Wednesday, 14 April 2021

Flipped Classroom Eksperimen Redoks Tiub-U

Memandangkan sesi PdPc baru sahaja bersambung semula setelah beberapa kekangan, maka pendekatan berbeza diperlukan bagi memastikan setiap sukatan pelajaran dapat diteruskan secara "on track"

Murid-murid boleh digalakkan untuk belajar secara kendiri terlebih dahulu sebelum bersemuka dengan guru di dalam kelas. 

Tahun ini, saya memulakan PdPc Kimia dengan Bab 3 (Termokimia) terlebih dahulu pada awal tahun. Sekarang baru kami belajar Bab 1 iaitu Redoks. Terdapat 1 eksperimen Redoks yang menggunakan Tiub-U seperti yang terdapat dalam Buku Teks Kimia Ting. 5 muka surat 7. Mujur juga saya pernah buat video untuk eksperimen ini bersama dengan batch putera sebelum ini. 


Jadi murid-murid boleh lah menonton terlebih dahulu video ini sebelum perbincangan dalam kelas bersama guru ataupun sebelum eksperimen dalam makmal dijalankan. 

Terdapat 3 video Tiub-U yang berkaitan: 


2. Video eksperimen Tiub-U menggunakan larutan Kalium Dikromat(VI) berasid dan larutan Ferum(II) sulfat : 

3. Video eksperimen Tiub-U menggunakan larutan Kalium Manganat(VII) berasid dan larutan Kalium Iodida : 

**video yang ke-3 merupakan video yang menunjukkan set eksperimen yang sama seperti dalam Buku Teks Ting. 5 KSSM 

Welcome Back to School, batch SPM 2021!

Alhamdulillah, kini sudah masuk minggu kedua sejak semua sekolah dibuka semula seperti biasa. 

Setelah sekian lama murid-murid belajar secara dalam talian dari rumah masing-masing, kini semua murid boleh mengadap guru secara bersemuka. 

Dengan berakhirnya SPM 2020 pada hujung bulan Mac yang lalu, kini fokus guru-guru beralih pula ke murid-murid Tingkatan 5 tahun 2021 yang akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini (tertakluk pada arahan pihak KPM). Kesian mereka sudah lama "terpinggir" hehe...... 

Cabaran besar dihadapi oleh batch SPM yang lepas iaitu batch SPM 2020 apabila pendemik Covid-19 melanda dunia di saat mereka ingin memulakan persiapan untuk menduduki peperiksaan utama negara pada hujung tahun. Pandemik yang belum berakhir menyebabkan peperiksaan SPM 2020 terpaksa ditangguhkan ke bulan Feb-Mac 2021 menjadikan mereka batch SPM pertama dalam sejarah negara yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun berikutnya. Pada masa itu, ada yang sudah pun berusia 18 tahun. 

Namun, sekurang-kurangnya mereka menjalani proses PdPc bersemuka sepenuhnya semasa di Tingkatan 4 dan diberikan tambahan masa untuk membuat persiapan bagi peperiksaan SPM yang ditangguhkan. Pada saat dan ketika murid-murid Ting. 4 2020 sudah menjadi Ting. 5 pada awal tahun 2021, namun fokus utama masih diberikan kepada murid-murid Ting. 5 2020 yang masih belum menamatkan persekolahan mereka dan belum menduduki peperiksaan SPM. 

Berbanding dengan batch SPM 2021, cabaran mereka adalah lebih besar. Mereka merupakan batch pertama yang belajar di Ting. 4 menggunakan sukatan mata pelajaran baharu, iaitu KSSM. Baru sahaja mula belajar, dah kena PdPr. Boleh dikatakan dalam 80% sukatan Ting. 4 dipelajari secara maya. Sekarang dah masuk bulan April 2021 baru lah boleh rasa PdPc bersemuka sepenuhnya. 

Semoga setiap cabaran yang telah dihadapi tidak mematahkan semangat semua murid dan guru untuk meneruskan perjuangan ke arah SPM 2021. Diharapkan semua murid menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan ini dan tidak lagi mensia-siakan masa yang ada. 

"You cannot go back and change the beginning, 

but you can start now and change the ending" 

                                                        ~C.S Lewis~


All the best to all Form 5 students 2021!! 

Sunday, 4 April 2021

Sejarah Tercipta di Perbarisan Tahunan Putera MTD 2020

Batch SPM 2020 sememangnya merupakan batch yang telah mencipta pelbagai sejarah. 

Dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, mereka merupakan batch pertama melalui proses PdPr secara maya sepenuhnya semasa tempoh PKP. Pandemik ini juga menjadi asbab peperiksaan SPM tahun 2020 terpaksa ditangguhkan. Mereka menjadi batch pertama dalam sejarah negara yang menduduki SPM pada tahun berikutnya. 

Penangguhan peperiksaan SPM 2020 ke bulan Feb - Mac 2021 menyebabkan Perbarisan Tahunan ataupun Passing Out Parade (POP) Maktab Tentera Diraja yang saban tahun dijalankan pada penghujung tahun turut terpaksa ditangguhkan. Setelah pelbagai cabaran ditempuhi serta pelbagai perkara dipertimbangkan dari segenap aspek, akhirnya POP 2020 berjaya disempurnakan pada hari Jumaat yang mulia, tanggal 02 April 2021 bersamaan 19 Syaaban 1442. 


Perbarisan pada kali ini menjadi lebih bermakna apabila Menteri Kanan Pertahanan sendiri, iaitu YB Dato' Seri Ismail Sabri bin Yaakob sudi hadir selaku Pegawai Tabik Hormat. 



Perbarisan pada tahun ini menyaksikan penglibatan seramai 442 putera yang terdiri daripada 200 orang Putera Tingkatan 5 (Tahun 2020) dan 242 Putera Tingkatan 5 (Tahun 2021). Perbarisan ini diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK / SUO) Ahmad Amer Izwan bin Mazelan dari kompeni Charlie.

Parade Commander (PCO) - PRK Amer Izwan
Kredit gambar : laman Facebook rasmi Kementerian Pertahanan

Senarai pemenang anugerah semasa POP 2020: 

Kredit gambar : laman Facebook rasmi Kementerian Pertahanan


1. Anugerah Lembaga Tadbir (BOG):
Putera Kanan Adam Manan bin Nordin Manan, (Kompeni Hotel).

2. Anugerah Pengarah Pengajian:
Pegawai Rendah Kanan Nicholas Ong Yong Xen, (Kompeni Golf).

3. Anugerah Komandan:
Pegawai Rendah Kanan Ahmad Hafizuddin bin Abd Halim, (Kompeni Delta).

4. Anugerah Menteri Pertahanan:
Pegawai Rendah Kanan Ahmad Amer Izwan bin Mazelan, (Kompeni Charlie).

Trivia POP 2020: 

~ POP 2020 dijalankan pada tahun 2021
~ Para putera hanya sempat berlatih selama 1-2 minggu sahaja setelah SPM 2020 tamat 
~ Menteri Kanan Pertahanan sudi hadir selaku Pegawai Tabik Hormat 
~ Tetamu2 kehormat : Menteri Kanan Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara & Panglima Tentera Laut semuanya merupakan OP (Old Putera) - bekas putera MTD 
~ Tiada berjalan lalu semasa perbarisan 
~ Semua putera memakai pelitup muka demi pematuhan pada SOP covid-19 - dapat dibayangkan betapa panasnya baris di bawah panas terik smbil pakai mask
~ Buat pertama kali, POP MTD boleh diikuti secara live streaming melalui YouTube dan Facebook.


Semoga para putera young OP sekalian dapat meneruskan kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi kelak dan meneruskan legasi kegemilangan MTD selaku institusi pendidikan yang melahirkan pemimpin masa depan negara. 

# Berkhidmat Memimpin 
# Serve to Lead 
# Home of Future Leaders 


Senarai pautan: 

Rakaman penuh POP 2020 : 

Laman Facebook rasmi Maktab Tentera Diraja : 

Laman Facebook rasmi Kementerian Pertahanan :