Sunday 24 January 2016

Aktiviti Membuat ‘Aiskrim Goyang’

Kebiasaannya, aiskrim dibekukan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. Aktiviti kali ini menunjukkan aiskrim boleh disediakan & dibekukan dalam masa yang singkat tanpa perlu memasukkannya ke dalam peti sejuk. Caranya adalah dengan menyejukkannya di antara ketulan ais yang direndahkan takat bekunya.

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. 2 kotak susu segar (perisa terpulang pada individu)
2. ¼ tin susu pekat manis (nak guna gula pun boleh)
3. Plastik aiskrim
4. Ais secukupnya  
5. Garam kasar



Cara-caranya:

1. Campurkan susu segar dan susu pekat.


2. Masukkan campuran aiskrim ke dalam plastik aiskrim dan ikat dengan ketat


3. Letakkan ais dalam besen @ tong ais
4. Taburkan garam kasar ke dalam ais (untuk merendahkan takat beku)
5. Masukkan aiskrim ke dalam besen / tong ais, kemudian tutup


6. Goyangkan besen / tong ais sehingga aiskrim beku (antara 20-30 minit)



Tips:
*Saiz aiskrim yang lebih kecil menjadikannya lebih cepat membeku
*Tekstur aiskrim ini adalah lembut (kerana menggunakan susu). Jadi, ia tidak akan mengeras seperti ais batu.


Konsep:
> Berdasarkan Teori Kinetik Jirim, jirim terdiri daripada 3 keadaan, iaitu pepejal, cecair dan gas.
> Air tulen akan membeku pada takat bekunya, iaitu 0oC.
> Kehadiran bendasing (garam) akan merendahkan takat beku ais, iaitu antara -1 oC sehingga -6 oC
> Jadi, pada suhu 0oC, ais akan mencair kerana ia belum mencapai takat bekunya
> Semasa proses peleburan ini, ais / air menyerap haba daripada persekitaran (dalam kes ini, aiskrim kita). Aiskrim yang kehilangan tenaga haba pula akan membeku.
> Suhu ais yang mencair ini adalah lebih rendah daripada suhu ais biasa. 
> Suhu ais yang lebih rendah akan dapat membekukan cecair lain (aiskrim) dengan lebih mudah

(p/s: penerangan konsep adalah bergantung kepada m/p yang diajar, tahun / tingkatan yg diajar & tahap penerimaan murid. penerangan bagi m/p Kimia dan Fizik mungkin sedikit berbeza) 


Bacaan Lanjut: 

https://stuffexplained.wordpress.com/2012/08/06/adding_salt_to_ice_in_a_cooler/
https://www.inverse.com/article/10544-if-salt-melts-snow-and-ice-why-is-it-essential-in-making-ice-cream


# Muat turun nota ini 


p/s: best rasa aiskrim ni sebab teksturnya lembut kerana menggunakan susu. tak perlu pun blend sepertimana kebanyakan resepi aiskrim lain. 

Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu 2016

Acara merentas desa merupakan suatu acara sukan yang bukan hanya bertujuan untuk melahirkan murid yang cergas dan aktif dalam bidang sukan, tetapi juga bagi memupuk nilai mencintai alam sekitar.  Kejohanan Merentas Desa bagi peringkat MSS Daerah Sibu tahun 2016 telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Januari. SMK Bawang Assan telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut setelah kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2014.


Kejohanan pada kali ini menyaksikan penyertaan yang amat menggalakkan dengan disertai oleh 21 buah sekolah (daripada 27 buah sekolah menengah di Sibu), termasuk sebuah sekolah dari Kanowit iaitu SMK Nanga Dap. Jumlah peserta bagi semua kategori pula mencecah 440 orang, iaitu sekali ganda daripada jumlah keseluruhan pelajar SMK Bawang Assan.

Para peserta bersama pengurus pasukan masing-masing mula tiba di pekarangan SMKBA seawal jam 6.45 pagi. Memandangkan sekolah agak kecil dengan kapasiti pelajar yang sedikit, tempat meletakkan kenderaan amat terhad dan sempit. Namun mujur dengan adanya bantuan daripada pengawal keselamatan dan juga anggota pasukan Kadet Polis, pergerakan menjadi agak lancar.


Setelah para peserta melaporkan diri di khemah pendaftaran, satu taklimat berkaitan laluan merentas desa disampaikan oleh Pegawai Teknikal kejohanan, Cikgu Willy. Tidak lama kemudian, para peserta mula bergerak ke tapak perhimpunan bagi memulakan acara.


Tepat jam 8.38 pagi, Tuan Pengetua SMKBA, En. Lau Siah Teck mengibarkan bendera kejohanan sebagai tanda perlepasan peserta. Kategori pertama yang dilepaskan ialah kategori Lelaki Junior (Bawah 15 tahun),kemudian diikuti oleh kategori Perempuan Senior (Bawah 18 tahun), Lelaki Senior, dan diakhiri dengan kategori Perempuan Junior.


Pada jam 9.45 pagi, wakil Pegawai PPD Sibu tiba di pekarangan sekolah dan disambut oleh Tuan Pengetua.


Cuaca pada sebelah pagi ternyata menyebelahi kami dengan suasana yang redup. Namun, sebaik sahaja majlis perasmian penutupan dimulakan, hujan turun dengan lebat menyebabkan majlis perasmian terpaksa ditangguhkan seketika. Sebaik sahaja hujan reda, tanpa melengahkan masa majlis diteruskan di tapak perhimpunan sebagaimana perancangan asal.

Ternyata SMK Sedaya menjadi bintang pada kejohanan kali ini kerana berjaya menggungguli kedua-dua kategori lelaki & perempuan di mana mereka merupakan Juara Keseluruhan bagi kategori Perempuan dan juga Naib Juara bagi kategori Lelaki Keseluruhan. Mereka turut menjuarai kategori Perempuan Senior dan juga Perempuan Junior.

Juara kategori Perempuan Keseluruhan, SMK Sedaya 

Kategori lelaki pula memperlihatkan penguasaan SMK Sacred Heart. Selaku juara kategori Lelaki Junior & Lelaki Senior, mereka berjaya membawa pulang piala Juara Keseluruhan bagi kategori Lelaki.

Juara kategori Lelaki Keseluruhan, SMK Sacred Heart 


SMK Bawang Assan turut tidak mengecewakan apabila mendapat tempat ke-3 bagi kategori Lelaki Junior. Kecil-kecil cili padi. Peserta sekolah kami merupakan antara peserta yang paling kecil fizikalnya jika dibandingkan dengan peserta-peserta dari sekolah lain. Walau apa pun, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun rezeki untuk menjadi juara kategori tidak berpihak kepada kami. 

SMK Bawang Assan - tempat ketiga Lelaki Junior 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang telah menyertai Kejohanan Merentas Desa pada kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Adat bertanding, ada kalah dan ada menang. Adat menguruskan acara, ada kelemahan dan ada kesilapan. Apa yang penting, semangat kesukanan dapat terus kita pupuk demi melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan berdaya saing dalam segenap aspek.

Berakhir sudah kejohanan merentas desa,
SMK Bawang Assan melambai ceria,
Sukan membentuk semangat waja,
Rakyat sihat, negara sejahtera.

Warna – warni sepanjang kejohanan:




Peserta SMKBA warming-up  










Sekalung penghargaan & jutaan terima kasih kepada:

1. En. William Anut, wakil Pegawai PPD Sibu selaku perasmi kejohanan
2. En. Lau Siah Teck, Pengetua SMKBA selaku Penaung.
3. En. Patrick Gerijeh, PKKK SMKBA selaku Pengurus & Penyelaras Kejohanan
4. En. Chia Fuk Kien, Pengerusi Teknikal MSSD Sibu
5. Para jurulatih, pengurus-pengurus pasukan & guru-guru pengiring
6. Para peserta kejohanan
7. Para pengawas & semua pelajar SMKBA yang menjadi AJK Kejohanan

Dan terutamanya kepada seluruh warga SMK Bawang Assan, para guru dan staf, yang telah bertungkus lumus menzahirkan komitmen padu dari awal sehingga ke akhir demi menjayakan Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu tahun 2016. Tahniah dan terima kasih semua……!  
  
Muat turun teks MC DI SINI 

Sunday 17 January 2016

Eksperimen Kadar Tindak Balas Menggunakan Panadol Soluble

Kadar tindak balas dipengaruhi oleh 5 faktor:

i) Saiz bahan tindak balas
ii) Kepekatan bahan tindak balas
iii) Suhu bahan tindak balas
iv) Kehadiran mangkin
v) Tekanan

Walaupun dalam sukatan pelajaran Kimia disenaraikan 5 faktor, namun yang dibincangkan secara terperinci hanya 4 faktor sahaja. Jadi, terdapat 4 eksperimen yang dijalankan bagi mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kadar tindak balas. 

Saya menggabungkan 3 faktor untuk dibincangkan dalam satu sesi PdP (2 waktu). Faktor saiz dijadikan sebagai set induksi, di mana saya menggunakan panadol soluble yang dilarutkan dalam air.
Dua lagi faktor, iaitu faktor kepekatan bahan & suhu bahan tindak balas dijalankan eksperimen oleh pelajar-pelajar saya. Dua eksperimen ini boleh dijalankan serentak memandangkan kedua-duanya menggunakan bahan tindak balas yang sama.

Kronologi langkah yang saya jalankan:

(A) Set induksi

1. Sediakan dua buah bikar berisi air & dua biji panadol soluble
2. Minta pelajar patah-patahkan sebiji panadol soluble sehingga menjadi ketulan-ketulan kecil


3. Tanya pelajar apa perbezaan luas permukaan panadol soluble antara ketulan besar & ketulan kecil.
(ketulan kecil mempunyai luas permukaan yang lebih kecil bagi setiap ketulan, tetapi mempunyai Jumlah Luas Permukaan yang lebih besar berbanding sebiji ketulan besar panadol soluble)

4. Masukkan panadol soluble ke dalam 2 buah bikar berisi air. Perhatikan panadol soluble dalam bikar mana yang paling cepat larut dan berhenti bertindak balas.


5. Minta pelajar nyatakan pemerhatian.
(ketulan kecil panadol soluble lebih cepat larut & lebih cepat berhenti bertindak balas)

6. Pelajar membuat rumusan / kesimpulan:
Semakin kecil saiz bahan tindak balas, semakin besar jumlah luas permukaan bahan yang terdedah, semakin tinggi kadar tindak balas

7. Aplikasi dalam kehidupan seharian: memasak makanan yang bersaiz kecil lebih cepat berbanding makanan yang bersaiz besar. 


(B) Eksperimen berkumpulan

1. Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan. 2 kumpulan mengkaji faktor kepekatan bahan, manakala 2 kumpulan lagi mengkaji faktor suhu.
2. Guru menunjukkan demo eksperimen (menggunakan radas kosong) & menerangkan langkah berjaga-jaga semasa menjalankan eksperimen.
3. Pelajar menjalankan eksperimen (rujuk prosedur dalam Buku Teks Kimia Ting. 5 & hands-on)
4. Pelajar mencatatkan masa yang diambil untuk tanda 'X' tidak kelihatan 



(C) Melukis graf & pembentangan

1. Pelajar melukis graf kepekatan melawan 1/masa & suhu melawan 1/masa
2. Pelajar membentangkan data & graf kumpulan masing-masing sebagai perkongsian dengan kumpulan lain.
3. Semua graf yang dilukis menunjukkan graf garis lurus (berkadar langsung).


Langkah berjaga-jaga & peringatan kepada pelajar:

1. Terus mulakan jam randik sebaik sahaja asid dituangkan ke dalam kelalang kon berisi natrium tiosulfat kerana tindak balas terus berlaku.

2. Gunakan kelalang kon yang sama saiz kerana saiz yang berbeza mempengaruhi ketinggian mendakan yang terbentuk. Seterusnya, ia mempengaruhi masa yang diambil untuk tanda ‘X’ tidak kelihatan.

3. Pastikan mata berada pada aras meniskus cecair semasa mengukur isipadu natrium tiosulfat.


4. Gunakan penyepit / kain semasa memegang kelalang kon yang panas. Memegang radas yang panas boleh mendatangkan kemalangan.


5. Sebaik sahaja natrium tiosulfat mencapai suhu yang diingini, terus masukkan asid & mulakan jam randik.

6. Lihat tanda ‘X’ dari atas kelalang kon, bukan dari tepi.


7. Tutup kipas sepanjang eksperimen dijalankan bagi memastikan suhu sekeliling tidak mempengaruhi suhu bahan tindak balas.

8. Sebaik-baiknya eksperimen dijalankan dengan pantas kerana semakin lama masa diambil, kelalang kon yang digunakan menjadi semakin kabur disebabkan sisa sulfur yang melekat pada dinding kelalang kon. Menggunakan kelalang kon yang lain, tetapi sama saiz adalah lebih baik.


9. Jangan buang sisa bahan kimia ke dalam sinki. Buang sisa bahan kimia dalam bekas sisa bahan kimia yang disediakan oleh guru. 

10. JANGAN gunakan istilah tanda 'X' hilang, tetapi gunakan ayat "tanda 'X' hilang dari pandangan" ataupun "tanda 'X' tidak kelihatan"


**Rujukan lanjut: https://www.facebook.com/rajinder.pw/posts/10153915429201654

Wednesday 6 January 2016

RPT Kimia & Sains 2016

Berikut merupakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bagi mata pelajaran Sains menengah rendah dan juga Sains Tulen (Kimia & Biologi) untuk tahun 2016. Semua RPT adalah dalam versi Bahasa Melayu.



Dalam RPT tersebut telah disertakan peta i-think yang berkaitan dan juga aktiviti-aktiviti tambahan yang berteraskan KBAT / HOTS.


Muat turun: 

RPT Sains Ting. 1 2016 

RPT Sains Ting. 2 2016  (kredit: cikgu Yii Hea Lang)

RPT Sains Ting. 3 2016  (kredit: cikgu Norhidayah)


RPT Sains Ting. 5 2016 ( kredit: cikgu Su Hiap Soon)


RPT Kimia Ting. 4 2016 

RPT Kimia Ting. 5 2016 

RPT Biologi Ting. 4 2016  (kredit: cikgu Yii Hea Lang)

RPT Biologi Ting. 5 2016 ( kredit: cikgu Su Hiap Soon)


Cover RPT