Jika
Imbasan 2016 sebelum ini memfokuskan pada program & aktiviti yang dijalankan di
sekolah terutamanya yang melibatkan pelajar, catatan ini pula lebih bersifat
peribadi. Ia ditulis untuk mengenang kembali apa yang telah dilalui sepanjang
tahun 2016. Merangkumi kisah & cerita di belakang tabir yang selama ini
disimpan di sudut hati.
Ulang tahun
ke-5
Februari
2016 menandakan genap 5 tahun saya bergelar Pegawai Pendidikan Siswazah @ guru
pada tanggal 7 Februari. Tarikh 10 Feb. pula merupakan tarikh saya melapor diri
di SMK Bawang Assan Sibu buat pertama kalinya pada 5 tahun yang lalu.
Angka 5
tahun juga menandakan sudah tiba masanya saya perlu memperbaharui / renew ‘Buku Biru’ (Dokumen Perjalanan
Terhad – DPT) yang digunakan untuk memasuki negeri Sarawak. Jujurnya.... selama
ini langsung tidak pernah sekalipun terdetik dalam hati mahupun terlintas di
fikiran saya yang suatu hari nanti saya perlu renew buku biru ini. Masih saya ingat waktu bersama rakan-rakan
yang 'sekapal' dengan saya ke Wisma Persekutuan
KB 5 tahun lepas sebelum berlepas ke Sarawak. Pada masa itu saya berkata
"kenapalah kena buat DPT sampai 5 tahun. Macamlah kita nak tinggal di sana
lama sangat" dan kami cuma ketawa. Akhirnya Tuhan membalas 'keangkuhan' saya
dengan memanjangkan rezeki saya di sini. Namun, Alhamdulillah, banyak
pengalaman berharga yang saya kutip selama 5 tahun berada di sini.
Air mata SPM
2015
Tiba bulan
Mac, semua guru akan berdebar-debar kerana pada waktu ini keputusan SPM pada
tahun lalu akan diumumkan. Setiap guru pastilah mengharapkan kejayaan cemerlang
untuk setiap pelajar. Namun, kadang tak semua yang kita harapkan akan
dimakbulkan Tuhan. Keputusan bagi mata pelajaran saya, Kimia menunjukkan
penurunan. Tipulah jika saya katakan saya langsung tidak kecewa walaupun
penurunan GPMP memang sudah dijangkakan berdasarkan kepada TOV. Sementelahan
pula, ada seorang pelajar yang setia dengan markah ‘gred merah’ (<20).
Pada masa
itu, saya sudah terbayangkan apa alasan2 munasabah yang perlu dikemukakan dalam
mesyuarat sekolah nanti. Namun, hati saya terpujuk setelah anak-anak pelajar
saya datang mengadap seorang demi seorang dengan senyuman di bibir.
Almaklumlah, gred masing-masing naik, melepasi target mereka walaupun tak
melepasi target sekolah. Paling saya tak boleh lupakan apabila pelajar yang
seorang itu berkata pada saya, “TERIMA KASIH cikgu, akhirnya…. saya LULUS Kimia”.
Masa itu terasa seperti mahu luruh air mata saya dan saat itu juga saya tidak
peduli lagi dengan GPMP. Kalau Pengetua nak marah pun tak kisah dah. Haha….
Inilah salah
satu kelebihan mengajar di luar bandar. Sekolah kampung. Anak-anak pelajar
tiada peluang ke kelas tuisyen swasta. Maka guru menjadi sandaran mereka 100%. Ucapan
“terima kasih” yang tulus ikhlas mungkin perkara kecil, tapi sudah cukup untuk
menggembirakan hari seorang cikgu. Apa yang penting, kami sudah berusaha &
Tuhan yang menentukan.
Saya
mengingatkan diri dengan satu falsafah dari Jepun :
In life, there will always be ups and downs.
Don't be upset over a failure.
Just stand up back every time you fall.
Nanakoroubi Yaoki!
Perginya Rakan
Guru & Sahabat
Pada
pertengahan tahun 2016, kami menerima berita perpindahan seorang guru, iaitu
Cikgu Esmandi yang dinaikkan pangkat
sebagai PK HEM di SMK Semop. Kehilangannya cukup dirasai memandangkan beliau
merupakan seorang guru yang cukup berdedikasi dan serba boleh serta banyak
memberikan sumbangan penting pada kemajuan sekolah. Beliau juga merupakan salah
seorang yang menjadi ‘tulang belakang’ saya dalam bidang pendidikan selama ini.
Melalui beliau, saya banyak belajar tentang kajian tindakan & inovasi.
Malah blog ini juga lahir hasil tunjuk ajar beliau. Namun, Alhamdulillah,
walaupun kami kini tidak lagi berkhidmat di sekolah yang sama, tetapi masih
berhubung sehingga kini membincangkan perkara yang berkaitan dengan bidang
pendidikan.
Selain
daripada Cikgu Esmandi, keputusan e-GTukar pada bulan November menyaksikan kami
kehilangan 2 orang lagi guru, iaitu Cikgu Giyong dan Cikgu Seow. Cikgu Giyong
berjaya pindah ke kampung halamannya di Selangor, manakala Cikgu Seow pula
berpindah ke SMK Bukit Assek Sibu.
Ucapan perpisahan Cikgu Giyong semasa dinner akhir tahun
Ucapan perpisahan Cikgu Seow
Perginya
Cikgu Esmandi dan Cikgu Giyong maka saya kehilangan 2 orang rakan sekerja yang
turut merangkap rakan baik, rakan perkongsian ilmu, rakan sembang dan rakan
berkongsi segala cerita. Terima kasih untuk segala tunjuk ajar dan semoga
‘aura’ pindah korang dapat kat aku pulak lepas ni. Hehe…
Pengalaman
Berharga
Tahun 2016
merupakan tahun yang agak sibuk dan padat dengan aktiviti sama ada dalam
mahupun di luar sekolah. Namun, pada setiap program yang disertai memberikan
ilmu dan membuahkan pengalaman yang cukup berharga bagi saya.
Antaranya,
saya telah dipilih sebagai salah seorang panel penggubal soalan untuk Kertas
Percubaan SPM Kimia peringkat PPD Sibu. Terkejut juga pada mulanya. Yalah, saya
ni merupakan guru Kimia yang paling junior
dalam group Resource Pool Kimia Sibu.
Tapi, saya ambil peluang ini dan melihatnya dari sudut positif. Banyak perkara
yang saya belajar daripada geng-geng guru senior
(majoritinya adalah GC) dalam kumpulan panel penggubal ini. Maka, berkampunglah
saya di sekolah selama beberapa hari dalam masa cuti (cuti penggal 1) demi
menyiapkan tugasan yang diberi.
Selepas cuti
Hari Raya Aidilfitri, saya mula membuat persiapan akhir untuk Persidangan
Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak tahun
2016 yang akan diadakan di UCTS Sibu. Alhamdulillah, laporan projek inovasi
yang saya hantar pada tahun ini sekali lagi dipilih untuk dibentangkan. Ini
merupakan tahun ke-3 saya menyertai persidangan ini dan merupakan kali ke-2
sebagai pembentang. Yang kelakarnya, boleh pulak tapak kasut saya tertanggal just before saya masuk dewan. Nasib
baiklah rumah saya cuma 5 minit dari UCTS, sempat balik tukar sebelum VIP
sampai. Hmm… kenangan sungguh.
Penyertaan
di persidangan pada kali ini cukup berbaloi kerana bagi saya pembentangan sesi plenary adalah lebih berkaitan dengan
bidang pendidikan di sekolah. Saya cukup tertarik dengan kajian yang
dibentangkan oleh Dr. Patricia King Jie Hung yang bertajuk “The Importance of Action Research”.
Melalui pembentangan beliau, rupa-rupanya kajian tindakan di peringkat sekolah
adalah lebih ringkas dan mudah untuk dilaksanakan menyebabkan saya lebih
bersemangat untuk menjalankan kajian tindakan.
Setiap hasil
pembentangan dibukukan dan diberikan maklum balas bertulis oleh review panel yang terdiri daripada
pensyarah-pensyarah universiti. Berbunga-bunga hati saya apabila menerima
maklum balas yang cukup positif.
**Projek
Inovasi yang saya bentangkan boleh rujuk
DI SINI
Pada
pertengahan bulan Julai, iklan permohonan Guru Cemerlang (GC) mula dikeluarkan.
Saya merupakan antara guru yang Pengetua jumpa secara peribadi untuk saya
membuat permohonan. Kalau dah Pengetua sendiri memberikan keyakinan, apa
salahnya mencuba kan. Saya memohon dengan niat untuk melihat sejauh mana
kemampuan saya dan ingin memperbaiki kelemahan yang ada hasil pencerapan Nazir
nanti (jika lulus untuk dicerap).
Maka
bersengkang matalah saya menyiapkan 2 buah esei yang perlu dihantar bersama
dengan borang permohonan. Walau apapun, saya tidak meletakkan harapan yang
terlalu tinggi kerana saya sedar di luar sana masih ramai guru yang jauh lebih
hebat daripada saya. Bagi saya, kejayaan itu rezeki yang dikurniakan Tuhan. Dan
penilaian Tuhan tidak sama dengan penilaian manusia. Biarpun apa yang
diharapkan kadang tidak tercapai, tetap teruskan usaha. Kerana pada setiap
usaha itu pasti membuahkan sesuatu yang tidak akan pernah sia-sia.
**Persediaan
untuk memohon sebagai GC boleh dirujuk di laman blog
Cikgu Hailmi
Anugerah
& Pengiktirafan
Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan hadiah terbaik sempena setengah dekad
saya bergelar guru. Jutaan terima kasih saya kalungkan buat mantan Pengetua
SMKBA, En. Kandou yang memberikan penghargaan ini. Majlis penganugerahan terasa
begitu istimewa di hati saya kerana berkongsi pentas bersama pegawai Si-Partner,
Mr. Tan yang turut menerima anugerah. Juga sempat bergambar kenangan bersama
kedua-dua Pengetua Kandou dan Pengetua Lau.
Bersama 2 Pengetua, Pengetua Kandou (dua dari kanan) & Pengetua Lau (tengah)
Bersama Si-Partner, Mr. Tan
Bersama 2 'orang kuat' PPD Sibu, Mr. Jerome & Mdm Lau
Jika
Pengetua Kandou menghadiahkan saya APC, Pengetua Lau pula menganugerahkan saya
Anugerah Khas Pengetua: Sijil Perkhidmatan Cemerlang semasa Majlis
Kecemerlangan pada bulan November. Apa yang lebih istimewa, 10 orang penerima
anugerah tersebut dipilih sendiri oleh Tuan Pengetua. And the best part is, plak yang diberikan merupakan sumbangan peribadi
Tuan Pengetua sendiri, dan bukannya diambil daripada wang peruntukan sekolah.
Inilah cara Pengetua saya menghargai staf-stafnya.
Anugerah
yang diterima bukan bermakna diri ini sudah hebat. Bukan juga tanda untuk
berhenti. Tetapi anugerah yang dimiliki adalah untuk disyukuri dan sebagai
peringatan untuk terus memberi seikhlas hati. Juga sebagai mangkin untuk
memperbaiki diri dan meningkatkan sumbangan bakti.
Cabaran
& Dugaan
Selepas cuti
bulan September, kami mula sibuk dengan pecutan akhir PT3, setiap petang dan
hujung minggu. Termasuk Pengetua sendiri turun padang. Dalam masa yang sama,
saya berdebar-debar menunggu panggilan daripada jemaah nazir (JNJK) untuk
pencerapan GC memandangkan rakan guru saya (Fizik) telahpun menerima panggilan
& dicerap. Hanya 2 minggu selepas itu baharulah saya menerima panggilan.
Namun,
dugaan datang tanpa dipinta. Saya menerima khabar duka daripada kampung. Ibu
saya sakit teruk dan dibawa tinggal bersama kakak saya. Hanya Tuhan sahaja yang
tahu bagaimana emosi saya terganggu. Setiap hujung minggu saya fly balik KL, kecuali semasa hujung
minggu sebelum PT3. Saya sebenarnya
hampir-hampir menelefon pihak Nazir untuk menarik diri daripada permohonan GC.
Akan tetapi, apabila saya kenang kembali persiapan & persediaan yang telah
saya buat selama setahun, dengan sokongan padu rakan-rakan seperjuangan
terutamanya Cikgu Esmandi, melihatkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada
Tuan Pengetua, maka saya kutip sisa-sisa semangat yang ada. Saya juga bersyukur
punya rakan guru, Cikgu Fong, yang menjadi pendengar setia & sentiasa
memberikan kata-kata semangat buat saya. Akhirnya, saya berjaya bangkit dan ‘back on track’.
Allah
mempermudahkan segala urusan saya.
Program Pecutan PT3 berjalan mengikut
jadual. Persiapan akhir bagi pencerapan GC dibuat pada sebelah petang. Nasib
baik hampir semua program (akademik & bukan akademik) selama 3 tahun
kebelakangan telah saya siap dokumentasikan. Yang tinggal hanya perlu kemaskini
segala fail & buat persediaan untuk P&P semasa pencerapan nanti.
Study cuma setakat mana yang mampu &
sempat. Nazir datang mencerap pada hari
Isnin, 17 okt., betul-betul sehari selepas saya
landing di Sibu sekembalinya dari KL. Namun, proses pencerapan
P&P serta temuduga lisan berjalan dengan lancar. Dua orang Nazir yang
datang (seorang dari PPD, seorang lagi dari JPN) begitu profesional, bersikap menggalakkan,
membimbing serta memberikan teguran & nasihat secara baik, tidak seperti
cerita-cerita yang selalu saya dengar tentang Nazir sebelum-sebelum ini. Fuhhh…..leganya
rasa lepas dah habis dicerap.
:: students
are my priority, family is my everything ::
:: bakti pada
anak bangsa saham di sana, bakti pd ibu tiket ke syurga ::
Kejutan di
Penghujung
Awal November,
kami menerima satu berita baik bahawa Pen. Kanan Pentadbiran (PKP) kami
dinaikkan pangkat sebagai Pengetua. Tapi yang tak bestnya, beliau akan
ditempatkan di sekolah lain, iaitu SMK Katibas, Song. Surat lantikan &
arahan lapor diri diterima lewat 3 minggu. Maka, bergegaslah Cikgu Jeffery melapor
diri & segala urusan pentadbiran di SMKBA serta urusan serah tugas dilakukan
dalam keadaan yang agak mendadak.
Bersama mantan PKP, kini Pengetua SMK Katibas, Cikgu Jeffery Stephen
Belum habis
terkejut dengan perpindahan Cikgu Jeff, saya menerima kejutan kedua apabila
Tuan Pengetua meminta saya untuk menanggung tugas PKP. Saya ni dalam hati: “ Pengetua
ni biar betul. Dia sedar tak yang aku ni baru dg41”. Banyak kali saya tanya
Pengetua, “Sir, are u serious?”. Mentang-mentanglah
sebelum ini saya pernah beritahu Pengetua salah satu prinsip saya, “I never say No”. Pengetua cuma senyum dan
menunggu jawapan saya.
Lama juga
saya fikir. Memandangkan saya adalah jenis manusia yang akan menerima cabaran &
tidak akan lari dari medan perjuangan, maka akhirnya saya berkata “Yes, sir. I accept it”. Saya cuma
mengharapkan pertambahan ilmu & pengalaman berharga untuk lebih mematangkan
saya menelusuri bidang pendidikan ini. Lagipun, saya fikir tanggung tugas ini
hanya untuk sementara sahaja, sementara menunggu kehadiran PKP yang baharu. Sementelahan
pula bukan mudah untuk menerima kepercayaan seorang Pengetua bagi menggalas
tanggungjawab yang cukup besar ini. Doakan saya untuk terus kuat.
Keluarga saya
agak membantah dengan keputusan ini sebenarnya. Mereka kata Pengetua buli saya,
nanti saya tak dapat pindah semenanjung, susah mau cuti dll. Haha….. saya hanya
senyum & melihatnya dari sisi positif. Saya yakin & percaya pada
perancangan Pengetua. Saya tidak pernah menganggap ini sebagai satu pembulian
mahupun bebanan, tetapi satu peluang hebat yang tak semua orang boleh dapat. Sumbangan
saya pada pihak sekolah. Apa yang paling penting, saya yakin pada rezeki & ketentuan
Tuhan.
Kini, walaupun
surat rasmi dari JPN belum diterima, hakikatnya tugas sudah mula dilaksana
bermula hujung tahun lepas. Tanggungjawab telahpun digalas. Amanah perlu
dilunas. Kepercayaan Pengetua harus dibalas.
Pengorbanan
Demi Kejayaan
Penghujung sesi
persekolahan tahun 2016 ditutup dengan
Program Pecutan Akhir Kimia SPM. Nasiblah
tahun ni kertas Kimia menjadi kertas terakhir. Semua orang sudah mula bercuti,
namun saya bersama anak-anak Kimia 3 orang masih berkampung di sekolah untuk
bersedia bagi kertas terakhir. Anak-anak pelajar di sini pecutannya bermula
pada saat-saat akhir, dan guru menjadi sandaran utama. Jika tidak dipantau
belum tentu lagi mereka ulangkaji di rumah. Lebih-lebih lagi untuk subjek yang
mencabar seperti Kimia.
Biarpun jiwa
saya meronta-ronta untuk pulang (ibu saya masih sakit ketika ini), namun
tanggungjawab dan amanah pada anak bangsa tetap diberi keutamaan. Tambahan pula,
ada beberapa tugas pentadbiran yang perlu dilunaskan sebelum pulang bercuti. Di
sinilah pentingnya sokongan pihak keluarga. Mujur kakak saya & ahli
keluarga yang lain memahami tugas saya dan tidak memberikan tekanan pada saya.
Kelas pecutan
Kimia bermula hari Jumaat sehinggalah hari Isnin, dari pagi sampai petang. Mujur
mereka tak ‘muntah’. Haha….. Memang sengaja saya buat kelas sampai petang. Tujuannya
adalah untuk memastikan mereka menunaikan kewajipan solat Zohor & Asar. Bukan
tidak boleh saya mulakan lepas subuh sampai tengah hari. Cuma bimbang mereka
hanya mengejar kejayaan duniawi dan meminggirkan kepentingan ukhrawi. Maka,
gigihlah Cikgu Nurul menyediakan santapan tengah hari sekadar mampu. Nanti kang
kebulur anak orang susah juga. Hehe….. nasib baiklah calon kimia 3 orang saja,
kalau ramai mau kena masak 1 kawah. Cuma pada hari SPM, Selasa, sahaja saya tak
masak. Santapan tengah hari kami dibelanja oleh Tuan Pengetua. Thank u so much sir! Moga-moga usaha
kecil ini membuahkan hasil & menjadi saham saya di sana.
our three chemistry warriors
Untuk anak-anak
pelajar saya mahupun bekas pelajar, jika kamu baca catatan ini, ingat pesan
saya. Solat itu tiang agama. Biar setinggi manapun pangkat kamu, biar sebanyak
manapun harta kamu, ingatlah semuanya adalah kurniaan Tuhan. Kejayaan kamu di
dunia tidak bermakna jika kamu meminggirkan kewajipan pada Tuhan. Saya tak
minta kamu untuk ingat pada saya, tapi sentiasalah ingat pada Sang Pemberi
Rezeki. Definisi kejayaan bukan sekadar cemerlang dalam peperiksaan. Tapi kejayaan
yang sebenar adalah apabila menjadi manusia berguna di luar sana. Dan kunci kejayaan
bukan hanya sekadar usaha, tapi juga redha ibu bapa & berkat seorang guru.
Akhir Kalam
Tirai 2016 yang
penuh warna akhirnya dilabuhkan. Hilang lagi satu tahun dalam kalendar
kehidupan. Setiap pengalaman dan kisah yang saya kongsi bukanlah untuk dipuji
mahupun diikuti. Sekadar ingin memberi inspirasi semampu diri. Tak semua orang
boleh ikut cara kita, dan tak semua cara orang kita boleh ikut. Biarpun 1
destinasi yang sama, tapi jalan yang dilalui tak semestinya serupa. Setiap insan
punya kisah yang berbeza. Kita tak hidup dek pujian, dan tak perlu mati dek
kejian. We are not everyone’s cup of tea.
So, be yourself.
Moga tahun
2017 menjanjikan lebih kebahagiaan, biarpun saya pasti banyak liku yang harus
ditempuhi.
Juga kumohon
agar terus diberi kekuatan untuk terus menabur bakti demi kerjaya & sekolah
yang kucintai.
School is my
world
Students are
my sweethearts
Teaching is
my passion
Educating is
my mission
~ Cikgu Nurul ~