Friday, 24 July 2015

Eksperimen untuk Mengkaji Sifat-sifat Asid & Alkali

Dalam Bab 7 Kimia Tingkatan 4, terdapat 6 eksperimen yang terlibat untuk mengkaji sifat kimia asid dan alkali. Tiga eksperimen untuk mengkaji sifat kimia asid, juga tiga eksperimen untuk mengkaji sifat kimia alkali. Salah satu daripada eksperimen-eksperimen tersebut merupakan eksperimen yang sama bagi asid dan alkali, iaitu eksperimen tindak balas peneutralan. Jadi, sebenarnya kita hanya perlu menjalankan 5 eksperimen sahaja di dalam makmal.

Tiga eksperimen untuk mengkaji sifat kimia asid adalah:
i)                    Tindak balas antara asid dan bes / alkali (tindak balas peneutralan)
ii)                   Tindak balas antara asid dan logam
iii)                 Tindak balas antara asid dan logam karbonat

Tiga eksperimen untuk mengkaji sifat kimia alkali pula adalah:
i)                    Tindak balas antara alkali dan asid (t/balas peneutralan)
ii)                   Tindak balas antara alkali dan garam ammonium
iii)                 Tindak balas antara alkali dan ion logam

Saya telah menjalankan semua eksperimen di atas, kecuali eksperimen peneutralan kerana merancang untuk menjalankannya semasa membincangkan subtopik peneutralan menggunakan kaedah pentitratan asid-bes.

      (A)   Tindak balas antara asid & logam

Dalam eksperimen ini, kepingan logam dimasukkan ke dalam tabung uji yang berisi asid. Saya menggunakan asid hidroklorik dan pita magnesium.



Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ialah: 
i)                    Sebelum eksperimen ini dijalankan, kepingan logam mesti dibersihkan dengan kertas pasir terlebih dahulu bagi membuang lapisan oksida.
ii)                  Logam yang digunakan pula mestilah lebih elektropositif daripada hidrogen (kedudukan lebih tinggi dalam Siri Elektrokimia)
            Jadi, tiada perubahan yang dapat diperhatikan jika menggunakan kepingan kuprum / argentum. 

Tindak balas ini adalah sangat cepat. Oleh itu, adalah digalakkan supaya pelajar menyalakan kayu uji terlebih dahulu sebelum memasukkan kepingan logam dalam asid. Terdapat satu kumpulan yang lambat menyalakan kayu uji, manakala kepingan logamnya pula sudah habis bertindak balas (gelembung gas sudah tiada). Alahai........ 

‘Part’ paling best adalah semasa menguji gas terbebas menggunakan kayu uji bernyala. Pelajar-pelajar saya ni semua sudah lupa ujian2 gas ni walaupun sudah buat masa menengah rendah dulu. Jadi, semua pakat buat muka terkejut masa kayu uji berbunyi ‘pop’. Disebabkan mereka terlampau excited, maka saya bagi can mereka ulang eksperimen ini. Main sampai puas. Hehe……




Walau apa pun, penekanan perlu diberikan supaya pelajar benar-benar faham tentang ujian ini kerana ini merupakan ujian penting bagi mengenal pasti sesuatu asid. Soalan tentang ujian ini biasa ditanyakan dalam soalan struktur (kertas 2 bahagian A) ataupun soalan esei.

      (B)   Tindak balas antara asid & karbonat logam.

Eksperimen ini juga sebenarnya sudah dijalankan semasa tingkatan 3 (bab 6 – Tanah dan Sumbernya).
Saya menggunakan asid hidroklorik dan kalsium karbonat (kulit kerang) kerana mudah didapati. Sempat juga buat sedikit revision dengan pelajar tentang bahan seharian yang mengandungi kalsium karbonat.
(p/s: nampaknya mereka masih ingat batu karang yang pernah dibawa oleh Cikgu Hailmi pada tahun lepas).
Gas yang terbebas hasil tindak balas tersebut dialirkan dengan menggunakan salur penghantar ke sebuah tabung uji lain yang mengandungi air kapur. Salur penghantar mestilah mencecah masuk dalam air kapur.




      (C)   Tindak balas antara alkali & garam ammonium.

Dalam eksperimen ini, pelajar-pelajar hanya perlu mencampurkan alkali bersama serbuk garam ammonium dan memanaskannya sehingga terdapat gelembung gas yang terbebas. Langkah berjaga-jaga perlu diambil semasa pemanasan supaya hasil tindak balas tidak terkeluar daripada tabung uji. Gas yang terbebas berbau sengit dan sifatnya diuji dengan menggunakan kertas litmus merah lembap yang diletakkan di mulut tabung uji. 



      (D)   Tindak balas antara alkali & ion logam

Apabila alkali bertindak balas dengan larutan garam yang mengandungi ion logam, mendakan logam hidroksida akan terbentuk. Kebanyakan mendakan adalah berwarna putih (boleh rujuk Bab 8 – Garam). Untuk nampak menarik, kita boleh menggunakan ion logam peralihan kerana ion-ion logam peralihan mempunyai warna yang pelbagai. 
Misalnya, ion Fe2+ akan menghasilkan mendakan berwarna hijau, ion Fe3+ (perang), dan ion Cu2+ (biru).
Jika dirujuk dalam buku amali Kimia Tingkatan 4, ia mencadangkan larutan ferum (II) sulfat, FeSO4. Tetapi semasa menjalankan eksperimen ini, mendakan yang terhasil adalah berwarna perang. Jadi, saya mengandaikan bahawa ion ferum (II) dalam larutan tersebut telahpun teroksida kepada ion ferum(III). Saya tidak pasti bila pembantu makmal menyediakan larutan tersebut. Apa yang pasti untuk mendapatkan hasil yang tepat, larutan ferum(II) sulfat perlu disediakan betul-betul sebelum (just before) eksperimen dijalankan.  

Ekesperimen ini merupakan satu pendedahan yang baik untuk pelajar-pelajar mengenal pasti warna-warna ion dalam larutan garam sebelum mereka mempelajarinya dalam Bab 8 nanti.

Rumusan hasil eksperimen untuk mengkaji sifat-sifat asid dan alkali:

Eksperimen
Bahan tindak balas
Contoh
Ujian Gas
Pemerhatian
Inferens
Kesimpulan
A
Asid & logam
HCl + Mg
Menggunakan kayu uji bernyala
-Gelembung gas tidak berwarna dibebaskan.

-Kayu uji bernyala menghasilkan bunyi ‘pop’
Gas hidrogen terbebas
Asid bertindak balas dengan logam (yang lebih elektropositif daripada hidrogen dalam Siri Elektrokimia) untuk menghasilkan garam dan membebaskan gas hidrogen.
B
Asid & karbonat logam
HCl + CaCO3
Menggunakan air kapur
-Gelembung gas tidak berwarna dibebaskan.

-Air kapur menjadi keruh
Gas karbon dioksida terbebas
Asid bertindak balas dengan karbonat logam menghasilkan garam, air dan membebaskan gas karbon dioksida
C
Alkali & garam ammonium
NaOH + NH4Cl
Menggunakan kertas litmus merah lembap
-Gas yang berbau sengit dibebaskan.

-Kertas litmus merah lembap bertukar menjadi biru

Gas ammonia terbebas
Alkali bertindak balas dengan garam ammonium menghasilkan garam, air dan membebaskan gas ammonia.
D
Alkali & ion logam
NaOH + FeSO4
-
Mendakan hijau terbentuk
Mendakan Fe(OH)2 terhasil
Alkali bertindak balas dengan ion logam menghasilkan logam hidroksida yang tak larut.
NaOH + Fe2(SO4)3
-
Mendakan perang terbentuk
Mendakan Fe(OH)3 terhasil
NaOH + Cu(NO3)2
-
Mendakan biru terbentuk
Mendakan Cu(OH)2 terhasil


**Download nota ini DI SINI 


p/s: nasib baik berjaya habiskan 4 eksperimen dalam 2 waktu PdP. Senang nak kawal / pantau bila pelajar sikit. 

Sunday, 12 July 2015

Beza Berpuasa di Semenanjung & Sarawak

Ramadhan sudah semakin hampir ke penghujungnya.
Kehidupan tetap berjalan seperti biasa.
Tiada apa sangat yang istimewa, kecuali peningkatan amalan yang perlu diusahakan.
Peluang yang harus direbut kerana belum tentu bertemu Ramadhan yang seterusnya.
Dari segi suasana, tidak terasa sangat bezanya bulan puasa dengan bulan-bulan lain semasa berada di bumi Sibu.
Maklumlah, majoriti di sini adalah non-muslim. 

                                                            *sekadar gambar hiasan. sumber: google 

Waktu bersahur & berbuka 

Beza waktu antara Sibu dan KL adalah 40 minit.
Jadi, waktu bersahur memang kena bangun awal. Imsak jam 4.55 pagi.
Nasib baik juga sudah terbiasa bangun awal selama ini (sebab kena sedia bekal bawak pegi sekolah)
Selalunya waktu bersahur makan sahaja apa yang ada, tetapi tetap kena makan karbohidrat sebab perlu banyak tenaga untuk mengajar nanti.
(mencabar sungguh mengajar kelas belakang masa bulan puasa nih. budak2 pulak hiperaktif).

Yang bestnya waktu berbuka lah sebab boleh berbuka puasa lebih awal daripada orang di Semenanjung. hehe.....
Sekarang waktu berbuka jam 6.47 pm. Jam 8 sudah Isyak. Jam 9.15 sudah habis terawih.
Masa bulan puasa terasa cepat betul waktu berlalu.


Bazar Ramadhan 

Bulan puasa tak sah kalau tak pegi bazar Ramadhan.
Itu kalau di Semenanjung lah.
Saya di sini jarang sangat-sangat pegi bazar Ramadhan.
Susah sangat nak jumpa menu yang 'kena' dengan selera.
Tahun ni baru 2 kali pegi bazar Ramadhan.
Kali pertama sebab terpaksa. Lambat balik dari sekolah, jadi tapau sajalah.
Dua kali pusing bazar di Kg. Bandung, tak satu menu yang menarik perhatian.
Last-last jumpa nasi dagang. Excited sungguh jumpa nasi dagang di Sibu.
Tapi, mana nak sama dengan nasi dagang ori yang orang kelantan buat.
(haha.....susah betul bila tekak kelantan 'pure' nih...)

Kali kedua pegi bazar di Kem Askar Batu 10 (jalan nak ke airport Sibu).
Sekian lama dok dengar cerita orang yang kata kat situ menunya sedap sebab majoriti peniaga orang semenanjung.
Bila pegi, memang tak dinafikan teruja sebab ramai peniaga Kelantan.
Tapi, walau apa pun, menu bazar tetap tak sama rasa dengan menu di rumah.
Baik masak sendiri, jimat kos, jimat masa.
Daripada perabis duit beli makanan kat bazar yang belum tentu lagi sedap (mahal pulak tu), kadang menu yang ringkas di rumah jauh lebih mengenyangkan.


Mercun 

Mercun dan raya memang tak boleh dipisahkan. 1 Ramadhan pun dah ada yang main mercun.
Tiap-tiap tahun mesti ada berita putus tangan / putus jari akibat mercun.
Kalau di Semenanjung, mesti dah berdentam-dentum bunyi mercun, baik siang mahupun malam.
Habis menyumpah seranah orang2 yang tengah terawih sebab tak khusyuk.
Tapi, satu kelebihan apabila tinggal di kawasan perumahan yang majoritinya kaum cina.
Setakat ini, saya belum dengar lagi bunyi mercun. Tak tahu pula kalau di bandar / kawasan kampung.
Ini sajalah salah satu kelebihan yang saya rasa berpuasa di sini sebab tak perlu tension dengar bunyi mercun.


Persiapan Raya 

Masuk penghujung Ramadhan ni, makin ramai yang mula membuat persiapan untuk raya nanti.
Semua pasaraya sesak kalau hujung minggu.
Di Sibu ni, kebanyakan barang (baik pakaian mahupun makanan) harganya lebih mahal dan pilihannya kurang jika dibandingkan dengan di Semenanjung.
Nak cari bahan-bahan bakeri pun susah. Pilihan yang ada cuma di pasaraya Giant (sebab ini yang terdekat dengan rumah).
Tapi gigih jugaklah cari bahan-bahan bakeri nak buat biskut raya untuk bawak balik.
Sebabnya mengenangkan bonda di rumah yang tak sihat tak dapat buat biskut raya tahun ni.


Kesimpulannya, ada juga bagusnya berpuasa di perantauan ni.
Sebabnya boleh kawal nafsu pegi bazar.
Boleh kawal nafsu shopping.
Boleh terawikh dengan tenang.

Jom imarahkan bulan Ramadhan!


p/s: klate, mu tunggu aku kelik x lamo lagi....