ke penghujung usia? Usah diminta mereka dibawa ke tempat kita berkhidmat sekarang kerana kita sudah sedia maklum jawapan yang bakal diterima. Tetapi bila digunakan alasan seperti ini, kita pula yang disuruh berhenti kerja kerana ramai yang sedang menunggu giliran untuk mengisi jawatan guru.

Satu persoalan yang sering bermain di fikiran saya berkaitan alasan pertukaran adalah jika alasan mengikut suami boleh dipertimbangkan, kenapa pula alasan untuk menjaga ibu / bapa yang sudah uzur tidak disenaraikan? Mereka yang berumahtangga dapat bertukar ke Semenanjung selepas beberapa tahun, tetapi jika ada yang ditakdirkan tidak bertemu jodoh dan sudah berada di Sarawak selama lebih 10 tahun tidak dipertimbangkan pertukarannya. Adilkah begitu? Alasan mengikut suami disenaraikan kerana suami adalah syurga bagi isteri. Bukankah ibu adalah syurga bagi seorang anak?


Walau apapun, hanya DIA yang Maha Mengetahui dan menentukan rezeki setiap hamba-Nya……

p/s: artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis, berdasarkan pengalaman peribadi & pengalaman rakan2 sejawatan. 

Saturday, 5 September 2015

Eksperimen Daya (Sains Ting. 2, Bab 7 : Dinamik)

Daya merupakan tolakan ataupun tarikan pada sesuatu objek apabila berinteraksi dengan objek lain. 
Apabila terdapatnya interaksi antara dua objek, maka daya akan bertindak ke atas kedua-dua objek tersebut.

Daya tidak dapat dilihat, tetapi kesannya dapat dilihat dan dirasakan. Antara kesan daya adalah:
i)                    Mengubah bentuk objek
ii)                   Mengubah halaju objek (meningkatkan halaju / memperlahankan)
iii)                 Mengubah arah gerakan objek
iv)                 Mengubah kedudukan objek


Set Induksi:
Menunjukkan daya sebagai tolakan / tarikan

(i)   Tikaman penyedut minuman (straw)

Bahan diperlukan: Penyedut minuman, kentang
Prosedur:
1.       Pegang kentang dengan sebelah tangan.
2.       Cucuk straw pada kentang secara perlahan.
3.       Cuba cucuk sekali lagi sepantas yang boleh. Pastikan straw dalam keadaan tegak. Ala-ala tikaman gitu….

Apa yang berlaku:
-          Straw akan bengkok apabila dicucuk dengan perlahan.
-          Apabila straw dicucuk dengan pantas, straw akan dapat menembusi kentang.



Huraian:
-          Apabila dicucuk perlahan, straw akan mampat (compressed) menyebabkannya bengkok.
-          Setelah bengkok, daya kekuatan straw berkurang.
-          Jika straw dicucuk dengan pantas, straw tidak sempat untuk bengkok kerana masa interaksi antara straw dan kentang dikurangkan.
-          Jadi, straw dapat mengekalkan kekuatannya. Maka, straw dapat menembusi kentang.

Tips:
-          Boleh cuba guna bahan-bahan lain seperti cawan polisterin, bawang dan buah epal.






(ii)  Belon kawalan jauh (remote control balloon)

Bahan diperlukan: Belon, tin minuman kosong.
Prosedur:
1.       Letak tin minuman kosong secara melintang di atas meja / mana-mana permukaan rata
2.       Tiup belon, kemudian gosokkan pada rambut anda dalam arah gerakan ke depan & belakang.
3.       Dekatkan belon pada tin minuman (2-3 cm). Gerakkan belon ke belakang secara perlahan-lahan.
4.       Ulang langkah 3 dengan mengubah arah gerakan belon.

                                 sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum 

Apa yang berlaku:
-          Tin minuman tertarik ke arah belon

Huraian:
-          Apabila belon digosok pada rambut, permukaan belon dipenuhi dengan elektron yang bercas negatif.
-          Elektron pada belon akan menarik cas positif pada tin minuman.


Dalam buku teks Sains Tingkatan 2, terdapat 4 jenis daya yang dibincangkan:

1.       Daya magnet

Cadangan aktiviti:
-          Bar magnet
-          Kompas
-          Magnet peti sejuk


2.       Daya elektrostatik

Cadangan aktiviti:

(i)                  Belon kawalan jauh (seperti di atas)
(ii)                Pembaris plastik digosok menggunakan kain bulu, kemudian dekatkan pada cebisan kertas. Cebisan kertas akan tertarik pada pembaris.
-Selain itu, boleh juga dekatkan pada air paip yang mengalir. Air paip akan menjadi bengkok.
-Pelajar saya pula suka mendekatkan pembaris yang bercas itu pada rambut, boleh tengok rambut jadi tegak.


3.       Daya graviti

Cadangan aktiviti:
-          Lambungkan bola pingpong / guli / duit syiling ke atas. Semua objek akan jatuh ke bawah kerana tarikan graviti.
-          Letakkan 2 objek yang mempunyai jisim berbeza dalam pam vakum, jatuhkan pada waktu yang sama (free fall)
-          Kedua-dua objek akan jatuh pada waktu yang sama kerana daya graviti yang bertindak ke atas kedua-duanya adalah sama.


4.       Daya geseran

Cadangan aktiviti:

    (i)  Bawang memanjat

-          Letakkan satu labu bawang di dasar bekas ataupun botol.
(boleh guna bekas plastik / kaca yang ada penutup)


-          Masukkan kacang hijau sehingga 2/3 penuh. Biarkan kacang hijau menutupi keseluruhan bawang. 
(saya tak ada kacang hijau, jadi saya guna biji ketumbar)
Bawang kat bawah ni nampak sebab saya nak tunjukkan bawang tu memang berada di bawah. Kacau sikit biar bawang berada di tengah-tengah dasar bekas. 


-          Tutup bekas. Goncangkan bekas secara menegak.

Apa yang berlaku:
-          Bawang yang pada asalnya berada di bawah akan berada di atas.
-          Geseran yang wujud antara kacang hijau dan bawang akan menolak bawang naik ke atas.


# saya melihat demo aktiviti ini semasa Petrosains Science Show Competition 2014(Sarawak State Level) yang dipersembahkan oleh SMK Tun Abdul Razak, Kuching. 


(ii)                Eksperimen faktor-faktor yang mempengaruhi daya geseran

-          Magnitud gaya geseran diukur dengan menggunakan neraca spring yang menarik objek secara melintang di atas permukaan.
-          Semakin kasar sesuatu permukaan, semakin besar gaya geseran yang terhasil.
-          Selain itu, boleh juga menggunakan kereta mainan yang ditolak di atas permukaan yang berlainan. Perbezaannya dilihat pada sejauh mana kereta tersebut boleh bergerak. Tetapi, mungkin kekuatan daya tolakan sukar dimalarkan.
-          Sebagai alternatif, boleh gunakan kereta mainan yang mempunyai spring yang akan bergerak ke hadapan apabila ditarik ke belakang.
-          Antara jenis-jenis permukaan yang boleh digunakan: meja makmal, lantai simen, lantai jubin, kertas pasir, padang dll.
-          Daya geseran TIDAK dipengaruhi oleh luas permukaan yang bersentuhan.




Sunday, 30 August 2015

Membina Model Sains Menggunakan Plastisin

Idea ini pada asalnya diambil dari group facebook Cikgu Sains Kreatif.
Bagi mengaplikasikan PdP berpusatkan pelajar & mendorong kreativiti dalam kalangan pelajar, mereka diminta untuk membina model biologi dengan menggunakan plastisin.
Secara tidak langsung aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman dan ingatan pelajar terhadap struktur-struktur sel dalam m/p biologi.
Bagi saya, aktiviti ini boleh juga dijalankan untuk m/p lain dalam bidang Sains sama ada pelajar menengah bawah mahupun menengah atas.
Aktiviti dijalankan secara individu dalam kalangan pelajar Ting. 5 Sains.
Markah diambil dan model terbaik diberikan hadiah.
Semua model dipamerkan semasa Karnival Sains & Teknologi 2015.

Model Sel Haiwan:








Model Sel Tumbuhan: 





Model Meiosis & Mitosis: 













Model lain: 




p/s: Saya bukan cikgu biologi. Credit goes to Cikgu Yii Hea Lang.

Monday, 24 August 2015

Penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM 2016

Baru-baru ini kita mendapat berita tentang penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM yang bakal dimulakan pada tahun 2016. Faktor penangguhan tersebut adalah disebabkan kebanyakan makmal sekolah belum mempunyai kemudahan yang mencukupi, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam bencana banjir hujung tahun lepas.



Sudah tentu berita ini mendapat respon yang pelbagai daripada guru-guru di seluruh negara. Mungkin ada pihak yang setuju dan mungkin ada juga yang tidak bersetuju. Secara peribadi saya merasakan ia merupakan sesuatu yang wajar dilakukan. Sukar untuk kita jalankan peperiksaan amali sains secara berpusat jika kebanyakan sekolah masih kritikal dengan kelengkapan bahan dan radas di makmal sains.

Bagi sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah yang baru dibina, sekolah-sekolah yang mempunyai penghuni yang ramai, sudah tentu mereka mempunyai prasarana makmal yang lengkap serta peruntukan yang mencukupi. Ini berbeza dengan sekolah-sekolah kecil di luar bandar yang terpaksa mencatu peruntukan yang sedikit demi menyediakan keperluan di makmal sains.

Siapa yang dapat menafikan kepentingan pelaksanaan kerja amali dalam PdP mata pelajaran Sains, sama ada Sains Teras (men. rendah & men. atas) mahupun Sains Tulen. Semua guru, jika boleh, mahu melaksanakan kerja amali. Jika diberikan pilihan, semua eksperimen dalam buku teks mahu dijalankan. Akan tetapi, disebabkan faktor-faktor tertentu perancangan itu terpaksa dilupakan. Sebagai guru, kita memikirkan pelbagai alternatif lain demi memastikan semua objektif pembelajaran tercapai. Ada eksperimen yang didemonstrasi oleh guru sahaja. Ada juga eksperimen yang ditayangkan video yang dimuat turun dari internet. Semuanya disebabkan bahan dan radas yang terhad, perlu digunakan dengan jimat cermat untuk eksperimen-eksperimen yang betul-betul penting sahaja.

Jika peperiksaan amali sains berpusat diadakan, terlalu banyak keperluan yang harus disediakan supaya mencukupi untuk setiap pelajar. Sudah tentulah ini menjadi bebanan kepada pihak sekolah, terutamanya dari segi kos. Pertama kali melihat senarai bahan dan radas yang perlu disediakan semasa mengikuti Kursus Amali Sains untuk guru-guru, saya juga rasa seperti mahu pitam. Kos untuk bahan dan radas makmal adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila dibeli melalui peruntukan PCG. Bukan sahaja radas dan bahan yang perlu disediakan oleh pihak sekolah, malah banyak lagi persediaan lain yang harus dilakukan. Perkara-perkara lain yang turut diambil kira & dipantau pernah saya kongsikan melalui artikel saya sebelum ini: Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?

Pada peringkat awal, peperiksaan amali sains berpusat ini dirancang untuk dimulakan pada tahun ini. Guru-guru disarankan untuk melatih pelajar bagi menghadapi peperiksaan ini. Kemudian perancangan tersebut ditangguhkan ke tahun hadapan. Maka, calon SPM pada tahun ini dilatih semula untuk menjawab soalan Kertas 3 bertulis. Perkara yang sama terjadi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada tahun ini. Perubahan ini sekali lagi menyebabkan guru-guru perlu mengubah semula rancangan pengajaran bagi Kertas 3. Bukanlah guru mahu merungut. Sebagai guru, kita telah dilatih untuk sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan dalam bidang pendidikan. Namun, kesediaan pelajar tidak boleh disamakan dengan kesediaan guru.


Perubahan ke arah peningkatan merupakan sesuatu yang bagus. Akan tetapi, format peperiksaan yang kerap berubah menampakkan perancangan yang tidak cukup teliti daripada pihak kementerian. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum mengambil kira keadaan makmal di semua sekolah akhirnya menyebabkan keputusan tersebut ditarik semula buat sementara waktu. Saya merasakan, pemantauan oleh panel penilai sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu keputusan diambil dan bukan sebaliknya. Amatlah diharapkan selepas ini bantuan sewajarnya dihulurkan oleh pihak berwajib kepada sekolah-sekolah yang serba kekurangan agar semua pelajar mendapat peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman menjalankan kerja amali semaksimum mungkin. Sesungguhnya proses belajar itu jauh lebih penting dan bermakna berbanding amali peperiksaan. 


Sunday, 23 August 2015

Perbezaan Antara Projek Inovasi, Kajian Tindakan dan Penyelidikan

Selaku guru, pasti kita berdepan dengan banyak cabaran semasa menjalankan pengajaran & pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah. Antara cabaran yang sering dihadapi adalah tahap kefahaman pelajar yang berbeza dan kesukaran pelajar untuk memahami pengajaran guru terutamanya apabila melibatkan sesuatu konsep yang abstrak.


Antara langkah penyelesaiannya adalah dengan cara menjalankan kajian tindakan, projek inovasi ataupun penyelidikan. Ketiga-tiganya mempunyai tujuan utama yang sama, iaitu mengkaji sesuatu isu atau masalah yang dihadapi dalam bilik darjah, sekolah mahupun dalam bidang pendidikan secara amnya. Namun, ketiga-tiganya merupakan perkara yang berbeza.

Saya bukanlah pakar dalam membincangkan definisi bagi setiap satu darinya. Perkongsian ini hanya merupakan hasil pemahaman dan pengamatan saya. Selain itu, ketiga-tiganya juga merangkumi bidang yang cukup luas, sama ada bagi tujuan akademik mahupun bukan akademik. Saya cuma akan memfokuskan kepada kajian berkaitan PdP sahaja.


Projek Inovasi

Secara amnya, projek inovasi biasanya berbentuk alat bantu mengajar (ABM), juga disebut bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan untuk memudahkan PdP guru dan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sesuatu konsep. Mungkin ada guru yang melaksanakan projek inovasi berbentuk pedagogi, namun ianya lebih sesuai dilaksanakan sebagai kajian tindakan. Inovasi yang dihasilkan tidak semestinya merupakan sesuatu yang baru. Boleh juga dihasilkan daripada inovasi guru lain, tetapi ditambahbaik dan disesuaikan dengan pelajar di sesebuah sekolah. Apa yang penting, jangan ditiru bulat-bulat.

Sebagai contoh, KAD MNEMION yang saya hasilkan merupakan sejenis kad imbas (flashcard) yang biasanya sering digunakan untuk kanak-kanak ataupun murid-murid di sekolah rendah. Sebagai penambahbaikan kepada flashcard yang biasa digunakan, saya hasilkan flashcard secara 2-dimensi (depan & belakang) dan boleh dipusingkan seperti kad menu di restoran. Saya gabungkan pula dengan mnemonik, maka terhasillah flashcard versi saya sendiri.


Berdasarkan pengalaman saya menyertai Pertandingan Guru Inovatif Negeri Sarawak baru-baru ini, sebuah projek inovasi yang baik dan ‘dipandang tinggi’ oleh panel penilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut; antaranya ialah:
i)                    Dipunyai oleh setiap pelajar dalam kelas. (bermaksud satu set inovasi untuk setiap pelajar)
ii)                   Menggunakan bahan kitar semula
iii)                 Kos yang rendah

Apakah tajuk / topik yang sesuai untuk dijalankan projek inovasi? Persoalan ini merupakan suatu yang bersifat subjektif. Ini kerana tahap pelajar di setiap sekolah adalah berbeza. Kadang-kadang ada tajuk / konsep yang mudah difahami oleh pelajar di sesebuah sekolah, tetapi dianggap sukar oleh pelajar sekolah lain terutamanya sekolah luar bandar. Sebagai permulaan, cari tajuk yang sukar difahami oleh majoriti pelajar di sekolah kita. Kecilkan skop tajuk. Pilih konsep yang mudah untuk kita bina inovasi yang berbentuk maujud (fizikal).
Sebagai contoh:
i)                    Kimia Ting.5, Bab 2: Sebatian Karbon
Inovasi membina model sebatian karbon menggunakan plastisin bagi meningkatkan kemahiran pelajar melukis struktur & menulis formula kimia sebatian karbon.

ii)                   Biologi

Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap proses kesegahan sel menggunakan model belon. 

Dari segi format laporan projek inovasi, saya tidak pasti sama ada setiap negeri mempunyai format laporan yang tersendiri. Untuk kepastian bolehlah merujuk PPD / JPN masing-masing. Laporan yang saya tulis adalah berdasarkan format yang dikemukakan oleh JPN Sarawak. Ini merupakan laporan projek inovasi saya pada tahun 2014: KAD MNEMION.
Projek Inovasi ini baru sahaja saya bentangkan semasa di Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak 2015 baru-baru ini. 


Kajian Tindakan (action research) 

Kajian tindakan dilaksanakan untuk mengkaji sesuatu isu / masalah dan seterusnya bertindak bagi menyelesaikan masalah tersebut. Bagi memastikan keberkesanan sesuatu kaedah penyelesaian yang diambil, kajian tindakan biasanya dijalankan melalui beberapa gelung / kitaran (cycle). Tetapi, jika kaedah yang digunakan betul-betul berkesan dan masalah telah dapat diselesaikan secara menyeluruh, maka satu gelung sudah mencukupi. Dapatan kajian pula sering digunakan kaedah ujian pra dan ujian pos. 


Terdapat banyak versi yang boleh dirujuk bagi melaksanakan kajian tindakan. Namun, secara umumnya sesebuah kajian tindakan melibatkan proses kerja berikut:

1.       Refleksi PdP – mengenal pasti isu/ masalah yang dihadapi
2.       Merancang penyelesaian
3.       Melaksanakan kaedah penyelesaian yang dipilih
4.       Menganalisis dapatan kajian & refleksi

Jika kaedah yang dipilih telah berjaya, maka kitaran kajian tindakan akan berhenti pada langkah ke-4. Jika belum berjaya sepenuhnya, kita kembali semula kepada langkah pertama dengan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat semasa gelung pertama. Dengan ini, kita akan memulakan gelung kedua kajian tindakan. 

Kaedah yang dipilih bagi menyelesaikan sesuatu isu PdP dalam sesebuah kajian tindakan adalah lebih meluas berbanding dengan projek inovasi. Masalah yang dihadapi dalam PdP boleh diselesaikan menggunakan BBM (inovasi) mahupun kaedah pedagogi. Misalnya, menggunakan flashcard, magic whiteboard, model dan sebagainya untuk membantu pelajar memahami sesuatu konsep. Selain daripada menggunkan BBM, guru juga boleh menjalankan tindakan menggunakan kaedah seperti mentor-mentee, gallery walk, pembelajaran inkuiri dan lain-lain.

Tajuk bagi sesebuah kajian tindakan mestilah jelas, spesifik dan terperinci merangkumi objektif kajian, kumpulan sasaran serta kaedah penyelesaian. Antara contoh tajuk kajian tindakan:

i)                    Pelaksanaan kaedah nota berlagu untuk meningkatkan kemahiran pelajar mengingati kronologi peristiwa bagi novel Komsas dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 Merah di SMK Setia.
ii)                   Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep tekanan udara dengan menggunakan model “Belon Magik”.

Bagi guru yang pertama kali mahu menjalankan kajian tindakan memang akan terasa agak sukar kerana ianya melibatkan banyak proses yang teliti. Penulisan laporannya pula lebih terperinci berbanding projek inovasi. Saya mula mengenali kajian tindakan semasa melengkapkan folio Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB). Saya merupakan batch pertama guru yang perlu melaksanakan PPGB pada tahun 2011. Memandangkan di sekolah saya tiada seorang pun guru yang pernah menjalankan kajian tindakan, maka agak terkial-kial juga saya pada masa itu. Rujukan saya hanya berpandukan pada enjin carian Google. Mujur saya menemui Manual Kajian Tindakan yang diterbitkan oleh Bahagian Perancangan & Pelaksanaan Dasar Pendidikan di laman sesawang KPM. 

Lanjutan daripada kajian tindakan yang saya jalankan semasa menyiapkan folio PPGB, saya teruskan dengan gelung kedua. Semasa gelung kedua ini saya mendapat ilham menggunakan kad imbas. Jadi, kajian tindakan yang saya jalankan pada masa itu merupakan projek 2-dalam-1 di mana saya menggunakan projek inovasi sebagai kaedah penyelesaian dalam kajian tindakan. Seterusnya, saya jalankan pula penambahbaikan pada projek inovasi tersebut sehingga terhasilnya Kad Mnemion. Laporannya kemudian saya asingkan.

Berikut merupakan hasil laporan kajian tindakan saya untuk gelung kedua:  Kajian Tindakan Kimia 2014.


Penyelidikan Guru (research) 

Daripada tiga perkara ini, penyelidikan boleh dianggap sebagai yang paling sukar untuk dilaksanakan, melibatkan proses yang sangat teliti, memakan masa yang lama dan penulisan laporan yang begitu terperinci. Dalam bahasa yang mudah, penyelidikan merupakan suatu kajian terhadap sesuatu isu / perkara untuk mendapatkan data yang sah. Penyelidikan tidak semestinya menghasilkan penyelesaian, namun ia melibatkan metodologi kajian yang agak kompleks. Disebabkan itulah, tidak ramai guru di sekolah yang menjalankan penyelidikan, kebanyakannya menjalankan kajian tindakan sahaja. Saya sendiri juga belum mahir dengan penyelidikan. Bagi guru yang memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, maka pelaksanaan penyelidikan guru merupakan persediaan yang sangat bagus.

Aspek yang dikaji dalam sesebuah penyelidikan adalah sangat meluas. Penyelidikan guru / penyelidikan pendidikan mengetengahkan aspek kajian berkaitan isu-isu semasa dalam bidang pendidikan, sama ada isu dalam bilik darjah, masalah yang dihadapi oleh guru / pelajar / pentadbir sekolah mahupun isu pendidikan secara umum. Paling bagus jika dibuat penyelidikan tentang isu-isu pendidikan yang terkini. Contohnya:
i)                    Pelaksanaan PPPM 2013 – 2015
ii)                   Pengintegrasian KBAT dalam PdP
iii)                 Keberkesanan peta i-think
iv)                 Konsep pembelajaran & bilik darjah abad ke-21
v)                  VLE-FROG

Boleh juga jika kita mahu melaksanakan penyelidikan dalam bidang pendidikan, tetapi sesuatu yang di luar PdP. Sebagai contoh:
i)                    Perbezaan pencapaian akademik antara pelajar asrama & pelajar harian
ii)                   Faktor-faktor yang mempengaruhi minat pelajar untuk belajar
iii)                 Punca-punca penglibatan pelajar dalam kes gengsterisme
iv)                 Perbezaan pencapaian pelajar dalam peperiksaan sebelum & selepas kursus motivasi
v)                  Beban tugas guru di sekolah 

Tahun lepas, pada 8-10 Sept. 2014, saya menyertai Seminar Penyelidikan Pendidikan Peringkat Zon Sarawak yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Sarawak. Seminar tersebut mengumpulkan para cendekiawan melibatkan guru-guru sekolah, pensyarah-pensyarah IPG serta pensyarah-pensyarah universiti yang membentangkan penyelidikan masing-masing. Antara kertas penyelidikan yang dibentangkan pada tahun lepas ialah:

i)                    Pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu: Tinjauan terhadap sikap dan minat murid orang asli di negeri Perak.
(Tn. Hj. Mohd Razak b. Mohd Nordin & Pn. Noradzimah bt Abdul Majid, IPGK Ipoh)

ii)                   Aplikasi peta pemikiran (i-think) dalam pengajaran dan pembelajaran : Suatu tinjauan
(Pn. Jauriah bt Md Azali & En. Muhamad Munir b. Ismail, IPGK Perlis)

iii)                 Tekanan kerja guru sekolah pribumi daerah Gua Musang
(En. Mohd Zaki b. Ab Rahim & Pn. Kasnimi Mat Seman, IPGK Kota Bharu)

Daripada tajuk kertas penyelidikan yang dibentangkan, boleh dikatakan bahawa penyelidikan pendidikan biasanya berbentuk tinjauan dan kajian kes. Objektif utama sesebuah penyelidikan adalah bukan untuk memikirkan jalan penyelesaian masalah, tetapi bagi mendapatkan data kajian seperti faktor ataupun implikasi sesuatu isu / perkara berkaitan pendidikan. Hasil dapatan kajian ini yang merupakan sesuatu yang sangat penting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Penyertaan dalam seminar ini memberikan pendedahan awal kepada saya tentang pelaksanaan sesebuah penyelidikan pendidikan. Banyak perkara yang dapat ditimba hasil perbincangan bersama pensyarah-pensyarah berkaliber yang langsung tidak lokek ilmu. Akan tetapi, masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

Kesimpulannya, setiap guru sebenarnya sangat digalakkan untuk melaksanakan Projek Inovasi, Kajian Tindakan ataupun Penyelidikan. Hasil kajian yang kita jalankan dapat meningkatkan kemahiran profesionalisme seseorang guru. Melalui hasil kerja penyelidikan dan inovasi, golongan pendidik dapat merangka dan melaksanakan strategi PdP secara lebih berkesan dan kreatif seiring dengan perubahan arus pendidikan global. Jika ada peluang, sertailah seminar / persidangan berkaitan Projek Inovasi / Kajian Tindakan / Penyelidikan. Banyak ilmu yang akan dapat dipelajari di samping suntikan semangat untuk turut sama memperkasakan lagi bidang pendidikan di negara kita.

Selain itu, cari juga sumber-sumber lain yang boleh membantu atau bersama-sama kita dalam lapangan ini. Semasa saya menjalankan kajian tindakan dahulu, saya tunjukkan laporan saya pada pensyarah-pensyarah IPG. Pengetua saya turut memberikannya kepada pengetua di sekolah lain. Dengan ini, kita akan mendapat maklum balas dan kritikan membina daripada mereka yang lebih arif agar kita dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Saya juga banyak mendapat bimbingan daripada rakan sekerja yang sudah punya banyak pengalaman. Yang penting, usah malu bertanya.

p/s: Jika berminat, boleh google Buku Inovasi Guru. Himpunan kajian / inovasi yang dibentangkan semasa Persidangan Inovasi Negeri Sarawak pada tahun lepas, boleh muat turun Buku Inovasi Guru 2014.