Thursday 19 January 2017

Program Gotong Royong Perdana Bil 1/2017

Sesi persekolahan bagi tahun 2017 telah bermula 2 minggu yang lalu. Bagi memastikan keselesaan para pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran di SMK Bawang Assan berada pada tahap optimum, maka kebersihan dan keceriaan kawasan persekitaran sekolah perlu dititikberatkan. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, satu Program Gotong Royong Perdana telah dijalankan di SMK Bawang Assan pada 14 Januari 2017 baru-baru ini.

      Sepertimana program gotong royong yang diadakan sebelum ini, program gotong royong perdana pada kali ini juga turut melibatkan usaha padu oleh seluruh warga sekolah yang terdiri daripada para guru, staf-staf sokongan serta para pelajar. Tidak terkecuali para ibu bapa serta masyarakat setempat yang turut sama membantu mengerah keringat demi kemajuan sekolah.

Antara objektif Program Gotong Royong Perdana ini adalah:

      (i)     Meningkatkan kebersihan, keceriaan dan keselamatan sekolah.
      (ii)    Memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah.
      (iii)   Menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah.
    (iv)  Meningkatkan kerjasama & mengeratkan silaturahim antara warga sekolah serta masyarakat setempat

Program Gotong Royong Perdana pada kali ini dimulakan dengan satu sesi perhimpunan khas yang diadakan di Dewan Sri Bawang yang dihadiri oleh semua guru, ibu bapa dan pelajar SMK Bawang Assan. Acara dimulakan seawal jam 8.15 pagi didahului dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Pengetua, En. Lau Siah Teck usai nyanyian lagu Negaraku.


Antara intipati ucapan yang disampaikan oleh Tuan Pengetua adalah, beliau menzahirkan rasa terima kasih atas kehadiran para ibu bapa dan mengharapkan agar para ibu bapa serta masyarakat setempat akan terus memberikan sokongan padu terhadap setiap program yang dijalankan di sekolah baik dalam bidang akademik mahupun bukan akademik. Program gotong royong perdana bil. 1/2017 seterusnya dirasmikan oleh Yang DiPertua PIBG SMK Bawang Assan, En. Dornie ak Engkamat.

            Acara diteruskan pula dengan upacara pemberian Bantuan Khas Persekolahan bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1 tahun 2016. Bantuan khas ini merupakan hasil inisiatif pihak Yayasan Sarawak yang telah memberi sumbangan sebanyak RM 3,000.00 kepada 30 orang pelajar yang kurang berkemampuan. Peruntukan yang diterima lewat hujung tahun 2016 seterusnya disampaikan kepada 30 orang pelajar Tingkatan 2 tahun 2017. Hasil sumbangan tersebut, pihak sekolah menyampaikannya kepada para pelajar secara berupa beg, kasut sekolah dan baju uniform sekolah.




Sumbangan disampaikan oleh YDP PIBG dengan diiringi Tuan Pengetua serta PK HEM, En. Jarit Jugah.



           Sebelum acara gotong royong dimulakan, Cikgu Madya memberikan taklimat ringkas kepada para hadirin berkenaan pembahagian tugas serta kawasan yang terlibat dalam aktiviti gotong royong pada kali ini. Aktiviti gotong royong terus dimulakan sebaik sahaja majlis perasmian tamat pada jam 9.00 pagi.

        Fokus utama bagi program gotong royong perdana pada kali ini adalah keceriaan kelas di bawah bimbingan guru kelas masing-masing. Setiap kelas dikehendaki untuk memastikan segala kemudahan yang berada dalam kelas termasuk kerusi dan meja pelajar berada pada keadaan terbaik. Setiap kelas juga perlu mengemaskini papan notis kelas masing-masing dengan maklumat-maklumat yang diperlukan.





       Selain daripada itu, antara projek besar lain yang menjadi tumpuan utama adalah projek membina katil pelajar asrama untuk menambahkan kuantiti katil di blok asrama perempuan bagi menampung pertambahan permohonan pelajar untuk tinggal di asrama pada tahun ini. Pihak sekolah juga sedang berusaha untuk memperbesarkan kantin sekolah bagi menambahbaik keselesaan pelajar pada waktu rehat.





         Kawasan-kawasan lain yang turut terlibat dalam program gotong royong pada kali ini adalah:
       (i)      Pondok
       (ii)     Kawasan penanaman bunga
       (iii)    Kawasan bengkel ERT 
       (iv)    Makmal Sains
       (v)     Bilik BOSS / SPBT
       (vi)    Pejabat am
       (vii)   Papan notis PK & Bidang

Aktiviti gotong-royong tamat pada jam 11.00 pagi dengan diakhiri oleh jamuan tengah hari di dewan makan. Secara keseluruhannya, semua pihak yang terlibat telah memberi kerjasama yang erat dalam menjayakan program gotong-royong pada kali ini. Segala aktiviti di semua kawasan berjalan dengan lancar dan semua objektif program dapat dicapai hasil usaha sama semua pihak. 


p/s: Kekangan kewangan & kekurangan peruntukan tidak menjadi alasan untuk tidak menambahbaik prasarana yang diperlukan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan....


Muat turun: 

Kertas Kerja Program Gotong Royong 

Laporan Program Gotong Royong 

Brosur 


3 comments: