Wednesday, 9 December 2015

Transformasi Sekolah ke arah Kecemerlangan: Bermula dari 3 Perkara Asas

Kini, lebih 2 bulan telah berlalu sejak Pengetua yang baharu mula berkhidmat di sekolah kami. Pengetua baharu kami, En. Lau Siah Teck merupakan bekas PK1 dari SMK St. Anthony, Sarikei (sekolah ke-8 terbaik di negeri Sarawak).


Sejak hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi di SMKBA Sibu, telah banyak perubahan yang dilakukan, terutamanya dari segi prasarana sekolah. Makmal Sains yang dulunya serba kekurangan telah mendapat projektor LCD yang baharu, tandas pelajar dibaiki dan dibaikpulih, papan notis dibersihkan, blok asrama dicat baharu, hampir semua koridor di sekolah telah dipasangkan lampu dan banyak lagi penambahbaikan yang telah dan sedang dijalankan.

Kehadiran Pengetua Lau membawa bersama visi dan misi yang jelas demi meningkatkan prestasi sekolah agar mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain yang lebih hebat. Impiannya adalah untuk mentransformasi SMKBA menjadi sebuah sekolah luar bandar yang cemerlang. Persoalannya, mampukah…..?

Sungguh….tugas ini tidak mudah. Ia menuntut komitmen yang padu daripada semua pihak di sekolah termasuklah pihak pengurusan, guru-guru, staf sokongan, para pekerja, pelajar-pelajar dan ibu bapa. Tetapi, impian ini tidak mustahil direalisasikan jika cita-cita yang dijunjung didokong oleh usaha yang menggunung. Jadi, mahu bermula dari mana?

Bermulalah dari perkara yang asas (back to basic). Ini kerana hanya asas yang kukuh mampu memacu jentera untuk terus bergerak ke hadapan dan supaya setiap apa yang dibina itu terus berdiri teguh.

Semasa perjumpaan pertama bersama barisan guru serta semasa perhimpunan pertama bersama para pelajar, beliau menegaskan 3 perkara:

1.  Kebersihan & keceriaan sekolah
2.  Akademik
3.  Disiplin


Kebersihan & Keceriaan Sekolah

Kebersihan dan keceriaan merupakan aspek yang sangat penting dalam memberikan keselesaan kepada pelajar semasa proses pembelajaran. Ia juga mampu memberikan motivasi kepada anak-anak murid untuk lebih rajin belajar dan lebih fokus semasa proses PdP berlangsung. Maka, Pengetua Lau amat menitikberatkan aspek kebersihan sekolah terutamanya di dalam kelas.

Sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk mengubah budaya setempat yang telah lama berakar umbi demi membentuk peribadi murid yang cintakan kebersihan dalam sekelip mata. Namun Alhamdulillah, dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Tuan Pengetua, maka perlahan-lahan sikap pelajar mula berubah ke arah yang lebih positif. Saya benar-benar berharap agar perubahan ini akan berterusan dan semakin mantap supaya motto Pengetua akan dapat direalisasikan, iaitu:
“ Vandalisme Sifar”.

Selaras dengan matlamat ini juga, kami telah mengadakan satu program gotong-royong perdana pada hari Sabtu, 31 Oktober baru-baru ini. Program ini melibatkan semua guru, staf sokongan dan semua pelajar untuk membersihkan dan membaikpulih kawasan sekitar sekolah melibatkan blok akademik, blok pentadbiran, makmal komputer, pusat sumber & perpustakaan, bilik BOSS dan juga blok asrama. Semua papan notis dibaiki, rel-rel langsir dipasang di kelas-kelas, dan semua meja pelajar dibalut dengan linoleum (tikar getah). Manakala guru-guru pula mengemaskan meja guru masing-masing kerana bilik guru akan disusun atur semula dan kami akan menerima meja guru yang baharu.

Golongan yang paling bertuah sudah tentulah pelajar-pelajar Tingkatan 5 kerana kelas-kelas yang menjadi bilik peperiksaan SPM telah dicat baharu, dipasang langsir baharu, semua kerusi baharu dan papan notis juga berwajah baharu dengan begitu cantik dan kemas. Semuanya adalah demi memastikan keselesaan pelajar-pelajar Tingkatan 5 berada pada tahap optimum semasa menduduki peperiksaan SPM.


(penambahbaikan yang lain akan disenaraikan dalam entri seterusnya)


Akademik

Sekolah merupakan institusi pendidikan. Tempat ilmu ditimba dan dikuasai. Sudah tentulah kecemerlangan akademik menjadi salah satu kayu ukur kejayaan sesebuah sekolah. Hakikatnya, penguasaan akademik bagi pelajar-pelajar di sesebuah sekolah adalah tidak sama. Begitu juga jika dibandingkan sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain.

Pokok pangkalnya, penyampaian ilmu mestilah disesuaikan dengan tahap penerimaan pelajar di sesebuah sekolah. Mungkin ada sesetengah pendekatan tidak sesuai dilaksanakan kerana tahapnya terlalu tinggi untuk dicapai oleh pelajar. Bimbang nanti apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Atas dasar itu, Tuan Pengetua telah menyeru seluruh warga sekolah untuk mengubahsuai susunan meja dalam bilik darjah. Tiada lagi susunan kelas abad ke-21, semuanya back to traditional seating supaya pelajar lebih fokus pada pengajaran guru di hadapan, terutamanya semasa guru menggunakan kaedah direct teaching method.

sebelum: susunan meja mengikut contoh susun atur bilik darjah abad ke-21 

selepas: susunan meja semua pelajar menghadap ke hadapan 

Bukan tidak mahu maju ke hadapan, tetapi disiplin pelajar semasa PdP perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Ada ketikanya peribahasa Melayu, “biar lambat asal selamat” masih relevan untuk digunakan dalam sesetengah situasi. Walau bagaimanapun, kami tetap mengimplementasikan peta pemikiran i-think dan elemen-elemen KBAT semasa proses PdP. Selain itu, penglibatan pelajar secara aktif dalam kelas tetap diutamakan. Cuma untuk menuju ke arah konsep pembelajaran abad ke-21 memerlukan masa dan perlu dibuat secara beransur-ansur agar pelajar tidak mengalami kejutan budaya.


Disiplin

Secara peribadi, saya merasakan bahawa aspek disiplin merupakan aspek yang paling penting demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam sesuatu perkara, terutamanya dalam bidang pendidikan. Mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikan saya yang telah dibiasakan dengan disiplin yang tegas membuatkan saya sentiasa percaya bahawa untuk berjaya dengan cemerlang kita mesti mempunyai disiplin kendiri yang mantap.

Kami agak bernasib baik kerana secara keseluruhannya disiplin pelajar-pelajar di sini masih berada pada tahap yang terkawal. Cuma, ianya perlu dimantapkan lagi, antaranya aspek kebersihan & kekemasan diri, punctuality, vandalisme, disiplin dalam bilik darjah serta beberapa lagi isu yang masih perlu ditangani.

Sebagai contoh, bagi mengatasi masalah merokok dalam kalangan pelajar di sekolah (biasanya di dalam tandas), Pengetua telah mengarahkan seorang pak guard untuk memeriksa setiap pelajar lelaki yang ingin masuk ke dalam tandas. Pelajar-pelajar juga dikehendaki untuk menulis nama sebelum masuk ke dalam tandas sebagai rekod bagi mengatasi kegiatan vandalisme di dalam tandas. Kedengaran seperti agak menyeksakan, tetapi alhamdulillah kesan positifnya telah dapat dilihat dalam masa yang agak singkat.

Apabila Pengetua sendiri yang mengambil tindakan dalam mengawal disiplin pelajar, maka pelajar-pelajar menjadi lebih ‘mendengar kata’. Secara tidak langsung, para pelajar juga lebih hormat pada guru-guru.


Secara keseluruhannya, saya melihat banyak perubahan positif yang telah dapat diperhatikan dalam masa dua bulan ini. Banyak perkara dapat diteladani hasil kepimpinan Pengetua Lau. Tetapi, ini bukan bermakna setiap apa yang kami lakukan merupakan sesuatu yang sempurna kerana kesempurnaan hanya milik DIA. Nilainya terletak pada usaha yang disemai dan keringat yang membasahi.

Besar harapan kami warga SMKBA untuk merealisasikan impian menuju kecemerlangan. 3 perkara ini cuma baru permulaan. Sudah tentu lebih banyak lagi yang akan tersenarai pada tahun hadapan.

Kerja keras semestinya menanti.
Pengorbanan masa & tenaga, itu sudah pasti.

Ibarat kata pepatah Melayu, 
“ Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Seperti kata pepatah Inggeris, 
“ There’s no elevator to success, you have to take the stairs”

Semoga kami akan terus kuat menempuhi……….


*Untuk senarai program / penambahbaikan / penaiktarafan yang telah dilaksanakan setakat ini, sila ke link berikut:
35 Transformasi SMKBA dalam masa 2 Bulan 

No comments:

Post a Comment