Monday, 3 February 2020

Teori Perlanggaran : Nota & Tips Jawapan

Terdapat 4 faktor Kadar Tindak Balas yang sering dibincangkan di peringkat SPM. 

Apabila menghuraikan Kadar Tindak Balas menggunakan Teori Perlanggaran, terdapat 5 poin penting yang perlu disertakan dalam jawapan yang membawa markah sebanyak 5 markah. 

Sentiasa ingat, jawapan Kimia tak perlu begitu panjang, tetapi perlu SPESIFIK, iaitu ada kata kunci yang tepat. 

Dalam kebanyakan kes, ramai pelajar yang tidak dapat skor 5 markah bagi soalan Teori Perlanggaran disebabkan jawapan yang umum, walaupun sudah ditulis dengan panjang. 

5 kata kunci penting bagi Teori Perlanggaran: 
- faktor kadar tindak balas 
- huraian faktor 
- frekuensi perlanggaran antara zarah (sama ada atom / molekul / ion) 
- frekuensi perlanggaran berkesan 
- kadar tindak balas 

Antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelajar adalah: 
- huraian faktor yang tidak tepat 
- tidak menyatakan jenis zarah secara spesifik apabila menerangkan tentang frekuensi perlanggaran
- tiada perbandingan antara set eksperimen 

Contoh jawapan bagi 4 faktor kadar tindak balas: 

1. Faktor Saiz 

Contoh 1: Tindak balas antara Zink dan Asid Hidroklorik 


Set I : menggunakan kepingan Zink
Set II : menggunakan serbuk Zink

Huraian jawapan: 
- Saiz serbuk zink dalam Set II lebih kecil daripada kepingan zink dalam Set I 
- Jumlah luas permukaan zink yang terdedah kepada perlanggaran dalam Set II lebih besar daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ATOM Zink dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 

Contoh 2: Tindak balas antara Asid Hidroklorik dan marmar (kalsium karbonat) 


Set I : menggunakan ketulan marmar
Set II : menggunakan serbuk marmar

Huraian jawapan: 
- Saiz kalsium karbonat dalam Set II lebih kecil daripada Set I 
- Jumlah luas permukaan kalsium karbonat yang terdedah kepada perlanggaran dalam Set II lebih besar daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara kalsium karbonat dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 


2. Faktor Suhu

Contoh: Tindak balas antara Natrium Tiosulfat dan Asid Sulfurik 


Set I : menggunakan suhu larutan natrium tiosulfat yang rendah
Set II : menggunakan suhu larutan natrium tiosulfat yang lebih tinggi 

Huraian jawapan: 
- Suhu larutan natrium tiosulfat dalam Set II lebih tinggi daripada Set I 
- Tenaga kinetik zarah-zarah dalam Set II lebih tinggi daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ION Tiosulfat dan ION Hidrogen dalam Set II lebih tinggi 
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi 
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi 


3. Faktor Kepekatan 

Contoh: Tindak balas antara pita Magnesium dan asid

Set I : Pita Magneisum + Asid Hidroklorik 0.5M
Set II : Pita Magnesium + Asid Sulfurik 0.5M


Huraian jawapan:
- Asid hidroklorik merupakan asid monobes, manakala asid sulfurik merupakan asid dwibes.
- Kepekatan ION Hidrogen dalam larutan asid sulfurik adalah 2 kali ganda daripada asid hidroklorik.
- Bilangan ion Hidrogen per unit isipadu asid dalam Set II adalah 2 kali ganda daripada Set I
- Frekuensi perlanggaran antara ION Hidrogen dan ATOM Magnesium dalam Set II lebih tinggi.
- Frekuensi perlanggaran berkesan dalam Set II lebih tinggi.
- Kadar tindak balas dalam Set II lebih tinggi.


4. Faktor Mangkin 

Contoh : Penguraian Hidrogen Peroksida menggunakan mangkin Mangan(IV) oksida


Huraian jawapan: 
- Kehadiran mangkin, mangan(IV) oksida menyediakan lintasan alternatif dengan tenaga pengaktifan yang lebih rendah // kehadiran mangkin merendahkan tenaga pengaktifan.
- Lebih banyak zarah-zarah yang dapat mengatasi tenaga pengaktifan dan bertindak balas.
- Frekuensi perlanggaran berkesan lebih tinggi.
- Kadar tindak balas lebih tinggi

*bagi tindak balas penguraian hidrogen peroksida menggunakan mangkin, tiada poin untuk frekuensi perlanggaran antara zarah.


Diharapkan agar beberapa contoh yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar untuk lebih mahir dalam menghuraikan Kadar Tindak Balas dengan menggunakan Teori Perlanggaran.

No comments:

Post a Comment