Tuesday 4 August 2015

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 2

Pada hari kedua, kami menjemput pihak luar bagi membuat demonstrasi dan pameran. Pada tahun lepas, kami menjemput Jabatan Kimia Malaysia cawangan Sibu bagi menunjukkan pameran daripada beberapa bahagian seperti Forensik, Narkotik dan sebagainya. Memandangkan di Sibu tiada cawangan Jabatan Fizik, maka kami mengambil keputusan untuk menjemput Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Aktiviti ini dikira sebagai 2 dalam 1 di mana selain menjadi sebahagian daripada aktiviti Karnival Sains & Teknologi, demonstrasi ini juga dikira sebagai aktiviti rasmi sekolah dan asrama. Lagipun memang sepatutnya latihan kebakaran (firedrill) dijalankan di sekolah / asrama sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Jadi, aktiviti ini melibatkan seluruh warga sekolah termasuk pelajar, guru, staf sokongan, pekerja kantin, tukang cuci serta pekerja di Dewan Makan. Kami turut dibantu oleh Persatuan Kadet Bomba yang memantau pergerakan pelajar semasa aktiviti berlangsung.


Sebelum ini, satu taklimat ringkas telah diberikan kepada seluruh warga sekolah pada hari Jumaat yang lepas bagi menerangkan laluan kecemasan semasa berlaku kebakaran. Pagi ini, sesi PdP dijalankan seperti biasa sementara menanti jentera bomba tiba. Nasib baik sekarang sudah ada jalan alternatif untuk ke SMKBA, jadi bolehlah pihak Jabatan Bomba & Penyelamat datang bersama jentera mereka yang besar. Jika guna jalan biasa memang tak dapatlah sebab jalan ke sekolah kami hanya muat untuk sebuah kereta sahaja.

Lebih kurang pada jam 9.00 pagi, Jabatan Bomba & Penyelamat tiba di sekolah kami dengan anggotanya seramai 4 orang.  Excited cikgu-cikgu yang berada di bilik guru kerana dapat melihat jentera bomba dari dekat. Tidak lama kemudian, siren dibunyikan bagi menandakan latihan kebakaran bermula. Semua pelajar nampaknya telah menggunakan laluan yang betul untuk ke tempat berhimpun. Malangnya, ia dikira gagal kerana semua pelajar dan guru telah mengambil masa yang agak lama untuk ‘menyelamatkan diri’. Masa yang diambil adalah selama 4 minit lebih, sedangkan tempoh masa yang selamat ialah cuma 2 minit sahaja.


Seterusnya, En. Augustine selaku ketua pasukan bomba memberikan penerangan tentang langkah-langkah keselamatan yang harus diambil apabila berlakunya kecemasan. Beliau juga menunjukkan cara-cara untuk menggunakan alat pemadam api bagi memadamkan kebakaran. Kemudian, latihan memadamkan api dilakukan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar yang terpilih, dimulai dengan Tuan Pengetua dan Penolong Kanan.










Sejurus selesai latihan memadamkan kebakaran, warga SMKBA menuju ke tapak perhimpunan di hadapan Bilik Guru bagi melihat pameran jentera bomba. Pihak bomba menunjukkan peralatan-peralatan yang terdapat dalam sesebuah jentera bomba serta penerangan tentang tugas-tugas yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Kami juga diberi peluang untuk menggunakan peralatan-peralatan yang ada, antaranya topeng oksigen dan hos air.






Paling best bila kami diberi peluang untuk menaiki jentera bomba. Kebiasaannya tidak dibenarkan, tapi mungkin kerana jumlah kami yang sedikit jadi senang untuk dikawal. Maka, ramailah guru dan pelajar yang tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman menjadi penumpang dan memegang stereng jentera bomba. Anggota bomba pula semuanya ‘sporting’. Apa lagi, layankan aje lerr…….



Pada masa yang sama, kami juga dapat bertanyakan pelbagai soalan kepada anggota bomba yang ada. Antara soalan yang ditanya oleh pelajar ialah bagaimana mahu memohon untuk menjadi seorang ahli bomba. Ada juga yang bertanya tentang gaji, tugas-tugas ahli bomba serta kes yang selalu diterima.



Aktiviti pada hari ini diakhiri dengan jamuan di dewan makan untuk semua guru, staf dan pelajar.


FAKTA:
# berat sebuah alat pemadam api adalah 9kg.
# berat sut lengkap ahli bomba (termasuk baju, but, topeng oksigen) adalah dalam lingkungan belasan kilogram.
# berat satu gulung hos air yang kosong adalah lebih kurang 20kg dan menjadi lebih berat apabila disambungkan kepada pili bomba.
# harga sebuah jentera bomba yang lengkap bersama peralatan adalah lebih kurang RM1.5 juta.
# untuk memohon sebagai ahli bomba perlu mengisi borang SPA secara online. Mereka yang layak akan dipanggil untuk temuduga (latihan fizikal & temuduga lisan).

# kriteria untuk menjadi ahli bomba dari segi fizikal : tinggi minimum 155cm & berat minimum 54kg. 



                    # cabaran saintis muda
                    # pameran 
                    # enjoy my science 



No comments:

Post a Comment