Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun 2020 dimulakan ramai orang dengan azam dan semangat baru yang berkobar-kobar. Di MTD, murid Tingkatan 5 paling gembira kerana sudah bergelar SP (senior putera). Kelas berjalan seperti biasa. Eksperimen dilaksanakan dengan gembira. Sesekali membimbing putera semasa waktu petang & semasa prep malam.
Tanggal 5 Mac 2020, keputusan SPM 2019 diumumkan. Alhamdulillah….peningkatan yang memberangsangkan. Kejohanan merentas desa & lari berganti-ganti menjadi sambutan terakhir di maktab sebelum cuti pertengahan penggal pertama.
Namun siapa sangka cuti
sekolah yang asalnya dijadualkan selama seminggu menjadi 3 bulan disebabkan
PKP.
Tiada siapa pernah menyangka Covid-19 menyerang dunia di tahun 2020.
Tiada siapa pernah menduga kita hidup dengan normal dan norma baharu sepanjang tahun.
Tiada siapa pernah meramalkan tahun 2020 menyaksikan dunia Pendidikan terutamanya PdPc berubah hampir 360 darjah.
Tiada siapa yang pernah
membayangkan pembelajaran secara maya dijalankan hampir sepanjang tahun. Hanya
beberapa bulan sahaja cikgu-cikgu sekolah bertemu mata dengan anak-anak murid.
Begitu juga dengan para mahasiswa universiti. Selebihnya hanya berjumpa dalam
ruangan maya pada paparan skrin yang adakalanya besar dan ada yang kecil.
Bertentang mata hanya apabila masing-masing ‘on’ kamera pada gajet.
Sama ada suka ataupun tidak, mahu ataupun tidak, kita semua perlu menerima setiap perubahan dengan hati dan minda yang terbuka.
Suatu ketika dahulu kita pernah meramalkan kita semua akan naik kereta terbang pada tahun 2020. Rupa-rupanya bukan kereta yang terbang, tapi kertas yang terbang. Nota-nota, latihan, bahan-bahan bantu mengajar banyak ditukar menjadi softcopy. Ujian dan pentaksiran juga banyak dijalankan secara dalam talian seperti melalui medium Google Form. “Kertas yang punya nilai” juga banyak yang “terbang” untuk keperluan pengajaran & pembelajaran. Gajet elektronik, laptop touchscreen, printer with wifi, webcam, kain hijau untuk greenscreen, ringlight dan sebagainya. Tidak kira guru mahupun pelajar. Apa-apa pun semoga setiap usaha kita tidak kira besar atau kecil dicatit sebagai amal kebaikan dan diberkati oleh-Nya.
Virus korona itu begitu halus dan tidak kelihatan pada mata kasar, namun impaknya cukup besar dalam aspek kehidupan setiap individu. Seluruh dunia berhadapan dengan cabaran pembelajaran secara maya. Setiap guru dan murid menghadapi cabaran ini. Namun terpulang pada kita untuk menjadikan cabaran ini sebagai hanya suatu ujian mahupun suatu ruang dan peluang untuk menambah baik PdPc sedia ada.
Dunia digital membuka ruang yang sangat luas terhadap perkongsian ilmu secara maya. Pelbagai seminar dan webinar dianjurkan secara aktif melalui pelbagai medium seperti Zoom, Webex, Google Meet, Microsoft Teams, YouTube dan sebagainya. Malah semakin ramai cikgu-cikgu yang kini menjadi YouTuber bagi berkongsi video-video P&P untuk murid-murid dan sesama guru. PdPc secara maya juga merealisasikan kolaborasi dalam talian antara sekolah. Jarak bukan lagi menjadi suatu halangan.
Bagi murid-murid pula, mendepani cabaran belajar secara maya tanpa kehadiran guru secara fizikal sudah tentu memerlukan disiplin yang tinggi serta kekuatan mental dan emosi. Pemikiran yang positif dan daya usaha yang berterusan pasti membuahkan hasil yang baik. Misalnya seperti apa yang dilakukan oleh salah seorang putera MTD ini:
Masa tidak akan mungkin berputar semula ke belakang. Kita tiada pilihan selain terus melangkah ke hadapan. PdPc tetap perlu diteruskan walau dengan apa jua medium sekalipun. Amanah guru untuk mengajar, membimbing dan mendidik. Tanggungjawab murid-murid dan para pelajar untuk terus belajar. Tiada siapa yang tahu bila situasi kini akan berakhir. Don’t wait for the miracle, but create your own miracle.
p/s: hidup kita sekarang
mungkin tidak akan kembali normal seperti dahulu, namun hidup kita tetap normal:
normal baharu.
No comments:
Post a Comment