Saturday 22 August 2015

Pengalaman Menyertai Persidangan Inovasi Negeri Sarawak 2015

Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh SMK Sacred Heart Sibu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan University College of Technology Sarawak (UCTS) Sibu. 



Ianya telah diadakan pada 15 Ogos 2015, iaitu hari Sabtu lepas. Tema Persidangan Inovasi pada tahun ini ialah “Inovasi Pemangkin Kemenjadian Generasi Inovatif”. Persidangan ini merupakan sebuah persidangan peringkat negeri Sarawak yang bertujuan menjadi platform perkongsian inovasi dan penyelidikan guru dari pelbagai bahagian negeri Sarawak. Kertas kerja yang dibentangkan meliputi 3 aspek, iaitu Projek Inovasi, Kajian Tindakan (action research) dan Penyelidikan (research) yang telah dijalankan oleh guru-guru di Sarawak pada tahun 2014.

Kali pertama saya menyertai persidangan ini adalah pada tahun lepas selaku peserta. Masa tu saya baru mula berjinak-jinak dengan Kajian Tindakan & Projek Inovasi. Jadi, saya mahu menimba ilmu & pengalaman di samping meneroka idea-idea baru untuk diaplikasikan dalam bilik darjah nanti. Hasil pengamatan saya, saya mendapati bahawa projek inovasi tidaklah sesukar yang saya bayangkan selama ini. Apa yang penting ia memerlukan keberanian dan kerajinan serta sedikit suntikan kreativiti. Sebenarnya ramai antara kita yang telah menjalankan inovasi dalam bilik darjah, sama ada sedar mahupun tidak. Namun, bezanya adalah pada dokumentasi. Ada guru-guru yang begitu kreatif dan membina pelbagai BBM yang menarik, tetapi tidak didokumentasi dan dikongsi dengan guru-guru lain. Maka, rugilah. Bertitik tolak dari situ, saya mula membuat perancangan untuk melaksanakan projek inovasi secara lebih serius dan terancang. Saya bernasib baik kerana punya rakan sekerja yang sehaluan dengan saya di mana dia banyak membantu dan membimbing saya hasil pengalamannya yang meluas.

Apabila SMK Sacred Heart mula mengedarkan surat jemputan ke persidangan pada tahun ini, saya dan dua orang lagi guru SMKBA menghantar permohonan sebagai pembentang. Kami tidaklah berharap sangat kerana sedar bahawa tempat selaku pembentang adalah terhad. Tambahan pula kami perlu bersaing dengan guru-guru lain yang lebih senior dan berpengalaman. Awal bulan Jun lalu, saya menerima berita baik melalui e-mel dari SMKSH menyatakan bahawa projek inovasi saya telah dipilih untuk dibentangkan semasa persidangan inovasi pada bulan Ogos nanti. Tambah menggembirakan apabila 2 orang lagi guru SMKBA turut dipilih selaku pembentang.

Persidangan Inovasi peringkat Negeri Sarawak 2015 telah dirasmikan oleh Pengarah JPNS sendiri, iaitu Pn. Rakayah bt Hj. Madon. Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi di Dewan Kuliah UCTS dengan ketibaan Pengarah JPNS yang diiringi persembahan Bagpipe Band, tarian singa dan paluan kompang serta bunga manggar. Acara sambutan untuk Pengarah JPNS mengimbau kenangan saya pada tanah semenanjung. Lima tahun berada di Bumi Kenyalang, saya sudah biasa dengan Ngajat Ngalu Temuai (Ngajat Welcoming Dance) dan Taboh Iban. Sudah lama tidak mendengar paluan kompang dan melihat bunga manggar. Bagpipe Band pula mengingatkan saya pada SMK St. John KL, tempat saya menjalani latihan mengajar di mana saya menjadi pembantu guru penasihat untuk bagpipe band sekolah tersebut yang begitu terkenal.

Usai nyanyian lagu kebangsaan, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMKSH, En. David Teo Wu, diikuti Timbalan Naib Cancelor UCTS, Prof. Dato’ Dr. Sabaruddin b. Mohd. Dalam intipati ucap utama Puan Pengarah JPNS, saya tertarik dengan teguran beliau terhadap guru-guru yang suka ‘memberi label’ kepada pelajar-pelajar dalam kelas dan bersikap pilih kasih.



Setelah tirai persidangan dibuka dengan rasminya, sesi pembentangan pun bermula. Terdapat dua sesi pembentangan, iaitu sesi plenary dan sesi selari. Sesi plenary memperlihatkan pembentangan kertas penyelidikan di peringkat universiti oleh pensyarah-pensyarah yang dijemput khas. Tiga orang pensyarah yang telah membentangkan kajian mereka adalah:
i)                    Prof. Madya Dr. Patrick Then
Swinburne University of Technology (Sarawak Campus) 

ii)                   Prof. Madya Dr. Pauline Ho
Curtin University (Sarawak)

iii)                 En. Daniel Tan Yong Wen
University College of Technology Sarawak

Kajian yang dibentangkan oleh pensyarah universiti adalah lebih meluas dengan tahap yang lebih tinggi berbanding dengan kajian guru yang lebih berfokus dalam bidang pendidikan. Walau apapun, melihat pembentangan kertas penyelidikan universiti merupakan suatu pendedahan yang sangat baik terutamanya dari segi metod kajian. Manalah tahu, suatu hari nanti ada rezeki untuk sambung belajar di peringkat master atau PhD. Ehem!

Sesi pembentangan sidang selari bermula pada jam 11.40 pagi. Terdapat 36 kertas kajian yang akan dibentangkan di 6 buah bilik tutorial. Saya merupakan pembentang terakhir di Bilik 6. Pembahagian kertas pembentangan semasa persidangan pada kali ini dilihat lebih teratur dan terancang di mana ianya dibahagikan mengikut bidang. Misalnya di bilik 1, kebanyakan kertas yang dibentangkan adalah berkaitan mata pelajaran BM dan BI. Manakala di bilik 6 pula, semua kertas yang dibentangkan merupakan projek inovasi bagi mata pelajaran Sains Tulen. Jadi, tidak perlulah saya berulang-alik ke bilik-bilik lain untuk melihat projek inovasi bagi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi. Pembentangan kami turut disertai oleh pensyarah-pensyarah jemputan.




Alhamdulillah, pembentangan saya berjalan dengan lancar tanpa rasa gugup. Sesi soal jawab pula berlalu tanpa ada peserta yang bertanyakan soalan. Jadi, bilik kami merupakan bilik terawal yang tamat sesi selari.



Selepas rehat pada waktu tengah hari, para pembentang menyertai satu sesi perbincangan bersama para panel review yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti. Mereka memberikan komen terhadap pembentangan kami secara umum di samping memberikan cadangan-cadangan bernas untuk penambahbaikan. Mereka agak terkejut (surprised) melihat usaha guru-guru yang menjalankan kajian / penyelidikan di sekolah dalam kekangan masa dan tugas hakiki walaupun guru tidak diwajibkan untuk melaksanakan kajian sepertimana pensyarah di universiti.  

Rumusannya, penglibatan dalam acara persidangan seperti ini dapat membuka minda dan menyuntik motivasi untuk terus melaksanakan perubahan dan penambahbaikan dalam PdP. Tidak bermakna kita guru yang sempurna. Tetapi apa yang penting adalah usaha ke arah mencapai kesempurnaan.




p/s: Semakin banyak ilmu yang digali, semakin banyak yang kita tidak ketahui. Usaha tanpa henti, moga Allah berkati. 

No comments:

Post a Comment