Saturday 19 March 2016

Senarai Program Akademik, HEM & KK 2016

Bermula dengan pelbagai transformasi di sekolah kami pada hujung tahun lepas, pelbagai program telah dirangka demi memastikan sekolah berada pada landasan yang betul untuk menuju ke arah kecemerlangan.

Selari dengan visi dan misi Tuan Pengetua untuk meningkatkan pencapaian SMKBA dalam segenap aspek terutamanya dalam bidang kurikulum, program-program berikut telah mula dilaksanakan sejak awal tahun ini.

1. Kelas Ekspress Pagi

- Dikhususkan untuk 2 mata pelajaran paling kritikal di SMKBA, iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik.
-Satu waktu PdP ditambah pada awal pagi, bermula pada jam 6.45-7.20 setiap pagi. (PdP biasa bermula jam 7.20 pagi – 1.40 pm)
-Dijalankan secara bergilir-gilir antara 2 m/p, 1 minggu untuk Bahasa Inggeris, 1 minggu berikutnya untuk Matematik.
-Pelajar Ting. 1 & 2 melaksanakan aktiviti menghafal sifir dan membaca buku bahasa inggeris.
-Pelajar Ting. 3-5 dibekalkan modul matematik & BI
- Dikendalikan oleh Guru Tingkatan & dipantau oleh Pengetua, Pen. Kanan dan K.Bidang.




2. Kelas Ekspress Petang

- Bermula jam 2.30-4.00 petang, setiap hari Isnin, Selasa & Khamis (Rabu-KK)
- Melibatkan semua pelajar (asrama & harian), semua kelas dan semua guru
- Pelajar & guru diberi pilihan sama ada menggunakan waktu kelas petang untuk menyiapkan homework atau guru ingin mengajar.
- Peringkat awal hanya melibatkan m/p teras sahaja


3. Kelas Ekspress Malam

- Hanya melibatkan pelajar asrama
-Pelajar mebuat ulangkaji @ mengikuti kelas tambahan yang dijalankan guru (jika ada)


4. Program Kad Sifir

- Melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2
- Bertujuan untuk menggalakkan pelajar menghafal sifir bagi meningkatkan kemahiran dalam m/p matematik.
- Setiap pelajar dibekalkan satu kad sifir (sifir 1-12) pada setiap minggu
- Pelajar yang paling banyak menghantar kembali kad sifir untuk disemak & pelajar yang paling banyak mendapat gred A untuk bacaan sifir diberikan hadiah semas perhimpunan
- Dalam banyak-banyak program yang telah dijalankan, program ini boleh dikatakan yang paling berjaya setakat ini.


5. Kuiz Mingguan Matematik & Bahasa Inggeris 

- Satu soalan kuiz matematik & BI ditulis pada papan notis di bangunan akademik pada setiap hari mengikut tingkatan.
- Pemenang kuiz diumumkan dan diberikan hadiah semasa perhimpunan mingguan.


6. Anugerah Lencana Bintang Terpuji

- Berdasarkan rekod merit dan demerit setiap pelajar
- Lencana Bintang Terpuji dianugerahkan kepada pelajar yang mendapat merit terbanyak secara bulanan.
- Setiap guru dibekalkan satu buku untuk mencatatkan rekod merit dan kesalahan murid sepanjang waktu persekolahan (terutama semasa PdP)
- Rekod mata merit demerit pelajar kemudiannya dikemaskini dan dipindahkan ke dalam fail individu pada setiap hari Jumaat oleh penyelaras merit demerit (iaitu saya).

7. Pertandingan Bulanan Antara Unit KK

- Setiap bulan, 2 unit KK (sama ada Badan Beruniform, Kelab, Persatuan atau Sukan & Permainan) perlu menganjurkan  satu pertandingan antara unit KK
- Jenis pertandingan ditentukan oleh unit KK yang menganjurkan.



7 program di atas cuma sebahagian daripada rutin guru di sini. Tugas-tugas lain bergantung pada senarai tugas & tanggungjawab masing-masing kerana setiap guru punya tugas tambahan yang berbeza. Ditambah pula dengan jarak yang jauh antara sekolah dengan kediaman guru-guru yang tinggal di luar.

Saya sendiri menambah satu lagi hari bertugas pada hari Sabtu khusus bagi menjalankan kelas tambahan Kimia untuk pelajar-pelajar 5 Sains & 4 Sains memandangkan tiada slot bagi m/p elektif semasa kelas petang. Itupun jika tiada sebarang program sekolah dijalankan pada hari Sabtu.

Ramai yang mungkin hairan mahupun tidak percaya pada kesibukan guru-guru masa kini. Namun, saya percaya hampir semua yang bergelar guru menempuhi rutin yang tidak jauh berbeza.

Walau apapun, saya percaya pada kata-kata Pengetua saya,

“To be successful, there’s no other way than HARD WORK.
To be MORE successful, we must WORK HARDER”.


p/s: Moga kami akan terus kuat & istiqamah demi masa depan anak bangsa…..


Friday 18 March 2016

Cara Mudah Mengingati Kumpulan Darah

Darah manusia dibahagikan kepada 4 kumpulan utama, iaitu kumpulan darah A, B, AB dan O.

Dalam proses pendermaan darah, setiap kumpulan darah boleh menderma dan menerima darah daripada kumpulan darah yang tertentu sahaja.

Aktiviti di bawah ini dijalankan bagi memudahkan pelajar untuk memahami dan mengingati kumpulan darah yang berbeza serta proses pendermaan darah. Idea ini pada asalnya diambil dari kumpulan FB Cikgu Sains Kreatif & blog Cikgu Hailmi dengan sedikit pengubahsuaian.

Langkah-langkah:

1. Sediakan 4 buah bikar yang diisi dengan 4 jenis larutan berbeza bagi mewakili 4 kumpulan darah



Darah A: air sirap
Darah B: susu cair
Darah AB: Air Bandung
Darah O: air kOsOng

2. Sediakan 4 set tabung uji dengan 4 tabung uji bagi setiap set (4x4 = 16). Setiap set tabung uji diisi dengan 4 jenis larutan berbeza.



3. Masukkan 4 jenis larutan daripada bikar ke dalam setiap satu set tabung uji.



4. Perhatikan perubahan warna larutan dalam setiap tabung uji.



*Jika warna larutan dalam tabung uji berubah, maka kedua-dua larutan (darah) tersebut tidak boleh bercampur (diderma / diterima)
*Jika warna larutan tidak berubah, maka kedua-dua larutan (darah) tersebut boleh bercampur (diderma/diterima)


Rumusan:

Kumpulan Darah Penerima
Kumpulan Darah
Kumpulan Darah Penderma
A, AB
A
A, O
B, AB
B
B, O
AB
AB
A, B, AB, O
A, B, AB, O  
O
O
    
*Kumpulan darah O boleh mendermakan darah kepada semua kumpulan darah yang lain. Oleh itu, kumpulan darah O dinamakan sebagai Penderma Universal.

*Kumpulan darah AB boleh menerima darah daripada semua kumpulan darah yang lain. Maka, kumpulan darah AB disebut sebagai Penerima Universal.

* Jika darah yang tidak sesuai didermakan / diterima, ia akan menyebabkan:
    - darah akan bergumpal
    - boleh membawa maut 

PdP Kimia Ting. 4: Merentasi 4 Bab dalam masa 2 Minggu

Sukatan mata pelajaran Kimia ting. 4 ada 9 bab yang perlu dihabiskan dalam masa tidak sampai setahun. Jumlah tajuk yang terlalu banyak untuk diajar dan dikuasai oleh pelajar menyebabkan guru-guru terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan terutama sekali apabila melibatkan ‘very slow learners’.

Tahun ini, saya mengambil pendekatan untuk lari dari kebiasaan dan mengajar tidak mengikut turutan tajuk dalam HSP. Sebaliknya, saya mengajar mengikut tahap penguasaan pelajar (tajuk yang mudah dahulu, diikuti dengan tajuk susah) serta menghabiskan dahulu tajuk-tajuk yang berkait antara satu sama lain.

Sukatan m/p kimia Bab 3:
konsep mol à formula empirik à formula molekul à formula ion à formula kimia à persamaan kimia

Sesi PdP saya:
JBU à formula ion à formula kimia & molekul à ikatan kimia à persamaan kimia à konsep mol à formula empirik

Oleh itu, saya telah merentasi 4 bab yang berbeza tetapi melibatkan tajuk-tajuk yang berkaitan. Saya memulakan pengajaran merentasi bab ini setelah selesai tajuk Resapan & Naftalena.

Bagaimana caranya?

1. Berkenalan dahulu dengan JBU (Bab 4)

Seawal minggu pertama PdP Kimia, saya memperkenalkan pelajar dengan Jadual Berkala Unsur (JBU) dan menjelaskan kepada pelajar bahawa inilah unsur-unsur yang akan dipelajari.



2. Beza Unsur & Atom (Bab 2)

Ramai pelajar yang sering keliru antara unsur dan juga atom. Saya gunakan analogi rumah & batu bata. Berikut merupakan gambar yang saya gunakan:


sumber: http://www.dreamhomesource.com/house-plans/media/catalog/product/cache/3/image/


3. Struktur Atom & Perwakilan Piawai (Bab 2)

Selepas membincangkan sejarah perkembangan model atom, bincangkan struktur atom moden & penulisan perwakilan piawai bagi atom. Perbincangan juga termasuk sub-atom, nombor proton, nombor nukleon, susunan elektron dan simbol unsur. Cara melukis susunan elektron saya tunjukkan dengan menggunakan magnet.




4. Kedudukan Unsur dalam JBU (Bab 4)

Setelah pelajar faham cara menulis dan melukiskan susunan elektron bagi atom, minta pelajar lukiskan beberapa struktur atom di papan putih kelas. Minta mereka membuat pemerhatian dan perkaitan antara bilangan petala dan elektron valens dengan kedudukan unsur dalam JBU.

* bilangan petala = kala
* bilangan elektron valens = kumpulan

Bincangkan susunan unsur dalam JBU dengan pertambahan nombor proton.

5. Sifat Unsur-unsur Kumpulan 18 (Bab 4)

Perbincangan unsur Kumpulan 18 tidak panjang, jadi saya terus bincangkan bersama pelajar sifat fizik dan sifat kimia serta kegunaan setiap unsur Kumpulan 18. Dari situ, kaitkan kestabilan unsur-unsur Kumpulan 18 dengan susunan elektron & elektron valens.



6. Pembentukan Ion (Bab 2 + Bab 3)

Tanya pendapat pelajar bagaimana unsur-unsur lain mencapai kestabilan (susunan elektron oktet) – melalui perpindahan elektron, sama ada melepaskan elektron ataupun menerima elektron. Apabila perpindahan elektron berlaku, atom telah bertukar menjadi ion. Minta pelajar kelaskan ion-ion kepada ion positif (kation) dan ion negatif (anion). Kemudian, namakan ion & perkenalkan kepada formula ion.

7. Pembentukan Sebatian Ion & Formula Kimia (Bab 3 + Bab 5)

Apabila elektron yang dilepaskan oleh sesuatu atom diterima oleh atom yang lain, ion-ion yang berlawanan cas tertarik antara satu sama lain dan membentuk sebatian ion melalui ikatan kimia. Bina formula kimia menggunakan kaedah darab silang.


8. Ion Kompleks & Formula Kimia Sebatian (Bab 3)

Setelah pelajar faham tentang perpindahan elektron antara atom, pembentukan ion, pembentukan sebatian & pembinaan formula kimia, baru saya perkenalkan kepada ion-ion kompleks seperti ion ammonium, ion sulfat, ion karbonat dan sebagainya. Semua ion yang perlu pelajar ketahui mereka senaraikan. Pembinaan formula kimia sebatian diteruskan dengan penggunaan Kad Mnemion.


9. Persamaan Kimia (Bab 3)

Pengetahuan tentang formula kimia dikembangkan dengan pembinaan persamaan kimia. Saya mendedahkan pengetahuan tentang persamaan kimia lebih awal kepada pelajar kerana ia merupakan antara soalan wajib dalam SPM, iaitu penghitungan berdasarkan persamaan kimia.



9 tajuk di atas saya habiskan dalam masa 2 minggu @ 4 sesi PdP (tidak termasuk sesi latih tubi).
Selepas ini baru saya merancang untuk membincangkan konsep mol & formula empirik. Jadi, apa yang saya buat sebenarnya adalah ‘reverse’ daripada turutan dalam sukatan.

Bagi saya, apa yang paling  penting adalah tahap penerimaan pelajar. Apa yang saya perhatikan selama ini, pelajar-pelajar sekolah saya menghadapi kesukaran untuk menguasai konsep yang dipelajari, terutamanya apabila melibatkan kemahiran yang abstrak, kompleks dan melibatkan KBAT. Sebab itulah saya tukar dan bermula dengan asas yang paling mudah kemudian kemahiran yang lebih sukar (mereka sangat lemah matematik & pengiraan).

Ini cara saya. Anda pula bagaimana…?  



Membina Susunan Elektron bagi Atom Menggunakan Magnet

Dalam mata pelajaran Kimia Tingkatan 4, pelajar-pelajar perlu menguasai kemahiran menulis dan melukis susunan elektron bagi 20 unsur yang pertama dalam Jadual Berkala Unsur (J.B.U).


20 unsur pertama dalam J.B.U bermula dengan Hidrogen,H, sehinggalah Kalsium,Ca, hanya melibatkan bilangan petala 1-4. Kaedah yang selalu digunakan dalam kelas ialah guru / pelajar melukiskannya di hadapan, iaitu di papan hitam atau papan putih. Apabila ingin melukiskan struktur atom yang baru, struktur atom yang dilukis sebelum ini perlu dipadam terlebih dahulu.

Memandangkan saya gembira dengan penggunaan magnet semasa mengajar tajuk Sebatian Karbon tahun lepas, saya gunakannya pula untuk tajuk Struktur Atom.

Setiap satu magnet mewakili satu elektron yang terdapat pada setiap petala dalam atom. Oleh itu, saya hanya perlu melukiskan petala sahaja. Setiap kali ingin menunjukkan susunan elektron bagi unsur-unsur yang berlainan, hanya perlu tukar bilangan magnet yang digunakan.



Pelajar-pelajar juga menunjukkan respon yang amat menggalakkan. Pelajar-pelajar yang selama ini lebih suka duduk diam di kerusi berebut-rebut angkat tangan nak susun elektron (magnet) pada papan putih di hadapan kelas. 


Thursday 17 March 2016

Membina Struktur Molekul & Isomer Sebatian Karbon Menggunakan Magnet

Bagi tajuk Sebatian Karbon peringkat SPM, terdapat lima siri homolog yang dipelajari, iaitu:

i) Alkana
ii) Alkena
iii) Alkohol
iv) Asid karboksilik
v) Ester

Setiap siri homolog mempunyai formula am/formula molekul dan kumpulan berfungsi yang berbeza. Nama bagi setiap sebatian karbon pula bergantung kepada formula struktur bagi molekul tersebut.

Sebatian karbon yang mempunyai formula molekul yang sama, tetapi formula struktur yang berbeza disebut sebagai ISOMER.

Ramai pelajar (terutama pelajar di sekolah saya) yang keliru dan sering cuai semasa menjawab soalan sebatian karbon terutamanya yang berkaitan dengan isomer. Antara kesukaran yang mereka hadapi ialah:
i) melukiskan & menamakan formula struktur sebatian karbon
ii) membayangkan pembentukan isomer
iii) melukiskan isomer-isomer yang terbentuk (dengan hanya diberikan formula molekul)
iv) mengenal pasti isomer yang sepadan dengan formula molekul

Bagi memudahkan kefahaman pelajar, saya menggunakan magnet semasa sesi PdP Sebatian Karbon.

Setiap magnet mewakili setiap atom yang terdapat dalam molekul sebatian karbon. Jenis atom yang berbeza diwakili oleh warna magnet yang berbeza, termasuklah kumpulan berfungsi masing-masing.


Contoh: 


# magnet merah jambu mewakili atom karbon, C
# magnet biru mewakili atom hidrogen, H
# magnet kuning mewakili kumpulan berfungsi bagi alkohol, iaitu kump. Hidroksil, -OH

Apabila mahu membina struktur molekul yang lain, hanya perlu tambah bilangan magnet sahaja. 


Untuk membina isomer pula, pelajar hanya perlu menggerakkan magnet-magnet tertentu ke tempat baru.
Biarkan mereka meneroka sendiri dengan cara berbincang sesama rakan.



Hasilnya:


Antara kesilapan yang sering pelajar lakukan ialah mengekalkan nama molekul induk yang asal di bahagian belakang. Jadi, perlu ingatkan pelajar walaupun formula struktur yang asal ialah butan-2-ol, tetapi apabila strukturnya berubah, nama bagi isomer yang terbentuk perlu mengikut rantai panjang yang baru.

Penggunaan magnet saya teruskan untuk sub-tajuk sifat kimia (melibatkan tindak balas) bagi setiap sebatian karbon. Pelajar jadi lebih mudah ‘nampak’ bagaimana sesuatu hasil tindak balas terbentuk. 


Nota:

# Penamaan molekul & pembinaan struktur sebatian karbon melibatkan 10 ahli pertama bagi alkana & alkena, manakala penamaan bagi alkohol, asid karboksilik & ester hanya melibatkan 4 ahli pertama sahaja.

# Isomer hanya melibatkan alkana, alkena dan alkohol sahaja.

# Kaedah ini pertama kali saya laksanakan pada tahun 2015

# Memandangkan di sekolah saya (pada tahun lepas) masih menggunakan papan hitam, jadi saya menggunakan papan putih bermagnet (mini magnetic whiteboard) yang dibeli sendiri dari kedai buku Popular.

# Bilangan pelajar 5Sc pula hanya 10 orang, jadi sesi PdP menjadi lebih mudah kerana setiap pelajar mempunyai peluang untuk mencuba dan bergiat aktif dalam perbincangan kumpulan.

# Kos agak tinggi untuk membekalkan mini whiteboard kepada setiap kumpulan pelajar (jika ramai).

# Kos dapat dikurangkan jika sekolah memang menggunakan whiteboard. Lebih mudah & boleh minta pelajar untuk mencuba di hadapan.

# Kos magnet: 1 paket 6 magnet = RM 3 (dibeli dari kedai buku Popular)

# Boleh juga digunakan untuk tajuk-tajuk lain seperti susunan atom dalam jirim, susunan elektron bagi atom & ikatan kimia. 


Impak:

i) pelajar lebih berminat & aktif dalam kelas
ii) pelajar lebih mudah untuk memvisualisasikan pergerakan atom semasa pembentukan isomer & tindak balas kimia
iii) pembelajaran berasaskan murid.
iv) memudahkan pengajaran guru & proses pdp menjadi lebih lancar.
 v) menjimatkan masa: tidak perlu ulang proses lukis, padam & lukis balik. Hanya perlu tukar kedudukan magnet sahaja.