Dua hari
lepas, iaitu pada 12 & 13 November 2015 ( Khamis & Jumaat ), sekolah
saya telah menjalankan program Perkhemahan Bersepadu Unit-unit Beruniform. Program
ini merupakan antara acara wajib yang dijalankan di sekolah pada setiap hujung
tahun memandangkan para pelajar telah tamat Peperiksaan Akhir Tahun. Pelajar-pelajar
yang terlibat ialah pelajar Tingkatan 1 – 4. Aktiviti perkhemahan ini
melibatkan 6 unit beruniform, iaitu Pengakap, Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet
Bomba, Kadet Remaja Sekolah dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) selaku
pengelola pada tahun ini.
Aktiviti-aktiviti
yang telah dijalankan sepanjang 2 hari perkhemahan adalah:
1. Taklimat
Program & Taklimat Keselamatan
Sebelum para
pelajar mula memasang khemah, mereka diberikan taklimat berkenaan
aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 2 hari perkhemahan di Dewan
Sri Bawang. Taklimat program disampaikan oleh Cikgu Su Hiap Soon, selaku ketua
guru penasihat BSMM. Seterusnya, taklimat keselamatan disampaikan oleh Cikgu
Azairuddin bagi memastikan semua pelajar sentiasa mengutamakan keselamatan
serta berdisiplin sepanjang aktiviti perkhemahan berlangsung. Memandangkan hujan
di luar belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, maka taklimat program
dipanjangkan sehingga hampir jam 9.00 pagi.
2. Mendirikan
khemah
Kami tidak
menggunakan khemah pasang siap, jadi pelajar-pelajar perlu mendirikan khemah
sendiri dengan menggunakan kayu. Batang-batang kayu diambil dari kawasan semak
dan belukar di sekitar padang sekolah. Peralatan seperti parang dibekalkan,
tetapi di bawah pemantauan guru. Kebanyakan pelajar sudah biasa dengan
kerja-kerja seperti ini memandangkan mereka sudah biasa dengan survival hidup di hutan. Jadi, tidak banyak yang perlu diarahkan, hanya
perlu memastikan cara ikatan yang betul digunakan kerana ia akan diberikan markah
untuk pertandingan khemah terbaik. Dalam masa kurang 2 jam, semua khemah telah
siap didirikan. Selain daripada khemah, mereka juga perlu menyediakan tempat
memasak dan beberapa gajet seperti para peralatan memasak dan sebagainya. Nasib
baik juga cuaca redup sepanjang pagi ini.
3.
Pertandingan Raja & Ratu Rimba
Sambil-sambil
mereka memasang dan menghias khemah, mereka juga mula menghias pelajar yang
terpilih untuk Pertandingan Raja & Ratu Rimba. Biasanya, pelajar-pelajar junior lah yang selalu menjadi mangsa
untuk ‘dikerjakan’ oleh pelajar-pelajar senior.
Kemudian, pada jam 11.00 pagi Raja & Ratu Rimba diarak ke astaka untuk sesi
pengadilan. Seronok juga melihat mereka catwalk
yang tak menjadi dan mendengar komen-komen lucu daripada para juri.
4. Pertandingan
Khemah Terbaik
Lebih kurang
jam 12.00 tengah hari, para juri mula melawat tapak perkhemahan untuk
memberikan markah bagi setiap khemah unit beruniform. Kekemasan dan kebersihan
kawasan sekitar khemah turut diambil kira.
5.
Pertandingan Masakan Rimba
Sejurus selesai
mendirikan khemah, mereka mula menyediakan tempat memasak dan menghidupkan api.
Peralatan memasak dan bahan-bahan masakan asas dibekalkan oleh dewan makan,
tetapi dalam jumlah yang terhad. Bahan-bahan basah seperti ikan dan ayam juga
dibekalkan oleh dewan makan bagi memastikan kehalalan dan kebersihannya. Kalau nak
tunggu budak-budak tangkap sendiri, lepas tu sembelih sendiri, penat lerrr…….
Memandangkan
malam sebelum itu hujan lebat tidak berhenti sehingga pagi ini, maka proses
menghidupkan api menjadi satu cabaran yang sangat besar. Elok-elok je api dah
besar, tak lama selepas itu padam balik. Kena tiup lagi, hidupkan balik. Sepanjang
masa memasak, itu ajelah kerja budak-budak ni, tiup api tak berhenti. Nasib baik
kebanyakan pelajar menunjukkan kerjasama sepasukan yang baik.
Pemilihan cara
masakan terpulang pada kreativiti setiap pasukan. Tetapi ada satu menu yang
wajib disediakan setiap pasukan, iaitu pansuh - manok pansuh (ayam pansuh) dan
ikan pansuh. Ini juga merupakan menu yang ditunggu-tunggu untuk dirasa para
guru terutama guru-guru dari tanah semenanjung memandangkan menu ini merupakan signature bagi masyarakat Iban di sini,
jadi ianya jarang-jarang dapat dirasa. Ianya dibakar dalam buluh selepas
diperap seketika bersama dengan bahan-bahan tertentu (errr……lupa pulak
resepinya). Lebih kurang sama saja macam kita bakar lemang. Jadi, agak lama
masa yang diambil untuk memasaknya dan nyalaan api perlu sentiasa dipantau. Rasanya
memang sedap jika kena dengan caranya. (susah tau tekak saya ni nak rasa sedap
masakan tradisi tempatan).
Selesai memasak,
mereka makan beramai-ramai di bawah khemah. Sebahagiannya pula dihidangkan
kepada para juri di khemah urusetia. Terharu tengok budak-budak makan setelah
seharian berpenat lelah, siap hirup sup sampai licin periuk (budak pasukan saya
la ni). Huhuhu…….. Cikgu-cikgu pulak ber-barbeque
di khemah urusetia. Aktiviti masak-memasak mengakhiri aktiviti perkhemahan
untuk hari pertama.
6.
Senamrobik
Hari kedua
perkhemahan dimulakan dengan senaman pagi. Seperti biasa, aktiviti senamrobik
ini diketuai oleh Cikgu Doris and the
team. Kesian pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang bersidai di beranda Pusat
Sumber…..teringin nak join sekali laa tu, tapi tak boleh. Hehehe……..
7.
Pertandingan Kawad Kaki
Seterusnya,
para pelajar membuat persediaan terakhir untuk Pertandingan Kawad Kaki. Manakala
pelajar-pelajar yang tidak terlibat, mereka ke tapak perkhemahan untuk
membersihkan kawasan masing-masing. Cuaca pada pagi ini cerah dan matahari
memancar dengan agak terik. Maka, berkawadlah mereka dalam keadaan panas. Apa yang
penting, kerjasama dan semangat sepasukan.
8. Ceramah
Pertolongan Cemas
Selesai pertandingan
kawad kaki, para pelajar dan guru ke Dewan Sri Bawang bagi mendengar ceramah
pertolongan cemas (termasuk CPR) yang disampaikan oleh Cikgu Tang dari SMK Tung
Hua.
9. Penutupan
& Pembahagian Hadiah
Pada jam 11.15 pagi, majlis penutupan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform 2015 diadakan
secara ringkas. Majlis dimulakan dengan persembahan montaj aktiviti-aktiviti
yang berlangsung sepanjang perkhemahan, diikuti dengan ucapan perasmian
penutupan oleh PKKK, Cikgu Patrick Gerijeh dan diakhiri dengan upacara
pembahagian hadiah kepada semua unit beruniform yang terlibat dengan aktiviti
perkhemahan pada kali ini.
Senarai keputusan
pertandingan:
i) Pertandingan Raja & Ratu Rimba: Pandu Puteri
ii) Pertandingan Khemah Terbaik: Kadet Remaja Sekolah
iii) Pertandingan Masakan Rimba: Kadet Remaja Sekolah
iv) Pertandingan Kawad Kaki: BSMM
Keputusan
keseluruhan:
1. Pengakap
2. Kadet
Remaja Sekolah
3. Pandu
Puteri
4. Kadet
Bomba
5. BSMM
6. Kadet
Polis
TAHNIAH dan
syabas diucapkan kepada semua pelajar yang telah terlibat sepanjang aktiviti
perkhemahan 2015 selama 2 hari ini. Tahniah kepada pasukan yang berjaya
memenangi pertandingan. Kepada pasukan yang kurang berjaya, jangan berputus
asa, cuba lagi tahun hadapan.
Sekalung penghargaan
& terima kasih:
- Pengetua,
En. Lau Siah Teck, selaku penaung
- PKKK, En. Patrick
Gerijeh
- Pengelola
program, BSMM: Cikgu Su, Cikgu Yii, Cikgu Alicia
- Penyelaras
Unit Beruniform, Cikgu Chiam
- Ketua
keselamatan, Cikgu Azairuddin
- Ketua AJK
Peralatan, Cikgu Madya
- Penyelaras-penyelaras
pertandingan
- AJK-AJK
lain yang tidak tersebut namanya
- Guru-guru
penasihat Unit-unit Beruniform
- Juri-juri
pertandingan
- Pihak
dewan makan
dan kepada
SEMUA pihak termasuk guru-guru & AKP yang telah terlibat sama ada secara
langsung mahupun tidak langsung sepanjang aktiviti perkhemahan 2015.
JUMPA LAGI
TAHUN DEPAN!
Klik DI SINI untuk view full album.
Assalm....Menarik...Boleh dijadikan panduan untuk pelajar2 yg baru nk menyertai perkhemaham. Share gambar@ yeer...Tqsm
ReplyDeletebagus ...dan tahniah atas perkongsian ..ada aktiviti baru yang boleh diambil disini..
ReplyDeleteAssalamualaikum cikgu Nurul, Syabas & tahniah atas perkongsian. Sang at menarik. Minta kebenaran cikgu untuk saya jadikan sebagai panduan membuat dokumentasi program aktiviti. Terima kasih.
ReplyDeleteW'salam. Ya, silakan.
Delete