Monday 3 February 2020

Teori Perlanggaran : Nota & Tips Jawapan

Terdapat 4 faktor Kadar Tindak Balas yang sering dibincangkan di peringkat SPM. 

Apabila menghuraikan Kadar Tindak Balas menggunakan Teori Perlanggaran, terdapat 5 poin penting yang perlu disertakan dalam jawapan yang membawa markah sebanyak 5 markah. 

Sentiasa ingat, jawapan Kimia tak perlu begitu panjang, tetapi perlu SPESIFIK, iaitu ada kata kunci yang tepat. 

Dalam kebanyakan kes, ramai pelajar yang tidak dapat skor 5 markah bagi soalan Teori Perlanggaran disebabkan jawapan yang umum, walaupun sudah ditulis dengan panjang. 

5 kata kunci penting bagi Teori Perlanggaran: 
- faktor kadar tindak balas 
- huraian faktor 
- frekuensi perlanggaran antara zarah (sama ada atom / molekul / ion) 
- frekuensi perlanggaran berkesan 
- kadar tindak balas 

Antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelajar adalah: 
- huraian faktor yang tidak tepat 
- tidak menyatakan jenis zarah secara spesifik apabila menerangkan tentang frekuensi perlanggaran
- tiada perbandingan antara set eksperimen 

Contoh jawapan bagi 4 faktor kadar tindak balas: 

1. Faktor Saiz 

Contoh 1: Tindak balas antara Zink dan Asid Hidroklorik 


Set I : menggunakan kepingan Zink
Set II : menggunakan serbuk Zink

Huraian jawapan: 
- Saiz serbuk zink dalam Set II lebih kecil daripada kepingan zink dalam Set I 
- Jumlah luas permukaan zink yang terdedah kepada perlanggaran dalam Set II lebih besar daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ATOM Zink dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 

Contoh 2: Tindak balas antara Asid Hidroklorik dan marmar (kalsium karbonat) 


Set I : menggunakan ketulan marmar
Set II : menggunakan serbuk marmar

Huraian jawapan: 
- Saiz kalsium karbonat dalam Set II lebih kecil daripada Set I 
- Jumlah luas permukaan kalsium karbonat yang terdedah kepada perlanggaran dalam Set II lebih besar daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara kalsium karbonat dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 


2. Faktor Suhu

Contoh: Tindak balas antara Natrium Tiosulfat dan Asid Sulfurik 


Set I : menggunakan suhu larutan natrium tiosulfat yang rendah
Set II : menggunakan suhu larutan natrium tiosulfat yang lebih tinggi 

Huraian jawapan: 
- Suhu larutan natrium tiosulfat dalam Set II lebih tinggi daripada Set I 
- Tenaga kinetik zarah-zarah dalam Set II lebih tinggi daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ION Tiosulfat dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 


3. Faktor Kepekatan 

Contoh: Tindak balas antara pita Magnesium dan asid

Set I : Pita Magneisum + Asid Hidroklorik 0.5M
Set II : Pita Magnesium + Asid Sulfurik 0.5M


Huraian jawapan:
- Asid hidroklorik merupakan asid monobes, manakala asid sulfurik merupakan asid dwibes.
- Kepekatan ION Hidrogen dalam larutan asid sulfurik adalah 2 kali ganda daripada asid hidroklorik.
- Bilangan ion Hidrogen per unit isipadu asid dalam Set II adalah 2 kali ganda daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ION Hidrogen dan ATOM Magnesium dalam Set II lebih tinggi.
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi.
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi.


4. Faktor Mangkin 

Contoh 1 : Penguraian Hidrogen Peroksida menggunakan mangkin Mangan(IV) oksida


Huraian jawapan: 
- Kehadiran mangkin, mangan(IV) oksida menyediakan lintasan alternatif dengan tenaga pengaktifan yang lebih rendah // kehadiran mangkin merendahkan tenaga pengaktifan.
- Lebih banyak zarah-zarah yang dapat mengatasi tenaga pengaktifan dan bertindak balas.
- Frekuensi perlanggaran berkesan lebih tinggi.
- Kadar tindak balas lebih tinggi

*bagi tindak balas penguraian hidrogen peroksida menggunakan mangkin, tiada poin untuk frekuensi perlanggaran antara zarah.

Contoh 2 : Tindak balas antara Asid Hidroklorik dan serbuk zink berlebihan 


Set I : Asid Hidroklorik + Zink 
Set II : Asid Hidroklorik + Zink + larutan Kuprum(II) Sulfat 

Huraian jawapan: 
- Kehadiran mangkin kuprum(II) sulfat dalam Set II merendahkan tenaga pengaktifan tindak balas 
- Lebih banyak zarah-zarah yang dapat mencapai tenaga pengaktifan dan bertindak balas 
- Frekuensi perlanggaran antara atom zink dan ion hidrogen dalam Set II lebih tinggi daripada Set I 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi daripada set I 
- Kadar tindak balas Set II lebih tinggi daripada Set I 


Diharapkan agar beberapa contoh yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar untuk lebih mahir dalam menghuraikan Kadar Tindak Balas dengan menggunakan Teori Perlanggaran.