Sunday 28 June 2015

Selamat Jalan, Sahabat

Tanpa sedar, 5 tahun telah berlalu sejak pertemuan kami yang pertama di bumi Sibu.
Beza posting cuma 3 bulan.
Selama 5 tahun mengharungi suka duka bersama, terlalu banyak kenangan yang telah tercipta.
Terasa masih ada begitu banyak yang ingin dikongsi bersama.
Namun, telah tertulis rezekinya di sini setakat ini sahaja.
Perginya tanpa disangka-sangka.
Permohonannya untuk bertukar ke semenanjung akhirnya diluluskan jua.
Maka, berangkatlah beliau ke bumi Tok Gajah bersama suami tercinta.


Jika ada yang bertanya, apa alasan yang diguna, tiada apa yang luar biasa.
Hanya sekadar menggunakan alasan mengikut suami, mungkin sudah rezekinya ada kekosongan di sana.
Surat sokongan majikan suaminya dilampirkan bersama.
Dan yang paling utama, ini semua ketentuan Yang Maha Pencipta.


Dua minggu menunggu surat rasmi pertukaran guru untuk tiba.
Dua minggu itu juga masa digunakan untuk mengemas segala barang yang ada.
Banyak juga perkara yang perlu diuruskan sebelum berpindah tempat kerja.
Nasib baik ada sumber rujukan daripada guru yang pernah menguruskan perkara sama.
Cuma tidak layak untuk membuat sebarang tuntutan dengan alasan tempoh bertugas belum genap 5 tahun, masih berbaki 5 bulan sahaja.

Panduan menguruskan perpindahan dari Sarawak ke Semenanjung diambil daripada blog Cikgu Hailmi di sini.  
Hampir setahun saya ‘bookmark’ link ini, kononnya mahu diguna.
Rupa-rupanya link ini disimpan agar dapat saya berikan pada sahabat saya.
Tak apalah, suatu hari nanti pasti hari saya akan tiba jua.
Harapan masih ada. Jika dia berjaya, mengapa tidak saya?


Buatmu sahabat, ku doakan semoga berjaya & berbahagia.
Jangan lupa doa agar aku menuruti jejak langkahmu tidak lama lagi.
Kuucapkan selamat jalan, dan bukan selamat tinggal.

Kerana persahabatan pasti akan kekal selagi ukhwah subur di jiwa. 


p/s: nasib baik berjaya tahan kolam mata masa di airport td. T.T

Saturday 27 June 2015

Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?

Bermula pada tahun hadapan, peperiksaan bertulis Kertas 3 bagi mata pelajaran sains tulen (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan) akan digantikan dengan peperiksaan berpusat amali sains. Selaras dengan itu, pihak KPM / JPN / PPD menjalankan pemantauan di sekolah-sekolah untuk melihat tahap kesediaan makmal sekolah yang akan digunakan untuk  menjalankan peperiksaan amali. Di samping itu, pemantau juga akan memantau pelaksanaan PdP amali guru sains yang dipilih. Jadi, semasa pemantauan dijalankan, guru mesti menjalankan aktiviti eksperimen. Mungkin juga mereka mahu melihat sejauh mana keberkesanan kursus amali sains yang telah dijalankan untuk guru-guru sains tulen baru-baru ini.

Makmal sains sekolah saya telahpun dipantau pada hari Rabu yang lepas. Pemantauan dijalankan oleh Guru Cemerlang mengikut mata pelajaran yang akan dipantau. Setiap sekolah telah ditentukan mata pelajaran yang akan dipantau oleh pihak PPD. Sekolah saya telah terpilih untuk mata pelajaran Kimia. Memandangkan saya satu-satunya guru Kimia di sekolah ini, maka sememangnya sayalah guru yang bertuah untuk pemantauan pdp amali ini. Mujur juga pemantau saya, Cikgu Chai memaklumkan awal kepada saya mengenai pemantauan ini. Jadi, bolehlah saya membuat persediaan untuk aktiviti eksperimen. 


Antara aspek yang diperhatikan di makmal sains semasa pemantauan adalah: 
1. Bekalan elektrik & air bersih 
2. Sinki 
3. Ventilasi udara 
4. Pintu dan tingkap 
5. Kerusi dan meja 
6. Kerosakan di makmal 
7. Susun atur makmal sains (adakah sesuai untuk amali?)
8. Peralatan / radas yang mencukupi 
9. Jadual penggunaan makmal sains 
10. Kesediaan kakitangan sokongan membantu guru & murid semasa menjalankan amali. 

Untuk bahagian PdP amali guru sains pula, antara aspek yang diperhatikan adalah: 
1. Sejauh mana guru meningkatkan kemahiran saintifik murid 
2. Adakah amali dijalankan secara eksperimen / demonstrasi 
3. Adakah guru menitikberatkan aspek keselamatan
4. Sejauh mana kemahiran pelajar menggunakan peralatan dan radas di makmal
5. Adakah pelajar membersihkan radas & menyimpannya dengan selamat selepas eksperimen. 
6. Jika bahan tidak mencukupi, apa bahan alternatif yang digunakan. 

* Pemantau juga bertanyakan beberapa soalan kepada pelajar. 

Pemantau akan meneliti kekurangan / masalah yang dihadapi di makmal sains serta pelan kontigensi bagi setiap masalah tersebut. Misalnya, jika makmal terputus bekalan air / elektrik semasa amali dijalankan, apakah jalan alternatif yang akan diambil? (contoh: menggunakan generator). Ataupun jika bahan / radas tidak mencukupi, apakah yang dilakukan oleh pihak sekolah? 

Satu perkara yang perlu diingatkan, mereka menjalankan pemantauan dan bukannya penilaian. Jadi, bagi sekolah-sekolah yang serba kekurangan (seperti sekolah saya), tidak perlu risau untuk menunjukkan keadaan sebenar di makmal. Di sekolah saya, kami mengambil kesempatan ini untuk mengutarakan segala masalah yang dihadapi agar pihak atasan yang bertanggungjawab tahu keadaan sebenar supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil. Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan pemantauan yang dijalankan. PdP amali juga mendapat komen positif daripada pemantau. Hehe…



p/s: kasihan pada Cikgu Chai sesat semasa on d way ke sekolah saya. sudahlah tiada dalam gps, papan tanda pula sudah hilang, line telefon pun tiada. huhu.... 

Saturday 20 June 2015

Rezeki Ramadhan

Petang semalam, saya diajak oleh seorang guru berbangsa tionghua dari sekolah saya untuk berbuka puasa di luar. Tujuannya adalah untuk meraikan rakan serumah saya, Cikgu Raja Norazila yang akan berpindah ke Pahang tidak lama lagi. (cuma menunggu surat rasmi).
Orang ajak makan, belanja pula tu, sudah tentulah rezeki tidak boleh ditolak kan.....hehe.....


Tapi, apa yang membuatkan saya tersentuh adalah niat murni Cikgu Fong yang mahu meraikan & berkongsi kegembiraan bersama kami.
Memandangkan sekarang adalah bulan Ramadhan, maka beliau sanggup menunggu waktu berbuka bersama kami & cukup memahami kami perlu pulang cepat utuk menunaikan solat.


Mengenali Fong selama 5 tahun, beliau saya lihat seorang yang cukup sempoi, mesra alam (friendly), tidak kedekut dan suka membuat orang lain ketawa (walaupun kadang-kadang dia memang sangat gila-gila).
Tatkala tiba bulan puasa, saya perasan, sejak tahun lepas, dia dan rakan-rakan guru cina yang lain tidak lagi makan di hadapan kami dalam bilik guru.
Sesuatu yang mungkin nampak enteng, tetapi sebenarnya cukup bermakna apabila kita saling menghormati dan memahami walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya.
Saya berharap ada lebih ramai lagi manusia seperti Fong di luar sana.
Dan semoga Malaysia terus dirahmati dengan nikmat keamanan & kemakmuran yang berpanjangan.

Salam Ramadhan al-Mubarak 1436H. =)


p/s: puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga.

Friday 19 June 2015

Nota Ringkas Sebatian Karbon

Topik Sebatian Karbon (Bab 2, Kimia Tingkatan 5) merupakan antara topik yang penting dalam mata pelajaran Kimia. Tajuk ni hampir setiap tahun disoal dalam peperiksaan SPM sama ada soalan struktur mahupun soalan esei. Pernah juga disoal dalam Kertas 3, iaitu soalan yang meminta pelajar membanding beza alkana & alkena.

Tajuk Sebatian Karbon merangkumi 5 siri homolog, iaitu Alkana, Alkena, Alkohol, Asid Karboksilik dan Ester. Jika mahu dihafal semua tindak balas kimia yang melibatkan sebatian karbon satu persatu tentulah satu tugas yang sukar. Tambahan pula, kebiasaannya soalan sebatian karbon akan menggabungkan beberapa siri homolog. 

Jadi, antara cara paling mudah untuk mengingati semua tindak balas kimia yang melibatkan sebatian karbon adalah dengan menggunakan nota ringkas dalam bentuk peta minda / peta konsep. 
Saya meminta pelajar untuk membinanya sendiri supaya mereka lebih faham dan lebih mudah untuk mengingatinya. Selepas mereka membina draf awal, saya meminta mereka untuk membuat penambahbaikan supaya peta minda mereka lebih lengkap.

Hasil pelajar-pelajar 5 Sains 2017: 










Hasil pelajar-pelajar 5 Sains 2015: 







Wednesday 17 June 2015

Perbincangan Soalan Ujian : Sejauh Mana Kepentingannya?

Minggu pertama persekolahan selepas cuti sekolah.
Seperti biasa, minggu pertama PdP selepas musim peperiksaan akan saya gunakan untuk membincangkan soalan ujian baru-baru ini.
Memang memakan masa, jika nak diikutkan hati mahu sahaja saya teruskan dengan pengajaran topik seterusnya.
Namun, memandangkan saya melihat kemahiran pelajar dalam menjawab soalan peperiksaan masih berada di tahap yang rendah, maka saya luangkan masa untuk membincangkan kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama semasa ujian seterusnya.
Ada juga guru-guru yang tidak membincangkan soalan ujian yang telah lepas. Mereka akan menghabiskan syllabus secepat mungkin dan setelah syllabus tamat baru fokus pada latih tubi.
Tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza. Saya lebih suka menerangkan sesuatu topik sehingga pelajar benar-benar faham sebelum diteruskan dengan topik seterusnya, terutamanya untuk mata pelajaran Kimia.
Jadi, sementara soalan ujian masih segar dalam ingatan pelajar, saya akan membincangkan teknik-teknik yang betul dalam menjawab soalan.
Jika dulu saya hanya akan memberikan jawapan kepada pelajar, tetapi sekarang saya menggalakkan pelajar untuk lebih berdikari.
Selari dengan konsep pembelajaran berasakan murid (student-centered learning), saya meminta pelajar untuk membuat perbincangan kumpulan bagi mencari jawapan yang paling tepat untuk setiap soalan.


Seterusnya, saya meminta pelajar untuk membentangkan jawapan mereka di hadapan kelas.
Selepas itu, baru saya akan membetulkan kesilapan mereka sekiranya ada. Dalam masa yang sama, saya juga akan bertanyakan soalan-soalan tambahan bagi memastikan mereka benar-benar faham sesuatu konsep & jawapan yang mereka berikan.



Apa yang saya perhatikan, dengan menggunakan cara ini, pelajar akan lebih 'alert' dengan kesilapan yang mereka lakukan & menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam menjawab di masa hadapan.
Apabila pelajar sendiri yang mencari jawapan, mereka akan sedar bahawa mereka sebenarnya mampu untuk menjawab setiap soalan. Apa yang penting, mereka perlu yakin dengan diri sendiri terutamanya apabila menjawab soalan KBAT.

p/s: perit juga tekak nak mengatasi suara pelajar yang ramai semasa perbincangan kumpulan.

Sunday 14 June 2015

Erti Cuti Sekolah Bagi Seorang Cikgu

Cuti sekolah pertengahan tahun ini telah sampai di penghujungnya.
Niat di hati cuti sekolah pada kali ini mahu digunakan untuk membuat beberapa tugasan (termasuklah mengemaskini blog).
Namun seperti biasa, niat itu tertangguh tatkala bersama ahli keluarga.
Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk membuat aktiviti bersama keluarga, walaupun dalam kepala asyik terfikirkan tugasan2 yang menunggu.
Kedengaran 'cliche' bukan? tapi itulah hakikatnya.


Ramai yang sering berkata, " jadi cikgu bestlah...cuti lama.." Ya, itu memang betul.
Tapi, ramai juga cikgu yang 'curi-curi' masa cuti untuk membuat kerja-kerja sekolah.
Menanda kertas ujian yang tak habis-habis, isi markah dalam SAPS, buat modul, buat analisis, sediakan pelan peningkatan akademik dll.... dan kemudian senarai itu akan bertambah panjang apabila sesi persekolahan bermula.
Maka gigihlah semua cikgu sementara menunggu cuti sekolah yang seterusnya....



Merungut? Tidak. Bosan? Pun tidak. Rasa mahu berhenti? Sesekali tidak.
Cuma, bagi saya tiada salahnya jika cikgu mahu sedikit menikmati waktu cuti.
Terutama bagi mereka yang bertugas jauh daripada keluarga, di 'seberang Laut China Selatan' misalnya (seperti saya).
Bukan selalu ada peluang untuk pulang ke kampung, perlu menunggu waktu cuti panjang & perlu 'check' bajet sebelum booking tiket flight.
Jadi, jangan jeles bila cikgu dapat cuti lama ok!

p/s: sayu hati nak meninggalkan ibu yg sedang uzur. apakan daya, tanggungjawab & amanah pada anak didik juga harus disempurnakan.