Thursday, 31 December 2020

Coretan Akhir 2020 : Erti Hidup Pada Manisnya Ujian

Hidup ini suatu perjuangan.

Halangan pasti ada di sepanjang perjalanan.

Usah leka mendongak ke langit.

Sehingga lupa memijak rumput di bumi.

 


Ibarat secawan kopi yang pahit. 
Apabila sudah biasa dengan rasanya, yang pahit akan terasa sedap. 
Manisnya kita yang kawal. 
Yang pahit itu tidak akan terasa apabila yang manis lebih dirasai nikmatnya. 
Jalan hidup juga begitu. Tak selalunya manis dan indah. 
Bila sudah biasa dan berlapang dada, yang pahit itu akan nampak cantik. 
Manis takkan selalu ada mengikut selera kita. 
Pahit macam mana sekalipun tetap harus ditelan. Tetap jalan ini yang dilalui. 
Berteraskan keyakinan dalam setiap kepahitan pasti akan ada kemanisan di hujungnya yang akan menjadi ganjaran. Cepat mahupun lambat. 
Manis pada hikmahnya. 
Manis pada jiwa yang semakin kental. 

 


Just like the sweet and bitter tiramisu, life is about well-balanced. 
Wealth is nothing without good health. 
Intelligence is nothing without good mind. 
Good grades is nothing without good attitudes. 
A person's success is nothing without a kind heart. 
You don't have to be perfect. 
Just sweet enough to bring happiness and the brightest smile. 

 


Manusia akan sentiasa diuji. Setiap orang ada ujian masing-masing. Tak perlu kita expect semua orang untuk faham masalah kita, sedangkan kita sendiri tidak tahu semua masalah orang. Jangan sesekali kita bandingkan hidup kita dengan orang lain. We live our own life, we have our own scripts, we wear different shoes and we sail in different ships. Don’t keep asking people to understand you, because they never will.

La Tahzan. Allah sentiasa ada.


Hidup ni tidak perlu terlalu melihat pada siapa yang suka kita dan siapa tidak suka kita. Hakikatnya kita takkan pernah mampu untuk puaskan hati semua orang. Sentiasa berbuat baik dan setiasa memaafkan walau kadang-kadang perit untuk dilakukan. Kita tak hidup dek pujian orang dan tak perlu mati dek kejian. Biar dibenci orang, asal tidak dimurka Tuhan. 

Mencari ilmu itu suatu kewajipan. 

Memberi ilmu itu suatu kemuliaan. 

Peliharalah kedua-duanya. 

Pengorbanan takkan mampu dielakkan. 

Kejayaan tidak akan jatuh dari langit mahupun keluar dari bumi andai tidak dicari gali. 

 


Jalankan tanggungjawab dan laksanakan amanah sebaik mungkin biarpun kadang tidak dihargai. Pasakkan sabar dan ikhlas untuk meneruskan perjalanan. Setiap usaha & pengorbanan pasti akan terbayar walau bukan sekarang. Manusia akan sentiasa menilai, usah gentar andai kita sudah mempertaruhkan yang terbaik. Dugaan akan sentiasa datang, hadapilah ibarat seorang pejuang yang takkan lari dari medan perjuangan.

 


Komunikasi itu penting dalam mana-mana hubungan sekalipun, termasuklah dalam kerjaya dan persahabatan. Antara rakan sekerja mungkin punya pendapat dan pandangan yang berbeza. Berbincanglah secara profesional. Pada akhirnya, terimalah setiap keputusan yang dicapai tanpa duri dalam hati. Dalam persahabatan apa yang paling penting adalah kepercayaan. Asas ini yang akan meruntuhkan perbezaan dan menepis kata-kata orang. Apa beza kawan dan sahabat? Kawan ramai waktu kita senang, sahabat itu sentiasa ada waktu senang dan susah.

 


Pada akhirnya, usah dirisaukan masa depan yang belum pasti.

Yakin dan redha pada setiap ketentuan dan rezeki.

Usaha dan kerja keras selagi mampu berdiri.

Memberi yang terbaik selagi bernafas di muka bumi.


@copyright ceritacikgunurul.blogspot.com

31 Dec 2020

Kenangan Sesi Persekolahan Tahun 2020

Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun 2020 dimulakan ramai orang dengan azam dan semangat baru yang berkobar-kobar. Di MTD, murid Tingkatan 5 paling gembira kerana sudah bergelar SP (senior putera). Kelas berjalan seperti biasa. Eksperimen dilaksanakan dengan gembira. Sesekali membimbing putera semasa waktu petang & semasa prep malam.

From this (early 2020).......

Tanggal 5 Mac 2020, keputusan SPM 2019 diumumkan. Alhamdulillah….peningkatan yang memberangsangkan. Kejohanan merentas desa & lari berganti-ganti menjadi sambutan terakhir di maktab sebelum cuti pertengahan penggal pertama.


Wajah-wajah gembira menerima keputusan SPM 2019

Namun siapa sangka cuti sekolah yang asalnya dijadualkan selama seminggu menjadi 3 bulan disebabkan PKP.

Tak sempat nak ingat nama semua orang... 

Tiada siapa pernah menyangka Covid-19 menyerang dunia di tahun 2020.

Tiada siapa pernah menduga kita hidup dengan normal dan norma baharu sepanjang tahun.

Tiada siapa pernah meramalkan tahun 2020 menyaksikan dunia Pendidikan terutamanya PdPc berubah hampir 360 darjah.

.....to this (during mco and cmco)

Tiada siapa yang pernah membayangkan pembelajaran secara maya dijalankan hampir sepanjang tahun. Hanya beberapa bulan sahaja cikgu-cikgu sekolah bertemu mata dengan anak-anak murid. Begitu juga dengan para mahasiswa universiti. Selebihnya hanya berjumpa dalam ruangan maya pada paparan skrin yang adakalanya besar dan ada yang kecil. Bertentang mata hanya apabila masing-masing ‘on’ kamera pada gajet.


Sama ada suka ataupun tidak, mahu ataupun tidak, kita semua perlu menerima setiap perubahan dengan hati dan minda yang terbuka.

Suatu ketika dahulu kita pernah meramalkan kita semua akan naik kereta terbang pada tahun 2020. Rupa-rupanya bukan kereta yang terbang, tapi kertas yang terbang. Nota-nota, latihan, bahan-bahan bantu mengajar banyak ditukar menjadi softcopy. Ujian dan pentaksiran juga banyak dijalankan secara dalam talian seperti melalui medium Google Form. “Kertas yang punya nilai” juga banyak yang “terbang” untuk keperluan pengajaran & pembelajaran. Gajet elektronik, laptop touchscreen, printer with wifi, webcam, kain hijau untuk greenscreen, ringlight dan sebagainya. Tidak kira guru mahupun pelajar. Apa-apa pun semoga setiap usaha kita tidak kira besar atau kecil dicatit sebagai amal kebaikan dan diberkati oleh-Nya.

Mujurlah laptop touchscreen ni baru je beli hujung tahun lepas. Last model Acer mcm ni. 
Model2 sekarang semua jenis flip kalau tak silap

Virus korona itu begitu halus dan tidak kelihatan pada mata kasar, namun impaknya cukup besar dalam aspek kehidupan setiap individu. Seluruh dunia berhadapan dengan cabaran pembelajaran secara maya. Setiap guru dan murid menghadapi cabaran ini. Namun terpulang pada kita untuk menjadikan cabaran ini sebagai hanya suatu ujian mahupun suatu ruang dan peluang untuk menambah baik PdPc sedia ada.

Dunia digital membuka ruang yang sangat luas terhadap perkongsian ilmu secara maya. Pelbagai seminar dan webinar dianjurkan secara aktif melalui pelbagai medium seperti Zoom, Webex, Google Meet, Microsoft Teams, YouTube dan sebagainya. Malah semakin ramai cikgu-cikgu yang kini menjadi YouTuber bagi berkongsi video-video P&P untuk murid-murid dan sesama guru. PdPc secara maya juga merealisasikan kolaborasi dalam talian antara sekolah. Jarak bukan lagi menjadi suatu halangan.


Bagi murid-murid pula, mendepani cabaran belajar secara maya tanpa kehadiran guru secara fizikal sudah tentu memerlukan disiplin yang tinggi serta kekuatan mental dan emosi. Pemikiran yang positif dan daya usaha yang berterusan pasti membuahkan hasil yang baik. Misalnya seperti apa yang dilakukan oleh salah seorang putera MTD ini:

Masa tidak akan mungkin berputar semula ke belakang. Kita tiada pilihan selain terus melangkah ke hadapan. PdPc tetap perlu diteruskan walau dengan apa jua medium sekalipun. Amanah guru untuk mengajar, membimbing dan mendidik. Tanggungjawab murid-murid dan para pelajar untuk terus belajar. Tiada siapa yang tahu bila situasi kini akan berakhir. Don’t wait for the miracle, but create your own miracle.

Kompeni Bravo 2019/2020

p/s: hidup kita sekarang mungkin tidak akan kembali normal seperti dahulu, namun hidup kita tetap normal: normal baharu.

Friday, 30 October 2020

5 Langkah Mudah Menulis Refleksi RPH dalam OneNote Teams

Microsoft Teams merupakan antara medium PdPc yang semakin mendapat tempat dalam kalangan warga pendidik, termasuklah untuk penghantaran e-RPH. Bagi saya, penggunaan Microsoft Teams adalah lebih mudah dan lebih mesra pengguna berbanding dengan Google Classroom. Ini kerana, kita boleh menambahkan refleksi secara terus pada dokumen RPH yang telah kita muatnaik dan ianya juga autosaved

Sebelum ini saya telah kongsikan langkah-langkah untuk memuatnaik RPH dalam OneNote Microsoft Teams. Kali ini saya akan kongsikan pula langkah-langkah untuk kita menambahkan refleksi pada dokumen RPH yang telah dimuatnaik. 

Cara-caranya adalah seperti berikut: 

1. Dalam Teams, pergi ke bahagian "Assignments". Pilih RPH yang ingin dimasukkan refleksi dari senarai "Completed" assignment. 

2. Setelah dapat view OneNote, letak cursor di mana-mana kawasan di luar kawasan printout dan klik. Akan keluar satu dialog box

3. Taipkan refleksi dalam dialog box tersebut. 

4. Alihkan dialog box ke bahagian refleksi RPH kita. 

5. Klik butang "Close" di bahagian atas sebelah kanan. 

Untuk huraian lebih lanjut, boleh tonton video melalui pautan berikut: 

Cara Menulis Refleksi RPH dalam OneNote Teams 

Langkah-langkah Memuatnaik RPH dalam Microsoft Teams

Pada masa kini, semakin banyak sekolah mula menggunakan e-RPH melalui pelbagai medium. Bukan sahaja menjimatkan kertas, malah mudah diakses melalui peranti elektronik pada bila-bila masa sahaja. 

Sebelum ini, sekolah saya menggunakan e-RPH melalui aplikasi Google Classroom. Sekarang kami beralih pula kepada Microsoft Teams. Bagi saya, penggunaan Microsoft Teams adalah jauh lebih mudah dan lebih mesra pengguna. 

Berikut merupakan langkah-langkah untuk memuatnaik (upload) RPH yang disimpan dalam bentuk PDF ke dalam Microsoft Teams: 

1. Log in Microsoft Teams. Kemudian pilih Teams yang mengandungi tugasan RPH. 

2. View Assignment 

3. Klik "Add work" 

4. Pilih "+New File", kemudian pilih "OneNote" (bagi RPH dalam bentuk PDF) 

5. Masukkan nama fail rph di bahagian "File name" 

7. Klik butang "RPH", diikuti butang "Attach" 

8. Klik pada nama fail RPH kita tadi. Kita akan dibawa masuk ke dalam OneNote. 

9. Letakkan cursor di bahagian bawah tajuk. Kemudian klik "Insert", diikuti "File" dan seterusnya pilih "Insert File Printout" 

10. Choose file, pilih fail rph yang kita nak muatnaik, kemudian klik "Open" seterusnya klik "Insert" pada dialog box. 

11. Selepas proses printout selesai, boleh klik "Close" di bahagian atas sebelah kanan. Segala kandungan dalam OneNote akan disimpan secara automatik (auto-saved). 

12. Akhir sekali, klik butang "Turn In" di bahagian atas sebelah kanan. 

Untuk huraian yang lebih lanjut, boleh tonton melalui pautan video berikut: 

Video Memuatnaik RPH dalam Teams 

Untuk melihat bagaimana menambahkan refleksi pula boleh layari pautan di bawah: 

Langkah Mudah Menulis Refleksi RPH dalam OneNote Teams

Thursday, 14 May 2020

Sifat Kimia Alkena

Secara umumnya, tindak balas kimia yang melibatkan alkena boleh dibahagikan kepada 3 bahagian utama, iaitu tindak balas pembakaran, tindak balas penambahan dan pempolimeran. 
Terdapat 5 tindak balas penambahan alkena, iaitu Penghidrogenan, Penghidratan, Penghalogenan, Penambahan Hidrogen Halida dan Pengoksidaan. 


1. Tindak balas Pembakaran 
Pembakaran alkena akan membebaskan gas karbon dioksida dan menghasilkan air. 
Untuk menyeimbangkan persamaan tindak balas, ikut turutan C,H,O, iaitu seimbangkan jumlah karbon terlebih dahulu, kemudian baru diikuti dengan hidrogen dan oksigen. 


2. Tindak balas Penghidrogenan 
Penambahan gas hidrogen akan menukarkan alkena kepada alkana, dengan menggunakan Nikel / Platinum sebagai mangkin dan suhu sebanyak 180 oC
Tindak balas ini digunakan dalam proses pembuatan marjerin dalam industri. 


3. Tindak balas Penghalogenan 
Tindak balas ini digunakan dalam ujian pengesahan kimia bagi membezakan alkana dan alkena. Hanya alkena yang akan bertindak balas dengan halogen, manakala tiada pemerhatian terhadap alkana. Misalnya, apabila alkena dicampurkan dengan air bromin, warna perang air bromin akan dinyahwarnakan / menjadi tidak berwarna. 


4. Tindak balas Penghidratan
Tindak balas ini digunakan dalam industri bagi menghasilkan alkohol. Gas etena dialirkan melalui stim pada suhu setinggi 300 oC, tekanan 60 atm dan menggunakan asid fosforik sebagai mangkin. 


5. Tindak balas Pengoksidaan Alkohol 
Dalam tindak balas ini, alkena dicampurkan dengan agen pengoksidaan seperti Kalium Manganat(VII) berasid atau Kalium Dikromat(VI) berasid. TIndak balas ini juga digunakan dalam ujian pengesahan kimia bagi membezakan alkana dan alkena. 
Apabila Kalium Manganat(VII) berasid dicampurkan bersama alkena, warna ungu Kalium Manganat(VII) berasid akan dinyahwarnakan / menjadi tidak berwarna. 
Manakala jika alkena dicampurkan dengan Kalium Dikromat(VI) berasid, warna larutan Kalium Dikromat(VI) berasid akan bertukar daripada jingga menjadi warna hijau


6. Penambahan Hidrogen Halida 
Tindak balas antara alkena dan hidrogen halida akan menghasilkan haloalkana.


7. Pempolimeran. 
Polimer merupakan suatu molekul berantai panjang yang terdiri daripada unit-unit kecil yang sama, iaitu monomer. Proses penggabungan monomer-monomer untuk menghasilkan molekul berantai panjang dinamaan sebagai Pempolimeran. 
Berikut merupakan antara contoh polimer yang dihasilkan daripada monomer masing-masing: 




*Bagi menonton video penerangan untuk tajuk ini, sila klik link berikut:

Diari Perjalanan Seorang Guru

Menjadi guru itu
Bukan hanya sekadar mengajar tulis baca
Tetapi mendidik untuk menjadi insan yang berguna
Menjadi guru itu
Memikul amanah di dada
Malaksanakan tanggungjawab dengan sepenuh jiwa dan raga
Biarpun sesekali kita berdukalara
Bangkitlah semula!
Mengutip sisa semangat yang ada

Guru
Biarpun kita dikeji
Usahlah kita membenci
Biarpun kita tidak difahami
Teruslah meneladani
Biarpun kita dipandang sepi
Jangan sesekali kita mengundur diri

Guru
Usah diharapkan pada pujian
Usah diminta penghargaan
Kelak dirimu pasti terkilan
Kerana hanya DIA yang layak menilai dan memberi balasan
Sirami jiwa dengan keikhlasan
Agar dirimu memperoleh ketenangan

Buat semua guru-guruku
Terima kasih atas segala ilmu
Atas segala bimbingan dan dorongan
Untuk setiap keringat yang telah kau curahkan
Untuk setiap doa yang kau titipkan
Takkan pernah ku lupa segala jasa dan pengorbanan
Semoga Tuhan mengurniakan sebaik-baik balasan

Untuk anak-anak muridku
Maafkan cikgu atas segala kekurangan
Terima kasih untuk semua kenangan dan pencapaian
Juga tak lupa pada segala kenakalan
Yang telah mengajar cikgu erti sabar dan usaha berterusan
Semoga engkau menjadi insan yang penuh ihsan

Perjalanan perguruan kita teruskan
Biarpun onak duri dan ranjau menanti di sepanjang laluan
Biarpun terduduk kelelahan
Takkan berundur dari medan
Semoga redha Tuhan mengiringi perjalanan

Nukilan asal oleh:
Cikgu Nurul
21 Ramadhan 1441H

~kenangan semasa POP 2019~ 

SELAMAT HARI GURU!
BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU

Dedikasi khas buat semua guru yang telah mendidik saya:
- Tabika KEMAS, Machang, Kelantan (1993)
- SK Hamzah(1), Machang (1994-1999)
- SMK Hamzah(1), Machang (2000-2002)
- MRSM Kuala Lipis (TGS), Pahang (2003-2004)
- Kolej MARA Kulim (2005-2006)
- Universiti Malaya, KL (2006-2010)

2020. All Rights Reserved. ceritacikgunurul.blogspot.com