Awan mendung berarak dan rintik hujan turun membasahi bumi kampung halaman menambah kedinginan Subuh di pagi raya yang pertama. Mujur
hujan yang turun tidak selebat darah yang mengalir saat ternakan yang
dikorbankan rebah ke bumi.
~ Gambar hiasan ~ diambil dari South Sudan
Kredit gambar: Razi Ismail
Bercerita tentang Aidil Adha dan erti sebuah pengorbanan, pasti ada 1,001 kisah yang berbeza. Setiap orang punya definisi tersendiri, berpandukan gelora hidup yang dilayari dan berdasarkan bidang kerjaya yang diceburi.
Coretan ini cuma bersifat umum, tidak mengkhusus mahupun mewakili
pandangan mana-mana individu. Ia berdasarkan pengalaman sendiri dan orang-orang
terdekat yang saya kenali. Disimpan sebagai refleksi, merenung kembali
kekurangan diri dan mengintai ruang yang boleh diperbaiki.
Keluarga Adalah Segala-galanya.
Banyak orang berkata, jangan terlalu mementingkan kerjaya dan bos di
tempat kerja. Saat kita susah dan sakit, keluarga adalah tempat kita
bergantung. Keluarga adalah segala-galanya, yang akan sentiasa di sisi kita
saat senang dan susah.
Namun harus diakui, kerjaya guru tidak semudah itu. Seringkali masa
yang ada harus dikongsi.
Benar, keluarga adalah tanggungjawab utama dan anak-anak adalah
amanah. Tetapi jangan kita lupa, anak-anak murid di sekolah juga adalah suatu
amanah. Dan kita adalah insan terpilih untuk melaksanakan amanah yang besar
ini.
Masyarakat tidak mungkin akan faham sepenuhnya. Tidak perlu untuk kita
berkecil hati mahupun menerangkan bertubi-tubi. Cukuplah sekadar mereka yang
terdekat faham apa yang kita lalui. Keluarga yang disayangi, cubalah untuk
memahami dan memberikan sokongan, kerana anda tetap segala-galanya bagi kami.
Jika keluarga sendiri tidak memahami, siapakah lagi yang boleh dipercayai?
Keluarga vs Murid: Mana Lebih
Utama?
Saya terkenang pada suatu babak yang saya tonton melalui teater “Ola
Bola the Musical” di Istana Budaya beberapa bulan yang lepas. Ada satu babak
dalam teater tersebut yang cukup terkesan di jiwa saya, melibatkan watak Muthu.
Dalam babak tersebut, Muthu dimarahi oleh bapanya kerana terlalu mementingkan
bola sepak sehingga bapanya menganggap bahawa dia telah mengabaikan tanggungjawab
terhadap keluarga. Kecewanya seorang bapa dizahirkan apabila Muthu dihalau
& tidak diakui sebagai anak jika dia terus bermain bola sepak. Dalam masa
yang sama, Muthu menjadi sandaran pasukan negara dalam perlawanan kelayakan ke
Sukan Olimpik. Hilangnya Muthu dari pasukan, retaklah harapan yang disandarkan
oleh seantero negara. Antara tanggungjawab terhadap keluarga dan tanggungjawab
terhadap negara, mana satukah yang lebih utama? Terkorbankah keluarga apabila
berkorban demi negara?
Kerap kali kita sebagai guru berhadapan dengan situasi seperti ini.
Situasi dan jalan cerita yang tidak sama, tetapi hampir serupa. Seringkali
keluarga mempersoalkan waktu yang diluangkan untuk anak-anak di sekolah,
sedangkan anak-anak di rumah mengharapkan masa yang lebih. Banyak kali sesi ‘family time’ di hujung minggu & cuti
sekolah dikurangkan demi melaksanakan kelas tambahan. Sehinggakan kadang-kadang
masa untuk diri sendiri juga sering terkorban.
Tidak cukupkah mengajar dalam kelas sehingga perlu kelas tambahan?
Tidak cukupkah mengajar pada waktu siang sehingga perlu turun pada
waktu malam?
Tidak cukupkah mengajar pada hari persekolahan sehingga perlu
korbankan hujung minggu yang berharga?
Tidak bolehkah mereka belajar sendiri tanpa bergantung pada guru
semata-mata?
Setiap persoalan di atas, hanya guru yang punya jawapannya.
Andai tidak mampu lagi mengulang dengar soalan & mengulang semula jawapan, pekakkan saja deria pendengaran.
Kadangkala, berdiam diri itu lebih baik daripada berkata-kata sehingga mengguris rasa.
Berkorban atau Terkorban?
Menjadi guru tidak hanya terikat pada tugas hakiki dalam bilik darjah.
Suka atau tidak, banyak masa di luar waktu bertugas perlu dikorbankan demi
menyelesaikan pelbagai tugas tambahan, biarpun tidak dikira sebagai OT (overtime). Lalu, kita merasakan banyak
waktu kita yang telah terkorban, malah terasa seperti diri dikorbankan apabila
bertugas dalam keterpaksaan. Belum lagi dikira pengorbanan wang ringgit yang
dilaburkan demi alat-alat kelengkapan serta bebanan fizikal dan emosi yang
kadangkala meresahkan.
Tapi percayalah, andai hati kita cukup redha menghadapi segalanya,
andai semangat kita cukup kental berhadapan segala cabaran, sudah pasti rasa
terkorban tidak akan muncul dalam jiwa. Setiap tugas tambahan yang dilakukan, setiap
sen yang diinfakkan, seandainya ia demi kebaikan anak didik dan perkembangan
pendidikan, didiklah hati untuk seikhlas mungkin. Anggaplah ia sebagai
sumbangan. Itulah namanya pengorbanan.
Diri sendiri berkorban atau membiarkan diri terkorban? Kita sendiri yang menetukan pilihan.
Berkorban Untuk Apa &
Siapa?
Mengajar tanpa batasan waktu, mendidik tanpa batasan ruang, bertugas
tanpa penat dan jemu di waktu pagi petang siang dan malam, untuk apakah semua
itu? Adakah demi mengejar ranking
dalam peperiksaan awam atau demi mengukir nama sebagai guru yang melahirkan
paling banyak ‘A’ di atas sekeping kertas? Atau mungkinkah gelaran APC atau GC
yang disandarkan impian? Mungkinkah juga sekadar mengharapkan pujian dan pujaan
dari pihak atasan dan rakan seangkatan?
Usah diharapkan penghargaan manusia,
kelak kita lebih banyak berasa kecewa dan tertekan.
kelak kita lebih banyak berasa kecewa dan tertekan.
Tidak perlu diimpi balasan dan ganjaran insan,
kerana ketidakadilan seringkali menjadi halangan.
kerana ketidakadilan seringkali menjadi halangan.
Cukuplah sekadar ikhlas menjadi sandaran,
agar kita tidak leka dek pujian dan tidak pula mati dek kejian.
agar kita tidak leka dek pujian dan tidak pula mati dek kejian.
Tabah dan sabar pada setiap ketentuan,
agar jiwa sentiasa tenang menghadapi cabaran.
agar jiwa sentiasa tenang menghadapi cabaran.
Hakikatnya penilaian manusia tidak akan pernah sesekali sama dengan
penilaian Tuhan.
Ampunkan kekhilafan insan dalam membuat pertimbangan,
sedangkan kita sendiri punya kekurangan.
sedangkan kita sendiri punya kekurangan.
Sesungguhnya hanya DIA yang selayaknya memberikan ganjaran.
Yakinlah bahawa setiap usaha & pengorbanan
pasti akan terbayar walau bukan sekarang.
pasti akan terbayar walau bukan sekarang.
Dan seharusnya hanya redha dari-Nya yang menjadi impian.
Cerita Kita Tak Sama
Pandangan kita mungkin berbeza, kerana jalan cerita kita tidak sama.
Cabaran kita mungkin tidak serupa walau punya kerjaya yang sama,
apatah lagi jika berbeza dunia kerjaya. Jadi, usah pukul rata dan pandanglah
dari sudut yang berbeza. Ini cuma sekadar perkongsian rasa. Raikan persamaan,
hargai perbezaan.
Pada akhirnya, destinasi yang kita tuju di penghujung kehidupan adalah
sama. Jadikanlah perjalanan ini suatu perjalanan yang bermakna.
Ganjaran Tidak Ternilai
Biarpun kita tidak dikenali, walaupun jasa kita tidak didendang,
biarlah orang mahu berkata apa sahaja, yang paling penting DIA sentiasa ada
memerhatikan kita. Sejauh mana keikhlasan kita, sejauh mana kita malaksanakan
amanah & tanggungjawab, dan sejauh mana pengorbanan kita, hanya DIA yang
layak menilai. Moga kita tidak mendabik dada dan meninggi diri. Moga kita
dijauhkan dari sifat ujub dan dengki.
Buat semua rakan seperjuangan, teruskan memberi yang terbaik dalam
mendidik anak bangsa. Yakinlah bahawa tidak akan pernah ada satu pun usaha
& pengorbanan yang sia-sia. Moga-moga setiap ilmu yang dicurahkan menjadi
saham untuk kita di alam sana. Moga-moga setiap benih yang kita semai akan
tumbuh mewangi untuk kita tuai di hari muka. Dan semoga ada tangan yang dihulur
untuk menarik kita ke syurga.
Menjadi guru itu tugas yang mulia. Sumber pahala yang berganda.
Layakkah kita?
Moga-moga setiap usaha & pengorbanan kita diterima oleh-NYA.
Wallahu’alam.
SALAM AIDIL ADHA
Selamat Hari Raya KORBAN buat semua saudara Muslim yang membaca
coretan ini, terutamanya buat rakan-rakan seperjuangan yang bergelar guru
mahupun pendidik.
Guru: Pengorbanan yang tidak akan pernah terhenti selagi nafas
dihembus di muka bumi.
Coretan tulus ikhlas dari hati,
Cikgu Nurul
~ sekadar guru biasa yang ingin berusaha secara luar biasa ~
p/s: niat asalnya tak nak tulis panjang-panjang, tapi terpanjang
jugak. Hmm….kalau sudah namanya cikgu, banyak bercakap, banyak pula yang
ditulis… =D