Idea ini pada asalnya diambil dari group facebook Cikgu Sains Kreatif.
Bagi mengaplikasikan PdP berpusatkan pelajar & mendorong kreativiti dalam kalangan pelajar, mereka diminta untuk membina model biologi dengan menggunakan plastisin.
Secara tidak langsung aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman dan ingatan pelajar terhadap struktur-struktur sel dalam m/p biologi.
Bagi saya, aktiviti ini boleh juga dijalankan untuk m/p lain dalam bidang Sains sama ada pelajar menengah bawah mahupun menengah atas.
Aktiviti dijalankan secara individu dalam kalangan pelajar Ting. 5 Sains.
Markah diambil dan model terbaik diberikan hadiah.
Semua model dipamerkan semasa Karnival Sains & Teknologi 2015.
Model Sel Haiwan:
Model Sel Tumbuhan:
Model Meiosis & Mitosis:
Model lain:
p/s: Saya bukan cikgu biologi. Credit goes to Cikgu Yii Hea Lang.
Sunday, 30 August 2015
Monday, 24 August 2015
Penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM 2016
Baru-baru ini kita mendapat berita tentang penangguhan Peperiksaan
Amali Sains Berpusat SPM yang bakal dimulakan pada tahun 2016. Faktor penangguhan
tersebut adalah disebabkan kebanyakan makmal sekolah belum mempunyai kemudahan
yang mencukupi, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam bencana
banjir hujung tahun lepas.
Sudah tentu berita ini mendapat respon yang pelbagai daripada guru-guru
di seluruh negara. Mungkin ada pihak yang setuju dan mungkin ada juga yang
tidak bersetuju. Secara peribadi saya merasakan ia merupakan sesuatu yang wajar
dilakukan. Sukar untuk kita jalankan peperiksaan amali sains secara berpusat
jika kebanyakan sekolah masih kritikal dengan kelengkapan bahan dan radas di
makmal sains.
Bagi sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah yang baru dibina, sekolah-sekolah
yang mempunyai penghuni yang ramai, sudah tentu mereka mempunyai prasarana
makmal yang lengkap serta peruntukan yang mencukupi. Ini berbeza dengan
sekolah-sekolah kecil di luar bandar yang terpaksa mencatu peruntukan yang
sedikit demi menyediakan keperluan di makmal sains.
Siapa yang dapat menafikan kepentingan pelaksanaan kerja amali dalam
PdP mata pelajaran Sains, sama ada Sains Teras (men. rendah & men. atas)
mahupun Sains Tulen. Semua guru, jika boleh, mahu melaksanakan kerja amali.
Jika diberikan pilihan, semua eksperimen dalam buku teks mahu dijalankan. Akan
tetapi, disebabkan faktor-faktor tertentu perancangan itu terpaksa dilupakan.
Sebagai guru, kita memikirkan pelbagai alternatif lain demi memastikan semua
objektif pembelajaran tercapai. Ada eksperimen yang didemonstrasi oleh guru
sahaja. Ada juga eksperimen yang ditayangkan video yang dimuat turun dari
internet. Semuanya disebabkan bahan dan radas yang terhad, perlu digunakan
dengan jimat cermat untuk eksperimen-eksperimen yang betul-betul penting
sahaja.
Jika peperiksaan amali sains berpusat diadakan, terlalu banyak
keperluan yang harus disediakan supaya mencukupi untuk setiap pelajar. Sudah
tentulah ini menjadi bebanan kepada pihak sekolah, terutamanya dari segi kos.
Pertama kali melihat senarai bahan dan radas yang perlu disediakan semasa
mengikuti Kursus Amali Sains untuk guru-guru, saya juga rasa seperti mahu
pitam. Kos untuk bahan dan radas makmal adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila
dibeli melalui peruntukan PCG. Bukan sahaja radas dan bahan yang perlu
disediakan oleh pihak sekolah, malah banyak lagi persediaan lain yang harus dilakukan.
Perkara-perkara lain yang turut diambil kira & dipantau pernah saya
kongsikan melalui artikel saya sebelum ini: Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?
Pada peringkat awal, peperiksaan amali sains berpusat ini dirancang
untuk dimulakan pada tahun ini. Guru-guru disarankan untuk melatih pelajar bagi
menghadapi peperiksaan ini. Kemudian perancangan tersebut ditangguhkan ke tahun
hadapan. Maka, calon SPM pada tahun ini dilatih semula untuk menjawab soalan
Kertas 3 bertulis. Perkara yang sama terjadi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4
pada tahun ini. Perubahan ini sekali lagi menyebabkan guru-guru perlu mengubah
semula rancangan pengajaran bagi Kertas 3. Bukanlah guru mahu merungut. Sebagai
guru, kita telah dilatih untuk sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan
dalam bidang pendidikan. Namun, kesediaan pelajar tidak boleh disamakan dengan
kesediaan guru.
Perubahan ke arah peningkatan merupakan sesuatu yang bagus. Akan tetapi,
format peperiksaan yang kerap berubah menampakkan perancangan yang tidak cukup
teliti daripada pihak kementerian. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum
mengambil kira keadaan makmal di semua sekolah akhirnya menyebabkan keputusan
tersebut ditarik semula buat sementara waktu. Saya merasakan, pemantauan oleh
panel penilai sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu keputusan diambil dan bukan
sebaliknya. Amatlah diharapkan selepas ini bantuan sewajarnya dihulurkan oleh
pihak berwajib kepada sekolah-sekolah yang serba kekurangan agar semua pelajar
mendapat peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman menjalankan kerja
amali semaksimum mungkin. Sesungguhnya proses belajar itu jauh lebih penting
dan bermakna berbanding amali peperiksaan.
Sunday, 23 August 2015
Perbezaan Antara Projek Inovasi, Kajian Tindakan dan Penyelidikan
Selaku guru, pasti kita berdepan dengan banyak cabaran semasa
menjalankan pengajaran & pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah. Antara
cabaran yang sering dihadapi adalah tahap kefahaman pelajar yang berbeza dan
kesukaran pelajar untuk memahami pengajaran guru terutamanya apabila melibatkan
sesuatu konsep yang abstrak.
Antara langkah penyelesaiannya adalah dengan cara menjalankan kajian
tindakan, projek inovasi ataupun penyelidikan. Ketiga-tiganya mempunyai tujuan
utama yang sama, iaitu mengkaji sesuatu isu atau masalah yang dihadapi dalam
bilik darjah, sekolah mahupun dalam bidang pendidikan secara amnya. Namun,
ketiga-tiganya merupakan perkara yang berbeza.
Saya bukanlah pakar dalam membincangkan definisi bagi setiap satu
darinya. Perkongsian ini hanya merupakan hasil pemahaman dan pengamatan saya. Selain
itu, ketiga-tiganya juga merangkumi bidang yang cukup luas, sama ada bagi
tujuan akademik mahupun bukan akademik. Saya cuma akan memfokuskan kepada
kajian berkaitan PdP sahaja.
Projek Inovasi
Secara amnya, projek inovasi biasanya berbentuk alat bantu mengajar
(ABM), juga disebut bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan untuk memudahkan
PdP guru dan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sesuatu konsep. Mungkin ada
guru yang melaksanakan projek inovasi berbentuk pedagogi, namun ianya lebih
sesuai dilaksanakan sebagai kajian tindakan. Inovasi yang dihasilkan tidak
semestinya merupakan sesuatu yang baru. Boleh juga dihasilkan daripada inovasi
guru lain, tetapi ditambahbaik dan disesuaikan dengan pelajar di sesebuah
sekolah. Apa yang penting, jangan ditiru bulat-bulat.
Sebagai contoh, KAD MNEMION yang saya hasilkan merupakan sejenis kad
imbas (flashcard) yang biasanya
sering digunakan untuk kanak-kanak ataupun murid-murid di sekolah rendah.
Sebagai penambahbaikan kepada flashcard
yang biasa digunakan, saya hasilkan flashcard
secara 2-dimensi (depan & belakang) dan boleh dipusingkan seperti kad menu
di restoran. Saya gabungkan pula dengan mnemonik, maka terhasillah flashcard versi saya sendiri.
Berdasarkan pengalaman saya menyertai Pertandingan Guru Inovatif
Negeri Sarawak baru-baru ini, sebuah projek inovasi yang baik dan ‘dipandang
tinggi’ oleh panel penilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut; antaranya ialah:
i)
Dipunyai oleh
setiap pelajar dalam kelas. (bermaksud satu set inovasi untuk setiap pelajar)
ii)
Menggunakan bahan
kitar semula
iii)
Kos yang rendah
Apakah tajuk / topik yang sesuai untuk dijalankan projek inovasi?
Persoalan ini merupakan suatu yang bersifat subjektif. Ini kerana tahap pelajar
di setiap sekolah adalah berbeza. Kadang-kadang ada tajuk / konsep yang mudah
difahami oleh pelajar di sesebuah sekolah, tetapi dianggap sukar oleh pelajar
sekolah lain terutamanya sekolah luar bandar. Sebagai permulaan, cari tajuk
yang sukar difahami oleh majoriti pelajar di sekolah kita. Kecilkan skop tajuk.
Pilih konsep yang mudah untuk kita bina inovasi yang berbentuk maujud
(fizikal).
Sebagai contoh:
i)
Kimia Ting.5, Bab
2: Sebatian Karbon
Inovasi membina model sebatian karbon menggunakan plastisin bagi
meningkatkan kemahiran pelajar melukis struktur & menulis formula kimia
sebatian karbon.
ii)
Biologi
Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap proses kesegahan sel
menggunakan model belon.
Dari segi format laporan projek inovasi, saya tidak pasti sama ada
setiap negeri mempunyai format laporan yang tersendiri. Untuk kepastian
bolehlah merujuk PPD / JPN masing-masing. Laporan yang saya tulis adalah
berdasarkan format yang dikemukakan oleh JPN Sarawak. Ini merupakan laporan
projek inovasi saya pada tahun 2014: KAD MNEMION.
Projek Inovasi ini baru sahaja saya bentangkan semasa di Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak 2015 baru-baru ini.
Kajian Tindakan (action research)
Kajian tindakan dilaksanakan untuk mengkaji sesuatu isu / masalah dan
seterusnya bertindak bagi menyelesaikan masalah tersebut. Bagi memastikan
keberkesanan sesuatu kaedah penyelesaian yang diambil, kajian tindakan biasanya
dijalankan melalui beberapa gelung / kitaran (cycle). Tetapi, jika kaedah yang digunakan betul-betul berkesan dan
masalah telah dapat diselesaikan secara menyeluruh, maka satu gelung sudah
mencukupi. Dapatan kajian pula sering digunakan kaedah ujian pra dan ujian pos.
Terdapat banyak versi yang boleh dirujuk bagi melaksanakan kajian
tindakan. Namun, secara umumnya sesebuah kajian tindakan melibatkan proses
kerja berikut:
1.
Refleksi PdP –
mengenal pasti isu/ masalah yang dihadapi
2.
Merancang penyelesaian
3.
Melaksanakan kaedah
penyelesaian yang dipilih
4.
Menganalisis
dapatan kajian & refleksi
Jika kaedah yang dipilih telah berjaya, maka kitaran kajian tindakan
akan berhenti pada langkah ke-4. Jika belum berjaya sepenuhnya, kita kembali
semula kepada langkah pertama dengan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang
terdapat semasa gelung pertama. Dengan ini, kita akan memulakan gelung kedua
kajian tindakan.
Kaedah yang dipilih bagi menyelesaikan sesuatu isu PdP dalam sesebuah
kajian tindakan adalah lebih meluas berbanding dengan projek inovasi. Masalah
yang dihadapi dalam PdP boleh diselesaikan menggunakan BBM (inovasi) mahupun
kaedah pedagogi. Misalnya, menggunakan flashcard,
magic whiteboard, model dan
sebagainya untuk membantu pelajar memahami sesuatu konsep. Selain daripada
menggunkan BBM, guru juga boleh menjalankan tindakan menggunakan kaedah seperti
mentor-mentee, gallery walk,
pembelajaran inkuiri dan lain-lain.
Tajuk bagi sesebuah kajian tindakan mestilah jelas, spesifik dan
terperinci merangkumi objektif kajian, kumpulan sasaran serta kaedah
penyelesaian. Antara contoh tajuk kajian tindakan:
i)
Pelaksanaan kaedah
nota berlagu untuk meningkatkan kemahiran pelajar mengingati kronologi
peristiwa bagi novel Komsas dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 Merah di SMK
Setia.
ii)
Meningkatkan
kefahaman pelajar terhadap konsep tekanan udara dengan menggunakan model “Belon
Magik”.
Bagi guru yang pertama kali mahu menjalankan kajian tindakan memang
akan terasa agak sukar kerana ianya melibatkan banyak proses yang teliti.
Penulisan laporannya pula lebih terperinci berbanding projek inovasi. Saya mula
mengenali kajian tindakan semasa melengkapkan folio Program Pembangunan Guru
Baharu (PPGB). Saya merupakan batch
pertama guru yang perlu melaksanakan PPGB pada tahun 2011. Memandangkan di
sekolah saya tiada seorang pun guru yang pernah menjalankan kajian tindakan,
maka agak terkial-kial juga saya pada masa itu. Rujukan saya hanya berpandukan
pada enjin carian Google. Mujur saya menemui Manual Kajian Tindakan yang diterbitkan oleh Bahagian Perancangan
& Pelaksanaan Dasar Pendidikan di laman sesawang KPM.
Lanjutan daripada kajian tindakan yang saya jalankan semasa menyiapkan
folio PPGB, saya teruskan dengan gelung kedua. Semasa gelung kedua ini saya
mendapat ilham menggunakan kad imbas. Jadi, kajian tindakan yang saya jalankan
pada masa itu merupakan projek 2-dalam-1 di mana saya menggunakan projek
inovasi sebagai kaedah penyelesaian dalam kajian tindakan. Seterusnya, saya
jalankan pula penambahbaikan pada projek inovasi tersebut sehingga terhasilnya
Kad Mnemion. Laporannya kemudian saya asingkan.
Berikut merupakan hasil laporan kajian tindakan saya untuk gelung
kedua: Kajian Tindakan Kimia 2014.
Penyelidikan Guru (research)
Daripada tiga perkara ini, penyelidikan boleh dianggap sebagai yang paling
sukar untuk dilaksanakan, melibatkan proses yang sangat teliti, memakan masa yang
lama dan penulisan laporan yang begitu terperinci. Dalam bahasa yang mudah,
penyelidikan merupakan suatu kajian terhadap sesuatu isu / perkara untuk
mendapatkan data yang sah. Penyelidikan tidak semestinya menghasilkan
penyelesaian, namun ia melibatkan metodologi kajian yang agak kompleks. Disebabkan
itulah, tidak ramai guru di sekolah yang menjalankan penyelidikan,
kebanyakannya menjalankan kajian tindakan sahaja. Saya sendiri juga belum mahir
dengan penyelidikan. Bagi guru yang memasang impian untuk menyambung pengajian
ke peringkat yang lebih tinggi, maka pelaksanaan penyelidikan guru merupakan
persediaan yang sangat bagus.
Aspek yang dikaji dalam sesebuah penyelidikan adalah sangat meluas. Penyelidikan
guru / penyelidikan pendidikan mengetengahkan aspek kajian berkaitan isu-isu
semasa dalam bidang pendidikan, sama ada isu dalam bilik darjah, masalah yang
dihadapi oleh guru / pelajar / pentadbir sekolah mahupun isu pendidikan secara
umum. Paling bagus jika dibuat penyelidikan tentang isu-isu pendidikan yang
terkini. Contohnya:
i)
Pelaksanaan PPPM
2013 – 2015
ii)
Pengintegrasian
KBAT dalam PdP
iii)
Keberkesanan peta
i-think
iv)
Konsep pembelajaran
& bilik darjah abad ke-21
v)
VLE-FROG
Boleh juga jika kita mahu melaksanakan penyelidikan dalam bidang
pendidikan, tetapi sesuatu yang di luar PdP. Sebagai contoh:
i)
Perbezaan
pencapaian akademik antara pelajar asrama & pelajar harian
ii)
Faktor-faktor yang
mempengaruhi minat pelajar untuk belajar
iii)
Punca-punca
penglibatan pelajar dalam kes gengsterisme
iv)
Perbezaan
pencapaian pelajar dalam peperiksaan sebelum & selepas kursus motivasi
v)
Beban tugas guru di
sekolah
Tahun lepas, pada 8-10 Sept. 2014, saya menyertai Seminar Penyelidikan Pendidikan Peringkat Zon Sarawak yang diadakan
di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Sarawak. Seminar tersebut
mengumpulkan para cendekiawan melibatkan guru-guru sekolah, pensyarah-pensyarah
IPG serta pensyarah-pensyarah universiti yang membentangkan penyelidikan
masing-masing. Antara kertas penyelidikan yang dibentangkan pada tahun lepas
ialah:
i)
Pendekatan didik
hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu: Tinjauan terhadap sikap
dan minat murid orang asli di negeri Perak.
(Tn. Hj. Mohd Razak
b. Mohd Nordin & Pn. Noradzimah bt Abdul Majid, IPGK Ipoh)
ii)
Aplikasi peta
pemikiran (i-think) dalam pengajaran dan pembelajaran : Suatu tinjauan
(Pn. Jauriah bt Md
Azali & En. Muhamad Munir b. Ismail, IPGK Perlis)
iii)
Tekanan kerja guru
sekolah pribumi daerah Gua Musang
(En. Mohd Zaki b.
Ab Rahim & Pn. Kasnimi Mat Seman, IPGK Kota Bharu)
Daripada tajuk kertas penyelidikan yang dibentangkan, boleh dikatakan
bahawa penyelidikan pendidikan biasanya berbentuk tinjauan dan kajian kes. Objektif
utama sesebuah penyelidikan adalah bukan untuk memikirkan jalan penyelesaian
masalah, tetapi bagi mendapatkan data kajian seperti faktor ataupun implikasi
sesuatu isu / perkara berkaitan pendidikan. Hasil dapatan kajian ini yang merupakan
sesuatu yang sangat penting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam bidang
pendidikan.
Penyertaan dalam seminar ini memberikan pendedahan awal kepada saya
tentang pelaksanaan sesebuah penyelidikan pendidikan. Banyak perkara yang dapat
ditimba hasil perbincangan bersama pensyarah-pensyarah berkaliber yang langsung
tidak lokek ilmu. Akan tetapi, masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.
Kesimpulannya, setiap guru sebenarnya sangat digalakkan untuk
melaksanakan Projek Inovasi, Kajian Tindakan ataupun Penyelidikan. Hasil kajian
yang kita jalankan dapat meningkatkan kemahiran profesionalisme seseorang guru.
Melalui hasil kerja penyelidikan dan inovasi, golongan pendidik dapat merangka dan
melaksanakan strategi PdP secara lebih berkesan dan kreatif seiring dengan
perubahan arus pendidikan global. Jika ada peluang, sertailah seminar /
persidangan berkaitan Projek Inovasi / Kajian Tindakan / Penyelidikan. Banyak
ilmu yang akan dapat dipelajari di samping suntikan semangat untuk turut sama
memperkasakan lagi bidang pendidikan di negara kita.
Selain itu, cari juga sumber-sumber lain yang boleh membantu atau
bersama-sama kita dalam lapangan ini. Semasa saya menjalankan kajian tindakan
dahulu, saya tunjukkan laporan saya pada pensyarah-pensyarah IPG. Pengetua saya
turut memberikannya kepada pengetua di sekolah lain. Dengan ini, kita akan
mendapat maklum balas dan kritikan membina daripada mereka yang lebih arif agar
kita dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Saya juga banyak mendapat
bimbingan daripada rakan sekerja yang sudah punya banyak pengalaman. Yang
penting, usah malu bertanya.
p/s: Jika berminat, boleh google
Buku Inovasi Guru. Himpunan kajian / inovasi yang dibentangkan semasa Persidangan
Inovasi Negeri Sarawak pada tahun lepas, boleh muat turun Buku Inovasi Guru 2014.
Saturday, 22 August 2015
Pengalaman Menyertai Persidangan Inovasi Negeri Sarawak 2015
Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru merupakan
acara tahunan yang dianjurkan oleh SMK Sacred Heart Sibu dengan kerjasama
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan University College of Technology
Sarawak (UCTS) Sibu.
Ianya telah diadakan pada 15 Ogos 2015, iaitu hari Sabtu
lepas. Tema Persidangan Inovasi pada tahun ini ialah “Inovasi Pemangkin
Kemenjadian Generasi Inovatif”. Persidangan ini merupakan sebuah persidangan
peringkat negeri Sarawak yang bertujuan menjadi platform perkongsian inovasi
dan penyelidikan guru dari pelbagai bahagian negeri Sarawak. Kertas kerja yang
dibentangkan meliputi 3 aspek, iaitu Projek Inovasi, Kajian Tindakan (action research) dan Penyelidikan (research) yang telah dijalankan oleh
guru-guru di Sarawak pada tahun 2014.
Kali pertama saya menyertai persidangan ini adalah pada tahun lepas
selaku peserta. Masa tu saya baru mula berjinak-jinak dengan Kajian Tindakan
& Projek Inovasi. Jadi, saya mahu menimba ilmu & pengalaman di samping
meneroka idea-idea baru untuk diaplikasikan dalam bilik darjah nanti. Hasil
pengamatan saya, saya mendapati bahawa projek inovasi tidaklah sesukar yang
saya bayangkan selama ini. Apa yang penting ia memerlukan keberanian dan
kerajinan serta sedikit suntikan kreativiti. Sebenarnya ramai antara kita yang
telah menjalankan inovasi dalam bilik darjah, sama ada sedar mahupun tidak.
Namun, bezanya adalah pada dokumentasi. Ada guru-guru yang begitu kreatif dan
membina pelbagai BBM yang menarik, tetapi tidak didokumentasi dan dikongsi
dengan guru-guru lain. Maka, rugilah. Bertitik tolak dari situ, saya mula
membuat perancangan untuk melaksanakan projek inovasi secara lebih serius dan
terancang. Saya bernasib baik kerana punya rakan sekerja yang sehaluan dengan
saya di mana dia banyak membantu dan membimbing saya hasil pengalamannya yang
meluas.
Apabila SMK Sacred Heart mula mengedarkan surat jemputan ke
persidangan pada tahun ini, saya dan dua orang lagi guru SMKBA menghantar
permohonan sebagai pembentang. Kami tidaklah berharap sangat kerana sedar
bahawa tempat selaku pembentang adalah terhad. Tambahan pula kami perlu
bersaing dengan guru-guru lain yang lebih senior dan berpengalaman. Awal bulan
Jun lalu, saya menerima berita baik melalui e-mel dari SMKSH menyatakan bahawa
projek inovasi saya telah dipilih untuk dibentangkan semasa persidangan inovasi
pada bulan Ogos nanti. Tambah menggembirakan apabila 2 orang lagi guru SMKBA
turut dipilih selaku pembentang.
Persidangan Inovasi peringkat Negeri Sarawak 2015 telah dirasmikan
oleh Pengarah JPNS sendiri, iaitu Pn. Rakayah bt Hj. Madon. Majlis bermula
seawal jam 8.30 pagi di Dewan Kuliah UCTS dengan ketibaan Pengarah JPNS yang
diiringi persembahan Bagpipe Band,
tarian singa dan paluan kompang serta bunga manggar. Acara sambutan untuk
Pengarah JPNS mengimbau kenangan saya pada tanah semenanjung. Lima tahun berada
di Bumi Kenyalang, saya sudah biasa dengan
Ngajat Ngalu Temuai (Ngajat Welcoming Dance) dan Taboh Iban. Sudah lama
tidak mendengar paluan kompang dan melihat bunga manggar. Bagpipe Band pula mengingatkan saya pada SMK St. John KL, tempat
saya menjalani latihan mengajar di mana saya menjadi pembantu guru penasihat
untuk bagpipe band sekolah tersebut
yang begitu terkenal.
Usai nyanyian lagu kebangsaan, majlis dimulakan dengan ucapan
alu-aluan oleh Pengetua SMKSH, En. David Teo Wu, diikuti Timbalan Naib Cancelor
UCTS, Prof. Dato’ Dr. Sabaruddin b. Mohd. Dalam intipati ucap utama Puan
Pengarah JPNS, saya tertarik dengan teguran beliau terhadap guru-guru yang suka
‘memberi label’ kepada pelajar-pelajar dalam kelas dan bersikap pilih kasih.
Setelah tirai persidangan dibuka dengan rasminya, sesi pembentangan
pun bermula. Terdapat dua sesi pembentangan, iaitu sesi plenary dan sesi selari. Sesi plenary
memperlihatkan pembentangan kertas penyelidikan di peringkat universiti oleh
pensyarah-pensyarah yang dijemput khas. Tiga orang pensyarah yang telah
membentangkan kajian mereka adalah:
i)
Prof. Madya Dr.
Patrick Then
Swinburne
University of Technology (Sarawak Campus)
ii)
Prof. Madya Dr.
Pauline Ho
Curtin University
(Sarawak)
iii)
En. Daniel Tan Yong
Wen
University College
of Technology Sarawak
Kajian yang dibentangkan oleh pensyarah universiti adalah lebih meluas
dengan tahap yang lebih tinggi berbanding dengan kajian guru yang lebih
berfokus dalam bidang pendidikan. Walau apapun, melihat pembentangan kertas
penyelidikan universiti merupakan suatu pendedahan yang sangat baik terutamanya
dari segi metod kajian. Manalah tahu, suatu hari nanti ada rezeki untuk sambung
belajar di peringkat master atau PhD.
Ehem!
Sesi pembentangan sidang selari bermula pada jam 11.40 pagi. Terdapat
36 kertas kajian yang akan dibentangkan di 6 buah bilik tutorial. Saya merupakan
pembentang terakhir di Bilik 6. Pembahagian kertas pembentangan semasa
persidangan pada kali ini dilihat lebih teratur dan terancang di mana ianya
dibahagikan mengikut bidang. Misalnya di bilik 1, kebanyakan kertas yang
dibentangkan adalah berkaitan mata pelajaran BM dan BI. Manakala di bilik 6
pula, semua kertas yang dibentangkan merupakan projek inovasi bagi mata
pelajaran Sains Tulen. Jadi, tidak perlulah saya berulang-alik ke bilik-bilik
lain untuk melihat projek inovasi bagi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi.
Pembentangan kami turut disertai oleh pensyarah-pensyarah jemputan.
Alhamdulillah, pembentangan saya berjalan dengan lancar tanpa rasa
gugup. Sesi soal jawab pula berlalu tanpa ada peserta yang bertanyakan soalan.
Jadi, bilik kami merupakan bilik terawal yang tamat sesi selari.
Selepas rehat pada waktu tengah hari, para pembentang menyertai satu
sesi perbincangan bersama para panel
review yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti. Mereka
memberikan komen terhadap pembentangan kami secara umum di samping memberikan
cadangan-cadangan bernas untuk penambahbaikan. Mereka agak terkejut (surprised) melihat usaha guru-guru yang
menjalankan kajian / penyelidikan di sekolah dalam kekangan masa dan tugas
hakiki walaupun guru tidak diwajibkan untuk melaksanakan kajian sepertimana
pensyarah di universiti.
Rumusannya, penglibatan dalam acara persidangan seperti ini dapat
membuka minda dan menyuntik motivasi untuk terus melaksanakan perubahan dan
penambahbaikan dalam PdP. Tidak bermakna kita guru yang sempurna. Tetapi apa
yang penting adalah usaha ke arah mencapai kesempurnaan.
p/s: Semakin banyak ilmu yang digali, semakin banyak yang kita tidak
ketahui. Usaha tanpa henti, moga Allah berkati.
Thursday, 13 August 2015
Projek Inovasi Kimia 2014 : KAD MNEMION
Projek Inovasi ini merupakan sebahagian daripada Kajian Tindakan yang saya jalankan pada tahun 2014. Tajuk yang dipilih ialah Formula Kimia yang merupakan subtopik dalam Bab 3 Kimia Tingkatan 4 : Formula & Persamaan Kimia.
Kad Mnemion (mnemonik + ion) merupakan satu set kad imbas (flash card) yang menggabungkan senarai formula ion bersama mnemonik bagi memudahkan pelajar mengingati formula ion. Tujuan utamanya adalah bagi memudahkan pelajar menulis formula kimia sebatian dan seterusnya dapat membina persamaan kimia dengan lebih mudah.
Kad Mnenion dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu kation dan anion.
Senarai ion disusun mengikut kumpulan cas pada ion serta mnemonik pada bahagian belakang.
Penerangan terperinci tentang bagaimana Kad Mnemion ini dihasilkan dan digunakan bolehlah merujuk / memuat turun Laporan Projek Inovasi Kimia 2014.
Berikut merupakan abstrak hasil pelaksanaan projek inovasi saya:
ABSTRAK
Projek inovasi ini dilaksanakan bagi membantu pelajar untuk mengingati senarai formula ion serta meningkatkan kemahiran pelajar untuk menulis formula kimia. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan semasa proses PDP, didapati kesemua 17 orang pelajar 4 Sains sukar menguasai kemahiran menulis formula kimia dengan betul. Dengan itu, suatu inovasi telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh para pelajar serta mencari kaedah terbaik dan berkesan bagi mengatasinya. Semua pelajar
Tingkatan 4 Sains, iaitu seramai 17 orang terlibat dalam kajian ini. Tinjauan
awal telah dilaksanakan melalui ujian pertengahan penggal pertama dan ujian
pra. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar sukar untuk mengingati simbol-simbol ion dan cas-cas pada ion positif dan negatif yang
menjadi punca utama kegagalan pelajar menulis formula kimia dengan betul. Pelajar juga tidak berminat untuk menghafal
kerana bilangannya yang terlalu banyak. Perancangan tindakan difokuskan kepada 3
aktiviti. Aktiviti pertama ialah memperkenalkan dan membiasakan pelajar dengan
simbol-simbol ion serta cas-cas pada ion dengan menggunakan Kad Mnemion.
Aktiviti kedua ialah mengasingkan ion-ion positif dan negatif berdasarkan nilai
cas pada ion dan menghafal setiap ion dengan menggunakan kaedah mnemonik.
Aktiviti yang ketiga pula ialah menulis formula kimia dengan cara menggabungkan
Kad Mnemion bagi ion positif dan kad imbas bagi ion negatif. Keputusan ujian
pos menunjukkan 11 daripada 15 orang pelajar berjaya menyenaraikan semua
formula ion dengan betul, iaitu peningkatan sebanyak 73% berbanding dengan
ujian pra. Manakala 14 orang pelajar telah menunjukkan peningkatan yang
mendadak bagi markah yang diperoleh melalui ujian pos. Dengan ini, dapat
dirumuskan bahawa penggunaan kad imbas dan kaedah mnemonik telah berjaya
meningkatkan ingatan pelajar terhadap formula ion seterusnya meningkatkan
kemahiran pelajar menulis formula kimia dengan betul.
Friday, 7 August 2015
Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 5
Hari terakhir Karnival Sains pada tahun ini. Seperti tahun-tahun
sebelum ini, hari terakhir akan diisi dengan program ceramah “Klik Dengan
Bijak” oleh Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM / MCMC)
cawangan Sibu.
Program ceramah ini merupakan salah satu program kesedaran
keselamatan internet yang dianjurkan oleh SKMM. Mereka sering menganjurkan
program ceramah seperti ini di sekolah-sekolah dan bersedia untuk dijemput oleh
mana-mana pihak / agensi / komuniti bagi mengadakan program berkaitan
keselamatan internet.
Melalui ceramah tersebut, pengguna internet didedahkan dengan
langkah-langkah keselamatan semasa menggunakan internet. Kita juga diingatkan
agar tidak menyalahgunakan internet untuk tujuan yang negatif seperti
menyebarkan fitnah, memuatnaik status ataupun gambar yang tidak bermoral.
Pihak SKMM turut berkongsi dengan kami statistik aduan kes yang mereka
terima berkaitan dengan dunia maya ini. Setiap hari pasti ada sahaja aduan yang
diterima berkenaan penyalahgunaan internet. Itu baru di Sibu sahaja, belum lagi
dikira seluruh negara. Antara aduan yang banyak diterima adalah tentang
penipuan melibatkan wang, penyebaran berita palsu, love scam dan sebagainya.
Penyebaran berita palsu banyak terjadi apabila ramai pengguna internet
yang terlampau teruja untuk like dan share sesuatu berita di media sosial tanpa
menyelidik kebenarannya terlebih dahulu. Akibatnya, semakin ramai yang terdedah
dengan berita yang tidak benar sehinggakan kadang-kadang boleh menjejaskan
keharmonian dalam masyarakat. Jadi, pastikan anda selidik dahulu sesuatu
perkara sebelum like, comment, ataupun share. Jika ternyata berita yang anda kongsikan itu adalah palsu,
anda juga boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi & Multimedia Malaysia.
Kalau nak cerita semua input ceramah tadi di sini, sampai esok pun
belum habis. Hehe…… jadi, jika mahukan maklumat lebih lanjut tentang
keselamatan internet, peranan SKMM dan juga program “Klik Dengan Bijak”
bolehlah follow mereka di media sosial
ataupun search sahaja di YouTube.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada En. Nading dan Pn. Farzana dari
SKMM Sibu yang sudi datang ke sekolah kami. Tak sesat walaupun pertama kali
datang ke sini boleh dikira hebatlah. Hehe…. Ceramah yang menarik, pegawai SKMM
yang peramah dan sporting serta
cenderahati yang best, sememangnya
menjadi penutup yang baik buat Karnival Sains & Teknologi 2015.
Thursday, 6 August 2015
Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 4
Aktiviti pada pagi ini dikendalikan oleh Panitia Perdagangan. Aktiviti
dimulakan dengan Kuiz Perdagangan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4
selama satu jam, iaitu dari pukul 7.30 – 8.30 pagi.
Bermula pada jam 9.30 pagi, pelajar-pelajar yang terlibat memulakan
aktiviti “I Am CEO”. Melalui aktiviti
ini, pelajar-pelajar dilatih untuk mengaplikasikan ilmu perniagaan dan
keusahawanan yang dipelajari dalam mata pelajaran Perdagangan. Mereka menjual
makanan seperti nasi lemak, kuih, minuman dan aiskrim. Promosinya telah dijalankan
bermula semalam (hari Rabu) melalui edaran iklan.
Pada sebelah petang pula diadakan pertandingan parachute (roket & payung terjun) di bawah bimbingan Cikgu
Sembi. Selain daripada Pertandingan Saintis Muda, pertandingan ini juga
merupakan salah satu kategori pertandingan semasa Karnival Sains peringkat
daerah, iaitu Aeroangkasa.
Nampak seperti mudah, tetapi memerlukan ketepatan teknik bagi
memastikan roket dapat dilancarkan jauh dan payung terjun dapat terbuka dengan
sempurna. Pertandingan ini hanya melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 4 sahaja.
Seterusnya: Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 3
# Saintis Muda
# Pameran
# Demo Sains
Subscribe to:
Posts (Atom)