Tuesday, 2 January 2018

Episod Perpindahan yang Tidak Dijangka

Benarlah. Rezeki itu tidak pernah salah alamat. 
Kadang biarpun sesuatu itu sudah ada dalam genggaman, tapi jika sudah tertulis bukan rezeki kita tetap akan terlepas jua. 
Namun jika sudah tertulis rezeki itu milik kita, biar jauh, cepat mahupun lambat tetap akan menjadi hak kita. 

Hampir 7 tahun saya menabur bakti di Bumi Kenyalang. Sekolah itu sudah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya. Biarpun bukan sedikit yang perlu dikorbankan, namun saya gembira di sana. Juga bukan sedikit pengalaman yang telah dikutip serta ilmu yang ditimba. 

e-GTukar diisi saban tahun. Namun, belum sampai rezeki perpindahan ke Semenanjung. Sehingga pada suatu tahap, saya tidak lagi terlalu berharap. Ibarat sudah dapat menjangka, pasti e-GTukar akan gagal lagi buat kesekian lagi. 

Tanpa disangka-sangka, DIA menghadirkan peluang di depan mata. Tanpa berfikir lama, saya menerima dengan hati terbuka, berusaha melalui jalan yang berbeza daripada kebiasaannya. Permohonan secara manual dihantar, dan dalam masa 3 minggu, permohonan diluluskan. Saya rasa seperti tidak percaya sehinggalah tidak lama selepas itu, surat arahan rasmi bagi pertukaran ke KL tiba di tangan saya (berkuatkuasa 16 Oktober 2017). 

~ Ucapan perpisahan semasa perhimpuan mingguan yang terakhir ~

Ibarat baru tersedar dari lena, saya betul-betul tidak menyangka bahawa prosesnya secepat itu. Satu sekolah gempar dengan berita pertukaran saya (haha....) memandangkan permohonan perpindahan saya dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa, kecuali Tuan Pengetua. Lebih-lebih lagi apabila pertukaran itu berlaku bukan dalam tempoh pertukaran yang biasa. Antara yang paling terkejut adalah Ketua Panitia Sains saya, Cikgu Yii Hea Lang yang cukup rapat dengan saya. 

Terlajak perahu sudah tidak boleh diundur lagi. Namun, memandangkan arahan pertukaran tiba pada saat kami semua begitu sibuk dengan urusan sekolah yang pelbagai, maka permohonan penangguhan melapor diri dihantar ke sekolah baru. Mujur mereka memahami dan memberi tempoh penangguhan sehingga sebulan. 

Dalam tempoh sebulan, saya seperti ayam tercabut ekor menyelesaikan segala tugas akhir tahun yang menggunung. Biarpun saya boleh mewariskannya kepada guru lain, namun seboleh mungkin saya ingin menamatkan setiap apa yang saya mulakan. Nota Serah Tugas akhirnya berjaya diserahkan pada hari terakhir saya bertugas di stesen lama. 


Benarlah juga kata pepatah Inggeris. You don't realize how much you love someone / something until they are really gone. Biarpun tetap gembira kerana pada akhirnya dapat berpindah ke tanah sendiri, namun rasa sayang terhadap sekolah lama tetap menebal. Tempoh masa 7 tahun bukan sekejap untuk saya lupakan sekolah itu dalam sekelip mata. Pasti akan mengambil masa, namun saya sentiasa cuba untuk positif. 

Makan malam terakhir bersama geng Panitia Sains & Mat 

Makan malam terakhir bersama geng cikgu-cikgu semenanjung di Sibu

Lunch terakhir bersama 2 orang ex-students yang paling rapat dengan saya
Thanx Ming Ming and Ah Hong for your treat 

Detik-detik terakhir sebelum ke airport Sibu. Kena tahan dengan pelajar.

Pecutan akhir SPM Kimia. Saya pulang semula ke Sibu untuk membimbing calon SPM Kimia 

Bersama salah seorang ex-student yang sangat baik hati, Yong Ing Kiet

Hari terakhir bersama batch Kimia SPM 2017. 


Akhirnya, pada 16 November 2017, saya melapor diri secara rasmi di Maktab Tentera Diraja, Kem Sg. Besi , KL. Pada masa itu, pelajar-pelajar Ting. 4 baru tamat peperiksaan akhir tahun dan menghadiri ekspedisi di Perak. Oleh itu, sampai sekarang saya belum berpeluang untuk merasai pengalaman dalam bilik darjah dan bersuai kenal dengan putera-putera di sana. Namun, apa yang pasti, sebagai satu-satunya institusi pendidikan yang berteraskan ketenteraan di Malaysia, semestinya MTD menjanjikan pengalaman dan budaya yang jauh berbeza daripada sekolah biasa. 

~ Pengalaman kali pertama terlibat dengan Passing Out Parade di MTD ~

Sesi persekolahan tahun 2018 bakal menjadi titik tolak bermulanya perjalanan dan pengalaman serba baru bagi saya di sekolah baru dan tempat tinggal baru. Selain daripada perlu bersedia dengan budaya kerja yang baru, saya juga perlu bersedia mental dan emosi untuk berhadapan dengan budaya hidup yang mencabar di kota raya besar, terutama bab makan jem di jalan raya. kehkeh..... 

Semoga tahun 2018 membawa sinar yang lebih gemilang buat saya.
Semoga segalanya akan dipermudahkan oleh-Nya. Insya-Allah..amiinn.... 

~ SERVE TO LEAD ~ 
~ BERKHIDMAT MEMIMPIN ~

No comments:

Post a Comment