Sunday 24 January 2016

Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu 2016

Acara merentas desa merupakan suatu acara sukan yang bukan hanya bertujuan untuk melahirkan murid yang cergas dan aktif dalam bidang sukan, tetapi juga bagi memupuk nilai mencintai alam sekitar.  Kejohanan Merentas Desa bagi peringkat MSS Daerah Sibu tahun 2016 telah diadakan pada hari Sabtu, 23 Januari. SMK Bawang Assan telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut setelah kali terakhir menganjurkannya pada tahun 2014.


Kejohanan pada kali ini menyaksikan penyertaan yang amat menggalakkan dengan disertai oleh 21 buah sekolah (daripada 27 buah sekolah menengah di Sibu), termasuk sebuah sekolah dari Kanowit iaitu SMK Nanga Dap. Jumlah peserta bagi semua kategori pula mencecah 440 orang, iaitu sekali ganda daripada jumlah keseluruhan pelajar SMK Bawang Assan.

Para peserta bersama pengurus pasukan masing-masing mula tiba di pekarangan SMKBA seawal jam 6.45 pagi. Memandangkan sekolah agak kecil dengan kapasiti pelajar yang sedikit, tempat meletakkan kenderaan amat terhad dan sempit. Namun mujur dengan adanya bantuan daripada pengawal keselamatan dan juga anggota pasukan Kadet Polis, pergerakan menjadi agak lancar.


Setelah para peserta melaporkan diri di khemah pendaftaran, satu taklimat berkaitan laluan merentas desa disampaikan oleh Pegawai Teknikal kejohanan, Cikgu Willy. Tidak lama kemudian, para peserta mula bergerak ke tapak perhimpunan bagi memulakan acara.


Tepat jam 8.38 pagi, Tuan Pengetua SMKBA, En. Lau Siah Teck mengibarkan bendera kejohanan sebagai tanda perlepasan peserta. Kategori pertama yang dilepaskan ialah kategori Lelaki Junior (Bawah 15 tahun),kemudian diikuti oleh kategori Perempuan Senior (Bawah 18 tahun), Lelaki Senior, dan diakhiri dengan kategori Perempuan Junior.


Pada jam 9.45 pagi, wakil Pegawai PPD Sibu tiba di pekarangan sekolah dan disambut oleh Tuan Pengetua.


Cuaca pada sebelah pagi ternyata menyebelahi kami dengan suasana yang redup. Namun, sebaik sahaja majlis perasmian penutupan dimulakan, hujan turun dengan lebat menyebabkan majlis perasmian terpaksa ditangguhkan seketika. Sebaik sahaja hujan reda, tanpa melengahkan masa majlis diteruskan di tapak perhimpunan sebagaimana perancangan asal.

Ternyata SMK Sedaya menjadi bintang pada kejohanan kali ini kerana berjaya menggungguli kedua-dua kategori lelaki & perempuan di mana mereka merupakan Juara Keseluruhan bagi kategori Perempuan dan juga Naib Juara bagi kategori Lelaki Keseluruhan. Mereka turut menjuarai kategori Perempuan Senior dan juga Perempuan Junior.

Juara kategori Perempuan Keseluruhan, SMK Sedaya 

Kategori lelaki pula memperlihatkan penguasaan SMK Sacred Heart. Selaku juara kategori Lelaki Junior & Lelaki Senior, mereka berjaya membawa pulang piala Juara Keseluruhan bagi kategori Lelaki.

Juara kategori Lelaki Keseluruhan, SMK Sacred Heart 


SMK Bawang Assan turut tidak mengecewakan apabila mendapat tempat ke-3 bagi kategori Lelaki Junior. Kecil-kecil cili padi. Peserta sekolah kami merupakan antara peserta yang paling kecil fizikalnya jika dibandingkan dengan peserta-peserta dari sekolah lain. Walau apa pun, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, namun rezeki untuk menjadi juara kategori tidak berpihak kepada kami. 

SMK Bawang Assan - tempat ketiga Lelaki Junior 

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pasukan yang telah menyertai Kejohanan Merentas Desa pada kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Adat bertanding, ada kalah dan ada menang. Adat menguruskan acara, ada kelemahan dan ada kesilapan. Apa yang penting, semangat kesukanan dapat terus kita pupuk demi melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan berdaya saing dalam segenap aspek.

Berakhir sudah kejohanan merentas desa,
SMK Bawang Assan melambai ceria,
Sukan membentuk semangat waja,
Rakyat sihat, negara sejahtera.

Warna – warni sepanjang kejohanan:




Peserta SMKBA warming-up  










Sekalung penghargaan & jutaan terima kasih kepada:

1. En. William Anut, wakil Pegawai PPD Sibu selaku perasmi kejohanan
2. En. Lau Siah Teck, Pengetua SMKBA selaku Penaung.
3. En. Patrick Gerijeh, PKKK SMKBA selaku Pengurus & Penyelaras Kejohanan
4. En. Chia Fuk Kien, Pengerusi Teknikal MSSD Sibu
5. Para jurulatih, pengurus-pengurus pasukan & guru-guru pengiring
6. Para peserta kejohanan
7. Para pengawas & semua pelajar SMKBA yang menjadi AJK Kejohanan

Dan terutamanya kepada seluruh warga SMK Bawang Assan, para guru dan staf, yang telah bertungkus lumus menzahirkan komitmen padu dari awal sehingga ke akhir demi menjayakan Kejohanan Merentas Desa MSSD Sibu tahun 2016. Tahniah dan terima kasih semua……!  
  
Muat turun teks MC DI SINI 

No comments:

Post a Comment