Saya melawat Brunei pada bulan April tahun lepas. Suatu perjalanan
yang pada awalnya tidak dirancang. Keputusan dibuat pada saat-saat akhir untuk
mengikut seorang rakan & keluarganya berjalan-jalan ke Brunei. Lagipun kami
di Sarawak cuti 4 hari (Jumaat: Good Friday, Isnin: Easter Monday). Kami konvoi
beberapa buah kereta. Saya berdua bersama Cikgu Zila. Memandangkan ini
merupakan kali pertama kami berdua akan ke luar negara & keputusan pula
dibuat pada saat akhir, maka sebaik tamat sahaja sesi persekolahan pada hari
Khamis kami terus bergegas ke Jabatan Pendaftaran bagi tujuan membuat passport.
Nasib baiklah sekarang ni passport boleh siap dalam masa 1 jam. Staf-stafnya
pula semua mesra alam menyebabkan semua urusan dapat berjalan dengan lancar.
Selesai urusan membuat passport, kami bergegas pula ke tempat
pertukaran mata wang asing. Perlu tukar duit siap-siap sebab sebaik sahaja
masuk sempadan Brunei, terus akan ada plaza tol & perlu dibayar dengan
menggunakan mata wang mereka. Hanya ada satu sahaja di Sibu. Itupun agak
terpencil, sesat jugalah sekejap. Pada masa itu 1 dolar Brunei = RM 2.65 (sama
mahal dengan dolar Singapura). Kami hanya mampu berhuhuhu sajalah…..
Perjalanan dimulakan pada petang Khamis tersebut, malamnya kami
bermalam di Bintulu. Keesokan harinya kami bergerak pula ke Miri, pada pagi
Sabtu baru kami memulakan perjalanan masuk ke Brunei. Masa perjalanan:
Sibu-Bintulu (3 jam), Bintulu-Miri (3 jam), Miri-Brunei (3 jam). Sesiapa kalau
nak pegi luar negara ikut jalan darat guna kenderaan sendiri, pastikan semua
dokumen ada terutamanya passport (border pass tak main yer..), roadtax ok, geran kereta bawak, dan
jangan lupa bawak pen. Senang, sebab ada borang-borang yang perlu diisi. Yang
paling penting kalau nak masuk Brunei, sila pastikan kereta tidak ber-tinted ye… kalau tak sesia je kena koyak
dengan pegawai imigresen.
antara landmark yang terdapat di Bandar Seri Begawan
Sebaik sahaja merentasi sempadan, maka bermulalah pengembaraan kami di
Brunei. Kekaguman saya terus bermula sebaik sahaja saya memasuki highway di negara Brunei. Antara
pengalaman mengagumkan saya di negara yang kaya raya ni adalah:
Disiplin pemanduan yang sangat hebat
Orang-orang Brunei ni hampir semuanya bawak kereta macam kilat semasa
di highway. Kami yang bawak 120 km/j
ni pun rasa macam perlahan jika dibandingkan dengan mereka, agaknya mereka ni bawak
140 km/j ke atas. Maklumlah, kami ni guna Perodua je, orang-orang Brunei guna
kereta import dari Barat atau Jepun/Korea. Tak nampak pun bayang orang Brunei
bawak kereta import dari Malaysia.
Yang kagumnya, diorang ni walaupun bawak 200 km/j sekalipun tetapi
tetap ikut peraturan jalan raya. Sepanjang masa dok di lorong kiri, mereka
hanya akan bergerak ke lorong kanan apabila semasa hendak memotong sahaja.
Habis memotong, masuk balik lorong kiri. Jadi, kalau kita bawak kereta di
lorong kanan, mesti akan rasa malu sangat sebab kereta kita je dok kat lorong
tu. Tambahan pula, setiap kali nak tukar lorong, mereka mesti akan bagi lampu signal. Agak-agaknya, kalau nak
dibandingkan dengan cara orang Malaysia bawak kereta macam mana ya…..? *uhuk*
*uhuk*
Keluar dari highway, kami
masuk kawasan bandar, tapi belum sampai Bandar Seri Begawan lagi. Tiba-tiba
sahaja kami terpaksa menempuh traffic jam.
Pelik betul. Rupa-rupanya, traffic jam
sebab budak-budak sekolah baru balik. Sesak dengan kereta ibu bapa yang ambil
anak-anak. Baru kami tahu rupa-rupanya di Brunei, sekolah bercuti pada hari
Jumaat dan Ahad, hari Sabtu mereka bersekolah. Laaa…….. kami ni sengaja datang
hari Sabtu sebab ingatkan hari cuti di Brunei.
Tetapi jangan risau jika menempuh traffic
jam di Brunei, sebab anda tidak akan dengar bunyi hon dan tiada kereta
menyelit masuk sesuka hati. Ini menunjukkan orang Brunei sangat penyabar semasa
memandu. Jika mereka mahu menyelit masuk, mereka akan bagi signal, kemudian angkat tangan dahulu kepada kereta belakang
sebagai tanda minta izin & terima kasih. Masa tu jugak ada kemalangan jalan
raya. Aduhaiii…….. lagilah sesak jadinya. Tapi yang anehnya trafik tetap
berjalan agak lancar. Tidaklah terperangkap dalam jem selama berjam-jam macam
di tempat kita.
Part yang paling best ialah masa nak melintas jalan.
Bayangkan anda sedang ingin melintas di sebatang jalan raya yang agak lapang.
Ada sebuah kereta sedang menuju ke arah anda. Sudah tentulah kita tunggu kereta
tu jalan dulu, baru kita melintas kan. Tapi, tetiba kereta tu berhenti dan bagi
anda melintas dulu walaupun di situ tiada tanda zebra crossing. Sanggup berhenti okayyy walaupun tengah bawak laju.
Bukan sekali, tapi setiap kali nak lintas jalan macam tu. Terharu sangat, macam
mau nanges. Huhu……..
Secara keseluruhannya, inilah pengalaman pemanduan yang paaaaling best
dalam seumur hidup saya. Memang langsung tidak berasa stress memandu dalam kesesakan di Brunei disebabkan oleh disiplin
& adab mereka di jalan raya. Mudah memberi laluan kepada orang lain &
tidak mementingkan diri (eh…kereta) sendiri.
Kecil, tetapi agak sistematik
Negara Brunei ni kecik je, mungkin sebesar Perlis saja kot…. (ada
‘kot’ sebab saya belum sampai Perlis). Jadi, tempat parking nya agak terhad. Tapi mereka menggunakan sepenuhnya ruang
yang ada di tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat parking. Tepi jalan pun boleh, tapi mesti pastikan ada petak parking. Kalau tak sesia je kena saman,
kena bayar guna duit Brunei pulak tu, maunya tak nangis. Satu lagi disiplin
orang Brunei mereka tak parking
kereta merata-rata. Agak susah jugak kami cari parking hari tu, tapi nasib baik polis penjaga parking sangat membantu. *senyum*
Pengiktirafan bahasa melayu & tulisan jawi
Sama seperti Malaysia, Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara
Brunei. Bezanya, mereka memang betul-betul mengiktiraf kedudukan BM sebagai
bahasa kebangsaan di mana-mana sahaja. Papan-papan tanda di sana semuanya
menggunakan Bahasa Melayu & turut ditulis dalam tulisan jawi. Papan-papan
iklan yang mempromosikan BM juga banyak.
Sangat mementingkan kebersihan
Kami singgah solat jamak Zohor & Asar di
Masjid Sultan Omar AliSaifuddin. Jika datang ke negara Brunei, tidak sah jika tidak singgah di masjid
yang cukup terkenal dengan jolokan Masjid Kubah Emas ini. Jolokan itu diberikan
sempena dengan kubahnya yang dilapisi dengan emas tulen. Sangat kaya kan negara
Brunei ni. Kekaguman saya bukan hanya setakat kubah emas itu sahaja, tetapi
juga pada jemaah yang tidak putus-putus mengunjungi masjid untuk mendirikan
solat. Bukan hanya sekadar menjadi tempat persinggahan pelancong. Sangat jauh beza perasaannya dengan Masjid Kristal
di Taman Tamadun Islam, Terengganu.
Keindahan dan kemewahan masjid ini terpancar dari luaran dan juga
ruang dalaman masjid. Namun, pengunjung dilarang untuk mengambil foto di dalam
masjid. Ruang mengambil wuduknya sangat selesa dan bersih. Begitu juga dengan
kain telekung yang disediakan. Ruang solat wanita agak sempit sedikit, tetapi
masih selesa dan sejuk dengan air-cond.
Saya cukup kagum dengan kebersihan masjid yang cukup terjaga. Walau hanya ada
setitik darah di lantai karpet masjid, terus pekerjanya datang membersihkan.
(kebetulan masa itu ada seorang kanak-kanak luka kakinya, jadi darahnya menitik
atas karpet masjid secara tidak sengaja).
Di bahagian belakang masjid, terdapat sebuah replika berbentuk kapal
yang dibina di atas tasik dan dihubungkan dengan masjid oleh jambatan.
Dikatakan bahawa replika ini dibina sebagai memperingati 1400 tahun Al-Quran
diturunkan ke dunia (Nuzul al-Quran).
Kampong Ayer – Perkampungan air terbesar di dunia!
Sedang berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan, kami didekati
seseorang yang mempromosikan pakej lawatan ke Kampong Ayer. Tertarik dengan
tawaran tersebut, kami menerimanya untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai
Brunei dan melihat sendiri kehidupan masyarakat Brunei di atas air. Tambahan
pula, saya ini memang suka naik bot laju (speed
boat) walaupun tak pandai bawak sendiri. Hehe…….
menelusuri Sungai Brunei yang jernih bersama pemandangan sekeliling yang menyejukkan mata
Kampong Ayer ni merupakan gabungan 42 buah kampung dan merupakan
perkampungan atas air yang terbesar di dunia. Mendapat jolokan “Venice Timur” (Venice of the East). Sambil menikmati
pemandangan yang menenangkan jiwa di sepanjang sungai, kami mendengar cerita
pemandu bot tentang sejarah Kampong Ayer, budaya masyarakat di situ serta
beberapa trademark negara Brunei yang
dapat dilihat di seberang sungai. Termasuk juga sebuah legenda tentang anak
derhaka yang disumpah menjadi batu oleh ibunya (seperti cerita Si Tanggang).
Batu tersebut ada di sungai tersebut. Tak tahulah pula sejauh mana
kebenarannya.
batu "Si Tanggang"
Perkampungan air sama sahaja seperti mana-mana kampung di daratan.
Kebanyakan rumah sudah moden, diperbuat daripada konkrit. Ada semua kemudahan
asas (bekalan air & elektrik), sekolah, masjid, stesen minyak dsb. Cuma
bezanya SEMUA itu terletak di atas air. Jadi, hampir semua rumah memang
mempunyai bot sendiri sebagai pengangkutan utama. Budak 8 tahun pun dah pandai
bawak bot. Best kan…. Tapi yang
paling best dan paling membuatkan
saya kagum adalah, persekitaran Kampong Ayer adalah sangat sangat sangat
bersih. Tiada satu pun sampah yang saya lihat dibuang ke dalam sungai di bawah rumah.
Sungai Brunei juga sangat jernih.
deretan rumah di Kampong Ayer
persekitaran rumah yang bersih & cantik.
masjid terapung di Kampong Ayer
galeri ala muzium, salah satu tempat yang disinggah, tetapi dilarang mengambil foto di dalamnya
Kalau nak tahu lebih lanjut tentang Kampong Ayer ni, boleh baca
DISINI.
Selain pengalaman-pengalaman yang mengagumkan, terdapat juga beberapa
pengalaman lucu yang tidak dapat dilupakan:
Sesat
Satu kekurangan di Brunei ialah papan tanda yang sangat kurang. Jadi,
kalau tidak biasa dengan jalan-jalan di Brunei memang akan mudah sesat. Kami
sesat berjam-jam jugalah semasa nak mencari pusat cenderamata. Brunei tak macam
Malaysia yang ada banyak kedai cenderamata. Akhirnya, berjaya juga jumpa
setelah banyak kali berhenti & bertanya kepada orang ramai, tapi dah lupa
nama tempatnya. Walau apa pun, tak boleh shopping
sakan sebab tak banyak duit Brunei yang dibawa. Jimat punya pasal……. Jika
masuk shopping complex lagilah tak
boleh shopping. Mahal weiii
barang-barang Brunei…. Shopping complex
pun mewah kemain.
Peristiwa lucu di bulatan (roundabout)
Pernah satu ketika saya tiba di satu simpang empat, berhenti untuk ke
simpang sebelah kanan. Dalam hati pelik juga kenapa tiada lampu isyarat. Lagi
pelik bila tengok kereta tidak dipandu lurus, tetapi agak bengkok. Beberapa
lama kemudian baru saya faham rupa-rupanya itu bukan simpang empat, tapi roundabout. Ada seketul batu sederhana
besar yang diletakkan di tengah-tengah sebagai tanda. Alahaiii……….saya hanya
mampu gelak jelah dengan member sebelah.
Nasib baik tiada kereta belakang yang hon pada saya. Mungkin mereka faham
apabila melihat plat kereta Q dari Sarawak. Maklumlah Brunei ni negara tak
besar, jadi dia punya bulatan pun kecik je, berbanding dengan Sarawak yang
punya roundabout besar dinosaur.
Keh….keh….keh…..
***************************************************************
Sesungguhnya pengalaman seketika di negara Brunei meninggalkan
pengalaman yang cukup berharga bagi saya. Selama ini, saya cukup mengagumi
negara Jepun yang cukup terkenal dengan teknologi-teknologi moden yang hebat,
di samping tahap disiplin dan kebersihan yang cukup tinggi. Rupa-rupanya kita
punya jiran terdekat yang juga hebat disiplin dan kebersihannya. Ditambah pula
dengan keramahan & adab sopan orang-orang Brunei. Rasa macam nak pergi lagi
sekali. Hari tu tak puas sebab banyak tempat yang tak sempat dikunjungi dek
hambatan masa.
Ketenangan yang dirasai sepanjang berada di Brunei juga mungkin hasil
kredibiliti pemerintahan Sultannya yang berjaya mentarbiyah rakyat yang berada
di bawah kepimpinannya. Ditambah pula dengan hukum hudud yang mula dilaksanakan sebagai asas
perundangan negara. Sememangnya Brunei merupakan sebuah negara yang wajar
dikagumi & dicontohi!
p/s: lepas ni kalau nak pergi, rasanya better ambik pemandu pelancong,
pergi sana naik ‘belon’. Tak perlu lagi letih memandu dari Sibu, tak payah dah
sesat barat di jalan raya, dan tak perlu lagi terpinga-pinga di bulatan yang
‘comel’. Hehehe…….