Bulan September tiba lagi. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan
guru terutamanya bagi yang berbakti di seberang Laut China Selatan. Tiga bulan
berlalu selepas kekecewaan pada Jun lalu, harapan guru kembali mekar dengan
tibanya September. Walaupun permohonan untuk bertukar ke Semenanjung belum
tentu lagi berjaya, namun apa yang penting usaha tanpa jemu diiringi doa yang
tidak putus-putus serta tawakal sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa menentukan
rezeki setiap manusia.
Jika mahu dibicarakan tentang EGTukar ni, perbincangannya entah bila
akan habis. Terlalu banyak cerita dan pengalaman yang telah dilalui &
didengar daripada mereka yang senasib. Namun isu yang sering dibangkitkan
tentulah berkaitan dengan alasan yang dipertimbangkan untuk pertukaran.
Tiga alasan utama yang disenaraikan dalam laman e-GTukar:
1.
Mengikut suami /
isteri
2.
Ancaman keselamatan
3.
Sakit kronik
Alasan pertama merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh mereka
yang memohon pertukaran. Ramai yang
telah berjaya dengan menggunakan alasan ini, tidak kurang juga yang masih
kecewa.
Ada rakan guru yang dapat pindah tidak lama selepas berumahtangga,
namun ada juga yang masih gagal walaupun anak sudah masuk dua. Begitu juga
dengan alasan yang kedua dan ketiga. Ada guru-guru yang berjaya dengan
menggunakan alasan tersebut siap dengan surat sokongan doktor / majikan mahupun
laporan polis. Tetapi, ada juga yang masih tidak berjaya.
Kadang-kadang bila diperhatikan, guru-guru yang belum betul-betul emergency dapat bertukar, manakala yang
sudah hampir ‘sakit jiwa’ tidak dapat pula. Jadi persoalannya, mengapa berlaku
situasi seperti ini? Bagaimanakah alasan yang sebenarnya betul-betul
dipertimbangkan oleh pihak atasan?
Jika disebabkan tiada kekosongan opsyen di PPD yang dimohon, bukankah
sudah dipersetujui bahawa guru yang memohon sanggup ditempatkan di PPD lain.
Bertambah hairan apabila ada guru baharu dapat ‘posting’ di Semenanjung,
sedangkan guru-guru yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat di Sarawak tidak
dapat dipindahkan.
Sistem ‘traffic light’ yang
mula digunakan di laman e-GTukar lebih banyak mempamerkan warna merah
berbanding hijau. Melihat pada opsyen Sains Tulen memang tiada harapan nak ‘jalan’
lah nampak gayanya. Semua negeri sudah diisi penuh keperluannya. Tetapi, betul
ke?
Sistem ‘traffic light’
menampakkan seolah-olah kebanyakan negeri sudah cukup guru, terutama negeri ‘K’
yang begitu sukar ditembusi temboknya. Ini membuatkan saya terfikir, adakah
guru di negara ini memang majoritinya orang ‘K’, sebab setiap tahun yang mohon
masuk negeri ‘K’ paling ramai bilangannya. Tak dapat-dapat masuk pula tu sebab
asyik penuh saja walaupun saya lihat banyak juga sekolah yang baru dibina di
sana. Jika benar keperluan guru di kebanyakan negeri sudah dipenuhi, apa pula
akan jadi pada calon-calon graduan pendidikan yang tamat pengajian saban tahun?
Tidak dinafikan tanggungjawab guru adalah untuk mendidik anak bangsa
walau di mana sahaja berada. Guru sentiasa sedar amanah yang dipikul harus dilaksanakan
sebaik mungkin. Kecewa walau macam mana sekalipun, amanah tetap harus
dilunaskan dengan ikhlas dan sabar. Namun, guru juga manusia biasa yang punya
rasa untuk pulang ke pangkuan keluarga setelah sekian lama merantau. Salahkah jika
mahu berada berdekatan dengan ibu bapa yang semakin hampir ke penghujung usia? Usah
diminta mereka dibawa ke tempat kita berkhidmat sekarang kerana kita sudah
sedia maklum jawapan yang bakal diterima. Tetapi bila digunakan alasan seperti
ini, kita pula yang disuruh berhenti kerja kerana ramai yang sedang menunggu
giliran untuk mengisi jawatan guru.
Satu persoalan yang sering bermain di fikiran saya berkaitan alasan
pertukaran adalah jika alasan mengikut suami boleh dipertimbangkan, kenapa pula
alasan untuk menjaga ibu / bapa yang sudah uzur tidak disenaraikan? Mereka yang
berumahtangga dapat bertukar ke Semenanjung selepas beberapa tahun, tetapi jika
ada yang ditakdirkan tidak bertemu jodoh dan sudah berada di Sarawak selama
lebih 10 tahun tidak dipertimbangkan pertukarannya. Adilkah begitu? Alasan mengikut
suami disenaraikan kerana suami adalah syurga bagi isteri. Bukankah ibu adalah
syurga bagi seorang anak?
Walau apapun, hanya DIA yang Maha Mengetahui dan menentukan rezeki
setiap hamba-Nya……
p/s: artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis, berdasarkan pengalaman peribadi & pengalaman rakan2 sejawatan.
No comments:
Post a Comment