Monday 31 December 2018

Pembudayaan "Team Teaching" Sebagai Salah Satu Strategi PLC

Pengenalan 

'Team Teaching' merupakan suatu pendekatan di mana dua orang guru mengajar bersama dalam bilik darjah. Dalam bahasa mudahnya, 'teach as one team'. Merupakan hasil cetusan idea Pengetua saya sebelum ini yang ingin menggalakkan kolaborasi yang lebih aktif dalam kalangan guru bagi menghasilkan kualiti PdPc yang lebih mantap. 

Konsep 

Sebenarnya konsep Team Teaching ni diubahsuai daripada strategi PLC Peer Coaching model 3, iaitu Coach dan Coachee mengajar bersama. Cuma bezanya kami tidak menggunakan istilah Coach dan Coachee, di mana kedua-dua guru yang terlibat boleh terdiri daripada guru yang sebaya, mahupun senior dan junior, bergantung kepada keperluan. Guru-guru boleh saling bantu membantu, berkongsi ilmu serta berkongsi pandangan dan idea tentang PdPc dalam bilik darjah. Tiada istilah Guru A lebih hebat daripada Guru B atau sebaliknya. 


Pelaksanaan 

1. Pilih Partner 

Sesiapa sahaja boleh menjadi partner untuk Team Teaching, cuma biasanya dipilih dalam kalangan satu panitia yang sama. Sebelum ini partner saya untuk Team Teaching adalah Ketua Panitia Bahasa Inggeris, Mr. Damasus Julian. Masa tu saya perlu mengajar Sains Ting. 1 KSSM dalam BI untuk program Dual Language Programme (DLP). Beliau banyak membantu saya dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris semasa mengajar. Dalam masa yang sama, beliau juga dapat idea-idea baharu melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti Sains yang menarik yang boleh beliau selitkan dalam pengajaran B.Inggeris. 


2. Fasa Pra-Konferensi 

Sebelum sesi PdPc yang dipilih untuk dijalankan Team Teaching, ahli kumpulan Team Teaching perlu duduk berbincang bersama untuk merancang RPH serta memilih aktiviti yang paling menarik dan sesuai untuk dijalankan bagi subtopik yang akan diajar, sama ada dalam bilik darjah atau luar bilik darjah. Masa ni juga berbincang untuk pembahagian slot untuk mengajar bagi kedua-dua ahli Team Teaching. 

3. Fasa Pengajaran 

Salah satu cara yang boleh digunakan adalah mengajar secara bergilir-gilir mengikut slot dalam RPH. Kemudian, semasa aktiviti hands-on dijalankan, kedua-dua guru boleh saling memantau anak murid, jika seorang di hadapan, seorang lagi di bahagian belakang. Jadi, tiada lagi masalah murid di belakang main-main semasa aktiviti dalam kelas. 


4. Fasa Pasca-Konferensi 

Selepas sesi PdPc tamat, kedua-dua guru duduk berbincang sekali lagi untuk membuat refleksi terhadap kelas sebelum ini. Kemudian, buat laporan menggunakan borang Team Teaching. 


Kelebihan 

1. Dapat idea-idea baharu daripada rakan Team Teaching 
2. Lebih mudah mengawal bilik darjah 
3. Pelajar lebih fokus & lebih mudah faham 
4. Partner Team Teaching boleh 'back up' sekiranya ada perkara yang kita kurang pasti atau lupa semasa mengajar. 
5. Mengelakkan guru daripada 'syok sendiri' semasa mengajar 


Cabaran 

1. Perlu korbankan lebih banyak masa untuk mengajar. Waktu mengajar kita yang tertakluk dalam Jadual Waktu ditambah pula dengan waktu kita masuk mengajar untuk kelas partner Team Teaching 

2. Perlu merendah diri dan bersedia untuk kritikan membina. Elakkan daripada kita rasa kita sudah cukup hebat. Sentiasa bersedia untuk mengubahsuai dan menambahbaik pendekatan pengajaran kita dalam bilik darjah. 

3. Kedua-dua guru perlu bersikap terbuka dan saling memberikan kerjasama. Sentiasa bersedia untuk berbincang dan berkongsi idea. 

4. Jadual waktu yang bertindih antara partner Team Teaching. Untuk hal ini, perlu mohon bantuan daripada PK1 atau AJK Jadual Waktu untuk set waktu mengajar kita agar tidak bertindih dengan partner Team Teaching supaya kita boleh masuk kelas partner. Ataupun satu lagi cara adalah dengan samakan waktu mengajar kita dengan partner untuk mata pelajaran yang sama. Semasa jalankan Team Teaching, dua kelas itu boleh digabungkan. 


Laporan Team Teaching

Kami tidak menggunakan borang dalam tool kit Peer Coaching, sebaliknya menghasilkan templat borang sendiri khusus untuk Team Teaching. Jadi, tidak perlu tulis Jurnal Peer Coaching. 


Contoh Laporan Team-Teaching: 





Templat Kosong Borang Team Teaching

p/s: Dalam laporan ditulis 'Borang Peer Coaching' sebab laporan ni kami hantar ke PPD sebagai strategi Peer Coaching. Cuma di peringkat sekolah disebut sebagai 'Team Teaching'. 


Kalau nak tengok contoh saya tulis Jurnal Peer Coaching, boleh klik link di bawah:

Contoh Laporan Teacher Sharing & Jurnal Peer Coaching  

Sunday 30 December 2018

Imbasan 2018: Satu Tahun yang Penuh Warna di Maktab Tentera Diraja

Tahun 2018 semakin menghampiri penghujungnya. Sedar tak sedar, sudah satu tahun saya bermastautin di KL setelah 7 tahun merantau di Bumi Kenyalang. Banyak pengalaman yang telah dilalui, banyak cabaran yang telah ditempuh. Ada suka dan ada duka, menjadikan hidup penuh warna.


Berbeza & Unik

Seperti yang pernah saya coretkan dalam entri saya yang terdahulu:“100 Hari di MTD”, maktab ini cukup berbeza daripada mana-mana sekolah lain di negara kita. Pembentukan diri Putera yang bukan sahaja mengambil kira aspek akademik, malah turut menekankan aspek jati diri, sahsiah, kepimpinan dan ketenteraan. Walau apa pun, aspek pembelajaran Putera dalam bidang akademik tidak pernah dipinggirkan.

Saya, secara peribadi, banyak menerima soalan berkaitan dengan cuti, terutamanya pada hujung tahun. Sebenarnya, cuti sekolah di MTD sama sahaja dengan cuti di sekolah-sekolah lain seperti yang diperuntukkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Cuma, terdapat beberapa program dan aktiviti yang dijalankan semasa cuti sekolah, misalnya Program Kepimpinan & Jati Diri yang diadakan semasa cuti pertengahan penggal 1 (bulan Mac).

Manakala pada hujung tahun pula, kami sibuk dengan persiapan Perbarisan Tahunan Putera (POP) yang biasanya diadakan 1-2 minggu selepas peperiksaan SPM berakhir. Jadi, ada guru yang perlu menyelesaikan tugasan tertentu, ada juga yang boleh balik kampung dulu, bergantung pada jenis tugas yang diterima. Makan Malam Tahunan (annual dinner) maktab pula selalunya diadakan dalam bulan Disember, tak lama sebelum POP.

Hmmm….. harap-harap rakan-rakan guru dari sekolah lain dan kaum kerabat dah boleh faham bab cuti di MTD ni. Kalau tak diterangkan dengan elok, maunya orang tua di kampung merajuk hehehe……


Macam Mana Nak Masuk MTD?

Ini juga merupakan antara soalan paling famous yang selalu orang bertanya pada saya, baik daripada golongan guru mahupun ibu bapa. Guru di MTD dibekalkan oleh KPM, bergantung kepada kekosongan & permintaan daripada maktab. Lebih kurang macam di sekolah biasa juga, ikut posting oleh KPM.

Untuk ibu bapa & lepasan PT3 yang berminat untuk masuk MTD, permohonan kemasukan ke MTD dibuka pada hujung tahun. Untuk kemasukan tahun 2019, permohonan sudah pun ditutup dan calon akan dipanggil untuk menghadiri temuduga pada bulan Januari nanti. Satu perkara suka saya pesan: kena ubah mindset. Program & aktiviti Putera MTD cukup banyak dan padat. Rujuk poin saya di atas & entri 100 Hari di MTD. Jadi, keseimbangan & kekuatan dari segi mental, fizikal dan emosi adalah sangat penting. Kena pandai bahagikan masa. Jika diikutkan sangat rasa penat, belajar kelaut lah jawabnya.


Kolaborasi

Satu perkara yang cukup menarik dan memberi banyak kelebihan di MTD adalah jaringan dan jalinan antara kami dengan sekolah-sekolah luar termasuklah SBP dan sekolah harian biasa. Lebih-lebih lagi Ketua Panitia Kimia saya adalah merupakan seorang Guru Cemerlang. Banyak program kolaborasi yang telah dianjurkan dan disertai. Antaranya adalah Program Kolaborasi Bersama SBPI Rawang dan Program Kolaborasi Santai Tapi Sampai sebelum SPM baru-baru ini.


Banyak kelebihannya bila kita jalankan program kolaborasi seperti ini, bukan sahaja kepada para pelajar, malah guru-guru juga boleh berkongsi ilmu dan bertukar-tukar idea berkaitan PdPc, pedagogi serta teknik menjawab soalan SPM. Putera-putera MTD cukup seronok bila dapat join program kolaborasi ni, dia punya semangat nak belajar tu lain macam hehe….


Setahun Bersama Regulus

Regulus adalah gelaran bagi ‘anak-anak sulung’ saya di MTD, batch 2017/2018. Memandangkan saya masuk MTD pada hujung tahun 2017, jadi saya cuma sempat bersama mereka selama setahun sahaja. Namun, setahun bersama mereka sudah cukup memberikan 1,001 pengalaman berharga. Tidak keterlaluan jika saya katakan, saya lebih banyak mengenali maktab dengan lebih mendalam melalui interaksi saya bersama boy. Rasa bersyukur sebab batch pertama yang saya ajar di MTD adalah batch yang bagus. Tapi, standard lah boys kann…. alaa….faham-faham ajelah budak laki dalam kelas macam mana. Banyak kali juga saya ‘menyinga’, dan banyak kali juga ‘cair’ haha…..

Bersama kompeni Bravo semasa Kejohanan Balapan & Padang 

Malam Penutup RMC-AFAPS Exchange Programme 

Semasa majlis pelancaran Program Pecutan A+ Peringkat Kebangsaan 

Program Buddy Kimia 

Will definitely miss all of them!


Imbasan Program / Aktiviti

Program dan aktiviti di MTD ni sangat lah banyak. Dulu masa di sekolah lama, rajin lah jugak nak senaraikan satu persatu. Kat sini, ada official photographer, website, facebook and official YouTube. Korang tengok kat situ je lah.

Cuma ada beberapa program yang saya rasakan mungkin tiada di sekolah lain. Jika ada pun, mungkin tidak di semua sekolah.

i) Program Kepimpinan di Mulu, Sarawak

Ada beberapa tempat yang dipilih bagi Program Kepimpinan semasa cuti bulan 3, ada ditulis dalam entri sebelum ini. Saya terpilih untuk mengikuti trip ke Mulu selama 6 hari 5 malam. Lama….dah lah takde line kat sana. Balik dah sibuk dengan urusan lain, terus tak sempat nak update. Sempat pos dalam blog untuk 2 hari je hehe…


Trip ke Mulu ni banyak memberikan pengalaman pertama pada saya:

Pertama kali masuk Taman Negara

Pertama kali masuk gua

Pertama kali naik pesawat tentera

Pertama kali duduk di kokpit pesawat (sepanjang perjalanan Mulu-Kuching)

Pertama kali Canopy Walk. Muka senyum, tapi dalam hati punya berdebarrr.
2,3 jambatan yang mula-mula ok lagi, dah masuk jambatan ke-8 dan seterusnya tak habis-habis tanya “bila nak habis niiii………”

p/s: Mulu Canopy Walk ni antara canopy walk atas pokok yang paling panjang di dunia


ii) Kejohanan Tinju Inter-Coy 2018

Saya tak pernah minat tinju, dan tak pernah tengok orang lawan tinju. Pertama kali tengok di Mess Putera semasa saringan, mula-mula tengok berdiri, akhir sekali terus melekat di kerusi haha….. Perlawanan akhir diadakan secara rasmi dengan disaksikan oleh Komandan MTD.



iii) Latihan Menembak Staf MTD

Ini antara aktiviti tahunan katanya. Semua guru & staf diberi peluang untuk menembak, siap buat pertandingan lagi. Cuma tahun ni saya sempat merasa pistol je, M16 belum lagi. Boy tak payah cakap laa….diorang dah biasa latihan guna pistol & M16 ni.


iv) Program Gallery Walk Kimia 2018

Merupakan program terbesar Panitia Kimia pada tahun ini. Dijalankan secara usahasama dengan Panitia Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan. Banyak keluh kesah nak jayakan program ni. Mengikut perancangan, ia dibuka kepada pelajar-pelajar sekolah luar untuk datang.  Tapi atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, maka ia hanya dijalankan di peringkat dalaman maktab sahaja.

Namun, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Insya-Allah, jika ada rezeki pada tahun hadapan, kita akan anjurkan lagi dan buka kepada sekolah luar.



v) Malam Teater dan Puisi MTD 2018

Bertemakan zaman kesultanan Melayu, pelbagai persembahan disajikan oleh para putera.



vi) Kursus Kepimpinan Bakal Pemegang Pangkat di Photon Valley, Hulu Langat

Kursus ini melibatkan putera-putera Ting. 4 yang dicalonkan sebagai Pemegang Pangkat untuk tahun hadapan. Saya ke sana sebagai wakil guru skuad bagi kompeni Bravo.

Perkongsian pengalaman oleh bekas Komando 


vii) Program Pertukaran Pelajar RMC-AFAPS di Thailand

Rezeki yang datang tanpa disangka-sangka. Saya sepatutnya perlu handle slot Kimia di Benum Hill Resort pada masa itu, tapi last minute dipilih sebagai guru pengiring ke AFAPS, Thailand bersama dengan beberapa orang pegawai tentera, KSM dan termasuk juga Komandan. Ikut perintah je lah…. Lama juga, dalam seminggu macam tu. Tapi, cukup berbaloi. Banyak pengalaman baru dan banyak berjalan hehe…
Ini juga antara entri yang sekian lama tertangguh, disebabkan kekangan masa, tambahan pula jadual semasa di sana cukup padat.

Lawatan ke kompleks Grand Palace 

Melihat proses PdPc dalam kelas 

Makmal Kimia di AFAPS 

Pengalaman dinner atas cruise 

Pengalaman kali pertama flying fox 


viii) Eksesais Nasi Mentah 2018 di Port Dickson

Secara ringkasnya disebut sebagai Ex Nasi Mentah. Merupakan program yang melibatkan semua putera Ting. 4, meliputi latihan-latihan ketenteraan termasuklah latihan survival dalam hutan. Tahun ini dijalankan di Lapang Sasar Menyala Port Dickson (ok lah sikit bagi guru pengiring).

Selalunya Ex Nasi Mentah mengambil masa hampir 2 minggu. Memandangkan tahun ini saya perlu menjadi pengawas SPM, maka sempat ikut program ni selama 4 hari sahaja. Sempat join latihan Map Reading & Compass Marching dengan boy. 6 jam dalam hutan oiiii…… penat toksah cakap lah, tapi best! Rasa macam nak join lagi tahun depan, tapi kalau boy sesat lagi, aku naik 3 tan (trak tentera) balik kem.



ix) Passing Out Parade (POP) 2018

Merupakan acara kemuncak bagi Putera Ting. 5 yang bakal menamatkan pengajian mereka di MTD. Dimulakan dengan acara perbarisan di padang kawad, kemudian diikuti dengan Majlis Penyampaian Hadiah di Mess Putera. POP pada tahun ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan selaku Pegawai Tabik Hormat.



Cabaran & Ujian

Tidak dapat dinafikan, banyak juga cabaran dan ujian yang dihadapi sepanjang berada di sini. Namun, itu semua adalah lumrah kehidupan. Di mana-mana tempat pun sama. Bukan namanya hidup jika tiada jatuh bangun. Tak semua orang suka kita. Apa yang penting, Allah s.w.t. tahu niat kita, DIA tahu apa yang kita buat. Sabar, Redha, Tawakal. Rezeki kita, DIA yang bagi.



Target 2018 & Impian 2019

Alhamdulillah…. Target peribadi untuk tahun 2018 berjaya dicapai. Cuma tinggal proses akhir sahaja. Harap-harap semuanya berjalan lancar hingga ke penghujung. (errr……tiada kaitan dengan jodoh ok, sila jangan salah faham =D)

Impian 2019? Cukuplah jika boleh lalui hidup dengan tenang dan gembira bersama orang-orang terdekat tanpa terlalu banyak drama. Juga sentiasa berusaha untuk menjadi pendidik yang lebih baik daripada saya yang sebelumnya. Harapnya boleh budayakan lagi PAK 21 dalam kelas.

Terkenang kata-kata mantan Pengetua di Sarawak, Mr. Lau, kata beliau:

“Whatever happens, always look at the bright side.”


Galeri Gambar Rasmi:



Saturday 29 December 2018

Contoh Laporan PLC Teacher Sharing & Jurnal Peer Coaching

Dalam entri saya yang sebelum ini, Strategi, Tips & Borang Pelaksanaan PLC, saya sudah kongsikan senarai borang yang perlu ada dalam Laporan PLC bagi setiap strategi yang dijalankan. 

Biasanya, panitia saya hanya isi borang-borang tersebut secara bertulis tangan sahaja, kecuali ada beberapa borang yang ditulis secara bertaip. 


Untuk entri kali ini, saya kongsikan laporan bertulis bagi strategi Teacher Sharing serta penulisan Jurnal bagi Peer Coaching. Kami hanya tulis secara ringkas sahaja, tidak lah terlalu terperinci. Bagi saya, apa yang paling penting adalah bukan panjangnya laporan, tetapi sejauh mana PLC yang dijalankan memberi impak kepada kita sebagai guru. 

Setakat ini, semua laporan yang dihantar kepada pihak PPD tidak menerima sebarang komen negatif, malah sekolah saya sebelum ini (semasa PLC ini dijalankan) merupakan antara sekolah yang paling aktif menjalankan PLC. 

Contoh Laporan PLC (m/pelajaran Sains) : 



Strategi, Tips & Borang Pelaksanaan PLC

PLC adalah merupakan singkatan kepada Professional Learning Community atau Komuniti Pembelajaran Profesional. PLC menggalakkan kolaborasi yang lebih aktif dalam kalangan guru bagi menambahbaik kualiti PdPc dalam bilik darjah. Saya percaya semua guru pasti sudah maklum bahawa setiap PLC yang dilaksanakan boleh didaftarkan dalam laman e-SPLKPM. Rugi jika kita laksanakan PLC tapi tidak didaftarkan sebagai LaDaP. 


Terdapat banyak strategi yang digunakan dalam PLC, boleh rujuk dalam laman e-SPLKPM. Cuma di negara kita setakat ini lebih berfokuskan kepada 6 strategi berikut: 

1. Lesson Study 

Lesson Study boleh dikatakan antara strategi PLC yang paling rumit dan mengambil masa. Namun, sebenarnya ia akan menjadi lebih mudah apabila kita sudah biasa menjalankannya. Dalam strategi Lesson Study, kita berbincang kaedah PdPc terbaik melalui rancangan pengajaran (RPH). 

Lesson Study melibatkan 3 fasa: 

(i) Pembinaan RPH melalui perbincangan guru dalam kumpulan (biasanya satu panitia) 
     - pemilihan aktiviti 


(ii) Pelaksanaan PdPc menggunakan RPH yang telah dibina bersama & pemerhatian oleh ahli-ahli kumpulan Lesson Study 


(iii) Refleksi PdPc dan penambahbaikan RPH 
       - adakah aktiviti yang dipilih dapat membantu pelajar menguasai tajuk yang diajar? 


Sekiranya objektif yang disenaraikan dalam RPH tersebut dapat dicapai melalui aktiviti yang dijalankan, maka kitaran Lesson Study boleh dihentikan setakat fasa (iii) dan boleh diteruskan dengan perbincangan RPH untuk tajuk yang lain pula. Namun, jika banyak kekurangan yang dikenal pasti dan penambahbaikan dibuat, maka RPH yang telah dikemaskini diuji semula melalui kitaran yang seterusnya dengan mengulang semula proses (i) - (iii). 

Tips: Strategi Lesson Study boleh digabungkan dengan strategi lain seperti Teacher Sharing dan Video Critique. 


2. Peer Coaching 

Melibatkan 2 orang guru, biasanya guru senior dan guru junior yang bertindak selaku Coach dan Coachee. Ada 3 pendekatan yang boleh dipilih: 

(i) Coachee mengajar, Coach menjadi pemerhati 
(ii) Coach mengajar, Coachee menjadi pemerhati 
(iii) Coach dan Coachee mengajar bersama. 

Tips: boleh dijalankan semasa proses pencerapan, juga boleh digabungkan dengan strategi Teacher Sharing. 



3. Teacher Sharing Session 

Sebenarnya, kita selaku guru sudah tentu selalu berbincang tentang kaedah PdPc sesama ahli panitia, cuma tak buat laporan saja kan. Jangan risau, laporan TSS senang sahaja, hanya isi sahaja borang yang telah disediakan dalam tool kit TSS. Jangan lupa ambil gambar dan lampirkan dalam laporan. 

Tips: TSS boleh dijalankan secara berkumpulan mahupun antara 2 orang guru sahaja pun boleh. Setiap kali berbincang, ambil gambar terus, laporan boleh disediakan kemudian. 



4. Learning Walks 

Strategi PLC yang paling rileks. Apa tidaknya, sambil-sambil berjalan sahaja sudah boleh hasilkan satu laporan PLC. Tapi, pastikan ada ilmu yang dikutip melalui pemerhatian terhadap pengajaran guru lain. Bukan berjalan kosong sahaja ye. Jika bosan atau mengantuk dalam bilik guru, jalan-jalan ambil angin sambil menimba ilmu. Best kan..? 

Tips: Masa berjalan tu, terus bawa siap-siap borang Learning Walks, isikan terus. Jika tidak nanti lupa apa yang diperhatikan dan laporan jadi bertangguh. Akhir sekali, laporan tidak dibuat, maka rugi lah. 



5. Video Critiques 

Video diambil semasa proses PdPc, kemudian ahli kumpulan PLC menonton semula video tersebut. Sambil-sambil itu, ahli kumpulan menilai kaedah yang digunakan serta membincangkan penambahbaikan terhadap kaedah PdPc sedia ada. 

Tips: Video Critique boleh menjadi alternatif sekiranya tidak semua ahli kumpulan / ahli panitia dapat hadir semasa pelaksanaan Lesson Study atau Peer Coaching. Malah boleh dikongsi melalui aplikasi mudah alih seperti Telegram / WhatsApp / Skype dll. Proses perbincangan lebih meluas dan lebih fleksibel. 


6. Data Analysis 

Data Analysis biasanya melibatkan proses penilaian terhadap ujian/peperiksaan melalui analisis item yang dibuat. Kita tengok tajuk mana yang sukar dikuasai oleh pelajar, pelajar mana yang perlu diberikan perhatian lebih. Ini pun dah biasa sangat kita buat kan, cuma tak dokumentasikan saja, betul tak? 



Catatan: 

Perlu diingat bahawa setiap strategi PLC yang dijalankan adalah bertujuan untuk menilai dan menambahbaik pedagogi dalam bilik darjah. PLC dilaksanakan BUKAN untuk menilai guru yang mengajar. Guru-guru dalam kumpulan PLC juga perlu lebih bersikap terbuka dan bersedia untuk memberikan kerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan PLC secara berkualiti. 


TOOL KIT PLC 

Berikut merupakan senarai borang berkaitan yang perlu diisi bagi melengkapkan Laporan PLC. 
Selain daripada borang-borang ini, sertakan bersama RPH bagi tajuk yang dilaksanakan PLC. 



Untuk contoh laporan PLC: 

Contoh Laporan TSS & Jurnal Peer Coaching 

Thursday 13 September 2018

Target Kimia SPM 2018

Berikut merupakan senarai tajuk / subtopik yang dijangka akan ditanya dalam KERTAS 3 peperiksaan Kimia SPM pada tahun ini. 

Bagi soalan kuantitatif, iaitu soalan yang melibatkan bacaan radas eksperimen: 
- Pentitratan asid-bes (radas: buret) 
- Sel Kimia (radas: voltmeter) 
- Haba tindak balas (radas: termometer) 

Bagi soalan kualitatif pula: 
- Pengaratan paku besi 
- Tindak balas logam kump. 1 dengan air / oksigen 

Perancangan eksperimen: 
- Kadar tindak balas 
- Haba tindak balas 
- Penggumpalan lateks 
- Elektrolisis 

Harus diingat, ini hanyalah tajuk yang diberi fokus lebih. Bukan bermakna tidak perlu ulangkaji tajuk lain. 

Untuk kertas 2, adalah agak sukar untuk diramalkan secara tepat. Kebiasaannya, target untuk untuk Kertas 2 hanya betul sebahagian sahaja, sebahagian lagi tidak tepat. 

Jadi, nasihat saya buat semua calon Kimia SPM jika anda target untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Kimia SPM, tak perlu target Kertas 2. Jangan ambil risiko untuk fokus pada soalan target, anda akan kehilangan 50% peluang untuk dapat gred cemerlang. 

Kertas 2 ada 10 soalan, 6 soalan struktur dan 4 soalan esei yang merangkumi hampir semua tajuk dalam Kimia.  Kuasai semua tajuk, terutama tajuk-tajuk asas Ting. 4, pasti lebih tinggi peluang untuk dapat A/A+ dalam Kimia. Insya-Allah. 


p/s: mohon untuk TIDAK DISALIN (copy n paste) secara terus daripada laman ini. 

Wednesday 22 August 2018

Aidil Adha, Guru dan Pengorbanan Tanpa Penghujung


Awan mendung berarak dan rintik hujan turun membasahi bumi kampung halaman menambah kedinginan Subuh di pagi raya yang pertama. Mujur hujan yang turun tidak selebat darah yang mengalir saat ternakan yang dikorbankan rebah ke bumi.

~ Gambar hiasan ~ diambil dari South Sudan 
Kredit gambar: Razi Ismail 
  
Bercerita tentang Aidil Adha dan erti sebuah pengorbanan, pasti ada 1,001 kisah yang berbeza. Setiap orang punya definisi tersendiri, berpandukan gelora hidup yang dilayari dan berdasarkan bidang kerjaya yang diceburi.

Coretan ini cuma bersifat umum, tidak mengkhusus mahupun mewakili pandangan mana-mana individu. Ia berdasarkan pengalaman sendiri dan orang-orang terdekat yang saya kenali. Disimpan sebagai refleksi, merenung kembali kekurangan diri dan mengintai ruang yang boleh diperbaiki.


Keluarga Adalah Segala-galanya.

Banyak orang berkata, jangan terlalu mementingkan kerjaya dan bos di tempat kerja. Saat kita susah dan sakit, keluarga adalah tempat kita bergantung. Keluarga adalah segala-galanya, yang akan sentiasa di sisi kita saat senang dan susah.

Namun harus diakui, kerjaya guru tidak semudah itu. Seringkali masa yang ada harus dikongsi.
Benar, keluarga adalah tanggungjawab utama dan anak-anak adalah amanah. Tetapi jangan kita lupa, anak-anak murid di sekolah juga adalah suatu amanah. Dan kita adalah insan terpilih untuk melaksanakan amanah yang besar ini.


Masyarakat tidak mungkin akan faham sepenuhnya. Tidak perlu untuk kita berkecil hati mahupun menerangkan bertubi-tubi. Cukuplah sekadar mereka yang terdekat faham apa yang kita lalui. Keluarga yang disayangi, cubalah untuk memahami dan memberikan sokongan, kerana anda tetap segala-galanya bagi kami. Jika keluarga sendiri tidak memahami, siapakah lagi yang boleh dipercayai?


Keluarga vs Murid: Mana Lebih Utama?

Saya terkenang pada suatu babak yang saya tonton melalui teater “Ola Bola the Musical” di Istana Budaya beberapa bulan yang lepas. Ada satu babak dalam teater tersebut yang cukup terkesan di jiwa saya, melibatkan watak Muthu. Dalam babak tersebut, Muthu dimarahi oleh bapanya kerana terlalu mementingkan bola sepak sehingga bapanya menganggap bahawa dia telah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Kecewanya seorang bapa dizahirkan apabila Muthu dihalau & tidak diakui sebagai anak jika dia terus bermain bola sepak. Dalam masa yang sama, Muthu menjadi sandaran pasukan negara dalam perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik. Hilangnya Muthu dari pasukan, retaklah harapan yang disandarkan oleh seantero negara. Antara tanggungjawab terhadap keluarga dan tanggungjawab terhadap negara, mana satukah yang lebih utama? Terkorbankah keluarga apabila berkorban demi negara?  

Kerap kali kita sebagai guru berhadapan dengan situasi seperti ini. Situasi dan jalan cerita yang tidak sama, tetapi hampir serupa. Seringkali keluarga mempersoalkan waktu yang diluangkan untuk anak-anak di sekolah, sedangkan anak-anak di rumah mengharapkan masa yang lebih. Banyak kali sesi ‘family time’ di hujung minggu & cuti sekolah dikurangkan demi melaksanakan kelas tambahan. Sehinggakan kadang-kadang masa untuk diri sendiri juga sering terkorban.

Tidak cukupkah mengajar dalam kelas sehingga perlu kelas tambahan?
Tidak cukupkah mengajar pada waktu siang sehingga perlu turun pada waktu malam?
Tidak cukupkah mengajar pada hari persekolahan sehingga perlu korbankan hujung minggu yang berharga?
Tidak bolehkah mereka belajar sendiri tanpa bergantung pada guru semata-mata?


Setiap persoalan di atas, hanya guru yang punya jawapannya.
Andai tidak mampu lagi mengulang dengar soalan & mengulang semula jawapan, pekakkan saja deria pendengaran. 
Kadangkala, berdiam diri itu lebih baik daripada berkata-kata sehingga mengguris rasa. 


Berkorban atau Terkorban? 

Menjadi guru tidak hanya terikat pada tugas hakiki dalam bilik darjah. Suka atau tidak, banyak masa di luar waktu bertugas perlu dikorbankan demi menyelesaikan pelbagai tugas tambahan, biarpun tidak dikira sebagai OT (overtime). Lalu, kita merasakan banyak waktu kita yang telah terkorban, malah terasa seperti diri dikorbankan apabila bertugas dalam keterpaksaan. Belum lagi dikira pengorbanan wang ringgit yang dilaburkan demi alat-alat kelengkapan serta bebanan fizikal dan emosi yang kadangkala meresahkan.

Tapi percayalah, andai hati kita cukup redha menghadapi segalanya, andai semangat kita cukup kental berhadapan segala cabaran, sudah pasti rasa terkorban tidak akan muncul dalam jiwa. Setiap tugas tambahan yang dilakukan, setiap sen yang diinfakkan, seandainya ia demi kebaikan anak didik dan perkembangan pendidikan, didiklah hati untuk seikhlas mungkin. Anggaplah ia sebagai sumbangan. Itulah namanya pengorbanan.


Diri sendiri berkorban atau membiarkan diri terkorban? Kita sendiri yang menetukan pilihan.   


Berkorban Untuk Apa & Siapa?

Mengajar tanpa batasan waktu, mendidik tanpa batasan ruang, bertugas tanpa penat dan jemu di waktu pagi petang siang dan malam, untuk apakah semua itu? Adakah demi mengejar ranking dalam peperiksaan awam atau demi mengukir nama sebagai guru yang melahirkan paling banyak ‘A’ di atas sekeping kertas? Atau mungkinkah gelaran APC atau GC yang disandarkan impian? Mungkinkah juga sekadar mengharapkan pujian dan pujaan dari pihak atasan dan rakan seangkatan?  


Usah diharapkan penghargaan manusia, 
kelak kita lebih banyak berasa kecewa dan tertekan.
Tidak perlu diimpi balasan dan ganjaran insan, 
kerana ketidakadilan seringkali menjadi halangan.
Cukuplah sekadar ikhlas menjadi sandaran, 
agar kita tidak leka dek pujian dan tidak pula mati dek kejian.
Tabah dan sabar pada setiap ketentuan, 
agar jiwa sentiasa tenang menghadapi cabaran.

Hakikatnya penilaian manusia tidak akan pernah sesekali sama dengan penilaian Tuhan.
Ampunkan kekhilafan insan dalam membuat pertimbangan, 
sedangkan kita sendiri punya kekurangan.
Sesungguhnya hanya DIA yang selayaknya memberikan ganjaran.
Yakinlah bahawa setiap usaha & pengorbanan 
pasti akan terbayar walau bukan sekarang.
Dan seharusnya hanya redha dari-Nya yang menjadi impian.


Cerita Kita Tak Sama

Pandangan kita mungkin berbeza, kerana jalan cerita kita tidak sama.
Cabaran kita mungkin tidak serupa walau punya kerjaya yang sama, apatah lagi jika berbeza dunia kerjaya. Jadi, usah pukul rata dan pandanglah dari sudut yang berbeza. Ini cuma sekadar perkongsian rasa. Raikan persamaan, hargai perbezaan.

Pada akhirnya, destinasi yang kita tuju di penghujung kehidupan adalah sama. Jadikanlah perjalanan ini suatu perjalanan yang bermakna.


Ganjaran Tidak Ternilai

Biarpun kita tidak dikenali, walaupun jasa kita tidak didendang, biarlah orang mahu berkata apa sahaja, yang paling penting DIA sentiasa ada memerhatikan kita. Sejauh mana keikhlasan kita, sejauh mana kita malaksanakan amanah & tanggungjawab, dan sejauh mana pengorbanan kita, hanya DIA yang layak menilai. Moga kita tidak mendabik dada dan meninggi diri. Moga kita dijauhkan dari sifat ujub dan dengki.

Buat semua rakan seperjuangan, teruskan memberi yang terbaik dalam mendidik anak bangsa. Yakinlah bahawa tidak akan pernah ada satu pun usaha & pengorbanan yang sia-sia. Moga-moga setiap ilmu yang dicurahkan menjadi saham untuk kita di alam sana. Moga-moga setiap benih yang kita semai akan tumbuh mewangi untuk kita tuai di hari muka. Dan semoga ada tangan yang dihulur untuk menarik kita ke syurga.


Menjadi guru itu tugas yang mulia. Sumber pahala yang berganda. Layakkah kita?
Moga-moga setiap usaha & pengorbanan kita diterima oleh-NYA.

Wallahu’alam.

SALAM AIDIL ADHA
Selamat Hari Raya KORBAN buat semua saudara Muslim yang membaca coretan ini, terutamanya buat rakan-rakan seperjuangan yang bergelar guru mahupun pendidik.
Guru: Pengorbanan yang tidak akan pernah terhenti selagi nafas dihembus di muka bumi.


Coretan tulus ikhlas dari hati,
Cikgu Nurul
~ sekadar guru biasa yang ingin berusaha secara luar biasa ~



p/s: niat asalnya tak nak tulis panjang-panjang, tapi terpanjang jugak. Hmm….kalau sudah namanya cikgu, banyak bercakap, banyak pula yang ditulis… =D

Sunday 15 July 2018

Permohonan Kemasukan ke Maktab Tentera Diraja

KEMASKINI: 

Permohonan kemasukan ke MTD bagi sesi 2019/2020 telah pun ditutup baru-baru ini. 

Sistem Semakan Online bagi Pengambilan Putera MTD Tahun 2019 kini telah dibuka sepenuhnya. 
Tuan / Puan / calon dari seluruh negara boleh menyemak keputusan kemasukan melalui pautan berikut: 



*********************************************************************************

Berita baik buat pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang berminat untuk mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja (MTD), juga kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak ke sini, permohonan kemasukan ke MTD bagi sesi 2019/2020 kini telah dibuka. 



Permohonan adalah dibuat secara atas talian (online) melalui pautan berikut: 


Pemohon perlulah mendaftar akaun di pautan tersebut terlebih dahulu sebelum mendaftar permohonan kemasukan. 

Berikut merupakan antara syarat-syarat bagi permohonan masuk ke MTD: 

1) Calon yang menduduki PT3 pada tahun 2018.
2) Calon LELAKI sahaja.
3) Calon yang mendapat 7A diberi keutamaan.
4) Tinggi minimum: 152 cm, berat minimum 40.5 kg
5) BMI antara 18-27 
6) Ukuran dada 74 cm (biasa), 79 cm (tarik nafas) 
7) Sihat fizikal & mempunyai penglihatan yang baik.
    * boleh memakai cermin mata 


Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah terus berhubung dengan pihak yang berkenaan:

Unit Pengambilan & Promosi 
Jabatan Pendidikan Tentera, 
Maktab Tentera Diraja.

Tel : 03-89465562/5565 (Isnin-Jumaat 8.15am-5.00pm)


** Untuk gambaran kasar proses pembelajaran & lifestyle di MTD, boleh baca pengalaman saya melalui pautan dalam blog ini (klik page MTD di bahagian atas).

Pautan luar tentang MTD:

Portal Rasmi MTD 

FB rasmi : Maktab Tentera Diraja 

Bagi mengetahui aktiviti-aktiviti lain sepanjang tahun di MTD, boleh layari laman berikut:
YouTube IMC MTD