Monday, 26 February 2018

100 Hari di MTD : Apa Bezanya dengan Sekolah Biasa


Hari Sabtu, 24 feb. 2018, maka genaplah 100 hari saya berkhidmat di Maktab Tentera Diraja, yang biasanya disebut sebagai MTD atau RMC (singkatan kepada Royal Military College). Dalam masa yang boleh dikatakan agak singkat, banyak perkara yang telah dilalui dan banyak perbezaan besar yang sudah dirasai. Sedikit demi sedikit saya menyesuaikan diri dan menghadam segala macam budaya MTD.


Sebagai satu-satunya sekolah menengah yang berteraskan ketenteraan, sudah tentu begitu banyak bezanya dengan sekolah biasa. Walaupun semua pelajarnya tinggal di asrama, namun MTD tetap tidak sama dengan SBP mahupun MRSM. Saya bukanlah orang yang berautoriti untuk membicarakan tentang MTD secara keseluruhannya. Apa yang bakal saya coretkan lebih kepada apa yang dilihat daripada kaca mata seorang guru biasa yang bertunjangkan PdPc sebagai fokus utama.

Apa itu MTD? 

Walaupun MTD telah ditubuhkan sejak tahun 1952, hakikatnya masih ramai yang belum menyedari akan kewujudan maktab ini. Antara soalan-soalan awal yang kerap ditanya pada saya apabila mereka mengetahui saya mengajar di MTD adalah:

1. MTD ni sekolah apa? Sekolah untuk tentera ke?
2. MTD ni sekolah untuk anak anggota tentera ke?
3. Kalau pakai cermin mata boleh ke masuk MTD?

Sebenarnya sesiapa pun boleh masuk belajar di MTD, tak semestinya anak anggota tentera. Suatu ketika dulu, MTD mempunyai pelajar dari Ting. 1-5, tapi kini hanya peringkat menengah atas (T4 & T5) sahaja. Putera MTD dipilih daripada lepasan PT3 melalui beberapa sesi pemilihan & kriteria tersendiri. Pakai cermin mata tak termasuk halangan untuk memohon masuk MTD.

Cuma, proses pemilihan MTD agak ketat melibatkan siri temuduga serta latihan fizikal kerana hanya 200 yang terbaik sahaja akan dipilih sebagai putera baru ting. 4. Unit Promosi MTD sentiasa aktif mempromosikan MTD ke seluruh negara. Jadi, rajin-rajinlah buka laman sesawang MTD bagi mengetahui jadual promosi serta prosedur dan tarikh temuduga untuk kemasukan ke MTD.

Istilah – istilah Ketenteraan

Perkara pertama yang saya cuba kuasai sejak hari pertama bertugas di sini adalah membiasakan diri dengan istilah-istilah ketenteraan serta pangkat-pangkat anggota tentera, termasuklah pangkat boy. Banyak sungguh istilah yang membuatkan saya tercengang-cengang pada mulanya. Maka gigihlah saya mengkhatam majalah MTD yang bergelar “The Bugler” bagi tujuan tersebut, ditambah pula dengan pakcik ‘Google’. Mujur juga masa kecik-kecik dulu pernah baca majalah tentera, jadi tak adalah janggal sangat, cuma kena ulangkaji balik je. So, sekarang ni sudah ok sikit, takdelah blurr sangat.  


Istilah-istilah biasa yang digunakan antara guru dan pelajar di sini:
Guru (L): Tuan
Guru (P): Puan @ Ma’am
Pelajar : Putera @ Boy
Boy T5 : Putera Kanan (PK)

KEMENTAH

MTD merupakan satu-satunya sekolah menengah di negara ini yang terletak di bawah pengurusan Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH). Terdapat juga beberapa anggota tentera yang menjadi pegawai pendidikan. Walau apapun, tugas-tugas hakiki sebagai guru tidak jauh bezanya dengan guru-guru di sekolah lain.

Pentadbiran Maktab 

Pentadbiran di MTD diketuai oleh Komandan, dengan dibantu oleh Pengarah Pengajian (bagi bahagian akademik) dan Pengarah Latihan (bagi bahagian ketenteraan). Walaupun barisan guru berada di bawah bahagian akademik, namun bagi setiap program rasmi maktab, kita akan bekerja bersama pegawai dan staf dari bahagian-bahagian lain. Berkhidmat di sini banyak memberi pengalaman berharga untuk bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun berbeza identiti, cawangan, jawatan mahupun pangkat.

Bersama Komandan MTD, Brigedier Jeneral Mohd Shahada Ismail (TUDM) 
semasa Perbarisan Tahunan 2017

Uniform Maktab

Boy di sini tidak memakai baju kemeja macam uniform sekolah biasa, tetapi memakai pakaian seragam tentera semasa menghadiri sesi pdpc.


Cuma pada hari Jumaat mereka akan memakai persalinan baju melayu.


Keperluan Putera 

Boleh dikatakan hampir semua keperluan putera di sini dibekalkan oleh maktab, dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Pakaian seragam, baju loreng, baju PJ, kasut, beg sekolah, alat tulis....tak larat nak senaraikan semua. Pendek kata tak perlu beli sehelai kertas pun. Cuma perlu bawa barang-barang keperluan peribadi je.

Kompeni & Skuad 

Jika di sekolah berasrama penuh yang lain, misalnya MRSM, kita ada sistem homeroom dan mentor-mentee, di mana guru homeroom ibaratnya seperti ibu/bapa angkat kepada pelajar-pelajar. Di sini tiada sistem homeroom, tetapi semua putera MTD dibahagikan kepada 8 kompeni di mana setiap kompeni terdiri daripada putera Ting. 4 dan Ting. 5. Setiap kompeni dibahagikan pula kepada 2 skuad, iaitu Skuad Ting. 4 dan Skuad Ting. 5.

Setiap kompeni diketuai oleh seorang Ketua Kompeni atau OC yang merupakan pegawai tentera. OC dibantu oleh 2 orang guru skuad Ting. 4 dan 2 orang guru skuad Ting. 5. Antara peranan OC dan guru skuad adalah menjaga kebajikan putera dalam kompeni / skuad masing-masing termasuklah mengambil berat akan hal pembelajaran & kesihatan putera.

Ketua putera bagi setiap kompeni digelar SUO (Senior Under Officer) atau PRK (Pegawai Rendah Kanan) dengan dibantu oleh 3 orang JUO (Junior Under Officer) atau PRM (Pegawai Rendah Muda) bagi setiap kompeni serta 4 orang Putera Sarjan.

Upacara pemakaian pangkat putera yang disempurnakan oleh Komandan MTD 

Senarai Kompeni di MTD: Alpha, Bravo, Charlie, Delta, Echo, Foxtrot, Golf, Hotel)

[ Nota kaki: SUO ni lah pangkat hero dalam drama Budak Boys kat TV3 tu. Tengok, gigih tak aku hafal semua benda ni. Korang kalau rasa pening baca ni, jangan risau. Aku dulu masa mula-mula masuk MTD pun pening jugak hahaha...... Tapi sebab tahun ni dilantik sebagai guru skuad Ting. 4 Kompeni B, maka gigihlah aku hadam semua cepat-cepat =D ]

Bersama rakan-rakan Guru Skuad (pakaian baju korporat biru), 
JUO kompeni Alpha (paling kanan), JUO kompeni Bravo (kiri), 
Pegawai Pendidikan Tentera, Mejar Khairul, merangkap Ketua Kompeni Bravo. 
Semasa hari pendaftaran putera baru Ting. 4 2018. 

PdPc & Kelas

Bab PdPc adalah yang paling ‘heaven’ bagi seorang guru di sini. Sebabnya, setiap guru hanya perlu mengajar satu jenis mata pelajaran sahaja, biasanya subjek major mereka. Cuma, ada beberapa orang sahaja yang mengajar 2 jenis subjek. Jadi, setiap guru mempunyai fokus yang lebih pada subjek masing-masing. Jika di sekolah biasa, boleh dikatakan purata seorang guru mengajar 2-3 subjek setiap seorang.
(p/s: masa mula-mula posting dulu, 7 jenis subjek saya ajar. perghh……).

Kemudahan yang ada dalam kelas adalah sangat baik. Setiap kelas mempunyai 2 pendingin hawa serta komputer yang mempunyai jaringan internet, yang juga boleh digunakan oleh para pelajar. Juga terdapat active smartboard. Masa masuk mengajar, guru boleh berlenggang bawak handbag je haha…. Tidaklah begitu sepanjang masa, cuma kemudahan yang ada sangat membantu guru untuk menjimatkan masa dari segi persediaan mengajar. BBM lain adalah bergantung pada intipati pengajaran pada hari tersebut.



Aliran Pembelajaran 

Hampir semua putera MTD berada dalam aliran Sains Tulen. Namun ada juga aliran lain, iaitu Sains Sosial, ICT dan Perniagaan/Perakaunan.

Masuk MTD tak semestinya lepas tu kena jadi anggota tentera ataupun kena masuk UPNM. Lepasan SPM dari MTD masih boleh memilih institusi pengajian lain untuk sambung belajar dalam apa jua bidang.

Selain daripada itu, MTD turut menawarkan program Diploma International Baccalaureate (IB) bagi putera MTD lepasan SPM.

Disiplin Boy

Semua boy di sini memang dilatih dengan disiplin ketenteraan yang tinggi. Nak kata langsung tak ada masalah disiplin tu tidak juga, tapi sangat-sangat kurang jika dibandingkan dengan sekolah lain, apatah lagi sekolah di bandar besar KL. Mereka dididik untuk sangat menghormati guru walau di mana sahaja mereka berada. Nakal tu memang ada, tapi masih boleh dikawal. Kalau tak nakal, bukan budak laki lah namanya kan…. Mujur juga dulu pernah ada pengalaman mengajar sekejap di St. John’s Institution (another all boys’ school in KL). Rasanya students SJI dulu lagi nakal hehe…. Lepas tu posting ke sekolah yang ramai girls, and now back to all boys. Sangat berbeza bila mengajar boys jika dibandingkan dengan girls, tapi seronok tu tetap ada. Kalau dah namanya guru, kenalah hadap kerenah students macam mana sekalipun.

Program Luar Akademik

MTD merupakan institusi pendidikan yang bukan berfokuskan pada akademik semata-mata. Visinya adalah untuk melahirkan bakal pemimpin negara yang seimbang dari segi akademik, ketenteraan serta kesukanan. Jadi boy di sini ada begitu banyak aktiviti luar akademik terutamanya latihan ketenteraan. Guru juga tidak terkecuali. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang aktiviti boy. Apa yang pasti, ada ekspedisi semasa cuti sekolah yang perlu turut disertai oleh guru. Ekspedisi boy MTD bukan macam lawatan sambil belajar sekolah lain ok. Ekspedisinya lebih bersifat fizikal dan mencabar. Antaranya, ekspedisi ke Taman Negara Bako, Taman Negara Mulu, Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan banyak lagi lah. Yang terdekat adalah semasa cuti pertengah penggal 1 yang akan datang pada bulan Mac ini, di mana saya merupakan salah seorang guru yang terpilih untuk salah satu ekspedisi yang paling jauh dan mencabar. Fuhhh…!!

Perbarisan Tahunan (POP)

Perbarisan Tahunan ataupun Passing Out Parade (POP) merupakan acara kemuncak sebelum seseorang boy MTD bergraduasi dari sini. Jika di sekolah biasa digelar Hari Graduasi atau Hari Penyampaian Sijil & Anugerah (or whatever it is), uniknya di MTD Majlis Penyampaian Hadiah dimulakan dengan acara perbarisan ketenteraan.



Cabaran & Pengalaman Serba Baru

Ini cuma sebahagian kecil daripada kehidupan yang dilalui di MTD. Masih terlalu banyak yang belum diceritakan. Apa yang pasti, berkhidmat di MTD menghadirkan 1,001 pengalaman yang amat bermakna. Belajar untuk bekerjasama antara dua kementerian yang berbeza. Apabila berbicara tentang cabaran, di mana-mana pun ada cabaran yang tersendiri, begitu juga di sini. Hanya mereka yang mempunyai hati dan jiwa yang kental sahaja yang mampu mengharungi.

Memetik kata-kata Tuan Komandan Brig. Jeneral Hj. Mohd Shahada sewaktu pertama kali saya melapor diri padanya, There is nothing perfect in this world, and that makes our life beautiful.”


Semoga kaki ini akan terus teguh berdiri untuk 100 hari lagi, malah mungkin 1,000 hari lagi di sini.
Insya-Allah.

# Serve to lead


Nota kaki
Pautan luar tentang MTD:

Portal Rasmi MTD 

FB rasmi : Maktab Tentera Diraja 

Bagi mengetahui aktiviti-aktiviti lain sepanjang tahun di MTD, boleh layari laman berikut:
YouTube IMC MTD 

Tak pun, korang layan jelah drama Budak Boys kat TV3. =D 


12 comments:

  1. terbaik ah maam..... -op 16/17-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanx for reading this. Good luck for your future. Semoga mnjadi seorang pemimpin satu hari nnti.

      Delete
  2. Assalamualaikum cikgu Nurul. Boleh saya tahu.. bagaimana cikgu Nurul boleh mengajar Di situ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'salam. Rezeki yg tidak dijangka. Nak pindah KL, kebetulan ada kosong di MTD

      Delete
  3. Assalamualaikum Cikgu,kalau macam anak Pakcik nak mohon untuk jadi guru di MTD boleh ke Cikgu ? Apa kelayakan untuk memohon jawatan seorang guru di MTD ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'salam. Kena tunggu ada kekosongan encik.

      Delete
  4. Assalamualaikum Cikgu,kalau macam anak Pakcik nak mohon untuk jadi guru di MTD boleh ke Cikgu ? Apa kelayakan untuk memohon jawatan seorang guru di MTD ?

    ReplyDelete
  5. doakan saya cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran kesini

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum...boleh tak saya nak tahu jadual harian RMC

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'salam. Scara umumnya, pada hari persekolahan (isnin-jumaat), smua pelajar mtd melalui jadual pembelajaran sama seperti sekolah lain. Cuma semasa hujung minggu, mereka ada latihan ketenteraan. Manakala utk pelajar ting. 5, ada kelas bimbingan pada hari ahad.

      Delete
    2. W'salam. Scara umumnya, pada hari persekolahan (isnin-jumaat), smua pelajar mtd melalui jadual pembelajaran sama seperti sekolah lain. Cuma semasa hujung minggu, mereka ada latihan ketenteraan. Manakala utk pelajar ting. 5, ada kelas bimbingan pada hari ahad.

      Delete