Tuesday 7 January 2020

Aktiviti Kadar Tindak Balas Menggunakan Glowing Stick


Selain daripada menjalankan eksperimen bagi kadar tindak balas dengan menggunakan bahan-bahan kimia seperti dalam buku amali, kita juga boleh menggunakan bahan-bahan lain yang boleh didapati dengan mudah. Antaranya Panadol soluble, glowing stick, uncang teh dan sebagainya.


Untuk aktiviti kali ini, kami menggunakan glowing stick bagi menguji faktor suhu terhadap kadar kecerahan glowing stick. Boleh beli glowing stick ni daripada kedai Mr. DIY.


Aktiviti ini boleh dijadikan sebagai set induksi, ataupun sebagai aktiviti aplikasi bagi tajuk kadar tindak balas.

Tajuk : Kadar tindak balas
Faktor : Suhu

Bahan-bahan yang diperlukan:
1. Dua buah bikar 500ml
2. Air
3. Glowing stick
4. Tungku kaki tiga
5. Penunu Bunsen
6. Ais

Prosedur:
1. Isikan kedua-dua bikar dengan air sehingga 2/3 penuh.
2. Labelkan sebagai bikar A dan bikar B.
3. Panaskan air dalam bikar A (tak perlu mendidih pun tak apa).
4. Masukkan ais dalam bikar B.
5. Rendamkan glowing stick dalam bikar A dan bikar B masing-masing.
6. Bandingkan kecerahan glowing stick dalam kedua-dua bikar.

Pemerhatian:

*masa ni ais dah cair, kami guna air biasa saja*


Glowing stick dalam bikar A lebih cerah daripada bikar B.
Lebih tinggi suhu air, lebih tinggi kadar kecerahan glowing stick.

Kesimpulan:
Semakin tinggi suhu, semakin tinggi kadar tindak balas.


Catatan:
Boleh juga jalankan aktiviti ini menggunakan air dengan pelbagai suhu yang berbeza. Jadi, boleh bandingkan peningkatan kadar kecerahan glowing stick daripada suhu yang paling rendah kepada suhu yang paling tinggi.

Teori Perlanggaran bagi Faktor Suhu:
- Lebih tinggi suhu, bahan-bahan tindak balas mempunyai tenaga kinetik yang lebih tinggi @ zarah-zarah bahan tindak balas bergerak dengan lebih laju
- Frekuensi perlanggaran antara zarah-zarah bahan tindak balas lebih tinggi
- Frekuensi perlanggaran berkesan antara zarah-zarah bahan tindak balas lebih tinggi.
- Jadi, kadar tindak balas lebih tinggi.

*perlu diingat, dalam jawapan peperiksaan, zarah-zarah bahan yang bertindak balas perlulah dinyatakan secara spesifik, termasuk jenis zarahnya sama ada atom, molekul ataupun ion.

**Untuk aktiviti kadar tindak balas menggunakan Panadol soluble (faktor saiz), sila klik DI SINI.

No comments:

Post a Comment