Monday 24 August 2015

Penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM 2016

Baru-baru ini kita mendapat berita tentang penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM yang bakal dimulakan pada tahun 2016. Faktor penangguhan tersebut adalah disebabkan kebanyakan makmal sekolah belum mempunyai kemudahan yang mencukupi, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam bencana banjir hujung tahun lepas.



Sudah tentu berita ini mendapat respon yang pelbagai daripada guru-guru di seluruh negara. Mungkin ada pihak yang setuju dan mungkin ada juga yang tidak bersetuju. Secara peribadi saya merasakan ia merupakan sesuatu yang wajar dilakukan. Sukar untuk kita jalankan peperiksaan amali sains secara berpusat jika kebanyakan sekolah masih kritikal dengan kelengkapan bahan dan radas di makmal sains.

Bagi sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah yang baru dibina, sekolah-sekolah yang mempunyai penghuni yang ramai, sudah tentu mereka mempunyai prasarana makmal yang lengkap serta peruntukan yang mencukupi. Ini berbeza dengan sekolah-sekolah kecil di luar bandar yang terpaksa mencatu peruntukan yang sedikit demi menyediakan keperluan di makmal sains.

Siapa yang dapat menafikan kepentingan pelaksanaan kerja amali dalam PdP mata pelajaran Sains, sama ada Sains Teras (men. rendah & men. atas) mahupun Sains Tulen. Semua guru, jika boleh, mahu melaksanakan kerja amali. Jika diberikan pilihan, semua eksperimen dalam buku teks mahu dijalankan. Akan tetapi, disebabkan faktor-faktor tertentu perancangan itu terpaksa dilupakan. Sebagai guru, kita memikirkan pelbagai alternatif lain demi memastikan semua objektif pembelajaran tercapai. Ada eksperimen yang didemonstrasi oleh guru sahaja. Ada juga eksperimen yang ditayangkan video yang dimuat turun dari internet. Semuanya disebabkan bahan dan radas yang terhad, perlu digunakan dengan jimat cermat untuk eksperimen-eksperimen yang betul-betul penting sahaja.

Jika peperiksaan amali sains berpusat diadakan, terlalu banyak keperluan yang harus disediakan supaya mencukupi untuk setiap pelajar. Sudah tentulah ini menjadi bebanan kepada pihak sekolah, terutamanya dari segi kos. Pertama kali melihat senarai bahan dan radas yang perlu disediakan semasa mengikuti Kursus Amali Sains untuk guru-guru, saya juga rasa seperti mahu pitam. Kos untuk bahan dan radas makmal adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila dibeli melalui peruntukan PCG. Bukan sahaja radas dan bahan yang perlu disediakan oleh pihak sekolah, malah banyak lagi persediaan lain yang harus dilakukan. Perkara-perkara lain yang turut diambil kira & dipantau pernah saya kongsikan melalui artikel saya sebelum ini: Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?

Pada peringkat awal, peperiksaan amali sains berpusat ini dirancang untuk dimulakan pada tahun ini. Guru-guru disarankan untuk melatih pelajar bagi menghadapi peperiksaan ini. Kemudian perancangan tersebut ditangguhkan ke tahun hadapan. Maka, calon SPM pada tahun ini dilatih semula untuk menjawab soalan Kertas 3 bertulis. Perkara yang sama terjadi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada tahun ini. Perubahan ini sekali lagi menyebabkan guru-guru perlu mengubah semula rancangan pengajaran bagi Kertas 3. Bukanlah guru mahu merungut. Sebagai guru, kita telah dilatih untuk sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan dalam bidang pendidikan. Namun, kesediaan pelajar tidak boleh disamakan dengan kesediaan guru.


Perubahan ke arah peningkatan merupakan sesuatu yang bagus. Akan tetapi, format peperiksaan yang kerap berubah menampakkan perancangan yang tidak cukup teliti daripada pihak kementerian. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum mengambil kira keadaan makmal di semua sekolah akhirnya menyebabkan keputusan tersebut ditarik semula buat sementara waktu. Saya merasakan, pemantauan oleh panel penilai sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu keputusan diambil dan bukan sebaliknya. Amatlah diharapkan selepas ini bantuan sewajarnya dihulurkan oleh pihak berwajib kepada sekolah-sekolah yang serba kekurangan agar semua pelajar mendapat peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman menjalankan kerja amali semaksimum mungkin. Sesungguhnya proses belajar itu jauh lebih penting dan bermakna berbanding amali peperiksaan. 


No comments:

Post a Comment