Wednesday 22 August 2018

Aidil Adha, Guru dan Pengorbanan Tanpa Penghujung


Awan mendung berarak dan rintik hujan turun membasahi bumi kampung halaman menambah kedinginan Subuh di pagi raya yang pertama. Mujur hujan yang turun tidak selebat darah yang mengalir saat ternakan yang dikorbankan rebah ke bumi.

~ Gambar hiasan ~ diambil dari South Sudan 
Kredit gambar: Razi Ismail 
  
Bercerita tentang Aidil Adha dan erti sebuah pengorbanan, pasti ada 1,001 kisah yang berbeza. Setiap orang punya definisi tersendiri, berpandukan gelora hidup yang dilayari dan berdasarkan bidang kerjaya yang diceburi.

Coretan ini cuma bersifat umum, tidak mengkhusus mahupun mewakili pandangan mana-mana individu. Ia berdasarkan pengalaman sendiri dan orang-orang terdekat yang saya kenali. Disimpan sebagai refleksi, merenung kembali kekurangan diri dan mengintai ruang yang boleh diperbaiki.


Keluarga Adalah Segala-galanya.

Banyak orang berkata, jangan terlalu mementingkan kerjaya dan bos di tempat kerja. Saat kita susah dan sakit, keluarga adalah tempat kita bergantung. Keluarga adalah segala-galanya, yang akan sentiasa di sisi kita saat senang dan susah.

Namun harus diakui, kerjaya guru tidak semudah itu. Seringkali masa yang ada harus dikongsi.
Benar, keluarga adalah tanggungjawab utama dan anak-anak adalah amanah. Tetapi jangan kita lupa, anak-anak murid di sekolah juga adalah suatu amanah. Dan kita adalah insan terpilih untuk melaksanakan amanah yang besar ini.


Masyarakat tidak mungkin akan faham sepenuhnya. Tidak perlu untuk kita berkecil hati mahupun menerangkan bertubi-tubi. Cukuplah sekadar mereka yang terdekat faham apa yang kita lalui. Keluarga yang disayangi, cubalah untuk memahami dan memberikan sokongan, kerana anda tetap segala-galanya bagi kami. Jika keluarga sendiri tidak memahami, siapakah lagi yang boleh dipercayai?


Keluarga vs Murid: Mana Lebih Utama?

Saya terkenang pada suatu babak yang saya tonton melalui teater “Ola Bola the Musical” di Istana Budaya beberapa bulan yang lepas. Ada satu babak dalam teater tersebut yang cukup terkesan di jiwa saya, melibatkan watak Muthu. Dalam babak tersebut, Muthu dimarahi oleh bapanya kerana terlalu mementingkan bola sepak sehingga bapanya menganggap bahawa dia telah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Kecewanya seorang bapa dizahirkan apabila Muthu dihalau & tidak diakui sebagai anak jika dia terus bermain bola sepak. Dalam masa yang sama, Muthu menjadi sandaran pasukan negara dalam perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik. Hilangnya Muthu dari pasukan, retaklah harapan yang disandarkan oleh seantero negara. Antara tanggungjawab terhadap keluarga dan tanggungjawab terhadap negara, mana satukah yang lebih utama? Terkorbankah keluarga apabila berkorban demi negara?  

Kerap kali kita sebagai guru berhadapan dengan situasi seperti ini. Situasi dan jalan cerita yang tidak sama, tetapi hampir serupa. Seringkali keluarga mempersoalkan waktu yang diluangkan untuk anak-anak di sekolah, sedangkan anak-anak di rumah mengharapkan masa yang lebih. Banyak kali sesi ‘family time’ di hujung minggu & cuti sekolah dikurangkan demi melaksanakan kelas tambahan. Sehinggakan kadang-kadang masa untuk diri sendiri juga sering terkorban.

Tidak cukupkah mengajar dalam kelas sehingga perlu kelas tambahan?
Tidak cukupkah mengajar pada waktu siang sehingga perlu turun pada waktu malam?
Tidak cukupkah mengajar pada hari persekolahan sehingga perlu korbankan hujung minggu yang berharga?
Tidak bolehkah mereka belajar sendiri tanpa bergantung pada guru semata-mata?


Setiap persoalan di atas, hanya guru yang punya jawapannya.
Andai tidak mampu lagi mengulang dengar soalan & mengulang semula jawapan, pekakkan saja deria pendengaran. 
Kadangkala, berdiam diri itu lebih baik daripada berkata-kata sehingga mengguris rasa. 


Berkorban atau Terkorban? 

Menjadi guru tidak hanya terikat pada tugas hakiki dalam bilik darjah. Suka atau tidak, banyak masa di luar waktu bertugas perlu dikorbankan demi menyelesaikan pelbagai tugas tambahan, biarpun tidak dikira sebagai OT (overtime). Lalu, kita merasakan banyak waktu kita yang telah terkorban, malah terasa seperti diri dikorbankan apabila bertugas dalam keterpaksaan. Belum lagi dikira pengorbanan wang ringgit yang dilaburkan demi alat-alat kelengkapan serta bebanan fizikal dan emosi yang kadangkala meresahkan.

Tapi percayalah, andai hati kita cukup redha menghadapi segalanya, andai semangat kita cukup kental berhadapan segala cabaran, sudah pasti rasa terkorban tidak akan muncul dalam jiwa. Setiap tugas tambahan yang dilakukan, setiap sen yang diinfakkan, seandainya ia demi kebaikan anak didik dan perkembangan pendidikan, didiklah hati untuk seikhlas mungkin. Anggaplah ia sebagai sumbangan. Itulah namanya pengorbanan.


Diri sendiri berkorban atau membiarkan diri terkorban? Kita sendiri yang menetukan pilihan.   


Berkorban Untuk Apa & Siapa?

Mengajar tanpa batasan waktu, mendidik tanpa batasan ruang, bertugas tanpa penat dan jemu di waktu pagi petang siang dan malam, untuk apakah semua itu? Adakah demi mengejar ranking dalam peperiksaan awam atau demi mengukir nama sebagai guru yang melahirkan paling banyak ‘A’ di atas sekeping kertas? Atau mungkinkah gelaran APC atau GC yang disandarkan impian? Mungkinkah juga sekadar mengharapkan pujian dan pujaan dari pihak atasan dan rakan seangkatan?  


Usah diharapkan penghargaan manusia, 
kelak kita lebih banyak berasa kecewa dan tertekan.
Tidak perlu diimpi balasan dan ganjaran insan, 
kerana ketidakadilan seringkali menjadi halangan.
Cukuplah sekadar ikhlas menjadi sandaran, 
agar kita tidak leka dek pujian dan tidak pula mati dek kejian.
Tabah dan sabar pada setiap ketentuan, 
agar jiwa sentiasa tenang menghadapi cabaran.

Hakikatnya penilaian manusia tidak akan pernah sesekali sama dengan penilaian Tuhan.
Ampunkan kekhilafan insan dalam membuat pertimbangan, 
sedangkan kita sendiri punya kekurangan.
Sesungguhnya hanya DIA yang selayaknya memberikan ganjaran.
Yakinlah bahawa setiap usaha & pengorbanan 
pasti akan terbayar walau bukan sekarang.
Dan seharusnya hanya redha dari-Nya yang menjadi impian.


Cerita Kita Tak Sama

Pandangan kita mungkin berbeza, kerana jalan cerita kita tidak sama.
Cabaran kita mungkin tidak serupa walau punya kerjaya yang sama, apatah lagi jika berbeza dunia kerjaya. Jadi, usah pukul rata dan pandanglah dari sudut yang berbeza. Ini cuma sekadar perkongsian rasa. Raikan persamaan, hargai perbezaan.

Pada akhirnya, destinasi yang kita tuju di penghujung kehidupan adalah sama. Jadikanlah perjalanan ini suatu perjalanan yang bermakna.


Ganjaran Tidak Ternilai

Biarpun kita tidak dikenali, walaupun jasa kita tidak didendang, biarlah orang mahu berkata apa sahaja, yang paling penting DIA sentiasa ada memerhatikan kita. Sejauh mana keikhlasan kita, sejauh mana kita malaksanakan amanah & tanggungjawab, dan sejauh mana pengorbanan kita, hanya DIA yang layak menilai. Moga kita tidak mendabik dada dan meninggi diri. Moga kita dijauhkan dari sifat ujub dan dengki.

Buat semua rakan seperjuangan, teruskan memberi yang terbaik dalam mendidik anak bangsa. Yakinlah bahawa tidak akan pernah ada satu pun usaha & pengorbanan yang sia-sia. Moga-moga setiap ilmu yang dicurahkan menjadi saham untuk kita di alam sana. Moga-moga setiap benih yang kita semai akan tumbuh mewangi untuk kita tuai di hari muka. Dan semoga ada tangan yang dihulur untuk menarik kita ke syurga.


Menjadi guru itu tugas yang mulia. Sumber pahala yang berganda. Layakkah kita?
Moga-moga setiap usaha & pengorbanan kita diterima oleh-NYA.

Wallahu’alam.

SALAM AIDIL ADHA
Selamat Hari Raya KORBAN buat semua saudara Muslim yang membaca coretan ini, terutamanya buat rakan-rakan seperjuangan yang bergelar guru mahupun pendidik.
Guru: Pengorbanan yang tidak akan pernah terhenti selagi nafas dihembus di muka bumi.


Coretan tulus ikhlas dari hati,
Cikgu Nurul
~ sekadar guru biasa yang ingin berusaha secara luar biasa ~



p/s: niat asalnya tak nak tulis panjang-panjang, tapi terpanjang jugak. Hmm….kalau sudah namanya cikgu, banyak bercakap, banyak pula yang ditulis… =D