Thursday 13 August 2015

Projek Inovasi Kimia 2014 : KAD MNEMION



Projek Inovasi ini merupakan sebahagian daripada Kajian Tindakan yang saya jalankan pada tahun 2014. Tajuk yang dipilih ialah Formula Kimia yang merupakan subtopik dalam Bab 3 Kimia Tingkatan 4 : Formula & Persamaan Kimia. 

Kad Mnemion (mnemonik + ion) merupakan satu set kad imbas (flash card) yang menggabungkan senarai formula ion bersama mnemonik bagi memudahkan pelajar mengingati formula ion. Tujuan utamanya adalah bagi memudahkan pelajar menulis formula kimia sebatian dan seterusnya dapat membina persamaan kimia dengan lebih mudah. 

Kad Mnenion dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu kation dan anion. 
Senarai ion disusun mengikut kumpulan cas pada ion serta mnemonik pada bahagian belakang. 




Penerangan terperinci tentang bagaimana Kad Mnemion ini dihasilkan dan digunakan bolehlah merujuk / memuat turun Laporan Projek Inovasi Kimia 2014. 

Berikut merupakan abstrak hasil pelaksanaan projek inovasi saya: 


ABSTRAK 


Projek inovasi ini dilaksanakan bagi membantu pelajar untuk mengingati senarai formula ion serta meningkatkan kemahiran pelajar untuk menulis formula kimia. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan semasa proses PDP, didapati kesemua 17 orang pelajar 4 Sains sukar menguasai kemahiran menulis formula kimia dengan betul. Dengan itu, suatu inovasi telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh para pelajar serta mencari kaedah terbaik dan berkesan bagi mengatasinya. Semua pelajar Tingkatan 4 Sains, iaitu seramai 17 orang terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui ujian pertengahan penggal pertama dan ujian pra. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar sukar untuk mengingati simbol-simbol ion dan cas-cas pada ion positif dan negatif  yang menjadi punca utama kegagalan pelajar menulis formula kimia dengan betul. Pelajar juga tidak berminat untuk menghafal kerana bilangannya yang terlalu banyak. Perancangan tindakan difokuskan kepada 3 aktiviti. Aktiviti pertama ialah memperkenalkan dan membiasakan pelajar dengan simbol-simbol ion serta cas-cas pada ion dengan menggunakan Kad Mnemion. Aktiviti kedua ialah mengasingkan ion-ion positif dan negatif berdasarkan nilai cas pada ion dan menghafal setiap ion dengan menggunakan kaedah mnemonik. Aktiviti yang ketiga pula ialah menulis formula kimia dengan cara menggabungkan Kad Mnemion bagi ion positif dan kad imbas bagi ion negatif. Keputusan ujian pos menunjukkan 11 daripada 15 orang pelajar berjaya menyenaraikan semua formula ion dengan betul, iaitu peningkatan sebanyak 73% berbanding dengan ujian pra. Manakala 14 orang pelajar telah menunjukkan peningkatan yang mendadak bagi markah yang diperoleh melalui ujian pos. Dengan ini, dapat dirumuskan bahawa penggunaan kad imbas dan kaedah mnemonik telah berjaya meningkatkan ingatan pelajar terhadap formula ion seterusnya meningkatkan kemahiran pelajar menulis formula kimia dengan betul.  





1 comment: